Friday, October 27, 2006


THE TOYOL CODE
- MESEJ SEPENUHNYA
Bahagian Enam
Oleh Ruhanie Ahmad

Ratusan ribu orang kini membaca The Toyol Code. Hakikatnya begitu kerana menjelang Aidilfitri dan sepanjang cuti Hari Raya, The Toyol Code memang jadi semakin panas. Dalam 13 hari, ia menerima hampir 120000 hits. Sejumlah 80 peratus daripada hits tersebut adalah daripada pelayar internet dalam negeri. Bakinya adalah daripada pelayar internet luar negara, majoritinya daripada Britain dan Amerika Syarikat.

Seorang sahabat menyatakan bahawa Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengikuti perkembangan The Toyol Code. Seorang Timbalan Menteri tergesa-gesa pulang daripada Umrah di Tanah Suci kerana ramalan The Toyol Code. Seorang Setiausaha Parlimen terkial-kial mencari kepastian sama ada The Toyol Code ini satu fantasi atau pun realiti. Sumber-sumber pula memberitahu saya bahawa The Toyol Code juga diikuti perkembangannya oleh segolongan pemimpin di Indonesia dan Singapura.

Begitulah hakikatnya The Toyol Code kebelakangan ini. Seorang sahabat saya di
www.generasi-m.com menyatakan bahawa pemaparan The Toyol Code menerusi lamanweb itu menerima sejumlah 106945 hits daripada 13 Oktober hingga 26 Oktober 2006. Majoriti yang membuat hits berkenaan adalah kelompok professional dalam lingkungan umur 25 tahun ke atas.

Hit-counter di
www.kuda-kepang.blogspot.com yang dipasang pada 7 Oktober 2006, pula meningkat daripada 2000 pada 13 Oktober 2006, kepada 12676 pada 26 Oktober 2006. Ini bermakna bahawa sejak 13 Oktober hingga 26 Oktober, The Toyol Code sudah menerima sejumlah 119621 hits menerusi blog kuda-kepang dan lamanweb generasi-m.com.

Fitnah

Berasaskan perkembangan di atas, adakah Perdana Menteri, “budak hantu” dan “patrick” mahu memandang ringan sambutan besar terhadap The Toyol Code ini? Adakah mereka akan menafikan bahawa laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum yang dijangka berlaku pada awal 2007, seperti yang disampaikan oleh pengirim misteri menerusi The Toyol Code kepada saya, adalah palsu, fitnah, atau rekaan semata-mata?

Pada waktu yang sama, mustahilkah kalau The Toyol Code telah menjadi salah satu topik perbualan yang hangat semasa Hari Raya di seluruh negara? Lantas, adakah saya yang akan dipersalahkan kalau The Toyol Code telah merangsang segolongan rakyat Malaysia jadi marah terhadap pihak-pihak yang dikatakan bertanggungjawab menyediakan “grand design” mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum 2007 seperti yang didedahkan oleh The Toyol Code?

Akibat hits yang tinggi seperti di atas, ada seorang sahabat mengirimkan amaran kepada saya supaya saya “stand by beg pakaian untuk dijemput ke Kem Kemunting, Perak.” Maksud amaran itu ialah saya mungkin di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA sebab mendedahkan grand design ciptaan “budak hantu” dan “patrick” menerusi The Toyol Code ini.

Dan, akibat populariti The Toyol Code inilah juga agaknya maka kini tersebar ura-ura di Kuala Lumpur bahawa saya, Ruhanie bin Ahmad, Ahli UMNO Nombor 0003472, daripada Cawangan Danasari, Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, akan dipecat daripada UMNO tidak lama lagi?

Secara lebih khusus, ura-ura itu mengatakan bahawa kononnya saya telah disenaraikan sebagai orang ketiga daripada 2000 ahli UMNO di seluruh negara \yang akan dipecat tidak lama lagi. Orang pertama dalam senarai itu kononnya adalah, tidak lain dan tidak bukan, melainkan Ahli UMNO Nombor 0000001, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakah ini hanya satu ura-ura liar? Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Bagaimanapun, pada 3 November 2006 ini dikatakan akan ada satu pertemuan di Putrajaya antara Presiden UMNO Malaysia dengan lebih kurang 40 individu pilihan daripada seluruh negara kononnya untuk memuktamadkan senarai berkenaan.

Kebenaran

Oleh itu, sebagai langkah pre-emtif, izinkanlah saya ulangi kata-kata saya dalam blog ini pada 10 Oktober 2006, bahawa saya bersedia dipecat daripada UMNO asalkan ia memang benar-benar demi kebaikan agama, bangsa dan negara yang saya cintai. Ini kerana saya bukannya pelacur politik dan saya juga tidak pernah melacurkan karya tulisan saya untuk mendapatkan sesuap nasi atau seteguk madu daripada sesiapa. Saya menulis demi kebenaran. Saya menulis untuk membolehkan rakyat Malaysia menegak serta menjunjung kebenaran. Saya menulis demi agama, bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, saya amat berterima kasih kepada sahabat blogger Mahaguru 58 yang mendorong saya “terus menulis, menegur mana-mana yang patut, membetulkan apa-apa yang dapat, serta memartabatkan Ad Deen ul Haqq, sebagai matlamat perjuangan hidup” saya.

Beliau juga menyatakan “Allah SWT pasti merahmati” saya seandainya saya “berdiri di atas landasan kebenaran dan berani merubah keadaan berasaskan keadilan dan kesinambungan usaha para pemimpin Mukmin sejati!”

Saya harap kata-kata perangsang di atas juga boleh dikongsikan oleh anda semua. Ini kerana anda sekalian telah membantu saya memecahkan seluruh mesej rahsia di sebalik The Toyol Code ini sebanyak enam siri.

Saya yakin dan percaya bahawa pengirim SMS yang mengandungi The Toyol Code ini juga mempunyai niat menegakkan kebenaran. Kalau tidak, buat apa dia kirimkan mesej yang membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara ini kepada saya untuk sama-sama dipecahkan kodnya oleh anda sekalian?

Bukankah demikian hakikatnya? Tidakkah kita pernah terfikir bahawa sipengirim yang budiman ini memang mahu rahsia di sebalik The Toyol Code ini diketahui oleh seramai mungkin rakyat jelata Malaysia, walau di mana sekali mereka berada? Tidakkah kita pernah terfikir bahawa sipengirim itu juga mengambil risiko yang besar untuk mengirimkan mesej panas ini supaya rakyat Malaysia yang prihatin akan berbuat sesuatu supaya “budak hantu” dan “patrick” dihalang daripada terus bermaharajalela?

Untuk itu, marilah sama-sama kita renungkan semula, insafi dan fahami seluruh mesej di sebalik The Toyol Code yang telah kita pecahkan kod-kodnya. Untuk memudahkan pemahaman kita, marilah kita bahagikan mesej sepenuhnya kepada tiga topik khusus, iaitu rombakan kabinet, pilihanraya dan kerajaan negeri.

Rombakan

Mesej penuh di sebalik The Toyol Code mengenai rombakan kabinet yang dijangka berlaku pada awal 2007 adalah seperti berikut:

Dapat satu maklumat, sepuluh orang Menteri dan dua orang Timbalan Menteri akan disingkirkan menerusi satu rombakan kabinet tidak lama lagi. Rombakan itu akan diadakan pada bulan Februari 2007. Semua yang akan dilantik menggantikan menteri-menteri yang digugurkan adalah muka-muka baru di bawah umur tidak melebihi 50 tahun.

Perkara ini sudah confirm. Kita tengok sahajalah macam mana bijaksananya “budak hantu” dan “patrick” menyediakan laporan komprehensif untuk rombakan berkenaan.

Penyediaan laporan kopmprehensif mengenai rombakan kabinet ini mungkin diiringi “orkestra the temasik group”. Sebab itu iramanya ala moden. Nada rap dan twist lebih banyak daripada irama lagu-lagu Melayu asli.

Dari pandangan pakar kita, kandungan format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet itu bukan English cara Malaysia.

Entah berapa ratus juta ringgit agaknya sudah dibelanjakan oleh group ini untuk bayar perunding asing tersebut buat senarai, kajian, dan laporan komprehensif untuk rombakan kabinet kali ini.

Pihak pakar kita kata, first time dia orang dapat tengok laporan selengkap itu, siap dengan ramalan tarikh yang terbaik bagi melakukan rombakan kabinet dan pilihanraya.

Pihak pakar kita juga tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai cadangan rombakan kabinet itu. Katanya, CD yang mengandungi laporan terperinci itu adalah final dan kemungkinan besar rombakan kabinet pasti berlaku.

Kalau CD yang mengandungi laporan terperinci itu dicetak, lebih kurang 500 muka surat tebalnya. Ini sebab laporan itu terlalu detail. Siap dengan tatalaku dan prinsip calon-calon anggota kabinet yang akan dilantik kelak. Hal ini seolah-olah membuktikan betullah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa budak-budak tingkat empat memang betul-betul power kuasai Perdana Menteri.

Jangan terkejut. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif ciptaan group “budak hantu” ini. Perdana Menteri sudah serah bulat-bulat pada “patrick” dan “budak hantu” ini buat keputusan. Penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara menteri yang mungkin disingkirkan adalah Datuk Rais Yatim, Datuk Azmi Khalid, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Aziz Samsuddin. Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Abdullah Zain, Datuk Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yeik dan Datuk Azalina Othman. Timbalan Menteri yang dijangka tersingkir adalah Datuk Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Zainal Abiudin Zin.

Kita takut ada pihak yang terus tak boleh tidur malam sebab menyesal bila baca msej ini. Padan muka. Sebelum ini kenapa tak nak dengar cakap bahawa dia orang tak perlu takut pada “budak hantu” tu. Dia orang kan ada kuasa. Jadi, apa macam orang lama? Marilah ramai-ramai kita bagi undi SMS dan katakan kami sokong! Sokong apa? Oh, sokong sebab diterajang oleh “budak hantu”, Perdana Menteri dan juga “patrick”! Jadi, insaflah, rupa-rupanya sokongan-sokongan buta yang diberikan selama ini adalah sokongan supaya anda diganti dengan kelompok darah muda pilihan “budak hantu”, “patrick” dan “orkestra temasik group.”

Datuk Mohd. Zahid Hamidi akan menggantikan Datuk Seri Rais Yatim. Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik akan digantikan orang baru dari Terengganu. Tempat Datuk Seri Samy Vellu akan diganti Melayu. Dua orang lama akan dilantik Menteri.

Gadafi

Begitulah mesej sepenuhnya mengenai rombakan kabinet. Dalam konteks ini, izinkanlah saya paparkan sebahagian respons daripada sahabat blogger
qadafi-politicalscience.blogspot.com. seperti berikut:

Saya begitu tertarik dengan siri The Toyol Code oleh Datuk Ruhanie Ahmad. Masa saya baca makna kod-kod itu, rasanya saya ada jumpa kod-kod rahsia berkenaan dalam internet. Sama juga dengan kod rahsia The Toyol Code. Pasal rombakan kabinet besar-besaran dan satu grand plan untuk pilihanraya yang akan datang ini.

Sekarang cuba anda bandingkan dengan ramalan yang ini. Ianya lagi advance. Ia lebih mendahului The Toyol Code. Tengok tarikhnya, Februari 2007. Semua ramalan ini sudah saya compilekan dan tak dinafikan. Lebih kurang sama dengan The Toyol Code. Gempak memang gempak. Terperinci memang terperinci. Hebat juga ya politik Malaysia masa kini. (Ramalannya yang dimaksudkan oleh Gadafi adalah seperti berikut:)

Mat Taib sudah siap sedia untuk berkemas tukar pejabat! Jawatan menteri pusat dalam idaman. Begitu juga dengan Shahrir Samad! Jawatan Menteri yang dijangka menjadi rebutan tak lain Menteri Wilayah Persekutuan! Shahrizat boleh membuat tindakan susulan. Nenek Pidah sudah menghidu akan peristiwa Brutus oleh Juhi Chawla si mulut besar! Musa Hitam akan buat comeback? Najib tukar portfolio. Tidak lagi memegang jawatan Menteri Pertahanan? IR Zain Badak atau Shahrir atau Muhyidin jadi menteri JKR? Betulkah Nakhaei akan jadi Menteri Agama? Hatta, sumber saya di Putrajaya pun sampai pakai dua bateri handphone untuk stand by kalau line putus! Expect The Unexpected! Itu kata sumber saya melalui SMS beliau. Khairy jadi menteri? Siapa tahu!

Anda tanya mana saya dapat ramalan-ramalan ini? Pesan saya, rajin-rajinlah mencarinya di internet. Saya pun pelik macam mana maklumat macam ini boleh bocor. Tapi don’t worry, saya tak akan dedahkan pada sesiapa. Kalau tak, memang habislah saya. Silap-silap, kang masuk ISA) -
http://qadafi-politicalscience.blogspot.com.

Pilihanraya

Mesej penuh di sebalik The Toyol Code yang khusus mengenai pilihanraya umum 2007 pula adalah seperti berikut:

Lepas rombakan kabinet, kes Datuk Seri Anwar akan dibuka semula. Keputusannya sudah ada. Dia akan didapati tidak bersalah. Semua tuduhan digugurkan. Jadi, bolehlah Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk pilihanraya. [Maklumat terkini: Kes rayuan Datuk Seri Anwar yang membabitkan Sukma dipercayai akan dibicarakan di Mahkamah Putrajaya pada 9 Novembr 2006.]

Bulan April 2007 pilihanraya umum. Semua calon DUN dan Parlimen adalah orang muda-muda belaka. Tak melebihi umur 50 tahun. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif group “budak hantu” mengenai pilihanraya ini. Tak lama lagi, semua calon adalah golongan darah muda, asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock. Yang tua-tua, duduk rumah, jaga cucu.

Jangan tak percaya. Semua cv bakal-bakal calon sudah ada dalam CD laporan komprehensif menegnai rombakan kabinet dan pilihanraya. ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal eloklah buat persiapan sebab sudah tak ada peluang untuk bertanding semula dalam pilihanraya 2007. Jangan marah sebab “budak hantu” sudah nak letak kawan-kawan dia. “Budak hantu” sendiri akan bertanding pilihanraya 2007 di Shah Alam, menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Samsuddin. Jadi ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal eloklah buat persiapan. “Budak hantu” dah bosan dengar suara nyanyian mereka sebab lagu asli tak regge, tak rock, tak rempit.

Jadi, ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal tak payahlah berangan nak bertanding lagi dalam pilihanraya 2007. Suruh dia orang belajar nyanyi lagu angguk-angguk, geleng-geleng, tunjuk-tunjuk, sokong-sokong, dan last sekali bye-bye!

Perdana Menteri dah serah bulat-bulat kepada “patrick” dan “budak hantu” buat keputusan. Ini bukan khabar angin. Tapi, betul-betul akan berlaku. Sebabnya, Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif rombakan kabinet dan pilihanraya umum. Rombakan kabinet Februari 2007. Pilihanraya umum April 2007.” [Maklumat terkini: Pilihanraya mungkin Jun 2007.]

Boria kita, kata “budak hantu” tu. Sebabnya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak belasah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pasal ada kaitan dengan hal buku dalil yang dulu. Yang buat hal pasal buku dalil adalah Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Tapi, yang nak kena belasah adalah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Hebat games Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Sebab tu dia akan jadi menteri pusat.

Jadi, lepas ni, nampak gayanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan “budak hantu” yang jadi calon pilihanraya dan anggota kabinet. Last sekali, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk jadi calon pilihanraya 2007.

Negeri

Akhir sekali, mesej yang terkandung di sebalik The Toyol Code ini adalah mengenai kedudukan majoriti Menteri Besar dan seluruh Ketua Menteri di seluruh negara, selepas pilihanraya umum 2007. Mesej sepenuhnya mengenai hal ini adalah seperti berikut:

Ketua-Ketua Negeri semua gugur. Melainkan Kedah dan Negeri Sembilan sahaja yang kekal. Dua orang Ketua Menteri akan pergi ke pusat selepas pilihanraya umum 2007. Tan Sri Koh Tsu Koon ke Belia. Datuk Seri Ali Rustam Benggali masuk peti ais di JPM. Menteri Besar lainnya hanyut.

Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Adnan Yaakub, dan Datuk Abdul Ghani Othman mungkin dipersarakan menerusi pilihanraya umum 2007. Pemimpin State lain-lainnya semua gugur. Sabah dan Sarawak pun dapat pemimpin baru.

ISA

Demikianlah mesej sepenuhnya yang terkandung dalam The Toyol Code. Saya serahkan mesej sepenuhnya seperti di atas kepada tafsiran anda semua. Biar pun begitu, saya tidak pula beranggapan seperti Saudara Gadafi yang khuatir mungkin ditahan oleh pihak berkuasa di bawah ISA.

Saya rasa soal ISA atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak berkaitan dalam konteks The Toyol Code. Ini kerana The Toyol Code adalah berasaskan satu laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum 2007 yang disediakan oleh “budak hantu” dan “patrick” dengan “iringan orkestra temasik group.”

Jadi, kalaulah kod yang telah kita sama-sama dipecahkan mengenai ketiga-tiga entiti di atas sebelum ini adalah betul, mereka bukannya mewakili Kerajaan Malaysia. Kalau hakikatnya begitu, adakah hasil karya mereka dalam CD (500 muka tebalnya kalau dicetak), merupakan milik Kerajaan Malaysia?

Kalau laporan komprehensif tersebut bukan milik Kerajaan Malaysia, pastinya ISA atau OSA tidak boleh dikenakan kepada sesiapa yang mengetahui hal berkenaan secara advance.

Jadi, Saudara Gadafi, kukuhkanlah ramalan The Toyol Code ini. Kalaulah kita kena ISA atau OSA (manalah tau, macam-macam memang boleh jadi kebelakangan ini) mungkin kita boleh teruskan usaha blogging kita di sebalik pintu besi!

Pada waktu yang sama, saya harap anda yang telah membantu saya memecahkan seluruh kod rahsia dalam The Toyol Code ini janganlah bimbang. Kalau ada apa-apa tindakan negatif berbangkit daripada pembongkaran The Toyol Code ini, anda semua pasti tidak akan diapa-apakan oleh sesiapa. Yang akan menghadapi muzik berkenaan hanya saya seorang diri. Kalau nak kena pecat daripada UMNO, sayalah orangnya. Kalau nak kena tahanan ISA, pun saya juga orangnya.

Saya sanggup hadapi seluruh risiko di atas. Bagaimanapun, saya akan sentiasa terhutang budi kepada anda semua kerana tanpa bantuan anda, rasanya The Toyol Code ini pastinya masih jadi kod-kod misteri yang tidak terungkai rahsianya.

Oleh itu, hargailah kejayaan ini. Kerjasama anda sekalian menyebabkan The Toyol Code menerima ratusan ribu hits dalam 13 hari. Kerjasama anda telah mendorong banyak pihak yang buta kompouter dikatakan membaca The Toyol Code ini menerusi hard-copy yang difotostet dan disebar secara meluas di kampung-kampung. Lantaran itu, saya harap anda semua gunakanlah kebijaksanaan masing-masing supaya rahsia dalam The Toyol Code ini boleh anda manfaatkan demi agama, bangsa dan negara.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Penutup.



1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Saudara,

Penulisan berani saudara sudah pasti kan mengganggu gugat perancangan pihak pihak tertentu didalam merangka langkah dan gerak politik demi memperkemaskan kedudukan dan kubu kubu perjuangan mereka mempertahankan posisi masing masing!

Saudara sudah tentu masih ingat bahawa sebaik baik perancangan manusia tidak kan mengubah penentuan Ilahi!

Allah SWT juga ada berfirman bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nsib mereka sendiri!

Oleh kerana itu, terus lah menulis dengan nawaitu suci murni menegakkan kebenaran dan menyatakan yang hak walau di ancam dek manusia yang lupa kepada Kuasa Allah Tuhan Maha Esa!

Jika saudara mengisi jiwa dan hati saudara dengan Yakin dan Tawakkal kepada Allah Azza Wa Jalla, maka tidak ada Kuasa Selain Allah SWT yang dapat membahayakan saudara!

Saudara mungkin masih ingat akan pepatah pendekar Melayu lama :
'Biar mati berlengkar tanah dari hidup berputih mata!'

'Kullu nafsin iza iqatul maut!'

Setiap yang bernyawa pasti kan mati'!

Ini hakikat yang kita perlu semat didalam hati semasa kita berusaha cara kita memperjuangkan keadilan bagi semua!

Semoga Ar Rahman memberkati saudara dan menunjukkan jalan yang harus saudara terus terokai demi melengkapkan matlamat kehidupan saudara! Amin Ya Rabbal Alamin!