Thursday, October 12, 2006


MENJELANG SYAWAL :
APAKAH MAHATHIR - ABDULLAH
AKAN BERDAMAI?

Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad berdoa ke hadrat Allah agar di bulan Ramadan yang mulia ini, sesuatu kebaikan akan berlaku khususnya yang membabitkan pertelagahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau dipetik oleh Bernama sebagai berkata, "Siapa tahu. Mungkin tuhan akan membuka hati kedua-dua mereka untuk bersetuju berjumpa satu sama lain."

Antara lain katanya, Mahathir akan diundang berucap dalam satu majlis tertutup bersempena dengan Perhimpunan Agung Umno, yang akan dihadiri oleh orang tertentu sahaja.

Apa yang diharapkan Radzi sememangnya sesuatu yang baik, bukan sahaja beliau, malahan ramai anggota dan pemimpin Umno, jika tidak berdoa pun, itulah yang mereka mahukan.

Tambahan pula, kurang dua minggu lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Syawal 1427 Hijrah. Bagi umat Islam, Ramadan dan Syawal merupakan antara bulan-bulan utama Islam yang dianjurkan kita semua saling mempertingkatkan ibadah dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Bermaaf-maafan merupakan suatu sifat terbaik yang dianjurkan Islam bagi mereka yang hendak berdamai daripada pertelagahan atau polemik sama ada di antara dua individu, sesama anggota keluarga mahupun perbalahan di dalam institusi masyarakat.

Terutamanya antara pihak yang sering bercakaran, melemparkan kritikan, kecaman yang membawa kepada kata-kata yang amat kesat, Ramadan dan Syawal inilah secara tradisinya, orang-orang Melayu akan lebih berbudi bahasa dan bersopan santun.

Dalam dunia politik, ataupun, bagi ahli-ahli politik yang sering dikaitkan dengan persaingan perebutan kuasa, pengaruh, jawatan dan kepentingan kebendaan, sudah tentu terlalu banyak terhambur ucapan dan kata-kata yang tidak menyenangkan pesaing lain.

Apa yang harus dibezakan ialah soal status kemaafan. Jika kemaafan itu, merupakan dosa ataupun kesalahan individu, barangkali Mahathir mahupun Abdullah mungkin mudah sahaja memaafkan antara satu sama lain.

Tetapi jika kesalahan atau dosa dilakukan terhadap ummah, rakyat atau negara, ia memerlukan skala permohonan maaf yang lebih luas.- Dipetik daripada www.harakahdaily.net

No comments: