Saturday, October 14, 2006

THE TOYOL CODE
- PENYINGKIRAN
Bahagian Satu
Oleh Ruhanie Ahmad

Macam mana? Sudahkah anda fahami mesej misteri di sebalik Pengenalan The Toyol Code yang saya siarkan dalam blog ini semalam? Kalau sudah, bolehkah anda teka, apa akan jadi kepada nama-nama yang tersenarai dalam Pengenalan itu? Adakah anda percaya, satu rombakan kabinet atau pilihanraya umum mungkin diadakan tidak lama lagi?

Sudahkah anda meneka, siapakah “papa”, siapakah “Patrick”, siapakah “budak hantu” yang tercatat dalam perkataan-perkataan teras sebelum ini? Sudahkah anda mengagak, apa yang cuba dimaksudkan dengan perkataan-perkataan teras “juara lagu, lagu raya, joget lambak, dan nota lagu” dalam misteri berkenaan?

Anda mungkin sama seperti saya. Sampai sekarang pun saya masih terkial-kial. Saya masih lagi cuba memecah dan merungkaikan misteri The Toyol Code ini. Hakikatnya begitu kerana kod toyol ini terus mengusik dan menghantui pemikiran saya sampai ke saat ini.

Apa pun, jangan anda lupa, jangan anda lepa. Kalau nak tau kandungan penuh The Toyol Code ini, kenalah anda jenguk blog ini tiap-tiap hari.
www.kuda-kepang.blogspot.com akan upload seluruh rungkaian saya mengenai The Toyol Code ini secara bersiri.

Anda kena buat begitu kerana seperti saya huraikan semalam, The Toyol Code ini membabitkan kita semua. Ia mengenai diri kita, negara kita, kedaulatan kita, kemerdekaan kita, masa depan kita, dan mungkin juga kesejahteraan, keselamatan dan juga keamanan kita.

Lantas, marilah sama-sama kita imbas semula mesej asal daripada SMS pertama, dalam The Toyol Code ini, yang berbunyi seperti berikut:

“Dapat sumber, juara lagu, 10 mti penuh, 2 tim mti, melayang.”

Setelah meneliti mesej di atas selama satu hari, satu malam, adakah anda yakin dan percaya bahawa singkatan “10 mti” dalam mesej tersebut memang bermaksud “10 orang Menteri” sementara singkatan “2 tim mti” pula memang bermakna “dua orang Timbalan Menteri?”

Kabinet

Adakah anda juga yakin dan percaya bahawa perkataan “melayang” dalam mesej itu bermaksud “disingkirkan” atau akan hilang jawatan? Kalau anda penuh yakin dan percaya, ini bermakna memang mungkinlah Malaysia mengalami satu rombakan kabinet secara besar-besaran tidak lama lagi.

Kalau itulah maksud sebenar SMS siri pertama dalam The Toyol Code ini, maka mungkinkah 10 orang Menteri dan dua Timbalan Menteri benar-benar akan terlibat dalam satu rombakan kabinet?

Mungkinkah mesej misteri menerusi SMS siri pertama itu juga cuba membayangkan kepada kita bahawa beberapa orang Menteri Besar mungkin turut terlibat dalam satu rombakan di peringkat Kerajaan Negeri?

Aduh! Mesej SMS siri pertama ini banyak betul spekulasinya. Tetapi, inilah juga agaknya ciri-ciri mesej misteri dalam The Toyol Code ini.

Berbangkit daripada spekulasi-spekulasi berkenaan, tentu anda akan bertanya kepada diri anda sendiri, soalan-soalan seperti berikut:

Kalau betul akan ada rombakan kabinet, bila? Kalau betul akan ada pilihanraya, bila? Kalau betul 10 orang Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan beberapa orang Menteri Besar akan disingkirkan menerusi rombakan kabinet atau pilihanraya, siapa penggantinya?

Soalan-soalan di atas mungkin terjawab kalau anda sanggup meneliti SMS siri kedua dalam The Toyol Code ini. SMS tersebut adalah seperti berikut:

“Juara lagu bulan Februari tahun depan. Semua peserta, penyanyi baru. Umur tak boleh lebih 50 tahun. Perkara ini dah confirm. Kita tengok je bijaksananya budak hantu itu dan Patrick buat lirik lagu.”

Hantu

Antara perkataan-perkataan teras dalam mesej kedua seperti di atas adalah “juara lagu, Februari depan, peserta, penyanyi baru, umur tak lebih 50 tahun, confirm, lirik lagu, budak hantu, dan Patrick.”

Agaknya, mungkin lebih jelas lagi jika mesej misteri SMS kedua ini kita baca dengan menambahkan beberapa perkataan tertentu seperti berikut:

“(Satu acara) juara lagu (akan diadakan pada) bulan Februari tahun depan. Semua peserta(nya) penyanyi baru. Umur (mereka) tak boleh (me)lebih(i) 50 tahun. Perkara ini dah confirm. Kita tengok je (macam mana) bijaksananya budak hantu itu dan Patrick buat lirik lagu (berkenaan).”

Mesej SMS kedua yang kita perbaiki seperti di atas, kini jadi semakin jelas. Tetapi, misterinya masih tetap terletak pada perkataan-perkataan teras seperti “juara lagu, peserta, penyanyi, budak hantu, Patrick, dan lirik lagu.”

Lantas, anda pun pasti akan menanyakan diri sendiri, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan teras “juara lagu”? Siapakah yang dimaksudkan sebagai “peserta”? Siapakah yang diibaratkan sebagai “penyanyi”? Siapakah “budak hantu”? Siapakah “Patrick”? Apakah ertinya kata teras “lirik lagu”?

Jadi, bagaimana kalau kita baca kembali mesej daripada SMS siri satu dalam The Toyol Code ini, dan cuba pastikan sama ada mesej itu ada kaitannya dengan mesej SMS siri kedua?

Muktamad

Mesej SMS siri pertama mengatakan bahawa “Sepuluh orang Menteri (mungkin juga termasuk Menteri Besar) dan dua orang Timbalan Menteri (mungkin) akan melayang (disingkirkan) menerusi satu rombakan kabinet atau pilihan raya, tidak lama lagi.”

Mesej SMS siri kedua dalam The Toyol Code ini pula boleh diandaikan sebagai menyatakan bahawa “(satu acara) juara lagu (akan diadakan pada) bulan Februari tahun depan. Semua peserta(nya) penyanyi baru. Umur (mereka) tak boleh (me)lebih(i) 50 tahun. Perkara ini dah confirm (muktamad). Kita tengok je (macam mana) bijaksananya budak hantu itu dan Patrick buat lirik lagu (berkenaan).”

Jadi, bagaimana kalau perkataan “juara lagu” dalam mesej SMS yang kedua seperti di atas, kita gantikan dengan perkataan “rombakan kabinet” yang terkandung dalam mesej SMS yang pertama?

Kalau kita setuju menukarkan perkataan-perkataan terbabit, mesej SMS yang kedua ini bolehlah kita baca seperti berikut:

(Satu acara) rombakan kabinet (akan diadakan pada) bulan Februari tahun depan. Semua peserta(nya) penyanyi baru. Umur (mereka) tak boleh (me)lebih(i) 50 tahun. Perkara ini dah confirm (muktamad). Kita tengok je (macam mana) bijaksananya budak hantu itu dan Patrick buat lirik lagu (berkenaan).”

Menerusi penukaran perkataan-perkataan yang telah dilakukan, mesej SMS yang kedua ini mungkin mengandungi rahsia bahawa satu rombakan kabinet mungkin diadakan pada Februari 2007, di mana muka-muka baru yang akan dilantik adalah di bawah umur 50 tahun.

Bagaimanapun, perkataan-perkataan teras dalam SMS yang kedua ini, seperti “budak hantu, Patrick, dan lirik lagu” masih belum lagi kita pecahkan ertinya.

Konspirasi

Saya berpendapat, kita biarkan sahaja perkataan-perkataan teras tersebut tanpa perubahan. Ini kerana gabungan mesej SMS yang pertama dengan mesej SMS yang kedua, kini jadi semakin jelas. Gabungan kedua-dua mesej berkenaan bolehlah dibaca seperti berikut:

“Sepuluh orang Menteri dan dua orang Timbalan Menteri, akan disingkirkan menerusi satu rombakan kabinet tidak lama lagi. Rombakan kabinet itu akan diadakan pada bulan Februari tahun depan. Semua yang akan dilantik adalah muka-muka baru di bawah umur tidak melebihi 50 tahun.”

Jadi, logik tak kalau gabungan mesej rahsia di sebalik SMS yang pertama dan SMS yang kedua menjadi satu kenyataan yang panas, sensasi dan menggemparkan seperti di atas? Masuk akal? Betul?

Kalau andaian anda adalah sedemikian, cuba-cubalah renungkan semula perkataan-perkataan teras “budak hantu, Patrick dan lirik lagu” yang belum kita pecahkan kodnya sebelum ini. Kalau sebentar tadi kita andaikan perkataan teras “juara lagu” bererti “rombakan kabinet,” macam mana kalau perkataan “lirik lagu” pula kita andaikan sebagai “laporan mengenai rombakan kabinet?”

Jika cadangan penukaran di atas anda terima, bolehlah mesej misteri daripada SMS yang kedua dalam The Toyol Code ini kita baca seperti berikut:

“Satu rombakan kabinet akan diadakan pada bulan Februari tahun depan. Semua yang akan dilantik adalah muka-muka baru di bawah umur tidak melebihi 50 tahun. Perkara ini sudah confirm (muktamad). Kita tengok sahajalah macam mana bijaksananya budak hantu dan Patrick menyediakan laporan untuk rombakan berkenaan.”

Bagaimanapun, siapakah “budak hantu dan Patrick” yang kita andaikan sebagai pihak yang telah bertanggungjawab menyediakan laporan yang mendorong rombakan kabinet, yang diura-ura akan berlaku pada awal 2007? Adakah “budak hantu dan Patrick” ini terlibat dalam satu konspirasi di sebalik rombakan kabinet yang diura-urakan?

Jadi, adakah kita hendak terus memecahkan kod toyol ini untuk mempastikan siapakah sebenarnya yang dikatakan sebagai “budak hantu” dan “Patrick” dalam SMS yang kedua ini? Teruskan?

Mahathir

Perkataan teras “budak hantu” susah nak menangkap imajenasi saya. Tapi, perkataan teras “Patrick” memang seolah-olah sering sangat kita dengar.

Nama “Patrick” ini jadi lebih ganas meronta-ronta dalam kepala saya, bila saya teringatkan kenyataan sinis mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Terngganu, baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, Tun Dr. Mahathir mendakwa, kononnya Khairy Jamaluddin selaku menantu Perdana Menteri, dan seorang lagi insan bernama “Patrick Badawi,” dikatakan sedang memerintahkan Terengganu.

Berikutan kenyataan di atas, banyaklah huraian mengnai “Patrick Badawi” terpapar dalam lamanweb dan blog di Malaysia. Gambar dia pun turut disiarkan. Kacak betul “Patrick Badawi” ni. Kacak… Eh.. Tapi maaf… Nama dia sebenarnya adalah Patrick Lim. Tun Dr. Mahathir sahaja perli nak panggil dia “Patrick Badawi”.

Putrajaya

Menurut beberapa maklumat daripada lamanweb dan blog tempatan, Patrick Lim ni kononnya jadi orang kuat Khairy. Lebih menggemparkan lagi, Patrick Lim kononnya sudah jadi orang kuat Perdana Menteri. Lebih gempar dan lebih hebat lagi, kebelakangan ini, ada pula desas-desus mengatakan, kononnya Patrick Lim ini mempunyai satu pejabat khas, sama aras dengan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya!

Kalau seluruh hakikat yang penuh konon-konon seperti di atas jadi realiti yang sebenar-benarnya, mungkin perkataan teras “Patrick” dalam mesej rahsia menerusi SMS kedua yang sedang kita pecahkan kodnya, merujuk kepada Patrick Lim. Tetapi, benarkah “Patrick” dalam mesej ini merujuk kepada Patrick Lim sahabat Khairy, yang kini kononnya jadi orang kuat Perdana Menteri?

Dalam hal ini saya lebih suka membiarkan perkataan teras mengenai “Patrick” ini sebagai mistri yang tersendiri. Tapi, kalau anda semua nak menukarkan “Patrick” dalam mesej itu kepada Patrick Lim, saya tidak boleh buat apa-apa. Terserahlah kepada budibicara dan citarasa masing-masing.

Begitu juga dengan perkataan teras “budak hantu”. Anda mungkin mahu menggantikan perkataan teras “budak hantu” ini dengan Khairy. Saya tak berani nak mencadangkan demikian. Ini kerana saya tidak rela jadi mangsa seperti Zaharin Yassin. Tak tentu pasal kena pecat daripada UMNO!

Tapi, kalau anda rasa selesa untuk menukarkan perkataan teras “budak hantu” ini dengan pilihan anda sendiri, please do! Go on! Lepas itu, anda bacalah sendiri mesej rahsia dalam SMS kedua ini. Anda boleh baca dalam hati anda sendiri. Anda juga boleh baca kuat-kuat di mana sahaja anda fikirkan selesa!

Bagaimanapun, e-mailkanlah kepada saya kalau penggantian perkataan teras “budak hantu” dengan perkataan lain telah menjadikan mesej dalam SMS yang kedua ini lebih crystal clear, amat jelas, amat ngam, amat cun, dan amat cocok sekali!

Jadi, demikianlah rahsia dan misteri The Toyol Code buat kali ini. Tetapi, ini tidak bermakna kisah The Toyol Code ini sudah selesai. Belum lagi! Banyak lagi perkataan teras dalam siri SMS selanjutnya yang memerlukan bantuan anda untuk sama-sama dipecah dan dirungkaikan maksudnya.

Contohnya, saya masih memerlukan bantuan anda semua untuk mengenalpasti, siapakah yang digelar sebagai “papa, youngman, wayne dan benggali?” Saya juga masih mengharapkan kepakaran anda semua untuk memahami maksud perkataan teras seperti “bunga nona dan rumah pintu besi.”

Percayalah. Bahagian Dua The Toyol Code ini akan jadi lebih sensasi, panas dan kontroversi. Apa yang perlu, doakanlah semoga saya tidak terpatah sayap di tengah jalan. Doakanlah juga semoga perungkaian kita kepada kod toyol ini akan berakhir tanpa sebarang aral dan pancaroba.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Dua.

No comments: