Sunday, October 01, 2006

‘SINGAPURA PINGGIR ORANG MELAYU
SECARA SISTEMATIK SEJAK 1959’

JOHOR BAHRU 28 September 2006 – Masyarakat Melayu di Singapura telah dipinggirkan secara sistematik sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) memerintah republik itu pada 1959 dan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menterinya yang pertama, menurut seorang ahli politik veteran republik itu yang kini menetap di sini.

Prof. Mohammed Yacob, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Singapura yang kedua, Lim Yew Hock berkata, peminggiran itu berlaku walaupun perlembagaan republik itu mengiktiraf hak kaum minoriti dan hak istimewa orang Melayu yang tinggal di Singapura.

“Perlembagaan Singapura di bawah tajuk General Provisions Minorities And Special Positions Of Malays dengan jelas merujuk tanggungjawab kerajaan, di antaranya untuk melindungi, membantu dan mempromosi kepentingan Melayu di dalam bidang politik, pendidikan, agama, ekonomi, budaya dan bahasa Melayu.

“Bagaimanapun kerajaan pimpinan PAP menerusi implementasi undang-undang tentang dasar mereka, telah memanipulasi dan menghalang hak orang Melayu dan secara perlahan-lahan membersih Melayu serta sejarahnya dari Singapura,” katanya kepada Bernama di kediamannya hari ini.

Baru-baru ini, Lee Kuan Yew yang merupakan Menteri Mentor Singapura memberitahu satu forum di republik itu bahawa masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik dan komen beliau itu menyebabkan Kuala Lumpur dan Jakarta tersinggung.

Mohammed menjadi warganegara Singapura selepas republik itu meninggalkan Malaysia pada 1965 tetapi mengambil keputusan meninggalkan negara pulau itu pada 1978 selepas menerima “amaran” akan ditangkap. Beliau kini menjadi rakyat Malaysia.

“Saya meninggalkan Singapura dengan sehelai sepinggang,” katanya.

Sejak meninggalkan Singapura, Mohammed yang kini berusia 89 tahun, tetapi masih sihat, bergiat aktif dengan menulis buku dan artikel mengenai republik itu.

Menurutnya, beliau turut mengirimkan artikelnya mengenai Singapura itu baru-baru ini untuk bacaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohammed yang juga bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Perikatan di Singapura turut berkata, pengiktirafan orang Melayu sebagai bangsa asal Singapura sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan, kini turut dinafikan oleh kerajaan republik itu.

Para pemimpin PAP mengatakan bahawa orang Melayu di Singapura berasal dari seberang, Cina dari China dan India dari India, walhal Perkara 152 (2) Perlembagaan dengan jelas mengatakan Melayu adalah bangsa asal Singapura,” katanya.

Perkara 152 (2) Singapura menyebut: The government shall exercise its functions in such manner to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, support, foster and promote their political, educational, religous, economic, social and cultural interests in the Malay language.

Menurut Mohammed, orang Melayu juga kehilangan kuasa politik menerusi pelaksanaan dasar perumahan dengan PAP mewujudkan bandar baru seperti Tampines New Town, Bedok North and South, Toa Payoh, Ang Mo Kio dan lain-lain.

Di bawah dasar perumahan ini, katanya, kampung yang majoritinya dihuni orang Melayu dan Cina, diambil alih oleh kerajaan secara perundangan dan penghuninya dibayar pampasan.

Orang Melayu katanya, diberikan flat di kawasan berasingan bandar-bandar baru itu menerusi sistem kuota - 72 peratus untuk orang Cina, 16 Melayu dan 12 India serta kaum lain.

Dalam perkataan lain, orang Melayu tidak dibenarkan tinggal di kawasan yang sekelompok di bandar-bandar baru. Ini melupuskan kuasa politik mereka,” menurut Mohammed sambil menjelaskan bahawa antara kawasan Melayu yang terkenal di Singapura adalah Pasir Panjang, Geylang Serai dan Kampung Kembangan.

Katanya, perkara yang sama turut berlaku terhadap bahasa Melayu yang diakui Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan sekolah- sekolah Melayu.

Ketika zaman penjajahan, banyak sekolah Melayu wujud di Singapura seperti Sekolah Melayu Kampung Gelam, Tanglin Kecil, Kampung Jaguh, Tanglin Besar, Kampung Melayu, Tun Sri Lanang dan Sang Nila Utama, katanya.

Apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965, katanya, kerajaan negara itu mula mengubah dasar pendidikannya dengan menitikberatkan pengajaran bahasa Inggeris dan Mandarin, mengakibatkan bahasa Melayu dan sekolah Melayu terpinggir.

“Buat masa ini sudah tiada lagi sekolah aliran Melayu di Singapura, dalam kata lain kerajaan PAP mempersendakan Perlembagaan para 153 (2) bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan republik itu,” katanya yang fasih berbahasa Inggeris.

Bernama –Utusan Malaysia 29 September 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

No comments: