Sunday, October 29, 2006

PERLEMBAGAAN
UMNO MALAYSIA

Di bawah ini saya paparkan Fasal 1, Fasal 2, Fasal 3, Fasal 4, Fasal 5 dan Fasal 6 Perlembagaan UMNO Malaysia untuk tatapan anda semua. Saya harap anda sekalian membacanya dengan dada dan hati terbuka. Saya harap anda semua membacanya dengan ikhlas dan jujur. Fasal-fasal berkenaan adalah seperti berikut:

FASAL 1:
NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organisation)

FASAL 2:
COGANKATA

Cogankata UMNO IALAH:- BERSATU - BERSETIA - BERKHIDMAT

FASAL 3:
ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

FASAL 4:
JENIS AHLI

4.1 Ahli-ahli UMNO adalah dua jenis:

4.1.1 Ahli Biasa

4.1.2 Ahli Bergabung

4.2 Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun keatas.

4.3 Ahli Bergabung ialah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan UMNO dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

FASAL 5:
PENDAFTARAN KEAHLIAN

5.1 Tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli UMNO mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

5.2 Permohonan mendaftar sebagai ahli biasa hendaklah dikemukaan kepada Jawatankuasa Cawangan yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.

5.3 Borang pendaftaran menjadi ahli hendaklah ditandatangani oleh pemohon dan seorang pencadang dari ahli daripada Cawangan di mana ia memohon menjadi dan hendaklah disertakan dengan bayaran wang pendaftaran dan yuran mengikut Fasal 25.1.

5.4 Jika pemohon tidak didaftar sebagai ahli dalam satu bulan, ia boleh melapor hal ini kepada Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Bahagian mesti mengarah Jawatankuasa Cawangan mendaftar pemohon tersebut sebagai ahli.

5.5 Jika Jawatankuasa Bahagian tidak melaksanakan mengikut Fasal 5.4 atau Jawatankuasa Cawangan masih enggan mematuhi arahan Jawatankuasa Bahagian, pemohon boleh dalam satu bulan, melapor kepada Majlis Tertinggi yang selepas menimbang apa-apa bantahan di bawah Fasal 5.6, jika ada, mengarah Jawatankuasa Cawangan mendaftar pemohon itu sebagai ahli.

5.6 Mana-mana ahli boleh melapor kepada Majlis Tertinggi atas mana-mana pemohon yang difikirkan tidak layak menjadi ahli serta memberi sebab-sebabnya.

5.7 Majlis Tertinggi berhak membuat apa-apa keputusan atas mana-mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu (termasuk menarik balik pendaftaran) dan keputusan itu adalah muktamad.

5.8 Pertubuhan yang hendak menjadi Ahli Bergabung hendaklah menghantar permohonannya dengan bertulis yang ditandatangani oleh Yang Dipertua dan Setiausaha kepada Setiausaha Agung UMNO.

5.9 Majlis Tertinggi UMNO berkuasa menetapkan borang permohonan wang pendaftaran dan yuran ahli.

FASAL 6:
TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI

6.1 Tiap-tiap ahli mempunyai tanggungjawab seperti berikut:
6.1.1 Memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya.

6.1.2 Mendaftar diri sebagai pengundi dan mengundi di setiap pilihan raya, melainkan atas sebab-sebab yang boleh diterima oleh Majlis Tertinggi.

6.1.3 Menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan parti.

6.1.4 Menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tataetika, perintah-perintah dan disiplin parti.

6.1.5 Menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihan raya.

6.1.6 Berkhidmat kepada orang ramai.

6.1.7 Bersedia dan sanggup menentang musuh-musuh negara.
6.2 Tiap-tiap ahli mempunyai hak-hak yang berikut:
6.2.1 Bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti.

6.2.2 Memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti.

6.2.3 Mengambil bahagian dalam pilihan raya dan menerima lantikan parti sebagai seorang calon.

6.2.4 Ahli-ahli yang sedang di dalam cadangan atau dipecat tidaklah hilang hak keahlinnya.

6.2.5 Ahli-ahli yang tidak menjadi wakil ke mesyuarat Perwakilan Bahagian atau Perhimpunan Agung boleh dicalonkan dan bertanding di peringkat yang berkenaan sekiranya memenuhi syarat di bawah Fasal 9.5 dan Fasal 15.5.

6.2.6 Ahli-ahli yang tidak hadir di Persidangan Cawangan boleh dicalonkan dan bertanding sebarang jawatan atau sebagai wakil ke Perwakilan Bahagian dengan menyatakan persetujuannya secara bertulis.
6.3 Seseorang ahli itu tidak berhak
6.3.1 Menjadi ahli lebih daripada satu Cawangan.

6.3.2 Mewakilkan hak mengundinya kepada sesiapa jua pun.

6.3.3 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 sekiranya ia tidak menjelaskan yuran mengikut peruntukan dalam Perlembagaan.

6.3.4 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 jika dilarang di bawah akta Pertubuhan 1966 atau setakat mana ia dikenakan hukuman disiplin di bawah Fasal 20.9 dan 20.10.

6.3.5 Menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pemeriksa Kira-Kira atau Ahli Jawatankauasa lebih daripada satu Cawangan atau Bahagian melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Majlis Tertinggi.

6.3.6 Menjadi Ahli Jawatankuasa di peringkat yang sama di mana ia telah dipilih menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Pemeriksa Kira-kira dan sebaliknya.

6.3.7 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam Persidangan Cawangan dan Perwakilan Bahagian selain daripada Cawangan dan Bahagian di mana ia menjadi ahli.

6.3.8 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam mana-mana Cawangan atau Bahagian baru yang dimasukinya, kiranya ahli telah menggunakan haknya itu dalam Cawangan atau Bahagian asalnya bagi tahun berkenaan.

Setelah membaca seluruh fasal di atas, anda tanyakanlah kepada diri sendiri soalan-soalan berikut:

Adakah Perlembagaan UMNO membezakan ahlinya yang sudah atau belum bersara daripada mana-mana jawatan rasmi?

Adakah Perlembagaan UMNO menyebut bahawa UMNO hanya milik eksklusif ahli-ahlinya yang berjawatan dalam parti dan kerajaan sahaja?

Adakah Perlembagaan UMNO melarang mana-mana ahli UMNO bersuara selaras dengan cita-cita UMNO untuk mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara?

Kalau jawapan kepada ketiga-tiga soalan di atas adalah negatif, anda berilah tahu kepada semua pihak yang kebelakangan ini beranggapan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu “keluar daripada UMNO” dan “berhenti daripada seluruh jawatan dalam agensi kerajaan” jika mahu terus mengkritik UMNO dan Datuk Seri Abdullah Ahmad.

Pada waktu yang sama, anda tanyalah kepada kelompok tersebut, adakah mereka mahu mencadangkan semoga Perlembagaan UMNO Malaysia dipinda untuk menghalalkan cadangan mereka supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad “keluar daripada UMNO” dan “mengosongkan semua jawatannya dalam agensi kerajaan” jika hendak terus mengkritik Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia mutakhir ini? – Ruhanie Ahmad.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Datuk,

Kalau dah kaki ampu sana ampu sini, memang gitu le gayanya puak puak dalam UMNO ni.

Tun Dr Mahathir tu jenis orang yang dah biasa berkuasa, maka susah skit lah bagi beliau nak duduk mengumam didalam hati macam kebanyakan orang lain.

Manusia ni ada dua tiga jenis. Yang kaki ampu buta tuli, tak diambil pedulinya tentang betul ke tidak sesuatu perkara!

Yang mereka pentingkn, siapa yang boleh hulor skit, siapa yang boleh buka lubang satu dua, projek itu ini.

Mahathir dah takde kuasa , maka berhimpun lah segala pengampu ke laman Pak Lah, menyatakan sokongan sebulat suara, mengampu bagai nak rak, semata mata kerana kepentingan masing masing!

Cuba kalau orang tua pencen tu buka mulut nak bagi projek, peluang niaga itu ini kepada puak puak ni, dan dan tu berubah kiblat suara suara sumbang ni semua menyokong orang tua pencen ni sebab tembolok masing masing dijanjikan isi!

Itulah dia sebenarnya ertikata perjuangan puak puak ini dalam UMNO zaman sekarang!

"Whoever can pay gets to stay!"

No money no talk!