Tuesday, October 10, 2006

PENYINGKIRAN ZAHARIN
TEST CASE YANG KLASIK?
Oleh Ruhanie Ahmad

Zaharin Yasin? Ya, Zaharin Yasin. Siapa tak kenal Zaharin Yasin. Beliau adalah sebahagian daripada landskap politik UMNO. Kritikan, pandangan, sindiran dan tindakannya sering kontroversial. Kebelakangan ini beliau jadi kolumis blog. Beliau dikenali ramai. Beliau juga dibenci oleh sesetengah pihak.

Pada 29 September 2006, Abd Zarin bin Mohd Yasin @ Zaharin Yasin, dipecat daripada menganggotai UMNO.

Saya berpendapat pemcatan Zaharin ini adalah satu kes ujian yang klasik, wajar dikaji oleh pengamal kewartawanan, perlu juga dikaji oleh pakar-pakar perundangan siber.

Pada waktu yang sama, wajar ditanyakan sama ada pemecatan itu menyelesaikan masalah atau mengundang pelbagai lagi masalah. Ini kerana tindakan itu mempunyai implikasi yang besar dan menimbulkan seribu satu soalan yang berantai.

Masalah

Antara masalah yang akan timbul ialah Zaharin mungkin jadi lebih getir, tambah berbisa dan semakin berhabis-habisan dalam seluruh tulisan dan kenyataannya.

Ini dibayangkan menerusi kenyataannya bahawa “pemecatan ini bagi saya telah membuka ruang yang lebih luas sama ada untuk menulis” atau “hadir dalam mana-mana majlis yang berjuang untuk membongkar pembohongan...”

Katanya lagi: “Jika saya terlibat dalam mana-mana ceramah, termasuk ceramah Parti Pembangkang selepas ini, ia lebih merupakan perjuangan saya bagi menghindari rakyat dari ditipu...”

Sesetengah pihak boleh meremehkan kenyataan di atas. Realitinya, pemecatan itu menjadikan Zaharin lebih dikenali.

Blog beliau juga akan menerima lebih ramai pengunjung. Konten dalam blog itu juga akan diturun-muatkan oleh banyak lagi laman web dan blog yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia.

Meluas

Ini bermakna bahawa pengaruh dan suara Zaharin jadi lebih meluas daripada dulu. Ini juga bermakna mesej beliau kian mengembang dataran, tebaran, dan rangkaiannya.

Sekaligus, proses “menegakkan kebenaran” yang diperjuangkan oleh Zaharin pun mungkin mendapat pengikut yang lebih ramai.

Dalam keadaan seperti ini, Zaharin pastinya amat berterima kasih kepada Majlis Tertinggi UMNO Malaysia kerana dengan sebulat suara memecat beliau pada awal Ramadhan – hari baik dan bulan baik ini!

Dalam keadaan seperti ini juga pastinya lebih ramai akan mendukung matlamat dan perjuangan Zaharin untuk “menghindari rakyat dari ditipu...” seperti yang dinyatakannya di atas.

Implikasi

Pemecatan Zaharin menimbulkan banyak implikasi. Pertama sekali, warga UMNO bertanya, apa sudah jadi kepada Majlis Tertinggi UMNO? Di mana keutamaannya?

Bukankah pemecatan Zaharin akan menyebabkan lebih banyak pihak mempolemikkan tulisan Zaharin? Bagaimana kalau lebih banyak pihak menganggap Zaharin sebagai berada di pihak yang benar?

Bagaimana pula kalau polemik itu mendorong warga UMNO dan rakyat jelata jadi semakin rakus membaca seluruh tulisan-tulisan mutakhir mengenai pucuk pimpinan UMNO dan kepimpinan negara yang terhidang dalam berpuluh-pulug lamanweb dan blog?

Bagaimana kalau setelah membaca seluruh kandungan lamanweb dan blog itu rakyat jelata pun membuat kesimpulan yang negatif terhadap kepimpinan UMNO dan Kerajaan?

Mungkin ada pihak mengatakan bahawa lamanweb dan blog hanya tertumpu kepada pembaca yang celik ICT. Anggapan ini meleset.

Hakikatnya, banyak kandungan daripada lamanweb dan blog kini dimuat-turunkan, difotostet dan kemudiannya disebarkan secara meluas. Ada juga kandungan sesetengah lamanweb dan blog dicetak semula oleh sesetengah tabloid.

Kesannya, pihak yang buta ICT juga dapat mengetahui apa jua yang terkandung dalam lamanweb atau blog tertentu.

Ini bermakna bahawa mesej yang terkandung dalam sesuatu lamanweb dan blog itu jadi semakin luas audiensnya dan pembacanya.

Bloggers

Satu lagi implikasi ialah mana-mana ahli UMNO yang jadi penulis atau bloggers boleh menerima tindakan yang sama seperti Zaharin atas alasan kononnya melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO yang dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli UMNO, iaitu berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan parti UMNO di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej dan nama baik parti.

Hakikatnya demikian kerana pemecatan Zaharin dibuktikan menerusi siri tulisannya di dalam blog beliau. Kalau tidak ada hitam-putih daripada blog berkenaan, mungkin agak sukar untuk membina kes ke atas Zaharin.

Mahathir

Seterusnya, orang akan bertanya, kenapa hanya pecat Zaharin, ahli UMNO No. 02826894? Kenapa tidak dipcat juga Tun Dr. Mahathir Mohamad, ahli UMNO No. 0000001?

Kenapa tidak gunakan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO dan Perkara 1 Tata Etika Ahli UMNO untuk menyingkirkan Tun Dr. Mahathir?

Benarkah ada seorang Menteri tertentu telah sebenarnya telah mencadangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini supaya Tun Dr. Mahathir dipecat?

Kenapakah cadangan memecatkan Tun Dr. Mahathir ditolak? Khuatir akan implikasinya? Takut ahli-ahli UMNO akar umbi memberontak?

Kajian

Mengapa pula Zaharin yang dicadangkan untuk dikenakan tindakan disiplin, tiba-tiba sahaja dipecat, kononnya atas keputusan sebulat suara seluruh Ahli majlis Tertinggi UMNO?

Saya bangkitkan hal ini bukan kerana saya memihak kepada Zaharin, membenci UMNO, atau sengaja mahukan Tun Dr. Mahathir dipecat.

Saya mempersoalkan kes ini kerana pemecatan Zaharin kali ini adalah satu kes ujian yang klasik. Ia akan jadi rujukan. Ia juga akan jadi kajian.

Saya pasti kredibaliti Majlis Tertinggi UMNO tidak akan luntur kerana memberikan sokongan sebulat suara kepada pemecatan Zaharin.

Tetapi, kerana apa yang terjadi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini pun seolah-olah menjadi rahsia umum, banyak pihak tahu akan latarbelakang pemecatan Zaharin.

Negatif

Oleh itu, banyak pihak kini dapat tahu apakah yang sebenarnya dicadangkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai Zaharin. Banyak pihak juga kini tahu siapakah yang sebenarnya mencadangkan supaya Zaharin dipecat daripada UMNO.

Pemecatan Zaharin mungkin mudah dilupakan. Tetapi, nama pemimpin yang mencadangkan supaya Zaharin dipecat akan tetap meniti dari bibir ke bibir ahli-ahli UMNO.

Percayalah bahawa impaknya adalah negatif. Pemecatan Zaharin menimbulkan impak yang negatif. Pemimpin yang mencadangkan Zaharin dipecat juga akan menerima impak yang lebih negatif.

1 comment:

wutever said...

Sudah lah datuk, sy tengok datuk ni antara orang UMNO yg ada otak. Bukan UMNO totok. Keluarlah dari UMNO. Perjuangannya makin menyimpang. Apa yg dia buat untuk kes murtad, IFC, artikel 11? X prihatin langsung pada rakyat bawah, makin menindas. PM (pesuruh menantu kot)pulak paling bangang dalam sejarah. Tun DR M zalim gak, tapi tetap ada kehebatan.