Monday, October 30, 2006

KENYATAAN MEDIA

PEMUDA IPOH BARAT
BIDAS MOHD SABRI ALWI

Saya di sini membidas kenyataan yang dibuat oleh Sdr Mohd Sabri Alwi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu Darul Iman yang dipetik sebagai berkata “….Pemuda Umno Terengganu meminta Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno jika bekas Perdana Menteri itu terus menerus tidak bersetuju dan lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.”

Mohd Sabri juga dipetik sebagai berkata,“Sepatutnya Majlis Tertinggi Umno mengenakan tindakan disiplin terhadap Tun Dr Mahathir kerana tindakannya itu menyebabkan rakyat keliru dan boleh memecahbelahkan perpaduan Umno serta orang Melayu. […] Sekarang beliau hanya bekas pemimpin parti dan telah menjadi seorang ahli biasa, beliau tidak sepatutnya bertindak keterlaluan dengan berterusan mengkritik seolah-olah merasakan dia masih mempunyai kuasa sebagai seorang presiden."

Sebagai Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, saya menyelar sekeras-kerasnya kenyataan Mohd Sabri Alwi yang kurang ajar dan biadap terhadap Perdana Menteri Malaysia keempat, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seharusnya sebagai pemimpin di kalangan rakyat, Mohd Sabri wajar menunjukkan kebijaksanaan dan sikap yang lebih rasional dalam memahami serta memberi penerangan isu-isu kedaulatan yang keutarakan oleh YABhg Tun dan membuat penilaian sewajarnya.

Saya mendapat maklum daripada rakan-rakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu bahawa kenyataan ini dibuat oleh Mohd Sabri tanpa mendapat persetujuan dan/atau mandat mereka. Ini adalah kenyataan politik Mohd Sabri secara persendirian dan bukannya mewakili Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Negeri Terengganu yang lain.

Malah kenyataan beliau mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu itu sebenarnya tidak mencerminkan pendirian Pergerakan Pemuda Negeri tersebut yang sebenar. Mengikut maklumat yang saya terima, tidak ada mesyuarat yang khusus memperbincangkan perihal kenyataan tersebut. Ini hanyalah pendirian beliau secara peribadi yang membelakangkan ahli-ahli beliau sendiri.

Saya percaya bahawa Mohd Sabri telah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu membuat kenyataan kurang ajar tersebut dan menconteng arang terhadap imej dan integriti keseluruhan Pergerakan Pemuda UMNO di negeri tersebut.

Saya percaya bahawa pendirian yang dibuat oleh sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu yang bernama Mohd Sabri Alwi tersebut adalah sebab musabab sebenar perpecahan di dalam Parti. Sikap mereka yang secara terbuka menyatakan sifat tidak mengenang budi, tidak menghormati mereka yang lebih tua, sikap mereka yang tidak tahu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu dan sikap mereka yang kurang ajar terhadap mereka yang berjasa, adalah sikap yang dibenci dan tidak langsung mempamerkan ajaran Islam mahupun budaya Melayu yang terpuji. Malah sebagai seorang pemimpin generasi muda di Negeri yang bergelar Darul Iman, Mohd Sabri telah menunjukkan sikap songsang terhadap perjuangan, idealisma serta identiti seorang Pemimpin UMNO yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Sikap angkuh dan kurang ajar inilah yang akan memecahbelahkan UMNO, bangsa Melayu, umat Islam seterusnya menggugat kekuatan UMNO di dalam Barisan Nasional apabila menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 kelak.

Rakyat Malaysia terkenal dengan budaya ketimurannya yang halus. Perlakuan segolongan pemimpin UMNO sebagaimana ditunjukkan oleh Sdr Mohd Sabri mempamerkan keangkuhan, riak, ujub dan takabbur, yang sudah pasti akan ditolak oleh mana-mana bangsa mahupun agama di dalam Negara.

Oleh yang demikian itu, saya secara peribadi membidas pendirian dan kenyataan Mohd Sabri, yang telah membuat kenyataan mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu sebagai kelakuan yang menyalahi etika seorang pemimpin UMNO seterusnya menjadi satu contoh yang buruk seorang pemimpin Melayu Islam.

Saya seterusnya menggesa pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO khususnya di peringkat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu agar mengambil perhatian serius kebiadapan Mohd Sabri dan mengambil tindakan yang keras sebagai pembuktian bahawasanya UMNO itu mewakili peradaban, filosofi dan budaya Melayu Islam yang sebenar.

Faizal Azumu
Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat
Negeri Perak Darul Ridzuan
+6 019 572 6777

Press release ini telah disahkan oleh Sdr Faizal Azumu pada jam 9.00 pagi 30/10/06

No comments: