Saturday, September 16, 2006

SINGAPURA PERLU KATA TIDAK
KEPADA JIRAN – KUAN YEW

SINGAPURA 15 SEPTEMBER 2006: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, hari ini mempertahankan penguasaan parti pemerintah dalam kancah politik republik itu dan menyifatkan bahawa ia penting bagi negara, yang majoriti penduduknya masyarakat Cina, bersaing dengan dua negara jirannya, Malaysia dan Indonesia yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Berucap pada satu forum yang dianjurkan sempena mesyuarat melibatkan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa di sini, Kuan Yew berkata, Singapura memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai keberanian dan kemahiran untuk berkata “tidak” kepada negara jiran mereka dalam cara yang baik dan terhormat.

Melalui kemahiran dan keberanian itu, katanya, tidak akan timbul sesebuah kerajaan melakukan sesuatu yang tidak munasabah.

Lee Kuan Yew berkata, sikap dua negara jirannya, Malaysia dan Indonesia terhadap republik itu banyak dipengaruhi oleh cara kerajaan mereka melayan masyarakat Cina yang menjadi kaum minoriti di sana.

“Negara jiran kami mempunyai masalah dengan penduduk Cina. Masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia sebenarnya rajin dan berjaya dalam sektor ekonomi yang diceburi.

“Namun yang menjadi permasalahan di sini ialah semakin rajin dan berjaya dalam bidang yang diceburi, masyarakat Cina dipinggirkan secara sistematik.

Indonesia dan Malaysia “mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut,” jelas beliau.
– Reuters

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm

[Blog ini akan menerbitkan satu artikel sebagai respons kepada kenyataan Lee Kuan Yew seperti di atas. Mengapakah agaknya kenyataan itu seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan?]

No comments: