Monday, September 18, 2006

SAYA TAK HILANG KAWALAN’
PEMBAHARUAN DIBUAT IKUT CARA SENDIRI
MATLAMAT TETAP SAMA – PM

HAVANA 17 September 2006; ‘‘Saya tidak hilang kawalan (lost control)... dan saya lakukan pembaharuan mengikut cara saya, matlamatnya tetap sama.” Itulah antara jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada pandangan terhadap kepimpinannya.

Kata beliau, pembaharuan itu pula tidak boleh dibuat dan diperoleh hasilnya dalam sehari, sebaliknya ia usaha berterusan.

Bagi menjayakan pembaharuan, kata Abdullah, beliau tiada masalah mendapatkan kerjasama sama ada dalam Barisan Nasional, UMNO ataupun dalam kalangan anggota Kabinet.

“Mungkin ada pandangan dan pendapat jemaah menteri yang nampak bercanggah dan itu dihukum sebagai lost control. Pertelingkahan idea di luar sebegitu bukanlah bermakna kehilangan kawalan,” katanya pada sidang akhbar untuk wartawan Malaysia di Pusat Media Antarabangsa di sini. Ia diadakan selepas sidang akhbar terbuka untuk semua media pada akhir sidang kemuncak Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

Beliau ditanya mengenai kenyataan Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim di Dewan Rakyat minggu lepas terhadap beliau sejak menerajui kerajaan tiga tahun lepas.
Perdana Menteri menjelaskan kerajaan pimpinannya sentiasa berpegang kepada pendapat bahawa ‘kekuatan parti menyokong kerajaan, kekuatan kerajaan pula menyokong parti.’

“Kedua-duanya amat diperlukan, kedua- duanya mesti dikelolakan,” katanya sambil menambah beliau tidak boleh berbuat apa- apa jika ada pandangan mengatakan beliau lost control kerana itu pandangan orang yang tidak faham.

Menurut Abdullah, sebarang perbezaan pandangan akan dibawa ke Kabinet dan itu sentiasa diperbetulkan walaupun keadaan sedemikian bukan berlaku saban hari.
“Itulah cara saya bertindak. Semua orang mempunyai cara sendiri untuk melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat. Matlamat tetap di depan dan tidak berubah tetapi cara itu adalah cara saya,” kata beliau.

Jelas Abdullah, semua tindakan yang diambil adalah tindakan serta keputusan Kabinet dan semua perkembangan dalam Kabinet sentiasa dilaporkan kepada Majlis Tertinggi UMNO bagi memperoleh pandangan mengenai apa yang telah dibincangkan oleh Kabinet.

‘‘Itulah cara saya bertindak. Semua orang mempunyai cara sendiri untuk melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat. Matlamat tetap di depan dan tidak berubah tetapi cara itu adalah cara saya,” kata beliau.

Di Parlimen sekarang pula, kerajaan telah memberi laluan kepada penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan bagi meneliti banyak perkara dan memberi kesempatan kepada penyokong kerajaan serta pembangkang untuk menzahirkan pandangan mereka, katanya.

‘‘Itu sebenarnya cara Parlimen dan juga perubahan yang kita bawa...membolehkan mereka mengkritik kerajaan tetapi biarlah dengan niat membina, bukan dengan niat untuk mewujudkan kontroversi. Itu yang berlaku pada waktu ini.

‘‘Bukanlah kita lupa soal pembaharuan. Ia tidak boleh dilaksanakan dan peroleh hasilnya dengan cepat... tidak boleh secara tiba-tiba dapat hasilnya.

‘‘Saya lebih suka jika lambat sedikit pun tidak mengapa asalkan kita dapat menghalusi segala perkara yang berkaitan dengan sesuatu isu yang dikendalikan,” kata Abdullah sambil menyatakan jawatankuasa juga ditubuh melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang dianggap rumit.

Dalam perkhidmatan awam yang memerlukan perubahan mental misalnya, Abdullah menjelaskan sistem yang diasaskan bagi mengurangkan birokrasi perlulah diperbaiki.

‘‘Pihak pegawai kerajaan mesti bersedia membantu untuk memudahkan cara bukan menyusahkannya,” jelas beliau.

Contoh lain, katanya, Institut Integriti Kebangsaan telah pun ditubuhkan dan kini menawarkan kursus-kursus yang berkaitan.

‘‘Badan Pencegah Rasuah pula telah memberi lebih perhatian dan tindakan bagi mencegah amalan rasuah,” jelasnya. – Othman Mohamad, Utusan Malaysia 18 September 2996.

4 comments:

kain aku said...

saying that he is in control, in Havana??? why not do that in home-land, i wonder...

A Voice said...

Baca jawapan yang baik kepada "Saya tidak hilang kawalan. Saya punya cara sendiri," kata Pak Lah di Havana, yang bertajuk Pak Lah & Fakta: Realiti atau Khayalan (7) - 25 Pertanyaan untuk kenyataan ini di
http://cuitsikit.blogspot.com/2006/09/pak-lah-fakta-realiti-atau-khayalan-7.html

paklah said...

Pak Lah telah dikenali sebagai pembohong, jadi bila dia berkata "I am in control" maksudnya "I am not in control". Cakaplah di negara sendiri, pasal apa perlu heboh di Havana?

kuruksemangat said...

Ya...memudahkan cara untuk mendapat projek secara haram. Tepuk dada tanya iman(kalau masih ada)

Ingat sumpah orang minyak...di padang mahsyar bolehkah minyak k
laut dalam sabah tu hilangkan dahaga? Cuba hang bincang dengan musa aman....