Monday, October 09, 2006

KUAN YEW MINTA MAAF
EKORAN DAKWAAN
MASYARAKAT CINA MALAYSIA
DIPINGGIR CARA SISTEMATIK

KUALA LUMPUR 2 Oktober 2006 – Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam surat penjelasan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung,” katanya dalam suratnya bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen.

Salinan surat tiga muka surat itu difakskan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini malam ini.

Minggu lepas, Abdullah telah menulis surat kepada Lee meminta beliau menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Lee berterima kasih kepada Abdullah berkenaan surat itu dan berkata, beliau membuat kenyataan itu pada sesi dialog bebas dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers di hadapan ramai delegasi asing yang menghadiri mesyuarat IMF/WB.

Dalam suratnya, beliau turut menyertakan transkrip bahagian berkenaan yang telah dilaporkan Reuters.

“Biar saya ringkaskannya, kenapa anda mesti mempunyai kerajaan di Singapura yang betul-betul kukuh, teguh, berfikiran tajam dan tegas.

Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina.

“Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah di dalam pendidikan. Adanya kuota untuk menghalang mereka.

“Jadi anda perlu mendapatkan wang untuk ke luar negeri atau pergi ke universiti-universiti swasta yang telah diwujudkan. Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, yang hanya menurut sahaja.

“Jadi setiap masa, kami mengatakan ‘Tidak’ kepada beberapa cadangan untuk menutup Tambak dan membina jambatan, dia berkata “Anda tidak bekerjasama, anda hanya fikirkan diri sendiri”. Tanpa sebarang alasan, kami tolak cadangan tutup tambak, yang selama hampir 100 tahun amat berguna kepada kami. Dia mahu membina jambatan baru kerana ia nampak cantik dan katanya kapal-kapal boleh lalu dan kontenanya boleh bergerak daripada Pantai Timur ke Pantai Barat melaluinya.

“Tetapi kami kata tidak...jadi kami kata “Baiklah jika kamu boleh beri faedah bersama kepada kami, kami akan bersetuju”. Tetapi anda perlukan kerajaan yang mampu, bukan hanya yang ada keberanian, tetapi juga kemahiran untuk berkata ‘Tidak’ dengan cara tenang, sopan yang tidak menyebabkan mereka sehingga melakukan sesuatu yang bodoh,” kata Lee.

Lee berkata, beliau tidak berkata apa-apa selain apa yang telah diperkatakan banyak kali sebelum ini dan hakikatnya beliau kurang berkata berbanding apa yang tertulis di dalam bukunya yang diterbitkan pada 1998.

Katanya, beliau tidak ada niat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan malah beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Katanya, sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin baik di mana beliau yakin rakyat Malaysia dan Singapura saling menghargai.

Dalam catatan tambahannya, Lee ada juga mengatakan, berikutan tindakan Abdullah menulis surat kepadanya telah mendapat publisiti dan telah meminta jawapan daripadanya, beliau mesti mendedahkan surat ini kepada media selepas Perdana Menteri menerimanya.

– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Utusan Malaysia 3 Oktober 2006

No comments: