Tuesday, October 17, 2006

THE TOYOL CODE
- MANGSA ROMBAKAN
Bahagian Tiga
Oleh Ruhanie Ahmad

Tahniah. Kita telah berjaya memecahkan seluruh kod dan mesej rahsia dalam tiga siri The Toyol Code sebelum ini. Kejayaan ini membolehkan kita mengambil satu rumusan yang menggemparkan. Rumusan itu memfokuskan kepada satu perancangan besar yang mungkin jadi kenyataan pada awal tahun depan. Perancangan besar itu adalah mengenai ura-ura satu rombakan kabinet Malaysia pada Februari 2007.

Kejayaan kita merungkai perancangan besar di atas adalah berasaskan berpuluh-puluh SMS yang telah dikirimkan secara sukarela kepada saya pada 12, 14, 15 dan 16 Oktober 2006. Kita telah sama-sama memcahkan kok-kod rahsianya. Kejayaan ini membolehkan kita memberikan makna kepada mesej-mesej berkenaan. Sekaligus, kejayaan itu juga membolehkan kita memahami makna dan maksud SMS tersebut.

Jadi, marilah sama-sama kita teruskan usaha kita memecahkan seluruh kod dan mesej rahsia yang masih terkandung dalam banyak lagi SMS yang belum kita rungkai isi kandungannya sebelum ini. Untuk itu, ikutilah rungkaian The Toyol Code selanjutnya menerusi blog ini pada setiap hari. Dengan cara ini anda akan membantu saya dan diri sendiri untuk membongkarkan seluruh rahsia kod toyol ini hingga ke episod yang terakhir.

Bagaimanapun, sewaktu kita terus berusaha merungkai dan memcahkan seluruh kod SMS yang masih belum kita proses, saya harap janganlah ada di antara kita yang ingin tahu siapakah sebenarnya pengirim SMS yang terbabit. Saya harap anda tak akan bertanyakan hal ini seperti seorang sahabat saya bertanya mengenainya menerusi SMS seperti berikut:

“Bagus betul toyol yang kirimkan SMS kepada Datuk ni. Boleh tak kita tau siapa dia? Tapi, apa pasallah tuan dia ajar toyol ini curi maklumat? Selalunya, toyol curi duit. Toyol ini pula curi maklumat dari laci budak-budak tingkat empat. Bertuah betul tuan toyol ni!!”

Rasanya tak payah kita layan SMS di atas. Pertama, kerana saya tak pernah Tanya kalau “toyol” yang dimaksudkan di atas adalah “toyol bertuan”. Kedua, kalau benar dia ada tuan, saya pun tak tau siapa tuan dia. Ketiga, saya juga tak tau apa maksud tuan dia di sebalik penghantaran kod-kod rahsia menerusi SMS ini kepada saya. Apa pun, kita semua mesti berterima kasih kepada si pengirim SMS-SMS misteri yang kini jadi The Toyol Code ini. Kita mesti lindungi angsa yang sedang memberikan telur emas kepada kita!

Tercicir

Oleh itu, marilah kita imbas kembali mesej yang terkandung dalam seluruh SMS yang telah kita pecahkah kod rahsianya sebelum ini. Dalam ayat yang mudah dan ringkas, seluruh kod rahsia dalam semua SMS itu membawa mesej bahawa satu rombakan kabinet dijangka dilakukan oleh Kerajaan Malaysia pada Februari 2007.

Rombakan kabinet yang diura-urakan, dijangka membabitkan sebilangan besar menteri dan beberapa timbalan menteri. Beberapa nama besar yang kini jadi menteri juga dijangka disingkirkan. Beberapa muka baru di bawah umur 50 tahun pula dijangka mendapat tempat istimewa.

Kod-kod dalam seluruh SMS itu juga membayangkan adanya campur tangan elemen-elemen asing dalam usaha menyiapkan satu laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet tersebut. Umpamanya, terdapat beberapa kod seperti “orkestra temasik group,” “pakar strategi politik,” dan juga “perunding” sebagai pihak yang menyiapkan laporan berkenaan.

Pihak-pihak asing ini juga didakwa sebagai bertindak atas pimpinan “patrick” sebagai “komposer” dan “budak hantu” sebagai “pencipta lirik” bagi acara “juara lagu” yang akan diadakan pada Februari 2007. “Youngman” bertindak sebagai “penasihat” kepada keseluruhan usaha di atas. Lebih penting lagi, usaha ini telah direstui oleh “papa”.

Sebab itulah saya katakan dalam Pengenalan The Toyol Code ini bahawa kisah ini adalah sensasi, membabitkan personaliti besar, ada elemen konspirasi, membabitkan kita, masa depan kita, kemerdekaan negara kita, dan mungkin membabitkan kesejahteraan, keselamatan dan keamanan Malaysia serta rakyat jelatanya.

Integriti

Dalam pada itu, memang kebelakangan ini banyak pihak di Malaysia mengharapkan Datuk Seri Abdullah Ahmad membuat rombakan kabinet secara besar-besaran. Pihak ini menganggap rombakan sedemikian adalah baik.
Mereka mahu beberapa Menteri tertentu disingkirkan. Mereka mengharapkan rombakan kabinet ini dapat memperkukuhkan lagi kecekapan Kerajaan Malaysia serta memulihkan semula integriti, maruah dan kedaulatan negara di bawah kepimpinan mutakhir.

Saya, dan anda yang telah membantu saya memcahkan seluruh kod dan mesej rahsia dalam The Toyol Code ini, mungkin memilih untuk berbza pandangan mengenai rombakan yang akan dilakukan. Terdapat beberapa sebab tertentu mengapa kita perlu berasa bimbang dengan apa yang mungkin akan berlaku.

Sebagaimana telah dinyatakan dalam Bahagian Dua The Toyol Code, kod-kod rahsia yang telah berjaya dipecahkan setakat ini jelas menggambarkan bahawa rombakan kabinet yang dicadangkan awal 2007 ini agak membimbangkan. Antara fakta yang boleh menimbulkan kebimbangan adalah seperti berikut:

Satu: Penglibatan “patrick” dan “budak hantu” sebagai watak utama dalam usaha menyediakan laporan komprehensif mengenai rombakan cabinet berkenaan.

Hakikat ini pasti membimbangkan. Ini kerana kita tidak tahu dengan sahih, siapakah “patrick” dan siapakah “budak hantu” ini. Adakah mereka daripada agensi Kerajaan Malaysia? Adakah mereka konsultan? Apakah hubungan mereka dengan “papa?”

Dua: Penglibatan elemen-elemen luar dan mungkin juga elemn-elemen asing seperti “orkestra temasik group,” “temasik,” “pakar strategi politik,” dan “perunding” dalam penyediaan laporan komprehnsif mengenai rombakan cabinet berkenaan.

Hakikat ini juga perlu dicurigai. Saya yakin, tidak ada satu pun rakyat jelata Malaysia yang mungkin rela menerima hakikat bahawa rombakan kabinet yang akan dilakukan di negara ini awal tahun depan, adalah satu tindakan yang dinasihati oleh elemn-elemen asing.

Tiga: Penyingkiran sebilangan nama berwibawa daripada jawatan menteri, pengekalan beberapa nama yang disifatkan sebagai berkredibaliti rendah sebagai menteri, dan penyerapan sebilangan besar muka baru di bawah umur 50 tahun sebagai menteri.

Maklumat ini juga agak mencemaskan. Mengapakah segolongan menteri yang berkredibaliti tinggi mungkin disingkirkan dalam rombakan yang diura-urakan ini? Mengapakah segelintir menteri yang dikatakan berkredibaliti rendah pula terus dikekalkan? Mengapa pula jumlah muka baru di bawah 50 tahun yang akan dilantik sebagai menteri dikatakan besar? Apakah motif serta rahsia di sebalik tindakan ini?

Bimbang

Jadi, siapakah dapat menafikan bahawa latarbelakang kepada rombakan kabinet yang akan berlaku ini agak aneh? Ianya adalah aneh bila laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet tersebut tidak disediakan oleh agensi-agensi yang lazimnya mengendalikan urusan berkenaan di Jabatan Perdana Menteri.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan kerana daripada beberapa kod rahsia yang dikirimkan kepada kita, ada dinyatakan dengan jelas bahawa pembikinan CD (laporan komprehensif) untuk “juara lagu” (rombakan kabinet) kali ini “diiringi” oleh “orkestra temasik group.”

Dalam Bahagian Dua, kita telah cuba memecahkan erti kod “temasik” dan “orkestra temasik group.” Akhirnya, kita merumuskan biarlah kod “temasik” dan “orkestra temasik group” itu ditafsirkan sendiri oleh para pembaca. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kontroversi diplomatik di kemudian hari kelak.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat menyekat wujudnya keanehan dan kebimbangan di sebalik kedua-dua kod di atas. Keanehan dan kebimbangan seperti ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Baru

Seterusnya, kod-kod rahsia yang telah kita rungkai maksudnya juga membayangkan bahawa muka-muka baru di bawah umur 50 tahun yang akan dilantik sebagai menteri dijangka daripada kumpulan “budak hantu” dan “patrick”. Hakikat ini terkandung dalam kod-kod seperti yang tercatat dalam SMS berikut:

“Papa dah setuju lirik group budak hantu. Tak lama lagi, semua penyanyi adalah penyanyi darah muda, asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock. Yang tua-tua, duduk rumah, jaga cucu.”

Salah satu mesej SMS yang saya terima juga menyatakan bahawa kumpulan yang menyediakan laporan komprehnsif mengenai rombakan kabinet kali ini dikatakan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “orang-orang muda lagi banyak idea nak majukan negara dan berfikiran tiada had hari.”

Kenyataan ini seolah-olah telah menyakitkan hati banyak pihak. Sebab itulah agaknya pengirim SMS di atas menyatakan bahawa “idea mereka” mungkin “boleh majukan bangsa kita jadi macam kehidupan di Eropah, di mana anak muda boleh mabuk siang malam dan bebas bersosial.”

Dominasi

Oleh itu, saya minta anda sekalian membantu saya cari kepastian, adakah “penyanyi darah muda” yang dimaksudkan di atas benar-benar orang “patrick” dan “budak hantu?” Dan, mungkinkah kelompok “darah muda” ini telah disaring dan dipilih secara teliti menurut piawaian “orkestra temasik group” dan juga “pakar strategi politik” asing?

Kalau hakikatnya begitu, mungkinkah kumpulan “penyanyi darah muda” ini akan jadi kumpulan utama pilihan orang luar yang akan menumpahkan kesetiaan penuh kepada kuasa asing yang sedang berusaha keras untuk mendominasikan Malaysia di abad ke-21?

Soal kemungkinan di atas mesti kita pandang serius. Soal ini tidak boleh disorot mengikut satu perspektif sempit dan tempatan sahaja. Sebaliknya, ia perlu dikaji mengikut perspektif geopolitik regional dan internasional. Ia perlu disorot dalam konteks tindakan sesetengah kuasa besar yang sedang menghuru-harakan Iraq dan Afghanistan.

Hakikat ini juga perlu dikaji bersama hakikat bahawa sesetengah kuasa besar dunia memang sedang berusaha melakar semula peta sosio-ekonomi dan politik negara Islam di seluruh dunia. Ia juga perlu dilihat dan dianalisa selaras dengan usaha kuasa-kuasa besar dan cita-cita neoimprialisme untuk menguasai Selat Melaka dan Asia Tenggara di abad ke-21.

Tindakan

Oleh itu, kita kenalah berbuat sesuatu yang termampu selaras dengan keterbatasan kita sebagai rakyat jelata Malaysia yang bertanggungjawab. Apa yang perlu dilakukan, saya tak tau. Pokoknya, jangan kita berbuat sesuatu yang akan menjejaskan kedaulatan, kemerdekaan, keselamatan, ksejahteraan dan keamanan negara.

Kalau betul rombakan kabinet yang diura-urakan ini dilakukan pada Februari 2007, kita masih mempunyai kira-kira empat bulan untuk memikir dan melakukan sesuatu yang positif kepada negara, bangsa dan agama.

Oleh itu, bacalah The Toyol Code ini sedalam-dalamnya. Fikirkanlah apa yang kita boleh lakukan secara kolektif sebagai rakyat Malaysia seluruhnya. Dalam hal ini, ketepikanlah seluruh halangan di hadapan kita.

Matlamat kita adalah mencari kepastian sama ada benar “budak hantu” dan “patrick” berperanan besar menyediakan laporan komprehensif yang dijadikan asas rombakan kabinet yang akan dijalankan. Matlamat kita adalah supaya kemerdekaan negara tercinta ini sentiasa bebas daripada manipulasi dan cengkaman kuasa asing pada setiap masa.

Bagaimanapun, apa jua tindakan yang akan dan perlu dilakukan, tidakan itu wajarlah merangkumi tindakan daripada kumpulan penyokong personaliti-personaliti yang akan digugurkan sebagai menteri dan timbalan menteri.

Gugur

Dalam konteks ini, kita telah pun huraikan dalam Pengenalan The Totol Code akan beberapa nama yang dijangka gugur sebagai menteri. Untuk itu, sama-samalah kita ulang baca kandungan SMS yang dikirimkan pada 12 Oktober 2006, seperti berikut:

“Dapat maklumat, satu juara lagu, 10 menteri penuh dan dua timbalan menteri akan melayang.”

Dalam satu daripada SMS itu ada disenaraikan beberapa nama menteri, termasuklah seperti berikut:

“Rais, Pidah, Aziz, Azmi, Ku Lan, Abah. Mr Sammy, dan Minah Belia.”

Berasaskan senarai di atas, kita telah pun sama-sama berteka-teki menerusi Pengenalan The Toyol Code. Kita telah bertanya soalan-soalan berikut:

“Adakah Rais yang dimaksudkan adalah Datuk Rais Yatim? Adakah Pidah itu Datuk Seri Rafidah Aziz? Adakah Aziz pula Datuk Seri Aziz Samsuddin? Adakah Azmi yang dimaksudkan adalah Datuk Azmi Khalid? Adakah Ku Lan itu Tengku Azlan, Timbalan Menteri Pengangkutan? Adakah Abah maksudnya Datuk Zainal Abidin Zin, Timbalan Menteri Pertahanan? Adakah Mr. Samy merujuk kepada Datuk Seri S. Samy Vellu? Adakah Minah Belia merujuk kepada Datuk Azalina Othman?”

Jadi. kalaulah benar menteri-menteri yang akan gugur adalah berasaskan senarai di atas, maka mungkinkah Datuk Rais Yatim, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Aziz Samsuddin, Datuk Azmi Khalid, dan Datuk Seri Samy Vellu yang akan terjejas dengan rombakan kabinet yang diura-urakan berlaku pada Februari 2007? Nasib Datuk Azalina Othman masih samara-samar. Menurut SMS di atas, “Minah Belia masih atas pagar.”

Pada waktu yang sama, adakah Timbalan Menteri yang akan tersingkir menerusi rombakan kabinet berkenaan adalah Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Zainal Abiudin Zin?

Dari senarai di atas, kita dapati bahawa mesej SMS yang pertama sekali yang mengatakan bahawa “10 menteri dan dua timbalan menteri akan melayang” adalah kurang tepat. Jadi, siapakah lima orang lagi menteri yang akan terjejas?

Soalan ini mungkin terkandung dalam SMS kepada saya pada 14 Oktober 2006, seperti berikut:

“Nama yang gugur, Azmi, Rais, Zam, Pidah, Aziz, Abdullah, Ku Nan, Abah dan Ku Lan.”

Senarai di atas seolah-olah mengesahkan nasib Datuk Rais, Datuk Azmi, Datuk Seri Rafidah dan Datuk Aziz. Ia juga memberikan tiga lagi nama menteri yang dijangka disingkirkan. Mereka adalah “Zam” atau Datuk Zainuddin Maidin, “Abdullah” atau Datuk Abdullah Zain, dan “Ku Nan” atau Tengku Abnan Mansor.

Kalau maklumat SMS pada 12 Oktober dan 16 Oktober 2006 seperti di atas adalah betul, ini bermakna bahawa pada Februari 2007, kemungkinan besar Rais Yatim, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Aziz Samsuddin, Datuk Azmi Khalid, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Abdullah Zain, dan Datuk Tengku Abnan Mansor disingkirkan sebagai menteri.

Tetapi, kalaulah senarai di atas memang benar, masih ada dua lagi nama yang belum diketahui. Bagaimanapun, dalam SMS kepada saya pada 16 Oktober 2006, pengirim itu juga menyatakan bahawa “LKyeik diganti penyanyi Terengganu.”

Adakah ini bermakna Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yeik juga akan digugurkan menerusi rombakan yang diura-urakan akan terjadi? Dan, kalaulah Datuk Azalina Othman yang “masih atas pagar” jadi digugurkan, tidakkah maklumat yang mengatakan “10 menteri, dua timbalan menteri akan melayang” ini benar dan sahih?

Pengganti

Sebenarnya, saya tidak tergamak untuk menulis ramalan di atas berasaskan kod-kod rahsia yang terselit di sebalik SMS yang saya terima. Tetapi, dalam SMS yang saya terima memang banyak mengandungi kata-kata seperti berikut:

Satu: “Semua carta-carta lagu budak hantu tu dah dapat kelulusan papa.”
Dua: “Pakar kita tak nafi apa yang dilihat dalam cd tu adalah final. Kemungkinan besar pasti berlaku.”
Tiga: “Perkara ini sudah confirm.”
Empat: “Jangan tak prcaya. Semua cv peserta dah ada dalam cd.”

SMS yang saya terima juga mengandungi banyak kod mengenai muka-muka baru yang mungkin menggantikan menteri-menteri yang disingkirkan. Antaranya adalah seperti berikut:

Satu: “Ramai kawan budak hantu jadi penyanyi baru.”
Dua: “Tak lama lagi semua penyanyi darah muda.”
Tiga: “Jahanamlah kalau kalau semua penyanyi asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock.”
Dua: “Bagan Datuk akan nyanyi lagu warisan.”
Tiga: “LKyaik digantikan penyanyi Terengganu.”
Empat: “Tempat Samy diganti Melayu.”

Saya pasti anda sudah boleh memecahkan kod-kod di atas dengan mudah. Ada di antaranya sudah pun kita pecahkan menerusi siri sebelum ini. Yang lainnya, agak muda difahami sesudah kita menerima hakikat bahawa seluruh kod yang mengaitkan perkataan “lagu” adalah mengenai pilihanraya dan yang berkaitan dengannya.

Insaf

Berasaskan seluruh kod di atas, saya memohon maaf jika ramalan ini mengganggu sesetengah pihak terbabit. Bagaimanapun, saya harap pihak terbabit akan menginsafi kata-kata pengirim SMS yang penuh misteri, seperti berikut:

“Saya takut ada yang terus tak boleh tidur malam sebab menyesal. Padan muka. Sebelum ini knapa tak nak dengar cakap kita bahawa dia orang tak perlu takut pada budak hantu. Dia orang kan ada kuasa. Jadi, apa macam orang lama? Marilah ramai-ramai kita bagi undi SMS dan katakan kami sokong! Sokong apa? Oh, sokong sebab diterajang oleh budak hantu, papanya dan juga patrick! Jadi, insaflah, rupa-rupanya sokongan-sokongan buta yang anda berikan selama ini adalah sokongan supaya anda diganti dengan penyanyi darah muda pilihan budak hantu, patrick dan orkestra temasik group!”

Memang kata-kata sinis di dalam SMS seperti di atas menyakitkan hati. Tetapi, kajilah secara positif. Tidakkah kata-kata itu mungkin sengaja dikirimkan kepada saya untuk disiarkan dalam blog ini supaya ianya menjadi motivasi kepada tindakan sewajarnya dalam tmpoh terdekat ini?

Saya tidak mahu mencadangkan apa-apa berkaitan kata-kata sinis di atas. Tetapi, anda gunakanlah kebijaksanaan masing-masing untuk memecahkan rahsia di sebalik SMS di atas. Sesudah itu, pakat-pakatlah apa yang patut dibuat supaya tindakan “budak hantu, patrick dan orkestra temasik group” yang didakwa sebagai berperanan besar dalam rombakan kabinet yang akan berlaku pada 2007 ini, tidak menjadi realiti yang mungkin menggerunkan kita semua.

Akhir kata buat kali ini, ingat. The Toyol Code belum selesai. Akan datang ini anda bantulah saya merungkaikan kod-kod rahsia yang saya agak adalah mengenai pilihanraya umum yang mungkin diadakan pada April 2007.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Empat.

1 comment:

Mohamad Socrates said...

http://machai-umno.blogspot.com/