Wednesday, September 27, 2006

INDONESIA PANGGIL DUTA S'PURA
BERHUBUNG KOMEN KUAN YEW KAUM CINA

JAKARTA, 27 September 2006 (Bernama) - Kementerian Luar Indonesia telah memanggil Duta Singapura di Jakarta berhubung kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahawa kaum minoriti Cina di Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

"Kita telah memanggil Duta Singapura di sini hari ini setelah menerima arahan terus daripada Menteri Luar. Kita akan meminta penjelasan, dan menyerahkan nota bantahan kita kepada kerajaan Singapura," Ketua Setiausaha Kementerian Luar Imron Cotan dipetik akhbar "The Jakarta Post" sebagai berkata.

Menteri Luar Hassan Wirayuda kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain memanggil Duta Singapura Ashok Kumar Mirpuri, Imron berkata Kementerian Luar juga telah mengarahkan para pegawainya di Kedutaan Indonesia di Singapura untuk berjumpa para pegawai tinggi Kementerian Luar Singapura untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kami mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Tidak benar kaum etnik Cina di Indonesia dipinggirkan. Kita mempunyai menteri dan anggota parlimen yang berketurunan Cina," katanya.

Menurut laporan, Lee memberitahu satu forum di Singapura bahawa Malaysia dan Indonesia telah meminggirkan masyarakat Cina yang tinggal di negara mereka secara sistematik.

Kenyataan beliau itu telah menimbulkan kontroversi dengan para pemimpin Malaysia dilaporkan meminta Lee memohon maaf kerana kenyataan itu.

Sebelum ini, beberapa anggota parlimen Indonesia turut membidas kenyataan Lee itu dengan menuduhnya melakukan pembohongan dan mengancam perpaduan di Indonesia dan Asean, kata akhbar itu.

Mereka mendesak kerajaan supaya mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Singapura manakala menggesa Lee membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan menjelaskan kenapa beliau hanya merujuk kepada pemimpin dan rakyat Indonesia.

Menurut satu anggaran, rakyat Indonesia keturunan Cina terdiri daripada kira-kira tiga peratus atau sekitar 6.5 juta orang daripada seramai 220 juta orang penduduk negara itu.

Menurut akhbar itu, selain ketegangan hubungan antara masyarakat Islam dan kaum etnik Cina, hubungan Indonesia-Singapura juga sering tegang.

Sebagai contoh, menurut pakar-pakar, Lee telah membuat beberapa kenyataan yang negatif mengenai Indonesia sebelum ini, di mana yang terakhir adalah dengan sengaja dan dikaitkan dengan permintaan Indonesia supaya Singapura mengekstradisi ahli perniagaan Indonesia keturunan Cina yang terlibat dengan kes penggelapan wang di Indonesia yang telah melarikan diri ke Singapura bagi mengelak daripada didakwa.

Ramai rakyat Indonesia mendakwa Singapura dengan sengaja melambat-lambatkan perbincangan mengenai permohonan ekstradisi berkenaan untuk mengambil kesempatan daripada ahli perniagaan Cina yang melarikan diri ke negara itu setelah menggelapkan wang negara manakala sesetengah yang lain menyatakan kebimbangan mereka terhadap pengambilalihan beberapa syarikat milik negara oleh Singapura.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=222066

[Dalam artikel saya bertajuk Republik Kangkang Kera Jangan Timbul Angkara, yang saya siarkan dalam
www.kuda-kepang.blogspot.com dan disiarkan oleh www.agenddaily.com serta www.generasi-m.com saya telah membuat cadangan seperti berikut:

Wisma Putra mestilah memanggil Pesuruhjaya Singapura di Kuala Lumpur dengan serta-merta untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila mengatakan bahawa “masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik” oleh Kerajaan Malaysia mutakhir ini.

Wisma Putra juga mesti mendapatkan penjelasan segera daripada Singapura, apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila menyatakan bahawa “Malaysia mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut.”

Sesudah itu, Kerajaan Malaysia mestilah bertindak dengan sewajar-wajarnya. Negara republik pulau yang luas sekangkang kera itu mestilah diinsafkan supaya ia berhenti daripada bertindak menimbulkan angkara diplomasi dengan Malaysia.

Akhir kata, insafilah bahawa hubungan diplomasi antara dua negara yang berjiran, merdeka, berdaulat dan berwibawa, mestilah dijalinkan atas prinsip keharmonia bersama, kemakmuran bersama, kesejahteraan bersama, keamanan bersama, dan kewujudan bersama.

Lee Kuan Yew mestilah difahamkan dengan hakikat diplomasi dan kejiranan seperti ini. Semua pihak di Singapura yang terus-menerus bersikap kiasu dan kiasi juga mesti menginsafi serta menerima prinsip-prinsp kejiran dan diplomasi seperti ini.

Hingga ke hari ini, banyak pihak di Malaysia sudah pun bersuara mengenai Lee Kuan Yew. Daripada Perdana Menteri, bawalah kepada Timbalan Perdana Menteri dan lain-lainnya. Tetapi, semuanya terlalu berdiplomasi, walaupun Lee Kuan Yew terang-terang celupar dan menghasut.

Inilah Malaysia. Ia berbeza dengan Indonesia yang mengambil tindakan tegas memanggil Duta Singapura untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan apa sebenarnya maksud Lee Kuan Yew. – Ruhanie Ahmad.]


No comments: