Wednesday, September 20, 2006

SINGAPURA:
RUNDINGAN TERTUNGGAK DITANGGUH

KUALA LUMPUR 19 September 2006: Rundingan mengenai pelbagai isu dua hala tertunggak antara Malaysia dan Singapura masih ditangguhkan buat sementara waktu ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Joseph Salang.

“Kedua-dua negara berpendapat adalah lebih memanfaatkan buat masa ini untuk membina keyakinan bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama di pelbagai bidang,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mengenai adanya rundingan baru yang dibuat antara Kerajaan Malaysia dan Singapura dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak.

Antara isu yang masih tertunggak adalah penyemakan harga bekalan air mentah ke Singapura dan isu tanah KTM di Singapura.

Salang juga memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada 12 April 2006 telah memutuskan untuk menghentikan rundingan dengan Singapura mengenai isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Dengan ini, katanya, permintaan Singapura untuk mendapatkan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura juga tidak timbul.

Menjawab soalan tambahan, Salang berkata kerajaan sentiasa memastikan hubungan dua hala yang baik dengan negara-negara jiran termasuk Singapura.

“Dengan adanya keyakinan kedua-dua negara, kita mengharapkan bahawa akan diselesaikan isu-isu yang tertunggak,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Mahadzir Khir (BN-Sungai Petani), katanya kerajaan masih menunggu keputusan timbangtara di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu tertunggak Pulau Batu Putih yang juga membabitkan Singapura.

“Biarlah kita tunggu apa keputusannya (ICJ) nanti,” jelas beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm

[Kenyataan di atas mencerminkan bahawa Timbalan Menteri Luar dan kalangan Ahli Parlimen Malaysia pun tidak menyedari kenyataan Lee Kuan Yew pada 15 September 2006, seprti disiarkan dalam blog ini. Mungkin mereka tidak terbaca kenyataan itu. Tetapi, tidakkah menghairankan kalau Wisma Putra pun tidak menyedarinya!- Ruhanie Ahmad]

No comments: