Sunday, October 01, 2006

SIAPA MEMINGGIRKAN SIAPA?

KATA Lee Kuan Yew penduduk Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik kerana mereka rajin dan berjaya.

Maksud Kuan Yew, cuma di Singapura rakyat keturunan Cina mendapat hak yang sewajarnya. Beliau turut membayangkan kaum-kaum lain di rantau ini kurang berjaya dan tidak rajin, sebab itulah masyarakat Cina ditekan. Kenyataan sebegini hanya menimbulkan kegusaran, prejudis, curiga dan sentimen perkauman peringkat Nusantara.

Contohnya, sudah pasti ada yang akan menuding jari pada Singapura bertanyakan nasib orang Melayu di sana pula. Lebih menyedihkan lagi Kuan Yew antara arkitek pembentukan Malaysia September 1963 yang turut disertai Singapura pada peringkat awalnya.

Malang, ucapan-ucapan Kuan Yew semasa Singapura berada di dalam Malaysia berbau perkauman, dan ia sangat mendukacitakan Tunku Abdul Rahman yang sebelum itu dipujuk Kuan Yew supaya menerima Singapura. Malaysia memutuskan Singapura harus meninggalkan negara ini supaya tidak berlaku ledakan sentimen perkauman. Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung UMNO sebagai satu protes.

Apakah Kuan Yew masih dihantui peristiwa silam? Apakah Kuan Yew benar-benar gusar terhadap masa depan hubungan antara kaum? Apakah Kuan Yew bercakap dalam konteks kebangkitan China dan India sebagai kuasa ekonomi besar dunia? Apakah Kuan Yew mahu menjadikan Singapura negara contoh kepada yang lain? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu terlebih dahulu menyingkap sejarah.

Semasa Stamford Raffles mendarat pada 28 Januari 1819, penduduk tempatan terdiri daripada 120 orang Melayu dan 30 Cina. Beberapa ratus tahun sebelum Raffles tiba, sudah wujud pemerintahan Temasik yang makmur. Ada pihak mendakwa semasa zaman Temasik dulu, sudah ramai orang Cina menetap di pulau itu, agaknya seperti mana ada keturunan Chulia di Kedah dan Arab di seluruh Nusantara, dan juga seperti mana orang Yahudi di Timur Tengah.

Orang Yahudi mula membanjiri Palestin dari awal kurun lalu seolah-olah bumi tersebut tidak berpenghuni. Britain bersetuju pada 1917 menyokong usaha mendirikan negara Israel yang akhirnya tertubuh pada 1948. Keturunan Arab dan Yahudi yang hidup aman damai sebelum itu mula memusuhi sesama sendiri. Pada tahun 1918, setahun selepas Perjanjian Balfour yang memberi rangsangan besar kepada Zionis, aturan penduduk Palestin adalah seperti berikut. Arab Islam - 512,000, Arab Kristian, 61,000 dan Yahudi, 66,000.

Di Singapura pula, pendatang China tiba beberapa tahun selepas Raffles membangunkan pulau yang sebelum itu menjadi hak mutlak Kesultanan Johor-Riau. Kemunculan Singapura sebagai kota kosmopolitan membawa elemen baru di Nusantara yang dari zaman berzaman dikuasai Melayu. Hakikat ini diakui oleh British, termasuk oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu Hugh Clifford menegaskan, pada tahun 1927 negeri-negeri Melayu harus kekal status Melayu mereka. Beliau membangkitkan perjanjian British dengan raja-raja Melayu. Raffles sendiri terpaksa mendapat laluan daripada pemerintah Melayu bagi menduduki Singapura.

Singapura mula bersifat kosmopolitan di masa Raffles. Penduduk Singapura tahun 1823 ialah 10,682, yang mana 3,317 adalah orang Cina. Ini bermakna, berbagai rumpun Melayu, serta Arab dan Eropah menetap di Singapura.

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, British mencadangkan gagasan Malayan Union memisahkan Singapura dari Semenanjung kerana dikatakan bimbang timbul konflik kerana Singapura mempunyai penduduk majoriti Cina. Britain membuat keputusan bagi pihak orang Melayu, seperti mana Israel dipaksakan ke atas bumi Arab dua tahun kemudiannya.

Singapura tidak mengecapi kemerdekaan pada 1957, sekadar self-government bermula 1959. Singapura merdeka melalui Malaysia selepas menjadi sedikit gelora akibat beberapa isu yang ditimbulkan oleh pemimpin People's Action Party di bawah Kuan Yew. Mereka memperjuangkan hak sama rata bagi penduduk berbilang kaum di Malaysia dan Singapura, serta mula menyindir budaya dan sikap orang Melayu. PAP tidak memberikan hak istimewa kepada penduduk Melayu Singapura, sekadar bersetuju adanya special position (kedudukan istimewa). Sama ada istilah ini berkesan dan bermakna terpulanglah pada interpretasi masing-masing.

Setelah terkeluar dari Malaysia, Singapura berusaha keras meningkatkan keupayaan angkatan tenteranya dengan bantuan Israel. Hubungan inilah yang membawa kepada lawatan Presiden Israel, Chaim Herzog ke Singapura pada November 1986. Ia tidak mengambil kira perasaan orang Melayu di Indonesia, Malaysia dan di Singapura. Kaedah menyakiti hati dan moral serta maruah saingan ialah strategi biasa yang digunakan Israel ke atas rakyat Palestin. Kebebasan rakyat Palestin disekat, dan mereka sentiasa dikepung. Penduduk Melayu Singapura pula seakan-akan dipindah-pindahkan dan dipecah-pecahkan dan akhirnya terjadi satu keadaan di mana tiada satu pun kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Jika dakwaan ini tersasar, kita minta PAP memberi bukti di mana ada kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu.

Parti PAP sendiri pada dasarnya bersifat berbilang kaum, tetapi dakwaan ini agak meleset semasa Singapura berada dalam Malaysia. PAP ingin menggantikan MCA sebagai parti induk di bandar-bandar besar. Juga pihak PAP tidak dapat memberi penjelasan yang meyakinkan mengapa belum ada seorang insan Melayu menjadi Menteri Kanan, Jeneral atau Ketua Hakim atau jawatan-jawatan sensitif dan kanan yang lain.

Meritokrasi

Kuan Yew sendiri terpaksa berdepan dengan persoalan sama ada Singapura mengamalkan meritokrasi atau sebaliknya apabila anak beliau menggantikan Goh Chok Tong sebagai Perdana Menteri. Sudah tentu Lee Hsien Loong menang pilihan raya, dan tidak mengambil alih jawatan tertinggi ini daripada bapanya Kuan Yew. Namun kita hairan kenapa seorang pemimpin yang begitu tegas memerangi rasuah tidak terlalu sensitif terhadap cakap-cakap mengenai unsur nepotisme? Tidaklah kita berhasrat menyamakan sistem ini dengan pemerintahan Raja Brooke di Sarawak dulu.

Apa yang ingin kita persoalkan sekarang ialah ke mana hilangnya penduduk kosmopolitan Singapura? Kenapakah keutamaan kerakyatan baru diberi kepada penduduk Cina Hong Kong apabila ia kembali ke tangan Beijing pada 1997? Kini, apakah ada usaha mengalu-alukan rakyat Hong Kong dan Taiwan menetap di Singapura, dan sama ada keistimewaan ini turut ditawarkan kepada kaum lain, contohnya Melayu, India dan Jawa? Singapura harus menjawab persoalan bagi menjamin dan mempertahankan statusnya sebagai negara berbilang kaum.

Janji manusia adalah segala-galanya. Semasa berada dalam Malaysia, PAP membangkitkan beberapa tuntutan dan dilihat gagal menunaikan janji mereka kepada Tunku semasa hendak masuk Malaysia dulu. Trend ini beterusan.

Berbalik kita masa kini. Persidangan Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) 2006 berlangsung di Singapura baru-baru ini. Pihak berkuasa republik itu memberi jaminan untuk membenarkan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa mengadakan demonstrasi tetapi kebenaran tersebut telah ditarik balik.

Pada masa yang sama, iaitu pada 15 September, Kuan Yew menyampaikan ucapan yang menyentuh sikap kerajaan Malaysia dan Indonesia terhadap kaum Cina di negara masing-masing.

Pemimpin politik di Malaysia kini menolak sekeras-kerasnya dakwaan Kuan Yew. Kini kemelut ekoran kenyataan Kuan Yew sudah dibangkitkan di peringkat hubungan dua hala. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berpendapat Singapura ingin mencemar nama Malaysia di kaca mata pelabur, namun helah ini tidak akan berjaya.

Syed Hamid tentunya memilih kata-kata dengan cermat dan pastinya beliau mengambil perspektif sejarah. Jika diteliti apa yang dicanangkan sebagai meritokrasi, kejayaan Singapura yang memberangsangkan, serta keistimewaan dana insan mereka tidaklah sehebat mana. Kita perincikan satu persatu.

Semasa bursa kedua-dua negara dipisahkan, Singapura mewujudkan Credit Limit Order Book (CLOB), yang sebenarnya beroperasi secara tidak sah. Apabila kita ditimpa krisis kewangan 1997, Singapura menaikkan kadar faedah, dilihat sebagai strategi supaya rakyat Malaysia tertarik membawa keluar wang. Singapura merasakan Malaysia akan tunduk kepada IMF. Mereka sama sekali tidak menjangkakan bahawa Malaysia akan dapat mencari penyelesaian yang lebih baik. Mereka terkejut dengan keupayaan Malaysia. Pada masa inilah kita mengambil keputusan menghentikan urusan CLOB, menyebabkan mereka bakal kerugian berbilion ringgit. Mereka merayu, malah melutut supaya Malaysia dapat membantu.

Namun, budi baik kita tidak terbalas. Semasa krisis kewangan, kita cuba mendapatkan bantuan kewangan dari Singapura sebaliknya mereka meletakkan syarat-syarat yang keterlaluan. Tidak ada goodwill dan semangat setia kawan dalam hubungan dengan Singapura. Itulah maksudnya bila mereka menyebut perlunya to be really firm, stout hearted, subtle and resolute. Mereka hanya mementingkan keuntungan dan yakin Big Brother akan datang menyelamat mereka sekiranya ditimpa kesusahan.

Singapura adalah negara-bandar raya ataupun city state seperti juga Monaco dan Hong Kong. Tidak ada city state yang mundur, kerana ia bandar raya yang mendapat peruntukan dan pengiktirafan sebuah negara. Hong Kong dikira lebih maju dari Singapura, manakala Monaco lebih glamor. Monaca adalah gelanggang F1 yang ternama, seperti Sepang. FI tidak singgah di Singapura yang ingin menjadi Macau yakni gelanggang judi. Pun begitu Singapura tidak jauh dari bersifat commune di mana penduduk diprogram dengan formula kehidupan yang sarat dengan undang-undang, tindak-tanduk dan keputusan peribadi tertakluk kepada kehendak PAP. Disiplin yang dipaksakan ini menjadikan penduduk Singapura bertindak seolah-olah terlepas dari kandang setibanya mereka di Johor Bahru.

Penyelesaian

Mentadbir sebuah bandar raya bukanlah sesuatu yang sukar berbanding pentadbiran sebuah negara yang melibatkan permasalahan dan penyelesaian kompleks.

Janganlah kita terpedaya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Singapura. Ia menjadi bahasa kebangsaan semasa PAP kuat memperjuangkan penerimaan Singapura ke pangkuan Malaysia. Seorang pemimpin Melayu, Yusof Ishak dilantik sebagai Presiden. Mujurlah wajah beliau yang tertera di mata wang Singapura. Apakah sudah ada Presiden dari kalangan Melayu yang telah dilantik setelah Singapura keluar dari Malaysia? Begitu juga bahasa Melayu. Kuan Yew dan anak beliau yang kini menjadi Perdana Menteri masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan sempurna tetapi Kuan Yew sendiri berusaha keras memartabatkan bahasa Inggeris semasa Singapura berada dalam Malaysia. Juga, Bahasa Melayu begitu ketinggalan di Singapura sekarang. Perhatikan pengumuman-pengumuman kerajaan.

Anak-anak mereka sekadar diasuh supaya mencapai kejayaan akademik cemerlang, semua yang lain tidak penting termasuk perasaan kasih sayang, berbudi dan bantu membantu. Singapura harus cemerlang dan berjaya, itu saja. Semasa British lagi, minda orang Melayu dibasuh supaya yakin bahawa mereka malas dan lesu. Ada tokoh-tokoh Melayu di bawah PAP seperti Samad Ismail, Ahmad Ibrahim dan Abu Bakar Pa Wan Chik namun tidak ada di kalangan mereka yang ditonjolkan sebagai pemimpin. Apakah mereka mencemburui kewibawaan Samad? Beliau ditahan semasa British barangkali kerana bimbang Samad bakal muncul pemimpin ulung. Said Zahari ditahan sebelum Singapura menyertai Malaysia. Apakah beliau juga dikhuatiri akan menyaingi mereka? Kita tanya soalan sebegini kerana sesiapa saja yang bersuara dan tidak mengikut telunjuk akan terdedah kepada bahaya penahanan, selalunya atas tuduhan terlibat dengan aktiviti yang boleh menghancurkan negara.

Ada yang mengatakan menteri Singapura ada Ph.D, kelulusan Oxbridge dan rata-rata lebih pintar.

Bukan tiada ahli politik Malaysia yang mempunyai double degrees dan merupakan pencapai terbaik. Hanya kita tidak gembar- gemburkan hal ini. Ia adalah proses biasa. Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Seri Jamaludin Jarjis, Datuk Ghani Othman dan Koh Tsu Koon mempunyai credentials yang membanggakan. Sebenarnya Malaysia mengamalkan meritokrasi menyeluruh, tidak mendiskriminasikan calon berdasarkan universiti dan sebab-sebab lain.

Terpulanglah pada kebijaksanaan masing-masing mendalami ilmu pengetahuan sepanjang hayat. Humility yang ditanam pada rakyat Malaysia telah menjadikan penduduk kita lebih berilmu dan berdisiplin daripada rakyat Singapura. Mereka belum teruji. Mereka tidak dibenar mengeluarkan pandangan secara terbuka, sehinggakan ikan di Singapura dikatakan mati kelaparan akibat tidak berani membuka mulut. Yakni satu bidalan terhadap sikap pengecut rakyat Singapura. Sistem cadre parti pemerintah PAP sangat secretive dan tidak demokratik. Keahlian parti PAP tidak terbuka.

Pemimpin keturunan Cina di Malaysia jauh lebih demokratik daripada pemimpin PAP. Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting memperkenalkan sistem yang mengehadkan tempoh menjadi menteri dan memegang jawatan tinggi pada dua penggal. Yang terkecuali ialah DAP yang turut mengamalkan near-hereditary rule, dengan anak menjadi setiausaha agung dan si bapa, pemimpin nombor satu parti serta bertindak sebagai ketua pembangkang. Ini tidak menghairankan. DAP berasal daripada PAP.

Singapura sering mengikuti dasar yang diamalkan Washington, seolah-olah Singapura tidak bebas menggubal dasar luarnya sendiri, malah selalu menepati kehendak Washington. Dari semasa ke semasa mereka berdrama kononnya berang kepada Amerika Syarikat (AS). Hakikatnya tidak begitu. Singapura tidak diherdik oleh Washington sekalipun membataskan hak bersuara rakyatnya. Namun ketaksuban pemimpin mereka kepada AS, menyebabkan China sendiri was-was mengenai keikhlasan Singapura. China bimbang kerana Singapura terlalu rapat dengan AS. Israel memainkan peranan pengintip AS di Timur Tengah. Malaysia mempunyai dasar luar yang dinamik serta bertanggungjawab. Kita ada hubungan yang baik dengan China dan negara lain termasuk anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Apakah Indonesia, Malaysia ingin menguasai Singapura? Ini merupakan dakyah Singapura bagi menakut-nakutkan rakyatnya sendiri. Malaysia dan Indonesia bertungkus lumus memajukan negara masing-masing, bagi muncul sebagai kuasa ekonomi saiz sederhana. Singapura terlalu kecil bagi mengejar cita-cita yang sama. Pasarannya adalah terhad. Akibat kelancangan Kuan Yew serta dasar luar PAP, Singapura dicurigai oleh China. Ini bermakna pasarannya semakin menguncup. Singapura memerlukan bullet train yang akan menjadi motivasi pelancongan dan penduduk Malaysia berjudi di kasino di Singapura. Sengaja atau tidak, projek kasino bakal mengajak rakyat Indonesia dan Malaysia berjudi serta mencetus pelbagai gejala sosial.

Apakah Singapura tidak ingin melihat Malaysia menjadi lebih maju dan dihormati dunia? Dari semasa ke semasa Kuan Yew mengeluarkan kenyataan yang dengan tidak sengaja mempengaruhi pelancong dan pelabur supaya tidak berurusan dan melawat Malaysia. Inilah prinsip yang menggagalkan jambatan bengkok yang sepatutnya menggantikan tambak di sebelah Malaysia. Singapura bimbang perjalanan yang lancar akan melumpuhkan suasana ekonomi domestik Singapura. Ada pandangan mengatakan Singapura berusaha meningkatkan tahap kesesakan di Tambak Johor. Ini kerana apabila kenderaan terpaksa menunggu sebegitu lama, maka jumlah rakyat Singapura berbelanja di Johor Bahru tidaklah meningkat ke tahap yang membimbangkan Singapura. Sama ada ini satu strategi, hanya Singapura yang tahu.

Pada tahun 1996, Kuan Yew menyebut mengenai kemungkinan re-merger namun ia bersyarat - hanya sekiranya Malaysia mengamalkan dasar meritokrasi sepenuhnya. Kemampuan rakyat Malaysia telah diiktiraf dunia, ada kalangan kita yang memegang jawatan penting dalam syarikat-syarikat ternama dunia seperti Shell.

Berdasarkan pandangan pengkritik beliau di Malaysia dan pengalaman berada dalam Malaysia sepanjang 1963- 1965, dasar meritokrasi mungkin bermakna melantik orang tertentu sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi tidak pula membincangkan sama ada seorang Melayu menjadi Ketua Hakim atau Perdana Menteri Singapura. Rata-rata orang Melayu semakin kuat bekerja di Kuala Lumpur. Rakyat Singapura memandu liar di Malaysia kerana tindak- tanduk mereka terbatas di Singapura.

Mengenai peminggiran masyarakat Cina, Kuan Yew sendiri sedia maklum yang ekonomi Indonesia dan juga Malaysia masih dikuasai oleh kaum Cina. Hotel terkemuka di Kuala Lumpur serta bangunan-bangunan tinggi dan banglo tersergam semuanya milik orang Cina. Begitu juga dengan senarai 40 orang terkaya di Malaysia, siapakah yang menerajui dan menguasai senarai tersebut? Dengan menakut-nakutkan rakyat yang Singapura akan jatuh ke tangan orang lain dan mereka mesti resolute, penduduk akan percaya segala propaganda kerajaan. Taktik yang sama digunakan oleh kerajaan AS. Seorang wartawan terkenal Singapura Seah Chiang Nee yang pernah mengkritik Kuan Yew menyokong kenyataan terbaru beliau, katanya sebagai peringatan kepada anak muda Singapura.

Apakah ada sesuatu yang mahu disembunyikan oleh Singapura apabila mereka dengan agak rakus menguatkan tenteranya seolah-olah ada bahaya yang bakal menimpa? Negara manakah yang mahu diserang oleh Singapura?

Kenyataan Kuan Yew yang Malaysia dan Indonesia ingin Singapura menjadi pak turut tidak masuk akal. Sekiranya benar mengapakah Malaysia dengan mudah sekali membiarkan Singapura keluar dari Malaysia dan mengecapi kemerdekaan sendiri sedangkan British sendiri tidak pernah setuju Singapura diberi kemerdekaan.

Singapura tidak perlu gusar mengenai penduduk Cina di Malaysia dan Indonesia yang menguasai ekonomi kedua-dua negara itu. Mereka sama sekali bukannya second class citizens.

Isu yang selama ini menghantui kita semua ialah kedudukan Melayu Singapura, yang bukan sekadar dinafikan hak-hak istimewa mereka malah didiskriminasikan. Malaysia membenarkan penduduk Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina, dan memberikan peranan politik yang sangat besar. Di Singapura, kini tidak ada satu kerusi Parlimen pun yang majoriti pengundinya Melayu. Apakah status orang Melayu Singapura? Berapa ramai profesional di kalangan mereka? Berapa ramai jeneral Melayu? Semasa wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) penduduk Melayulah yang bertungkus lumus, tidak berganjak dari hospital. Barulah mereka sedar orang Melayu sangat setia kepada negara dan sanggup mati berjuang.

Dasar asal kependudukan yang mengehadkan dua orang anak bagi setiap keluarga bertujuan mengekang pertumbuhan keluarga, dan secara kebetulan orang Melayu lebih ramai anak. Kini dasar itu dimansuhkan malah mereka yang mempunyai ramai anak diberi insentif. Pelbagai program juga dilancarkan bagi menggalakkan rakyat Singapura jatuh cinta dan berkahwin, kerana ramai kaum Cina yang memilih karier daripada segala-galanya. Inilah sukses yang selama ini diidamkan oleh Kuan Yew.

Radikal

Di Malaysia, badan-badan Cina melantik Suqiu sebagai jurubicara. Suqiu pula bertindak agak radikal dan kali ini sudah pun mengeluarkan kenyataan menyokong Kuan Yew. Bolehkah pertubuhan orang Melayu Singapura menyokong kenyataan pemimpin Malaysia mengenai hubungan kaum?

Penduduk kulit hitam AS jauh ke hadapan dari segi pencapaian penduduk majoriti jika dibandingkan dengan orang Melayu Singapura. Jeneral terkanan di selatan Thailand yang penduduknya rata-rata beragama Islam dan menghadapi keresahan politik beragama Islam. Ini bukti orang Islam adalah sangat setia. Di Singapura, Perdana Menterinya pernah berkata, Singapura tidak mampu menaruh keyakinan kepada tenteranya yang berbangsa Melayu.

Kenapakah Kuan Yew tak henti-henti mengeluar kenyataan yang provokatif terhadap Malaysia dan Indonesia? Jika dia mewakili penduduk Cina Nusantara, watak itu lebih sesuai dimainkan oleh China, tetapi China menghormati kedaulatan negara lain. Negara China menganggap keseluruhan penduduk negeri ini termasuk mereka yang berketurunan Cina sebagai rakyat Malaysia, dan sama sekali tidak campur tangan urusan dalaman Malaysia. Jelas Singapura tidak mempunyai sifat ini.


Walaupun Kuan Yew gemar mengkritik negara lain, beliau sendiri tidak mahu dikritik. Pemimpin pembangkang banyak menghabiskan masa di mahkamah dan penjara, kerana didapati bersalah di bawah undang-undang Singapura. Mereka yang menentang beliau akhirnya muflis atau meninggalkan Singapura.

Kuan Yew sedia maklum rasuah tidak terhad kepada satu-satu bangsa. Kuan Yew sering melaung-laungkan bahawa we are the best, yakni rakyat Singapura adalah brilliant. Realiti tidak sebegitu kerana manusia bukanlah robot yang ingin memilih tinggal di mana kebebasan terhad dan dikawal. Kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya.

Jika Singapura benar-benar kebal dari segi ekonomi, ada baiknya negara yang tidak digemari Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia mengenakan sedikit syarat hubungan ekonomi yang baru. Sebagai contoh;

Perdagangan dengan Singapura dihentikan
Syarikat penerbangan nasional kedua negara menghentikan perkhidmatan ke Singapura, sebaliknya pergi ke Malaysia dan Indonesia
Rakyat Malaysia dan Indonesia tidak lagi dibenarkan membuka akaun bank di Singapura
Kapal-kapal menggunakan pelabuhan di Malaysia dan Indonesia
Malaysia menyokong langkah kerajaan Thailand jika mereka mahu membina terusan di Segenting Kra.

Langkah ini disyorkan sebagai alternatif kepada tuntutan meminta maaf kerana ia lebih berkesan. Jika cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan, dapatlah kita mengetahui hasilnya nanti.

– Oleh: PEMERHATI POLITIK, Utusan Malaysia 30 September 2006
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

No comments: