Monday, October 16, 2006

THE TOYOL CODE
- KONSPIRASI

Bahagian Dua
Oleh Ruhanie Ahmad

Syukur Alhamdulillah. Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih diberikan kekuatan dan iltizam untuk terus merungkai seluruh kod dan mesej misteri di sebalik The Toyol Code. Saya juga memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana sehingga kini The Toyol Code masih lagi bebas daripada sebarang tekanan, ancaman atau kecaman.

Sebaliknya, hari ini saya terlalu diganggu oleh panggilan demi panggilan telefon dan bingkisan demi bingkisan e-mail. Kesemuanya ingin tahu, bilakah bahagian-bahagian lain The Toyol Code akan muncul dalam blog ini. Pada waktu yang sama, hit counter dalam blog ini juga mencatatkan pertambahan surfers yang agak mendadak sejak dua hari yang lalu. Wau, inilah impak The Toyol Code agaknya!

Lantaran itu, teruskanlah lawatan harian anda ke blog ini -
www.kuda-kepang.blogspot.com. Mulai 13 Oktober 2006 dan seterusnya, The Toyol Code akan menemui anda di blog ini. Sebanyak berapa siri, saya belum pasti lagi. Pokoknya, saya dan anda pasti akan berusaha sedaya upaya untuk memecahkan seluruh kod dan mesej misteri yang disembunyikan di sebalik beberapa siri SMS yang secara sukarela dihantarkan kepada saya pada 12 Oktober 2006.

Menerusi Bahagian Dua ini, saya jangka The Toyol Code akan jadi lebih panas, lebih sensasi, dan lebih kontroversi. Saya jangkakan begitu kerana pada 14 Oktober 2006, saya menerima tujuh lagi SMS daripada sumber yang telah mengirimkan 14 SMS kepada saya pada malam 12 Oktober 2006. Seluruh SMS terbaru ini lagi jelas maksudnya dan lebih luas implikasinya.

Pada Subuh 15 Oktober 2006, sekali lagi saya diserang oleh SMS secara bertubi-tubi. Pengirimnya tetap insan yang sama. Saya hairan. Mungkinkah pengirim SMS berkenaan seorang yang mengalami penyakit tak boleh tidur malam? Mungkinkah waktu itu dia baru sahaja tamat berqiamullail di masjid? Atau, mungkinkah dia baru sahaja ketemu Lailatulqadar dan menerima arahan supaya terus mengirimkan SMS misteri kepada saya sebagai bahan kepada The Toyol Code seterusnya?

Pada jam 1.00 pagi 16 Oktober 2006, seali lagi saya menerima SMS daripada pengirim yang sama. Kali ini, seluruh SMS itu memperincikan nama-nama personaliti politik yang mungkin kehilangan jawatan Menteri atau Timbalan Menteri. SMS itu juga mengenai personaliti baru sebagai penggantinya. Perincian ini akan saya huraikan dalam Bahagian Tiga.

Strategik

Saya amat berterima kasih kepada pengirim SMS berkenaan. Kini saya mempunyai banyak maklumat penting yang disampaikan secara berkod dan penuh misteri. Oleh itu, saya tetap memerlukan bantuan anda untuk memecahkan kod-kod berkenaan dan merungkai rahsia di sebaliknya.

Dalam pada itu, ada seorang pengunjung blog ini yang melahirkan kemusykilannya terhadap apa yang dijangka berlaku pada Februari 2007. Contohnya, kemusykilan daripada Tuan Syed Imran, blogger Kuda Ranggi, daripada Pulau Pinang. Tuan Syed Imran bertanya, beranikah Perdana Menteri melakukan satu rombakan kabinet secara besar-besaran? Kata Tuan Syed Imran, “nak lakukan rombakan besar-besaran bukan satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi jika dilihat dari sudut ketegasan dan keberanian seseorang pemimpin.”

Saya tidak mampu menjawab pertanyaan di atas. Apa pun, saya harap Tuan Syed Imran akan mengikuti blog ini, hari demi hari. Ini kerana beberapa info terbaru yang saya terima, membayangkan bahawa rombakan kabinet scara besar-besaran nampaknya memang akan berlaku. Berasaskan info berkenaan, soal sama ada Perdana Menteri berani melakukannya, tidak jadi masalah yang strategik atau kritikal.

Soalan yang strategik sekarang ialah: mungkinkah rombakan kabinet tersebut didorong dan diilhamkan oleh sesetengah elemen asing? Soalan yang strategik pada hari ini juga ialah: mungkinkah rombakan kabinet itu dilakukan untuk membolehkan sesetengah elemen asing mencengkam serta mendominasikan Kerajaan Malaysia di abad ke-21?

Perunding

Saya melakarkan dua soalan strategik seperti di atas berdasarkan info paling terbaru sekali. Kandungan penuh daripada satu SMS yang saya terima pada 14 Oktober 2006 adalah seperti berikut:

“Dari pandangan pakar kita, kandungan format carta lagu kali ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format carta itu bukan English cara Malaysia.

Ada juga kemungkinan yang buat lirik lagu ini adalah seorang pakar strategi politik. Sebab itulah dia boleh baca minda bakal-bakal penyanyi. Pakar kita juga kata, dia orang tak pernah menjangkakan satu laporan lengkap hingga ke peringkat seperti ini - terlalu terperinci, siap degan komen mengenai pandangan serta pemikiran lima tahun para penyanyi yang akan terlibat dalam juara lagu.

Entah berapa ratus juta ringgit sudah dibelanjakan oleh group ini untuk bayar perunding tersebut buat carta, kajian, dan lirik-lirik lagu untuk kejuaraan kali ini. Pakar kita kata, first time dia orang dapat tengok laporan selengkap itu - siap dengan ramalan tarikh yang terbaik bagi melakukan rombakan kabinet dan pilihanraya.

Pakar kita juga tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD itu. Katanya, CD itu final dan kemungkinan besar pasti berlaku. Kalau CD tu dicetak, lebih kurang 500 pages. Laporan tu terlalu detail. Siap dengan tatalaku dan prinsip para penanyi yang akan terlibat. Hal ini seolah-olah membuktikan betullah kata warlord bahawa budak-budak tingkat empat memang betul-betul power kuasai papa.”

Papa

Saya yakin mesej di atas amat jelas maksudnya. Lebih-lebih lagi bila dalam Pengenalan dan Bahagian Satu The Toyol Code, kita telah merumuskan bahawa kesemua perkataan teras mengenai “lagu” adalah kod mengenai “rombakan kabinet” atau “pilihanraya.”

Bagaimanapun, ada banyak lagi kod misteri di sebalik mesej SMS di atas. Pertama: siapakah “papa?” Kedua: siapakah “warlord?” Ketiga: siapakah “temasik?” Keempat: siapakah “pakar strategi politik?” Kelima: siapakah “perunding?” Keenam: siapakah “budak-budak tingkat empat?”

Dari konteks SMS di atas, adakah “papa” kod kepada perkataan “Perdana Menteri”? Adakah “budak-budak tingkat empat” kod bagi perkataan “kakitangan Perdana Menteri” di Putrajaya? Adakah “pakar strategi politik” yang dimaksudkan adalah konsultan politik asing yang diupah oleh “budak-budak tingkat empat”?

Kod “Papa” memang mungkin merujuk kepada Perdana Menteri. Saya agak demikian setelah membaca bahagian akhir SMS di atas yang mengatakan “…hal ini seolah-olah membuktikan betullah kata warlord, bahawa budak-budak tingkat empat memang betul-betul power kuasai papa.”

Hakikatnya mungkin begitu kerana kebelakangan ini kita memang sering terbaca pelbagai kisah “budak-budak tingkat empat” di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya. Kisah-kisah mereka banyak diulas oleh beberapa tabloid Melayu serta lamanweb dan juga blog tempatan.

Tapi, kalaulah “papa” bukannya kod untuk Perdana Menteri, adakah kod itu merujuk kepada ayah “budak-budak tingkat empat”? Tapi, apa kena mengenanya ayah kepada “budak-budak tingkat empat” dengan urusan rombakan kabinet? Hiss!! Kalut betul!

Jadi, macam mana kita? Setuju tak kalau kod “papa” ini sebenarnya merujuk kepada Perdana Menteri? Setuju? Betul setuju? Betul-betul ni!!! Kalau tak, lunyai nanti kita kena semua balun dek you know who!!! Tapi, kalau anda semua yakin bahawa kod “papa” ini merujuk kepada Perdana Menteri, terima kasih.

Warlord

Tetapi, kalau “papa” maksudnya Perdana Menteri, apa pula erti kod “warlord”? Kod ini jarang-jarang sekali kita temui di mana-mana tulisan atau percakapan umum. Kalau ikut terjemahan biasa, “war” ertinya perang. “Lord” pula ketua. Eh.. takkan “warlord” bermaksudkan ketua perang. Tak boleh jadi. Kepala perang dalam Malaysia adalah jeneral-jeneral dalam tentera. Mana ada sejarah pegawai-pegawai tinggi tentera di Malaysia membabitkan diri dalam politik? Tak ada. Malaysia bukannya Thailand. Eh, mungkinkah pengirim SMS itu nak hantar mesej rahsia bahawa Malaysia mungkin jadi macam Thailand? Hai, kalau gitu saya tak mau masuk campur. Anda? Pun tak mau? Bagus. Malaysia memang bukan macam Thailand!

Habis tu, sapa dia “warlord?” Tun Dr. Mahathir Mohamad? Betul? Betul ni? Betullah tu! Bukankah kebelakangan ini Tun Dr. Mahathir yang banyak menyebut kisah “budak-budak tingkat empat” di Puterajaya?

Tapi, betulkah kod “warlord” merujuk kepada Tun Dr. Mahathir? Betul!! Baik, kalau begitu, hanya tinggal satu kod lagi daripada SMS di atas yang belum kita diselsaikan. Iaitu, “temasik.”

Temasik

Hiss!! Dengar perkataan “temasik” saya pun naik gerun. Tercodak bulu roma dibuatnya. Sebab tu saya cuak sikit nak menyatakan bahawa kod “temasik” mungkin bermaksud “Temasik Holding,” syarikat pelaburan Kerajaan Singapura. Saya juga berat hati untuk meneka kalau kod “temasik” ini merujuk kepada “Kerajaan Singapura”.

Tapi, mungkin juga “temasik” yang dimaksudkan adalah Temasik Holding. Anehnya, apa kaitan sebuah syarikat perniagaan asing dengan urusan dalaman Kerajaan Malaysia? Jadi, “temasik” mungkin bukan kod untuk Temasik Holding.

Kalau bukan Temasik Holding, adakah kod “temasik” ini merujuk kepada Kerajaan Singapura? Hiss!! Ini lagi bisa dan berbahaya. Mana mungkin rombakan kabinet di Malaysia dinasihati oleh Kerajaan Singapura? Ciss!! Ini betul-betul amat berbahaya.

Jadi, siapakah “temasik?” Siapa? Atau, demi mengelakkan sebarang kontroversi diplomatik, kita pakat-pakat biarkan sahaja kod “temasik” dalam SMS di atas jadi satu perkataan yang penuh misteri buat selama-lamanya?

Saya cuba melupakan “temasik.” Tetapi, satu daripada SMS yang menyerang saya pada Subuh 15 Oktober 2006, pula menyatakan seperti berikut:

“Rakaman lagu mungkin diiringi okestra the temasik group. Sebab itu iramanya ala moden. Nada rap dan twist lebih banyak daripada irama lagu-lagu Melayu asli.”

Daripada SMS di atas, sekali lagi kita dapati kod “temasik.” Bezanya, kod kali ini jadi semakin jelas bila ia mengatakan bahawa “rakaman lagu mungkin diiringi okestra the temasik group.”

Lantara itu, bagaimana? Apa kita nak buat sekarang? Kita mahu terus biarkan sahaja kod “temasik” ini tanpa rungkaian sewajarnya? Biarkan? Mana boleh? Ini soal maruah bangsa dan negara? Mana boleh? Apa? Biarkan para pembaca buat kesimpulan masing-masing? Kalau gitu, cantik! Setuju? Setuju!!!

Asing

Bagaimanapun, saya sendiri tetap sensitif dengan perkataan “temasik.” Rampasan kuasa di Thailand baru-baru ini ada babit-babit dengan perkataan “temasik.” Keresahan rakyat Malaysia pada hari ini juga pun dikatakan ada kait-mengaitnya dengan perkataan “temasik.”

Kalau begitu, adakah pengirim SMS di atas sengaja menggunakan kod “temasik” untuk membayangkan wujudnya sesuatu konspirasi asing di Malaysia? Adakah dia cuba menyatakan kemungkinan elemen-elemen tertentu daripada Singapura turut berperanan dalam rombakan kabinet yang mungkin dilakukan di negara ini kelak?

Sangkaan jahat seperti ini tidak seharusnya kita layan. Tetapi, bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh pengirim SMS itu benar? Tidakkah ini bermakna bahawa sangkaan terhadap wujudnya peranan elemen-elemen asing di sebalik ura-ura rombakan kabinet Malaysia ini tidak boleh diremeh-remehkan?

Mesej

Oleh itu, kerana kita telah pun berjaya memecahkan sebilangan besar kod yang terkandung dalam SMS yang terkini seperti di atas, marilah kita baca semula kandungan SMS itu, dengan erti kodnya di dalam kurungan, seperti berikut:

“Dari pandangan pakar kita, kandungan format carta lagu (laporan mengenai rombakan kabinet) kali ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format carta (laporan mengenai rombakan kabinet) itu bukan English cara Malaysia.

Ada juga kemungkinan yang buat lirik lagu (laporan mengenai rombakan kabinet) ini adalah seorang pakar strategi politik (asing). Itulah sebabnya dia boleh baca minda bakal-bakal penyanyi (bakal anggota cabinet yang baru). Pihak pakar kita juga kata, dia orang pun tak pernah menjangkakan satu laporan lengkap hingga ke peringkat seperti ini - terlalu terperinci, siap degan komen mengenai pandangan serta pemikiran lima tahun para penyanyi (calon-calon anggota kabinet yang baru) yang akan terlibat dalam juara lagu (rombakan kabinet).

Entah berapa ratus juta (ringgit) sudah dibelanjakan oleh group (budak-budak tingkat empat?) ini untuk bayar perunding (asing) tersebut buat carta (senarai) , kajian, dan lirik-lirik lagu (laporan penuh) untuk kejuaraan (rombakan kabinet) kali ini? Pihak pakar kita kata, first time dia orang dapat tengok laporan selengkap itu - siap dengan ramalan tarikh yang terbaik bagi melakukan rombakan kabinet dan pilihanraya.

Pihak pakar kita juga tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD (yang mengandungi laporan terperinci mengenai cadangan rombakan kabinet) itu. Katanya, CD (yang mengandungi laporan terperinci) itu adalah final dan kemungkinan besar (rombakan kabinet) pasti berlaku. Kalau CD (yang mengandungi laporan terperinci) itu dicetak, lebih kurang 500 pages. Ini sebab laporan itu terlalu detail. Siap dengan tatalaku dan prinsip para penanyi (calon-calon anggota kabinet) yang akan terlibat. Hal ini seolah-olah membuktikan betullah kata warlord (Tun Dr. Mahathir), bahawa budak-budak tingkat empat (pegawai-pegawai Perdana Menteri) memang betul-betul power kuasai papa (Perdana Menteri).”

Youngman

Berasaskan mesej SMS terbaru dan misteri-misterinya seperti di atas, pasti banyak pihak akan menghidu adanya konspirasi. Hakikat mengenai konspirasi ini mungkin jadi semakin serius bila mesej SMS ketiga, yang saya terima pada 12 Oktober 2006, berbunyi seperti berikut:

“Jangan terkejut. Papa dan setuju dengan lirik lagu ciptaan group budak hantu. Papa dah serah bulat-bulat pada patrick dan budak hantu ni buat keputusan. Penasihat kepada pencipta lagu adalah youngman.”

Kod misteri dalam SMS di atas adalah “youngman.” Siapakah dia “youngman” ini? Kod ini juga tak pernah kita dengar. Jadi saya pun terkial-kial juga memikirkannya. Adakah “youngman” maksudnya “orang muda” seperti Khairy dan sahabat-sahabat seangkatannya?

Dalam keadaan saya tergaru-garu kepala dan terkerut-kerut bulu kening, saya terpandang pula perkataan “youngman” dalam SMS keempat yang saya terima pada 12 Oktober 2006. SMS itu berbunyi seperti berikut:

“Lepas juara lagu, kes youngman akan dibuka semula. Keputusannya sudah ada - anda didapati tidak bersalah. Semua tuduhan digugurkan. Jadi, bolehlah youngman masuk pertandingan lagu raya.”

Kod paling misteri dalam SMS di atas adalah “kes youngman” yang akan dibuka semula selepas rombakan kabinet pada Februari 2007. Oleh itu, siapakah “youngman” yang ada “kes” di mahkamah pada masa ini? Dan, siapakah “youngman” sesudah didapati tidak bersalah oleh mahkamah, dia boleh “masuk pertandingan lagu raya”?

SMS ini memberikan gambaran bahawa “youngman” yang dimaksudkan adalah seorang ahli politik. Dia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam “pertandingan lagu raya (pilihanraya?)” sesudah dia didapati tidak bersalah oleh pihak mahkamah. Jadi, siapa dia? Siapa?

Fikir punya fikir, punya fikir, saya syak bahawa kod “youngman” ini merujuk kepada seseorang yang pernah aktif dalam politik Malaysia sebelum ini. Jadi, adakah “youngman” yang dimaksudkan menerusi kod dalam SMS keempat ini adalah mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Adakah ini logik? Pasti? Muktamad?

Wah! Kalau begitu, memang semakin berbahanglah The Toyol Code ini. Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menjadi penasihat kepada pemilihan dan penentuan bakal-bakal anggota kabinet Kerajaan Malaysia yang akan dilantik menerusi satu rombakan pada Februari 2007.

Bercelaru

Pada saat ini otak saya bercelaru. Saya cuba mencari rasional bagaimana dan mengapakah rombakan kabinet yang dikatakan akan diadakan pada Februari 2007, membabitkan “temasik,” “pakar strategi politik” asing, Datuk Seri Anwar Ibrahim, “Patrick,” “budak hantu,” “budak-budak tingkat empat” dan lain-lainnya?

Pemikiran saya bercelaru kerana susah saya nak percaya perkara seperti ini akan berlaku atau boleh berlaku. Tetapi, si pengirim SMS di atas kata, semua persiapan untuk rombakan kabinet itu sudah siap, lengkap, terperinci, komprehnsif. Katanya, kalau CD yang mengandungi laporan itu dicetak, ia boleh jadi 500 muka surat tebalnya. Dia juga suspek ada campurtangan asing dalam menyiapkan laporan itu. Sebab itulah dia asyik menggunakan kod “temasik,” “pakar strategi politik,” “perunding” “Patrick,” “budak hantu” dan “budak-budak tingkat empat.”

Kecelaruan pemikiran ini pula mendorong saya bertanya kepada diri saya sendiri: mengapakah boleh sampai jadi macam ini? Adakah Perdana Menteri memang mahu persiapan untuk rombakan kabinet ini dibuat sebegitu rupa? Atau, mungkinkah Perdana Menteri tidak tahu akan perkembangan ini?

Tapi, si pengirim SMS di atas telah menyatakan supaya kita semua “jangan terkejut.” Katanya, “papa dan setuju dengan lirik lagu ciptaan group budak hantu. Papa dah serah bulat-bulat pada patrick dan budak hantu ni buat keputusan. Penasihat kepada pencipta lagu adalah youngman.”

Kalau benarlah seperti apa yang dinyatakan dalam SMS di atas, apa kita semua boleh buat? Tetapi, walau apa pun yang mungkin kita boleh lakukan, satu perkara memang amat menonjol sekali daripada keseluruhan mesej di atas. Iaitu, “budak hantu,” dan “Patrick,” nampaknya seolah-olah menjadi central figures atau watak utama dalam usaha menyiapkan laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet yang akan dilaksanakan kelak.

Sebab itulah SMS di atas telah menyatakan bahawa “papa dan setuju dengan lirik lagu ciptaan group budak hantu. Papa dah serah bulat-bulat pada Patrick dan budak hantu ni buat keputusan.” Dalam satu lagi SMS dinyatakan bahawa “komposer lagu - Patrick. Pencipta lirik lagu - budak hantu.”

Saya tidak mahu mengambil apa-apa kesimpulan daripada seluruh kod dan mesej rahsia yang terkandung di dalam semua SMS yang kita rungkai seperti di atas. Begitu pun, pemikiran saya semakin tambah bercelaru kerana mengapakah perlu dibabitkan konsultan politik, termasuk “okestra temasik group” untuk menyiapkan satu laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet Malaysia?

Saya serahkan kepada kebijaksanaan anda untuk menuntas, merinci dan merumuskan seluruh kemungkinan konspirasi yang wujud dalam penyiapan laporan komprehensif mengenai ura-ura rombakan kabinet yang dijangka diadakan pada Februari 2007.

Bagaimanapun, ingat. The Toyol Code belum selesai. Akan datang ini saya dan anda akan sama-sama merungkai banyak lagi kod dan mesej rahsia, mungkin mengenai nama-nama Menteri yang akan digugurkan, dan nama-nama Menteri yang akan dilantik. Kita juga akan sama-sama merungkai kod dan mesej mengenai pilihanraya umum. Saya yakin, kalau kita berjaya dalam pemecahan kok-kod itu, akan terbuktilah kenapa pemilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO Malaysia ditunda hingga sampai ke tahun 2008!

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Tiga.

1 comment:

Doc said...

Honestly speeaking, I don't think there will be a major re-shuffle in the kitchen cabinet.

He doesn't have balls, i tell you.

Let's wait & see.