Saturday, September 23, 2006

ABDULLAH MINTA LEE KUAN YEW
BERI PENJELASAN ISU CINA MALAYSIA

SEPANG, 23 September 2006 (Bernama) -Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengutus surat kepada Lee Kuan Yew bagi meminta penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Menteri Mentor Singapura itu mengenai masyarakat Cina di Malaysia.

Perdana Menteri berkata beliau ingin tahu sebab Lee membuat kenyataan sedemikian.

"Saya akan tulis surat kepada beliau nak minta penjelasan apa sebab dia kata begitu," katanya kepada pemberita setibanya dari lawatan kerja luar negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), hari Sabtu.

Lee dilaporkan berkata bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.

Lee mendakwa bahawa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina masing-masing kerana mereka berjaya dan bekerja kuat dan justeru secara sistematik mereka dipinggirkan.

Abdullah berkata beliau tidak nampak kewajaran untuk Lee mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya setuju dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak (Timbalan Perdana Menteri). Ini satu kenyataan nakal dan boleh menghasut rakyat Malaysia keturunan Cina," katanya.

Abdullah yang menegaskan kenyataan sebegitu tidak patut dikeluarkan oleh negara tetangga berkata Singapura juga akan terjejas jika Malaysia tidak stabil.

Tambahan pula, katanya Singapura juga mempunyai masalah dalaman berhubung masyarakatnya.

"Kita tahu mereka pun ada masalah, tak baik seratus peratus".

Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri yang turut mengulas perkara itu menyifatkan komen Lee sebagai satu komen nakal.

-- BERNAMA



No comments: