Wednesday, September 20, 2006

TINDAKAN DR M
BOLEH JEJAS IMEJ NEGARA
: ZAHID

SERDANG: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepemimpinan Perdana menteri di luar negara boleh menjejaskan imej Malaysia dari perspektif antarabangsa, terutama di kalangan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata ada negara menyatakan kebimbangan terhadap kritikan itu dan meminta Malaysia segera menyelesaikannya.

Bagaimanapun katanya, kebimbangan Arab Saudi, Turki dan Iran berjaya diredakan dengan penjelasan beliau bahawa kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap utuh dan Barisan Nasional (BN) kekal mantap.

“Ketika di Kazakhstan, Dr Mahathir menggunakan media untuk melepaskan geram. Ketika saya menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Islam (ICIM) OIC di Jeddah dua hari lalu, saya ditanya ramai menteri mengenai kritikan Dr Mahathir.

“Saya jelaskan kerajaan tetap kukuh dan mereka meminta kita supaya jangan berpecah-belah kerana kelemahan Malaysia akan melemahkan OIC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Memartabatkan Jati Diri Melayu anjuran Umno Bahagian Puchong dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, media di Jeddah turut melaporkan Dr Mahathir menuduh Abdullah sebagai penipu berikutan keputusan kerajaan untuk tidak membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

“Mereka menyatakan tetap menghormati Dr Mahathir tetapi pada masa sama meletakkan keyakinan tinggi kepada kepemimpinan Perdana Menteri. Dr Mahathir tidak patut menggunakan media asing untuk mengkritik Perdana Menteri,” katanya.

(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Nasional/20060917230622/Article/) 18 September 2006118
http://www.generasi-m.com/today/index.php?ind=news&op=news_show_single&ide=286


No comments: