Tuesday, September 26, 2006

KOMEN KUAN YEW
TAKTIK LAPUK’

KUALA LUMPUR 25 September 2006: Pergerakan Pemuda UMNO menganggap kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bahawa orang Cina di negara ini dipinggirkan secara sistematik sebagai taktik lapuk yang digunakan untuk menakutkan rakyat negara itu sendiri.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sudah menjadi kebiasaan Kuan Yew yang juga bekas Perdana Menteri republik itu membuat kritikan serta mencari keburukan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya dan juga Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Justeru, katanya, Pemuda UMNO mahu Kuan Yew supaya berhenti menggunakan taktik tersebut yang dilihat sebagai tidak menghiraukan perasaan jiran, berbaur hasutan serta boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.

“Ketika dia (Kuan Yew) menjadi Perdana Menteri Singapura dulu pun, semua sekolah Cina di negara itu ditutup.

“Sedangkan kerajaan Malaysia masih membenarkan sekolah Cina dibuka sehingga kini, termasuk sekolah persendirian,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew semasa mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di republik itu Jumaat lalu.

Menteri Mentor itu mendakwa bahawa orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Pemuda UMNO juga, kata Hishammuddin, menyarankan agar Kuan Yew dan Singapura lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Singapura sepatutnya bersyukur mendapat jiran yang baik seperti Malaysia,’’ katanya.

Beliau turut menyatakan, Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara ini mempunyai strategi dan pendekatan sendiri untuk mentadbir masyarakat majmuk Malaysia.

“Sekiranya Singapura tidak pernah menghiraukan komen dan pandangan pemimpin Malaysia mengenai kehidupan serta status orang Melayu di sana, maka Pemuda UMNO meminta supaya Kuan Yew sedar diri dan tidak masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran negara ini.

“BN lebih berpengalaman dalam aspek mengurus masyarakat pelbagai kaum dan sudah lama mempraktikkan formula perkongsian kuasa dalam kerajaan,’’ tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

No comments: