Wednesday, September 20, 2006

REPUBLIK KANGKANG KERA
JANGAN TIMBUL ANGKARA
Oleh Ruhanie Ahmad

Singapura adalah republik pulau. Luasnya hanya sekangkang kera. Seorang mantan Presiden Indonesia pernah menyifatkannya sebagai “satu titik merah yang kecil” di rantau Asia Tenggara.

Dari segi sejarah silamnya, Singapura adalah sebahagian daripada jajahan takluk empayer Melayu. Tetapi, sejarah modennya pula membuktikan Singapura adalah bekas wilayah Persekutuan Malaysia. Ia disingkirkan dari persekutuan itu pada 8 Ogos 1965. Kini, ia jadi sebuah republik pulau dengan majoriti rakyatnya berketurunan Cina.

Di Singapura memang terdapat keturunan Melayu. Tetapi, Melayu Singapura hanya jadi kaum minoriti. Nama mereka jarang-jarang kedengaran. Wajah mereka jarang-jarang kelihatan. Suara mereka juga amat minima sekali impaknya.

Di republik itu terdapat seorang manusia bernama Lee Kuan Yew. Sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra hinggalah ke hari ini, suara manusia itu sering nyaring dan lantang. Kadang-kadang garau dan meracau. Kadang-kadang sumbang dan rambang. Kadang-kadang celupar dan mungkin kurang ajar.

Bumiputera

Suara manusia ini telah banyak kali mengguris, mencalar dan melukakan banyak pihak di Malaysia. Hingga ke hari ini, parutnya masih jelas, pedihnya masih terasa. Parut yang pedih ini menjadi manifestasi hubungan Malaysia-Singapura yang sentiasa bergelora.

Kadang-kadang parut itu berdarah semula. Kadang-kadang pedih rasanya semakin menusuk jiwa. Semuanya bahana perilaku Singapura yang masih tidak reti untuk hidup berberjiran tetangga dengan penuh budi dan bahasa. Segala-galanya kerana Singapura seolah-olah merasakan dirinya adalah terhebat, terkaya dan terbijaksana!

Salah satu contoh keceluparan Lee Kuan Yew terkandung dalam kenyataannya pada 5 Mei 1965. Berita Harian memetik Lee Kuan Yew sebagai berkata pada Rabu, 5 Mei 1965, seperti berikut:

“Bahawa tidak ada satu pun dari ketiga kaum yang terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India, yang boleh mengaku bahawa mereka merupakan bumiputera lebih lama di Malaysia dari kaum-kaum lain kerana kesemuanya nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih dari 1000 tahun dahulu.”

Kenyataan di atas telah diulas oleh Dewan Masyarakat Mei 1965. Majalah itu menyatakan bahawa bila Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, mengatakan “tidak ada satu pun daripada tiga golongan kaum yang besar di Malaysia sekarang – Cina, Melayu dan India – boleh mendakwa yang mereka itu lebih bumiputera dari yang lain kerana semua nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih dari 1000 tahun yang lalu” maka dengan serta-merta ia telah mengapi-apikan perasaan dengki mendengki dan cemburu mencemburui di antara kaum-kaum yang sedang berhempas pulas hendak mencari dan mempertahankan perpaduan di negara ini.

Seterusnya, Dewan Masyarakat menyatakan bahawa “perkataan Lee Kuan Yew itu dengan serta-merta melukakan hati serta menimbulkan kemarahan orang Melayu kerana ia menafikan kebenaran sejarah yang telah membentuk dan mengabadikan satu perasaan dalam hati tiap-tiap orang bahawa negara ini ialah tanah air mereka yang mereka pusakai dari nenek moyang mereka semenjak bangsa Melayu wujud di muka bumi.”

Menghina

Setelah Singapura disingkirkan daripada Malaysia, Lee Kuan Yew tidak berhenti daripada mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang menyakitkan hati Malaysia. Pada 12 Mac 1977, dia mengeluarkan kenyataan menghina Johor kononnya sebagai negeri yang banyak kejadian jenayah seperti tembak-menembak, rompakan dan rampasan kereta.

Kenyataan ini terkandung dalam affidavit Lee Kuan Yew bertarikh 27 Januari 1997. Affidavit itu berkaitan samannya terhadap bekas calon pilihan raya Singapura, Tan Liang Hong.

Akibat kenyataan dalam affidavit itu, rakyat Malaysia dari pelbagai aliran politik pun marah. Mereka berdemonstrasi. Kerajaan Malaysia pula bertindak membekukan semua hubungan dua hala yang baru dengan Singapura. Sesudah itu barulah Lee Kuan Yew menuntut maaf.

Di samping kenyataan-kenyataan Lee Kuan Yew yang mengguris perasaan dan mencalarkan jiwa rakyat Malaysia, Singapura juga menyakiti hati Malaysia menerusi beberapa tindakan kerajaannya. Antaranya adalah tersiar dalam blog ini dengan jodol Malaysia-Singapura:Rentetan Sejarah Menyedihkan.

Mesra

Begitulah hakikatnya Singapura. Ironinya, pucuk kepimpinan Malaysia mutakhir nampaknya sangat mesra dengan republik tersebut. Sewaktu berada di Helsinki pun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menegaskan yang hubungan Malaysia-Singapura tetap akan berjalan baik. Berita sepenuhnya adalah seperti berikut:

HELSINKI 11 September 2006: Hubungan Malaysia dan Singapura tidak terencat ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kata beliau, perkara itu dinyatakannya semasa mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya daripada republik itu, Lee Hsein Loong.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyatakan cadangan Malaysia untuk membangunkan Koridor Pembangunan Johor Selatan bertujuan untuk menarik pelabur negara-negara lain melabur di kawasan ekonomi baru setaraf Shanzen, China. – Utusan Malaysia 12 September 2006.

Rakyat jelata Malaysia sewajarnya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah kerana menunjukkan sikap positif dan mesra kepada Singapura. Sikap ini selaras dengan Dasar Perkayakan Jiran Anda yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir sejak 1982.

Tetapi, nampaknya tidak ramai rakyat Malaysia terdorong berbuat demikian. Mereka dikatakan sinis terhadap apa yang sedang berlaku hari ini.

Mereka kesal bila beberapa syarikat milik kerajaan Singapura menguasai beberapa entiti korporat di Malaysia. Lebih dikesali kerana entiti perniagaan itu adalah syarikat milik kerajaan Malaysia.

Perkembangan ini, yang kononnya membabitkan penglibatan menantu Perdana Menteri, disifatkan oleh segelintir rakyat Malaysia sebagai sebahagian manifestasi Datuk Seri Abdullah kononnya hilang kawalan terhadap apa yang terjadi mutakhir ini.

Betul atau tidak, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Tetapi, inilah persepsi segolongan rakyat jelata terhadap apa yang sedang berlaku dalam konteks hubungan mutakhir Malaysia-Singapura di abad ke-21.

Kenyataan

Jadi, adakah kerana hakikat Malaysia terlalu memberikan muka kepada Singapura mutakhir ini, maka tidak ada siapa pun yang sensitif terhadap kenyataan Lee Kuan Yew, pada 15 Septembr 2006, dalam Utusan Malaysia 16 September 2006, dengan jodol SINGAPURA PERLU KATA TIDAK KEPADA JIRAN – KUAN YEW. SINGAPURA, seperti berikut:

SINGAPURA, 15 SEPTEMBER 2006: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini mempertahankan penguasaan parti pemerintah dalam kancah politik republik itu dan menyifatkan bahawa ia penting bagi negara, yang majoriti penduduknya masyarakat Cina, bersaing dengan dua negara jirannya, Malaysia dan Indonesia yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Berucap pada satu forum yang dianjurkan sempena mesyuarat melibatkan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa di sini, Lee Kuan Yew berkata, Singapura memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai keberanian dan kemahiran untuk berkata “tidak” kepada negara jiran mereka dalam cara yang baik dan terhormat.

Melalui kemahiran dan keberanian itu, katanya, tidak akan timbul sesebuah kerajaan melakukan sesuatu yang tidak munasabah.

Lee Kuan Yew berkata, sikap dua negara jirannya, Malaysia dan Indonesia terhadap republik itu banyak dipengaruhi oleh cara kerajaan mereka melayan masyarakat Cina yang menjadi kaum minoriti di sana.

“Negara jiran kami mempunyai masalah dengan penduduk Cina. Masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia sebenarnya rajin dan berjaya dalam sektor ekonomi yang diceburi.

“Namun yang menjadi permasalahan di sini ialah semakin rajin dan berjaya dalam bidang yang diceburi, masyarakat Cina dipinggirkan secara sistematik.

Indonesia dan Malaysia “mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut,” jelas beliau. - Reuters

Hasutan

Saya menyifatkan kenyataan di atas sebagai bukti Lee Kuan Yew seolah-olah mahu menpersenda-sendakan kerajaan Malaysia. Oleh itu, kenyataan di atas tidak boleh dipandang ringan. Ia juga seolah-olah mengandungi elemen hasutan. Ia membangkitkan persoalan-persoalan strategik seperti berikut:

1. Mengapakah ianya dikeluarkan hanya beberapa hari sesudah Datuk Seri Abdullah membuat kenyataan di Helsinki bahawa hubungan Malaysia-Singapura tidak terencat ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor?

2. Mengapakah kenyataan itu dibuat sewaktu menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, dikatakan sedang bertelingkah dengan komponen kelompok Cina dalam Barisan Nasional?

3. Mengapakah kenyataan itu buat sewaktu seorang pemimpin MCA diheboh-hebohkan sedang bermasalah dengan Kerajaan Malaysia atas soal peruntukan pendidikan di Johor Bahru, Johor?

4. Mengapakah kenyataan Lee Kuan Yew itu dibuat apabila Malaysia memasukki era pilihan raya umum mulai 2007?

Kenyataan Lee Kuan Yew seperti di atas adalah serius. Ia menimbulkan pelbagai implikasi. Ia juga mungkin mengandungi mesej-mesej tersirat. Jadi, apakah motif sebenar kenyataan itu? Mungkinkah motifnya adalah seperti berikut:

1. Memprovokasi serta mengapi-apikan rakyat Malaysia keturunan Cina supaya menentang Kerajaan Malaysia mutakhir menerusi pilihan raya umum akan datang?

2. Menggalakkan rakyat Malaysia keturunan Cina melemahkan kepimpinan dan pemerintahan Datuk Seri Abdullah?

3. Mengadu-dombakan Malaysia dengan Singapura?

4. Membuktikan bahawa politik Singapura adalah lebih matang daripada Malaysia?

5. Mendorong rakyat Singapura untuk membenci Malaysia?

Kesal

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat kesal dengan kenyataan Lee Kuan Yew seperti di atas. Sejak Sabtu 16 September 2006 hingga ke hari ini, saya ternanti-nantikan kenyataan balas yang tegas daripada kepimpinan Malaysia terhadap kenyataan berkenaan. Malangnya, hingga ke hari ini, tiada seorang pun pemimpin Malaysia nampaknya menyedari akan implikasi kenyataan itu.

Oleh itu, saya dengan rendah hati dan takzimnya menggesa Kerajaan Malaysia bertindaklah segera. Wisma Putra mestilah memanggil Pesuruhjaya Singapura di Kuala Lumpur dengan serta-merta untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila mengatakan bahawa “masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik” oleh Kerajaan Malaysia mutakhir ini.

Wisma Putra juga mesti mendapatkan penjelasan segera daripada Singapura, apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila menyatakan bahawa “Malaysia mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut.”

Sesudah itu, Kerajaan Malaysia mestilah bertindak dengan sewajar-wajarnya. Negara republik pulau yang luas sekangkang kera itu mestilah diinsafkan supaya ia berhenti daripada bertindak menimbulkan angkara diplomasi dengan Malaysia.

Akhir kata, insafilah bahawa hubungan diplomasi antara dua negara yang berjiran, merdeka, berdaulat dan berwibawa, mestilah dijalinkan atas prinsip keharmonia bersama, kemakmuran bersama, kesejahteraan bersama, keamanan bersama, dan kewujudan bersama.

Lee Kuan Yew mestilah difahamkan dengan hakikat diplomasi dan kejiranan seperti ini. Semua pihak di Singapura yang terus-menerus bersikap kiasu dan kiasi juga mesti menginsafi serta menerima prinsip-prinsp kejiran dan diplomasi seperti ini.

No comments: