Sunday, October 01, 2006

TIADA PULA CINA MALAYSIA
DIPELAWA HIJRAH KE SINGAPURA

WALAUPUN mereka merupakan warga kelas satu di bidang ekonomi, Lee Kuan Yew menyatakan Cina Malaysia dipinggirkan. Kuan Yew tahu hakikat ini, tetapi kenapa dia masih membuat tuduhan dan dipersetujui pula oleh DAP yang bebas memperjuangkan hak dan mendapat undi orang Cina Malaysia.

Jelas sekali bahawa Kuan Yew yang berjaya mewujudkan satu negara yang berdaulat di atas sebuah pulau yang dahulunya sebahagian daripada empayar Johor-Riau, amat bangga dengan hasil usahanya.

Itu pun didapati menerusi ‘pintu belakang’ iaitu melalui penubuhan Malaysia untuk mendapatkan negara berdaulatnya.

Dengan lokasi yang terbaik sebagai pelabuhan bebas dan perdagangan pengedaran untuk Malaysia, maka Singapura berjaya menjadi kaya raya dan angkuh.

Kemajuan ekonominya rata-rata dijanakan oleh syarikat-syarikat gergasi kerajaan yang turut melabur di negara-negara jiran. Malah kehadiran salah sebuah syarikat ini turut mengancam ekonomi dan kestabilan politik Thailand apabila ia memiliki syarikat induk keluarga Thaksin Shinawatra yang akhirnya digulingkan oleh tentera.

Ini jelas menunjukkan bahawa teori pelaburan dan perdagangan bebas memang ada batasnya. Diharap kerajaan Malaysia ‘arif’ dalam soal ini.

Oleh kerana tekanan Kongres, Presiden Bush sendiri tidak benarkan syarikat Dubai Ports membeli syarikat-syarikat pengedalian pelabuhan di negara itu.

Tidak lama dulu, Agensi Pelaburan Kuwait (KIO) diarahkan oleh kerajaan British supaya mengurangkan pemilikan sahamnya di dalam British Petroleum (BP). Ini berlaku dalam negara-negara yang kononnya mengamalkan perdagangan bebas.

Akhir sekali sudah menjadi rukun alam bahawa menjadi kaya punya bahaya dan risikonya sendiri, baik bagi individu mahu pun sesebuah negara atau empayar yang akhirnya akan berkubur juga.

Masalah besar yang dihadapi oleh Singapura sekarang ialah pertumbuhan ‘kosong’ penduduknya kerana tidak ada rakyat baru dilahirkan untuk menggantikan generasi lama yang mati dan akan mati.

Anak-anak muda yang berkelayakan tinggi dan berpendapatan tinggi tidak mahu kahwin lagi dan laporan terakhir menunjukkan di kalangan yang kahwin pun kadar perceraian makin meningkat.

Akhir kata, dalam tuduhannya itu Kuan Yew tidak pula menawarkan orang Cina yang dikatakan dipinggirkan di Malaysia itu supaya berhijrah ke Singapura untuk menstabilkan kedudukan kependudukan atau demografi negara itu. Walhal Singapura memerlukan penduduk baru segera (instant population) melalui dasar migrasi barunya.

Ramai juga rakyat Malaysia yang punya saudara mara di republik itu. Di Johor Bahru ramai yang hantar anak-anak bersekolah di Singapura walaupun kena bangun seawal 5 pagi. Mungkin pelawaan tidak dihulur kerana Kuan Yew mempunyai tanggapan tertentu terhadap mereka.

– SAAD HASHIM, Ampang, Selangor.
–Utusan Malaysia 28 September 2006

No comments: