Thursday, October 12, 2006

JANGAN KASI MUKA
KEPADA SINGAPURA
Oleh Ruhanie Ahmad

Empat puluh satu tahun lalu, Singapura pernah mempunyai talian sejarah dengan Malaysia. Di zaman silam, Singapura pernah mempunyai kaitan salasilah yang tersendiri dengan bangsa Melayu, dunia Melayu dan wilayah nusantara.

Mutakhir ini, Singapura bukannya sahabat kepada Malaysia. Tetapi, ia juga bukannya musuh. Republik pulau ini hanya sebuah negara jiran. Ia berurusan dengan Malaysia seolah-olah dalam keterpaksaan sejarah yang berlaku tanpa sebarang pilihan.

Kalau begitu, apa istimewanya Singapura kepada Malaysia? Kalau tiada keistimewaan, mengapakah Malaysia perlu melayani Singapura seolah-olah ianya satu asset yang tidak ternilai harganya?

Demikianlah kesimpulan saya mengenai Singapura pada hari ini. Kesimpulan di atas tercetus daripada pemikiran saya sesudah saya mengikuti cara Kerajaan Malaysia mutakhir berurusan dan melayani Singapura kebelakangan ini.

Lebih khusus lagi, dalam konteks pembinaan Jambatan Lurus-Jambatan Bengkok yang telah dibatalkan. Dan, baru-baru ini, dalam konteks Kerajaan Malaysia menangani isu hasutan Lee Kuan Yew (LKY) terhadap kaum Cina Malaysia yang dinyatakannya pada 15 September 2006.

Israel

Saya juga mengambil kesimpulan di atas kerana dua negara yang berjiran tidak semestinya perlu jadi dua negara yang bersahabat, sehati dan sejiwa.

Dua negara yang berjiran juga tidak semestinya perlu jadi dua negara yang sentiasa bermusuhan tanpa kesudahan.

Sehubungan dengan ini, kita ambillah Israel sebagai contoh. Israel berjiran dengan Lubnan. Tetapi, mengapakah Israel tergamak memusnahkan Lubnan dan menyembelih rakyat Lubnan atas sebab-sebab yang boleh diselsaikan menerusi diplomasi?

Kita juga perlu mengkaji hubungan India dan Pakistan. Kedua-dua negara ini berjiran. Mereka juga mempunyai pertalian sejarah yang panjang. Tetapi, mengapakah persengketaan antara mereka berlarutan hingga sekarang?

Saya tidak membayangkan Singapura dan Malaysia mungkin jadi seperti Israel dan Lubnan. Saya juga tidak terfikir bahawa Singapura dan Malaysia akan bersengketa seperti Pakistan dan India.

Waspada

Tetapi, wajarlah Malaysia berpada-pada dan sentiasa berwaspada terhadap Singapura. Biarlah Malaysia tidak bersahabat dengan Singapura, asalkan kita juga tidak bermusuhan dengannya.

Malaysia dan Singapura hanya perlu wujud sebagai jiran tetangga yang biasa sahaja. Kewujudan bersama Malaysia dan Singapura ini pula mestilah berasaskan prinsip saling hormat menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan integriti masing-masing.

Dalam kata-kata yang mudah, Singapura jangan sekali-kali masuk campur dengan urusan dalaman Malaysia. Malaysia juga jangan sekali-kali menjaga tepi kain Singapura.

Maksudnya, sebagai jiran biasa, Malaysia tidak perlu peduli akan apa yang terjadi di Singapura. Sebagai jiran biasa juga, Singapura pula tidak wajar bertindak negatif terhadap Malaysia.

Sebagai jiran biasa, Malaysia jangan ambil pusing langsung terhadap Singapura. Sebagai jiran biasa juga, Singapura perlu sentiasa beradab dan bersopan kepada Malaysia sebagai jiran terdekatnya.

Kalau Malaysia boleh bersikap seperti ini, saya yakin tidak ada pihak di negara ini akan merana akibat karenah Singapura.

Kalau Malaysia sedia bersikap seperti ini, saya yakin tidak mudah jiwa rakyat Malaysia tercalar akibat perilaku dan tutur bicara Singapura.

Kalau Malaysia sanggup mengambil sikap ini, saya yakin Singapura juga akan berhati-hati bila mahu melakukan sesuatu, atau memperkatakan sesuatu, terhadap Malaysia di hari muka.

Ekstrim

Pendek kata, sebagai dua jiran biasa, Malaysia boleh mengambil sikap lu siapa, gua siapa, terhadap Singapura? Malaysia juga boleh mengambil sikap nafsu-nafsi, awak dengan hal awak, kita dengan hal kita, jangan siapa ambil peduli!

Orang akan menyifatkan pendirian di atas sebagai keterlaluan. Peduli apa? Ia hanya boleh disifatkan sebagai ekstrim bila Malaysia memusnahkan Tambak Johor dan Link Kedua.

Kalau ini berlaku, hubungan kemanusiaan, ekonomi dan perdagangan antara Malaysia-Singapura tentu akan terputus buat selama-lamanya.

Ia hanya boleh dikatakan ekstrim bila Malaysia tidak lagi mengeksport air ke Singapura. Ia akan jadi ekstrim bila paip yang menyalurkan air ke Singapura ketika ini dimusnahkan buat selama-lamanya.

Dan, ia juga adalah ekstrim bila seluruh loji memproses air milik Singapura yang berada di Johor Bahru dimusnahkan supaya bekalan air ke pulau itu terpotong buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia pastinya tidak akan bertindak ekstrim seperti di atas. Kalau ektrimisme seperti itu terjadi, pastinya satu peperangan akan meletus.

Pada ketika itu, Singapura pasti dibantu sepenuhnya oleh Amerika Syarikat, Britain dan Australia. Israel juga mungkin datang menolong.

Gila

Sebenarnya, hanya orang yang tidak waras sahaja akan melaksanakan segala bentuk ekstrimisme seperti di atas. Hanya orang gila sahaja akan bertindak sedemikian rupa terhadap Singapura.

Dalam pada itu, saya sengaja menghuraikan tindakan-tindakan ekstrim seperti di atas untuk memberitahu Singapura supaya memelihara hubungan baiknya dengan Malaysia pada setiap masa.

Saya juga mahu mengingatkan Singapura, kalau mahu bersahabat dengan Malaysia, janganlah persahabatan itu hanya manis di bibir sahaja.

Selanjutnya, saya mahu menegaskan kepada Singapura, apa gunamya Malaysia menganggap Singapura sebagai sahabat, kalau republik itu berlagak seolah-olah seperti seorang tuan besar yang bongkak dan lupa daratan?

Akhir sekali, apa gunanya Malaysia diiktiraf sebagai sahabat Singapura, kalau sesetengah pemimpin republik itu tidak sudah-sudah mengeluarkan provokasi, hasutan, cemuhan dan penghinaan terhadap Malaysia?

Sinonim

Saya tidak berani mendakwa bahawa hujah-hujah saya di atas mungkin sinonim dengan pendapat segolongan rakyat jelata Malaysia terhadap Singapura pada hari ini.

Tetapi, kalau hubungan diplomatik Malaysia-Singapura hari ini menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat jelata, saya khuatir hujah-hujah saya ini mungkin jadi sinonim dengan pendapat sebilangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, pucuk kepimpinan Malaysia mutakhir wajarlah pintar menganalisa seluruh agenda dan motif Singapura di sebalik setiap tindakan dan kenyataannya mengenai negara ini.

Hakikat ini penting kerana kebelakangan ini, segolongan rakyat Malaysia merasakan Singapura seolah-olah tidak lagi menghormati Malaysia.

Tindakan seolah-olah Singapura tidak menghormati Malaysia ini sering terjadi sekarang. Terutamanya selagi LKY masih hidup dan terus aktif dalam politik Singapura.

Hakikatnya demikian kerana LKY adalah Singapura, Singapura adalah LKY. Hakikatnya demikian kerana LKY adalah arkitek kepada pembangunan Singapura moden. Hakikatnya juga demikian kerana LKY adalah jantung dan jiwa yang menggagaskan dinamika sosio-ekonomi serta politik Singapura dari 1965 hingga sekarang.

Lantaran itu, Malaysia mesti bijaksana dalam melayani Singapura. Malaysia perlu melayani Singapura secara formal, penuh waspada, penuh rasa cemburu, dan tanpa sebarang apa-apa keistimewaan, pada setiap masa.

Pendek kata, dalam mencorakkan hubungan diplomatiknya dengan Singapura, jangan sekali-kali Malaysia kasi muka pada Singapura. Ibarat kata pepatah, jangan sampai kaduk naik ke junjung. Jangan sampai kita juga yang berputih mata.

No comments: