Wednesday, September 20, 2006


PBB LULUS PENGHANTARAN
TENTERA MALAYSIA KE LUBNAN

NEW YORK, 20 September 2006: (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan penghantaran 360 tentera pengaman Malaysia ke Lubnan.

Perdana Menteri memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa perkara itu telah dinyatakan kepadanya semasa perbincangannya dengan Setiausaha Agung PBB Kofi Annan pada Selasa.

Malaysia, yang juga pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sebelum ini bercadang menghantar 1,000 anggota tentera untuk menyertai Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL).

Daripada 360 anggota itu, 160 akan berkhidmat dengan pasukan khas manakala selebihnya ditempatkan di bahagian logistik dan pengurusan UNIFIL.

"Mereka boleh dikerahkan pada bila-bila masa. Dan Kementerian Pertahanan telah dimaklumkan mengenai keputusan PBB itu," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke New York di mana beliau akan berucap pada sesi ke-61 Perhimpunan Agung PBB pada Rabu.

"Kita telah menyatakan dari peringkat awal lagi bahawa kita bersedia menyumbangkan 1,000 tentera pengaman di bawah panji-panji PBB. Justeru, kita harus menunggu. Sekiranya terdapat permintaan untuk menghantar lebih ramai anggota tentera, kita akan menghantarnya," katanya.

Israel sebelum ini membantah hasrat negara-negara yang tidak mengiktirafnya untuk menghantar tentera pengaman ke Lubnan bagi mengawal selia gencatan senjata yang diterajui PBB berikutan konflik yang berlangsung selama 34 hari antara tentera Israel dan pejuang Hizbulllah di selatan Lubnan.

Abdullah mengucapkan terima kasih kepada PBB terutama kepada Annan kerana menerima permintaan Malaysia untuk menghantar pasukan tenteranya ke Lubnan di mana lebih 1,000 orang terbunuh dalam peperangan antara Israel dan Hizbullah.- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=220766

No comments: