Saturday, September 15, 2007

DAULAT TUANKU
Selamatkanlah Malaysia

Deraf Petisyen:

YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA,
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mirzan ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

PERKARA: KERAJAAN YANG SEMAKIN LESU BERGELUMANG DALAM RASUAH DI BAWAH KEPIMPINAN DATO' SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA

Patik merafak sembah memohon Tuanku mencemar Duli membaca warkah perutusan rintihan rakyat.

Ampun Tuanku. Negara kita sekarang berada dalam keadaan gawat dan tidak menentu masa depannya.

Pimpinan Kerajaan makin lesu, tidak teratur, bergelumang dalam rasuah dan komplot politik. Negara tidak lagi bergerak maju dan rakyat sudah merasa jauh ketinggalan berbanding keadaan sebelum ini. Ekonomi negara digembar-gemburkan oleh Kerajaan sebagai sihat dan melonjak tetapi dari mana dan ke mana terlonjaknya rakyat tidak dapat merasainya.

Politik negara makin tegang dengan tercetusnya berbagai jenis masalah dan komplot yang hampir semuanya tidak menemui penyelesaian yang baik. Rusuhan sudah bermula di sana-sini dan ketegangan perkauman dan keagamaan semakin meningkat. Ampun Tuanku, izinkan patik menyenaraikan antara keadaan yang ada seperti berikut:

1) Dua rakyat Terengganu telah ditembak oleh Polis baru-baru ini. Kerajaan menutup kes ini dengan menghantar 'hamper' kepada mangsa tembakan. Ke mana lagi rakyat boleh mengadu? 2) Rusuhan dan pembunuhan yang telah berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dalam minggu sambutan Ulangtahun Merdeka ke-50. Patik khuatir, jika rusuhan ini sebenarnya tidak mempunyai sebab, melainkan diwar-warkan oleh orang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

3) Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan rasuah dan penyelewengan wang rakyat oleh Kerajaan yang mengakibatkan kerugian berbilion Ringgit. Namun, Laporan Ketua Audit Negara tidak memberi kesan kepada sesiapa pun, terutama sekali kepada Kerajaan. Penyelewengan wang rakyat masih berterusan dari tahun ke tahun, walaupun pendedahan dilakukan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara.

4) RM4.6 bilion wang rakyat telah dibazirkan untuk menutup penyelewengan pembelian tanah di Pelabuhan Klang. Begitu juga lebih RM5.35 bilion telah disalahgunakan dalam pembelian kapal perang bagi tentera laut. Kerajaan langsung tidak pedulikan Laporan Ketua Audit Negara.

4) Polis Di Raja Malaysia sekarang sudah tercemar dengan rasuah dan pengaruh anasir jahat sehingga bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar telah berkata lebih 40% pegawai atasan Polis terlibat dalam rasuah.

5) Keluhuran undang-undang dan perjalanan sistem keadilan makin hancur, sepertimana didakwa oleh beberapa Pegawai Polis yang berpangkat, menerusi Pengakuan Berkanun. Mereka mendakwa bahawa kumpulan jenayah besar sekarang sudah mempengaruhi Polis Di Raja Malaysia. Sekali lagi Pengakuan Berkanun oleh Pegawai Polis ini tidak disiasat atau diambil tindakan oleh Kerajaan.

6) Keadaan institusi kehakiman negara juga amat membimbangkan di mana hakim yang lebih berpengalaman dan lebih berkelayakan dipinggirkan manakala hakim yang tidak berpengalaman termasuk hakim yang mempunyai kecacatan dalam rekod perkhidmatan dinaikkan pangkat. Walaupun perkara ini disebut dan dibuktikan di Parlimen, iaitu Dewan tertinggi untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, Kerajaan tidak mengendahkannya dan tiada tindakan diambil bagi memperbaiki keadaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri yang tidak faham 'separation of powers' telah 'mengarah' Ketua Hakim Negara menyiapkan laporan untuk menjelaskan keadaan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa memberi sebarang arahan kepada Ketua Hakim Negara. Tetapi itulah keadaan dalam negara kita sekarang, sehingga Perdana Menteri sendiri tidak faham tatacara Kerajaan.

7) Ketegangan kaum dan agama semakin meruncing dalam negara kita. Laporan rusuhan kaum di Masai, Johor dan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mewakili rasa ketidakpuasan rakyat yang boleh mencetuskan rusuhan perkauman.

8) Nama Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi tersabit dalam skandal 'Oil-for Food' di Iraq. Nama anak beliau Kamaluddin Abdullah dan syarikat Scomi kepunyaannya tersabit dalam skandal 'nuclear parts for Libya'. Nama anak menantu beliau Khairy Jamaluddin tersabit dalam berbagai percaturan wang (ECM Libra, Equine Capital, Air Asia dan sebagainya). Namun demikian tidak ada tindakan yang diambil terhadap Perdana Menteri atau ahli keluarganya. Ke mana lagi rakyat dapat mengadu?

9) Pilihan raya dipermainkan oleh alat Kerajaan. Pilihan raya kecil mendedahkan penyalahgunaan harta Kerajaan untuk membantu parti politik yang berkuasa. Isu pengundi hantu masih berleluasa sewaktu pilihan raya. Kita perlu memperbaiki sistem pilihan raya yang masih diperalatkan dengan begitu mudah oleh parti memerintah. Rakyat tidak lagi mempunyai tempat untuk mengadu.

10) Kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu jelas mendedahkan persubahatan jahat antara pemimpin Kerajaan, pentadbiran Kerajaan, Polis Di Raja Malaysia dan Pendakwaraya. Sehingga kini, saksi Polis telah membawa 'watak lucu' yang langsung tidak serius. Diari siasatan yang hilang, Laporan Polis berlainan mengenai kes yang sama dan persaksian bercanggah yang disengajakan akan memastikan bahawa yang tertuduh akan terlepas daripada dakwaan membunuh. Lebih penting lagi, pembunuh yang sebenarnya langsung tidak akan dihadapkan ke mahkamah. Rekod keluar masuk mangsa bunuh Altantuya yang sepatutnya disimpan dalam komputer Jabatan Imigresen telah lenyap tanpa sebab yang munsabah. Memandangkan Altantuya tersabit penglibatannya dengan beberapa orang kenamaan dan pemimpin tinggi Kerajaan dalam kontrak pembelian kapal selam bernilai berbilion Ringgit, jelas bahawa tangan yang tercemar berkuasa melenyapkan rekod Jabatan Imigresen dan juga mempengaruhi perjalanan penyiasatan Polis dan Pendakwaraya.

Ampun Tuanku. Kebimbangan rakyat tidak terhad kepada sepuluh perkara ini sahaja tetapi senarai ini cukup untuk menyatakan keresahan rakyat Tuanku. Ke mana rakyat Tuanku akan merayu lagi?

Ampun Tuanku. Patik sembah mohon Tuanku mencemar Duli mendengar rayuan rakyat Tuanku. Patik sembah mohon Tuanku mencemar Duli menangani keadaan gawat dalam negara kita. Ampun Tuanku. Patik tidak datang keseorangan memohon Tuanku mencemar Duli. Patik bersama ini menyembahkan kepada Tuanku, senarai tandatangan 10,000 rakyat Tuanku. Portal web Malaysia Today juga mengumpul tandatangan secara online di:

http://malaysia-today.net/blog2006/Announcements.php?itemid=8121

dan dalam 24 jam pertama, telah mendapat 3,000 tandatangan dan jumlahnya terus bertambah.

Patik menyembah Duli memohon ampun sekiranya surat ini kasar dan terlalu kuat tetapi memandangkan kesemua pintu telah tertutup dan segala jalan untuk menyelesaikan masalah yang ada telah terputus, maka patik merafak sembah kepada Tuanku untuk menolong rakyat Tuanku. Patik akhiri rayuan ini dengan sembah Ampun dan Daulat Tuanku.

Wabillahi Taufik Walhidayah Assalammualaikum Warahmarullahi Wabarakatuh
Daulat Tuanku!
- Malayuia Today

3 comments:

pemerhati said...

Aku Dato' Selamat berbuka puasa
Bukan utk siaran, pandangan sahaja.

Berita dan gambar dibawah.
Satu perhimpunan besar kaum India telah diadakan di Putrajaya menuntut pelbagai perkara. Perkara ini tidak pun dilapokan dalam media arus perdana. Ironisnya, perhimpunan sebesar itu di halaman Pejabat PM tidak pun diganggu-gugat oleh makhluk bertopi merah.
Tidak ada juga wujudnya agent provocateur untuk 'mencipta dan menjadikan keadaan tidak terkawal' seperti mana yang berlaku di Batu Burok, baru-baru ini.
Lebih banyak gambar dapat dilihat di e-album M@RHAEN http://my.opera.com/marhaen/albums/show.dml?id=360846
(gambar-gambar dipanjangkan oleh Jingoza)

adham mazlan said...

A'kum datuk, boleh tak saya dapat kan email datuk?

kudakepang said...

Saudara Adham Mazlan, selamat berkunjung ke KK dan terima kasih.

E-mail: puteramaya@gmail.com

Salam takzim.