Tuesday, October 10, 2006

BRENDON PREIRA
JADI ANAK EMAS?

Sungguh memeranjatkan. Susah untuk dipercayai. Sukar untuk diterima akal. Mana mungkin Brendon Preira, Pengarang Kumpulan New Straits Times, kononnya jadi anak emas kepada seorang pembesar UMNO dan negara?

Perkara ini disampaikan oleh seorang wartawan asing kepada saya baru-baru ini. Dia bermati-matian mengatakan bahawa perkara ini adalah benar.

Saya menganggap ura-ura di atas hanya tohmah dan dakyah semata-mata. Tetapi, kalau betullah Brendon Preira jadi anak emas seorang pemimpin besar dalam UMNO dan negara, terserahlah kepada imaginasi masing-masing untuk mempastikan reaksinya daripada rakyat jelata.

[Para pembaca yang tidak berpeluang mengikuti tulisan saya mengenai Brendon Preira sebelum ini, sila rujuk kepada artikel saya mengenainya dalam blog ini bertarikh 20 Jun 2006, dengan jodol Michiavelli, Pemidato, Brendon & Pengampu. Artikel ini juga pernah tersiar dalam beberapa lamanweb dan tabloid tempatan.]

Namun begitu, saya dengar nama Brendon Preira pernah dibangkitkan oleh seorang Menteri dalam mesyuarat cabinet, dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, sewaktu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di luar negara baru-baru ini.

Nama Brendon Priera juga dikatakan telah dibangkitkan oleh seorang lagi Menteri dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Dalam kedua-dua mesyuarat berasingan itu, saya difahamkan, nama Brendon Preira kononnya dibangkitkan dalam konteks yang tidak menyeronokkan.

Agaknya kenapakah mesyuarat Kabinet negara dan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO membicarakan soal Brendon Preira? Apa yang tak kena mengenai dia?

Adakah kerana ada pihak merasakan kini Brendon Preira sudah melampaui batas? Adakah kerana ada pihak kini mula insaf bahawa perlantikan Brendon Preira di New Straits Times adalah tidak sesuai? Mungkinkah kerana ada pihak kini yakin bahawa Brendon Preira perlu disingkirkan dengan seberapa segera?

Apa pun alasannya, soal mengenai Brendon Preira ini mungkin serius. Kalau tidak, mana mungkin ada pihak berkata, kononnya selepas Kabinet membincangkan soal dia, ada seorang Datuk dikatakan terus bergegas terbang ke luar negara untuk memberitahu hal itu kepada Datuk Seri Abdullah.

Saya tidak boleh mempastikan perkembangan di atas. Saya juga tidak berani membuat spekulasi mengenainya. Apa yang pasti, walaupun banyak pihak telah menyuarakan isi hati mereka mengenai dia, Brendon Preira masih tetap kekal di New Straits Times, akhbar Inggeris milik UMNO.

Oleh itu, sesiapa berminat mengenali Brendon Preira dengan lebih terperinci, ikutilah laporan harian akhbar berkenaan mutakhir ini.

Kajilah persembahan beritanya dan kajilah juga emfasis beritanya. Daripada kajian itu pastinya anda akan sedari bagaimanakah New Straits Times kini telah berubah citarasa.

Pastikanlah sendiri, apakah perubahan itu mencerminkan aspirasi UMNO selaku pemiliknya? Pastikanlah sendiri komposisi tenaga penggeraknya, sekarang dan sebelum Brendon Preira menjadi Pengarang Kumpulan New Straits Times. - Ruhanie Ahmad



No comments: