Tuesday, October 31, 2006


THE TOYOL CODE
- SATU REALITI
Bahagian Penutup
Oleh Ruhanie Ahmad

The Toyol Code sudah sampai ke babak terakhir. Mesej rahsianya sudah pun diakses oleh lebih 150000 pelayar internet tempatan dan internasional. Akibatnya, ada pihak yang teruja. Mereka teruja kerana mereka mungkin berpeluang jadi calon pilihanraya atau pun mungkin dilantik ke jawatan menteri tidak lama lagi. Tetapi, ada juga pihak yang bimbang kerana grand design yang didedahkan oleh The Toyol Code ini mungkin menjejaskan kestabilan politik Malaysia di hari muka.

Oleh itu, wajarlah sama-sama kita pastikan sama ada The Toyol Code ini satu fantasi, satu ilusi atau satu realiti. Wajarlah kita pastikan sama ada The Toyol Code ini cuma satu propaganda, satu ura-ura, atau satu fitnah.

The Toyol Code bukannya satu fantasi, ilusi, ura-ura, propaganda atau pun fitnah. The Toyol Cod adalah satu hakikat, satu kenyataan, satu realiti. Satu salinan CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya seperti didedahkan oleh The Toyol Code memang benar-benar wujud. Insan misteri yang mengirimkan The Toyol Code ini menyatakan kepada saya menerusi SMS, bahawa beliau sendiri memang sudah melihat salinan CD berkenaan.

Dibocorkan

Lebih menggemparkan lagi, katanya, salinan CD itu dipercayai telah dibocorkan kepada pihak tertentu oleh orang kuat kepada “budak hantu.” Orang kuat berkenaan dikatakan bertindak demikian kononnya kerana dia sendiri tidak setuju dengan perancangan besar yang terkandung dalam CD tersebut.

Bagaimanapun, kata sipengirim SMS itu lagi, CD itu tidak pula dibocorkan scara percuma. Ini bermakna bahawa salinan CD tersebut telah dibocorkan oleh orang kuat “budak hantu” kepada pihak yang berminat dengan harga yang agak tinggi. Berapa? Saya tidak tahu harga yang sebenar-benarnya? Tetapi, pengirim SMS itu tidak menafikan kalau harganya mencecah tujuh digit!

Menurut pengirim SMS terbabit lagi, CD berkenaan kini berada dalam simpanan pihak yang membelinya. Jika kumpulan “budak hantu” menafikan kewujudan CD itu, katanya, pihak yang kini memiliki salinan CD tersebut mungkin mendedahkan seluruh isi kandungan CD menerusi internet.

Saya tidak akan membuat sebarang komen mengenai hakikat di atas. Sebaliknya, terserahlah kepada anda sekalian untuk mencari dan membuat kesimpulan yang sewajar-wajarnya.

Musykil

Dalam pada itu, eloklah kalau kita sama-sama analisis kesahihan CD yang serba sedikit telah didedahkan kandungannya oleh The Toyol Code. Analisis ini boleh kita lakukan menerusi soalan-soalan strategik seperti berikut:

Satu: Benarkah wujud satu CD mengandungi laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya. Jawabnya adalah seperti berikut:

“Perkara ini sudah confirm. Jangan tak percaya. Semua cv bakal-bakal calon sudah ada dalam CD laporan komprehensif menegnai rombakan kabinet dan pilihanraya. Pihak pakar kita tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai cadangan rombakan kabinet itu. Katanya, CD yang mengandungi laporan terperinci itu adalah final dan kemungkinan besar rombakan kabinet pasti berlaku.”

Dua: Siapakah yang mengarahkan penyediaan CD yang mengandungi laporan komprehensif di atas, dan siapa pula yang melaksanakan arahan itu? Jawapannya adalah terkandung dalam dua mesej seperti berikut:

“Jangan terkejut. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif ciptaan group “budak hantu” ini. Perdana Menteri sudah serah bulat-bulat pada “patrick” dan “budak hantu” ini buat keputusan.”

“Ini bukan khabar angin. Tapi, betul-betul akan berlaku. Sebabnya, Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif rombakan kabinet dan pilihanraya umum.”

Bagaimanapun, benarkah Perdana Menteri yang mengarahkan “budak hantu” dan “patrick” untuk menyediakan laporan komprehensif terbabit? Tidak mungkinkah pengirim SMS The Toyol Code mahu memfitnahkan Perdana Menteri? Soalan ini tidak dapat dijawab secara sahih. Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada satu pihak pun, waimah Pejabat Perdana Menteri, yang menafikan pendedahan The Toyol Code.

Anwar

Tiga: Benarkah penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif di atas adalah mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat? Jawapannya adalah seperti berikut:

“Penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Tetapi, di mana logiknya hakikat di atas? Mana mungkin seorang penasihat kepada sebuah parti pembangkang menasihati Perdana Menteri Malaysia?

Jadi, adakah hakikat di atas satu propaganda? Kalau propaganda, siapa penciptanya? “Budak hantu”? Kalau tidak, kita harap Datuk Seri Anwar atau mana-mana pihak Parti Keadilan Rakyat, nafikanlah hakikat ini seberapa segera.

Empat: Benarkah penyediaan laporan berkenaan membabitkan temasik group”? Jawapan kepada soalan ini adalah seperti dua mesej berikut:

“Penyediaan laporan kopmprehensif mengenai rombakan kabinet ini mungkin diiringi “orkestra the temasik group”. Sebab itu iramanya ala moden. Nada rap dan twist lebih banyak daripada irama lagu-lagu Melayu asli. Dari pandangan pakar kita, kandungan format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet itu bukan English cara Malaysia.”

Temasik

Tetapi, adakah maklumat di atas muktamad? Bolehkah kita terima hakikat bahawa satu entiti asing kini berperanan dalam menentukan rombakan kabinet dan pilihanraya umum di Malaysia? Tidak mungkinkah maklumat ini cuma dakyah dan fitnah?

Sebagaimana dihuraikan dalam Bahagian Dua The Toyol Code ini, kita tidak pasti sama ada perkataan “temasik” merujuk kepada “Temasik Holding,” syarikat pelaburan Kerajaan Singapura. Kita juga tidak berani meneka sama ada perkataan itu juga merujuk kepada “Kerajaan Singapura”.

Jadi, siapakah “temasik?” Siapa? Atau, demi mengelakkan sebarang kontroversi diplomatik, kita biarkan sahaja kod “temasik” ini jadi satu perkataan yang penuh misteri buat selama-lamanya.

Lima: Benarkah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, dikatakan akan terpinggir dan akhirnya terkeluar daripada bertanding dalam pilihanraya umum yang diura-urakan pada 2007? Jawapannya adalah seperti berikut:

“Lepas ni, nampak gayanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan “budak hantu” yang jadi calon pilihanraya dan anggota kabinet. Last sekali, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk jadi calon pilihanraya 2007.”

Dalam Bahagian Lima The Toyol Code, saya mengajak anda semua mengelak daripada melakukan tafsiran kepada soal di atas. Ini kerana implikasinya amat besar dan sangat luas.

Bagaimanapun, kita wajar bertanya, adakah laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya yang dibincangkan dalam The Toyol Cod ini juga merupakan satu konspirasi oleh pihak tertentu untuk meminggir dan menyingkirkan Datuk Seri Mohd Najib secara sistmatik?

Tidakkah konspirasi seperti ini boleh membawa bencana? Benarkah Perdana Menteri merestui konspirasi seperti ini? Tidakkah implikasi hakikat ini boleh menjejaskan agama, bangsa dan negara?

Saya harap hakikat di atas tidaklah benar. Tetapi, bagaimanakah kalau ianya betul? Adakah Perdana Menteri sedia bertanggungjawab dengan konspirasi seperti ini?

Kesimpulan

Demikianlah kemusykilan strategik di sebalik pendedahan The Toyol Code. Saya tidak mahu bertanya kepada sipengirim SMS untuk mempastikan sebarang keraguan yang mungkin wujud.

Tetapi, saya yakin sipengirim itu juga membaca The Toyol Code ini. Oleh itu, saya harap beliau akan mengirimkan SMS kepada saya kalau apa yang telah dipecahkan kodnya selama ini adalah meleset atau tersilap sasaran.

Akhir kata, tidakkah anda bersetuju dengan saya bahawa The Toyol Code ini adalah satu grand design yang membabitkan Malaysia, membabitkan masa depan, membabitkan kedaulatan, membabitkan kemerdekaan, membabitkan kesejahteraan, dan mungkin juga membabitkan keselamatan dan keamanan.

Lantas, fikirkanlah sendiri apa yang perlu anda lakukan. Saya hanya mampu berjuang menerusi pena dan pnulisan. Anda bagaimana?

Tetapi, walau apa pun yang hendak anda lakukan, buatlah secara bertanggungjawab dan membina. Saya ucapkan selamat berjuang demi agama, bangsa dan negara.
- The Toyol Code akan dikemaskinikan dan diedit semula tidak lama lagi. Kemudiannya ia akan dipublish sebagai E-Book.

No comments: