Wednesday, September 20, 2006

BENARKAH PAK LAH
HILANG KAWALAN?

Sehari dua ini, polemik politik paling panas dan menarik adalah mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Havana, Cuba, bahawa beliau tidak hilang kawalan terhadap kerajaan pimpinannya. Saya tidak termampu mempertikaikan kenyataan itu. Bagaimanapun, saya petik pandangan di bawah ini daripada cuitsikit.blogspot.com untuk memberikan pendapat alternatif kepada pembaca.

PAK LAH & FAKTA:
REALITI ATAU KHAYALAN (7)
dipetik daripada
http://cuitsikit.blogspot.com/2006/09/pak-lah-fakta-realiti-atau-khayalan-7.html


25 Pertanyaan untuk kenyataan ini

"Saya tidak hilang kawalan. Saya punya cara sendiri," kata Pak Lah di Havana.

Setelah sekian banyak memerhati kenyataan Perdana Menteri kita, saya telah sampai ke kesimpulan bahawa beliau sememangnya hilang kawalan. Apakah beliau tidak hilang kawalan sekiranya beliau langsung tidak menyedari:

1. Penjualan Pantai Holdings Berhad kepada Parkway yang menjadi isu berbulan-bulan lamanya sebelum wawancara popular PM yang mendakwa tiada syarikat Malaysia diambil alih oleh syarikat Singapura. Bukankah ini tanda jelas beliau sudah hilang kawalan walaupun membabitkan kementerian bawah jagaannya sendiri?

2. "i don't know. I'm not involved in anyway." kata Pak Lah bila ditanya mengenai penggabungan ECM Libra (yang menantunya ada kepentingan) dengan Avenue Capital Resources Berhad milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF inc.). Apabila Menteri Kewangan menyatakan beliau tidak terbabit dalam urusan penggabungan syarikat dibawahnya bukankah bermakna beliau telah hilang kawalan?

3. Apakah beliau tidak hilang kawalan jika tekanan dan permintaan orang Melayu dan UMNO supaya NST dikembalikan kepada pengawalan orang Melayu dan UMNO tidak dapat beliau laksanakan?

4. Apakah beliau tidak hilang kawalan apabila gagal mengambil sebarang tindakan ke atas Kalimullah yang mempertahankan kenyataan bahawa Perdana Menteri mengubah keputusan di saat terakhir dalam isu pembelian DRB-Hicom oleh Syed Mokhtar.

[NST sebelum itu melaporkan Tan Sri Nasimuddin sebagai pemenang dalam bida membeli DRB Hicom. Namun keputusan kerajaan menjual kepentingan DRB Hicom kepada Syed Mokhtar menyebabkan, NST menanggung malu kerana telebih dahulu mengisytiharkan berita kemenangan Nasimudin. Sungguhpun Pak Lah menafikan berlaku perubahan saat terakhir, namun NST ketika itu tetap mempertahankan bahawa Pak Lah mengubah keputusan saat terakhir.]

5. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila terpaksa membatalkan jambatan bengkok pada April 2006. Sedangkan pada Februari 2006 beliau sendiri menegaskan "not building the bridge is not an option."

6. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila arahan beliau supaya kerajaan menjawab dakwaan Tun Dr. Mahathir bahawa Malaysia yang terlebih dahulu menawarkan pasir kepada Singapura dalam rundingan pembinaan jambatan tidak dipatuhi sehingga sekarang?

7. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia - Jepun amat berat sebelah dan merugikan Malaysia?

8. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Kalimullah (yang juga merupakan rakan niaga menantunya) yang menipu pembaca seluruh negara dengan mendakwa Dr. Mahathir yang memohon untuk berjumpa Pak Lah di Jepun?

9. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila beliau menganggap Idris Jala adalah seorang muslim semasa dilantik mengetuai MAS. (Bukan isunya Idris Jala muslim atau tidak untuk mengetuai MAS. Apa yang ingin diketangahkan ialah PM tidak melakukan sebarang penelitian yang rapi dalam perlantikan yang begitu penting).

10. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila beliau kelam kabut menghantar menteri memohon maaf kepada negara China dalam isu ketuk ketampi bogel oleh seorang wanita yang didakwa oleh pembangkang sebagai warga China. Sedangkan kemudiannya terbukti wanita tersebut bukan cina dan warga Malaysia.

11. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila menerima cadangan rasionalisasi MAS oleh budak-budak tingkat 4 sehingga hampir melingkupkan MAS?

12. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila dengan segera memenuhi permintaan Air Asia untuk membina terminal tambang murah (LCT) berharga RM 100 juta sedangkan terminal sedia ada mampu menyediakan ruang untuk air asia.

13. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila banyak isu semasa tidak dimaklumkan dengan teliti kepada beliau oleh budak-budak tingkat 4 sehingga menyebabkan beliau kelihatan tidak memahami keadaan dan kemarahan rakyat.

14. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila beliau melaporkan kembali komen dan pandangan seorang Menteri mengenai Khairy kepada menantunya itu.

15. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila membenarkan menantunya yang baru beberapa tahun menyertai UMNO terbabit dalam menemuduga beberapa calon pilihan raya BN 2004 termasuk seorang presiden parti komponen kecil BN?

16. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila semakin ramai para sahabat beliau di BTN dan dalam politik yang kian menjauhkan diri kerana disisih oleh budak-budak tingkat 4.

17. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila TV3 yang diketuai oleh bekas Setiausaha Akhbarnya sendiri membenarkan rakaman wawancaranya yang kurang teliti itu disiarkan?

18. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila kenaikan harga petrol turut diikuti kenaikan harga barang, cukai pintu, dan kadar faedah bank?

19. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila membenarkan dirinya dipergunakan oleh Patrick Lim untuk penganjuran Moonson Cup tanpa pembinaan iinfrastruktur mahu pun pulangan ekonomi dengan bajet RM 200 juta?

20. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila turun untuk melihat proses pemilihan Myteam milik menantunya tetapi tidak pernah sekali pun hadir melihat latihan mahu pun perlawanan skuad negara.

21. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila, setelah berbulan-bulan krisis gula belum selesai?

22. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila beliau langsung tidak menyedari kemarahan Tun Dr. Mahathir sehingga nasi menjadi bubur?

23. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila para pembantunya terus menarik semua keistimewaan Tun Dr. Mahathir semasa bekas Perdana Menteri tersebut sedang bercuti dan Pak Lah baru memangku jawatan Perdana Menteri (akhir Oktober 2003) tanpa pengetahuan beliau?

24. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila tidak ada satu sen pun dana mahu pun wang diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana sejak penubuhannya?

25. Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila kerajaan juga sengaja tidak meneruskan kerja pembinaan jambatan berhampiran bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana?

Apakah Pak Lah tidak hilang kawalan apabila kenyataan beliau seringkali bercanggah dengan realiti semasa.

Sebenarnya, Pak Lah sudah hilang kawalan pada saat beliau tidak lagi menguasai maklumat dan fakta. Para pembantunya meletakkan beliau dalam dunia halusinasi yang tidak dapat membezakan antara realiti dan khayalan supaya mudah mereka memanipulasi keadaan.

http://cuitsikit.blogspot.com/2006/09/pak-lah-fakta-realiti-atau-khayalan-7.html


No comments: