Tuesday, March 27, 2007

Reaksi Kenyataan
Tun Musa Hitam
Bahagian Kedua:

Dasar Kebumiputeraan Di WPI
Mencurah Minyak Ke dalam Api?
Oleh Ruhanie Ahmad

Cadangan Tun Musa Hitam supaya kerajaan meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan dalam memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor diibaratkan sebagai tindakan mencurah minyak ke atas longgokan bara yang sedang menyemarak.

Sebab itulah implikasi kepada kenyataan itu sedang hangat dibahas, dipolemik dan dipolitikkan secara meluas oleh majoriti rakyat, biarpun dari kalangan UMNO atau bukan UMNO, baik di kalangan Melayu-Bumiputra atau sebaliknya.

Contohnya, saya difahamkan, pada jam 3.30 petang, Khamis 29 Mac 2007 ini, satu cawangan UMNO di Johor akan menganjurkan satu seminar bertajuk Melayu Ke arah Globalisasi. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dijangka hadir. Kemungkinan besar kenyataan Tun Musa akan dikupas dan dibahaskan di seminar tersebut. Venue seminar: Dewan Putri, Club Taman Putri, Kulai, Johor.

Satu lagi contoh. Saya juga difahamkan bahawa satu ceramah untuk mengupas kenyataan Tun Musa juga dijangka diadakan di Universiti Malaya dalam tempoh terdekat ini. Usaha ini dikatakan membabitkan segolongan aktivis Melayu-Bumiputera. [Nota: Maklumat terbaru. Majlis ini adalah Syarahan Perdana oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Tajuk: Visi Dan Falsafah Pembangunan Tun Razak & Kepentingan DEB. 3.00 petang, Jumaat, 30 Mac 2007, di Dewan Kuliah Akademi Islam, Universiti Malaya. Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka turut hadir.]

Pandangan umum mengenai kenyataan Tun Musa kini digandingi sentimen yang berbeza-beza dari kaca mata Melayu-Bumiputra dan sebaliknya. Saya sendiri pun meluap-luap dengan aneka cetusan jiwa.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat dengan Tun Musa selama hampir lima tahun, saya cukup kaget dengan kenyataan berkenaan. Bagaimanapun, saya pasti kenyataan, cadangan, atau pandangan Tun Musa itu telah dicerna, dituntas dan dirincikan semasak-masaknya. Oleh itu, saya rasa Tun Musa juga sudah mempunyai persiapan mental untuk menghadapi apa jua konsekuens yang muncul akibat kenyataan beliau tempoh hari.

Political Animal

Saya beranggapan begini bukan untuk mempertahankan Tun Musa. Beliau tidak memerlukan sesiapa untuk mempertahankan dirinya dalam hal ini. Tun Musa adalah seorang ‘political animal’ yang cukup berpengalaman!!

Tetapi, saya beranggapan begini kerana lazimnya Tun Musa adalah seorang yang amat articulate dan teliti terhadap apa jua kenyataan, tindakan dan keputusannya.

Saya juga beranggapan begini kerana saya pasti bahawa cadangan, kenyataan, atau pandangan Tun Musa itu dicetuskan kepada masyarakat umum berasaskan satu kebijaksanaan (wisdom) yang mungkin belum sempat diperjelaskan secara terperinci, sama ada oleh Tun Musa sendiri, oleh Khazanah Nasional, mahupun oleh Perdana Menteri.

Kalau inilah hakikatnya, Tun Musa boleh dikatakan telah membuat satu kesilapan yang stratgik kerana “jumping the gun” tanpa terlebih dulu berusaha “preparing and conditioning the minds” orang Melayu-Bumiputera mengenai usaha meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di WPI.

Lantaran itulah Tun Musa kelihatan seolah-olah bertindak mengkhianati orang Melayu, mengkhianati semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini diserapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang muncul bersama Plan Persfektif Ekonomi ke-3, mengkhianati Fasal 153 Perlembagaan Malaysia, dan juga mengkhianati beberapa peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.

Faktor

Pada pendapat saya yang cetek ini, terdapat beberapa faktor yang mendorong cetusan negatif terhadap Tun Musa akibat kenyataan, cadangan atau pandangannya mengenai peminggiran dasar-desar kebumiputeraan di WPI. Antaranya adalah seperti berikut:

Pertama: Semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB yang kemudiannya diserapkan ke dalam DPN, sudah meresap ke dalam jiwa, minda, darah dan daging orang Melayu-Bumiputera sejak hampir 37 lamanya. Sebab itulah bila mana-mana aspek dasar kebumiputeraan ini cuba dipersoalkan atau pun cuba diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, waimah oleh tokoh-tokoh Melayu yang terbilang, pastinya tindakan ini mencetuskan kekeliruan dan kemarahan yang spontan dan serius.

Kedua: Semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB atau DPN ini juga bersumberkan Fasal 153 Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan hak-hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera. Lantaran itu, sebarang usaha untuk memansuhkannya, walaupun sekadar tertumpu kepada sesuatu wilayah pembangunan tertentu sahaja, tentulah usaha berkenaan disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada Perlembagaan Malaysia.

Ketiga: Bagi keluarga besar UMNO, kenyataan Tun Musa disifatkan sebagai mencanggahi beberapa fasal yang membabitkan ekonomi dan kesejahteraan Melayu-Bumiputera, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti tersebut. Oleh itu, walaupun keadaannya agak tenang di kalangan UMNO pada masa ini, musuh-musuh UMNO tentu akan mengeksploitasikan kenyataan, cadangan atau pandangan Tun Musa ini sebagai usaha memindahkan sokongan Melayu-Bumiputera UMNO kepada pihak pembangkang Melayu.

Keempat: Olehkerana semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB-DPN juga merangkumi aspek kebumiputeraan dalam banyak cabang kehidupan, termasuk pendidikan dan peluang pekerjaan, tentu sekali masyarakat Melayu-Bumiputera jadi kecewa, marah, bimbang dan ragu kalau-kalau usaha meminggirkan elemen kebumiputeraan di WPI ini pula akan diperluaskan kepada soal-soal pendidikan, kerjaya dan lain-lainnya di hari muka.

Persepsi

Di samping faktor-faktor di atas, ledakan rasa marah dan kecewa segolongan Melayu-Bumiputera terhadap Tun Musa ketika ini juga didorong oleh beberapa persepsi yang lahir bersama kewujudan WPI. Ini kerana kemunculan WPI yang agak mendadak disifatkan lebih mendukung kepentingan asing. Antara persepsi ini wujud akibat berikut:

Pertama: Pembangunan WPI tidak direncanakan oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPEN). Sebaliknya, projek mega itu dikendalikan oleh Khazanah Nasional. Hakikat ini dicurigai kerana Khazanah Nasional didakwa sebagai penuh dengan kroni Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri. Salah seorang pakar ekonomi dalam Khazanah Nasional pula dipercayai seorang warganegara Singapura. Lantaran itu, bertambah-tambah kecewa dan marahlah segolongan Melayu-Bumiputera bila Tun Musa mencadangkan supaya dasar-dasar kebumiputeraan dikecualikan di WPI.

Kedua: Segolongan rakyat Melayu-Bumiputera kini menyifatkan kawasan WPI sebagai extension kepada Singapura. Persepsi seperti ini menyebabkan golongan berkenaan jadi lebih prejudis terhadap WPI. Mereka juga jadi lebih kecewa dan lebih marah akibat arrogance dan sifat kiasu kumpulan elit di Singapura. Kecewaan dan kemarahan ini sudah terpendam dan membara buat sekian lama dan menunggu masa untuk meletus dan meletup. Sebab itulah rasa marah dan kecewa di sebalik persepsi ini diluah dan dicurahkan secara terbuka, khususnya menerusi internet, sebaik sahaja Tun Musa menyatakan bahawa dasar-dasar kebumiputeraan hendak diketepikan dalam pelaksanaan WPI. Sebab itulah sebilangan Melayu-Bumiputera menyifatkan kenyataan, cadangan atau pandangan Tun Musa sebagai usaha menggadaikan maruah serta kedaulatan Malaysia kepada pihak asing.

Ketiga: Segolongan Melayu-Bumiputera amat kecewa dengan Khazanah Nasional dan kepimpinan negara kerana mewujudkan Free Access Zone (FAZ) di WPI. FAZ ini disifatkan sebagai ‘penyerahan’ sebahagian bumi Malaysia dan Johor yang berdaulat dan merdeka kepada pihak asing. Kekcewaan ini juga menunggu masa untuk meletus. Sebab itulah kekecewaan dan kemarahan ini diletuskan bila Tun Musa membuat kenyataannya tempoh hari.

Keempat: Kini wujud persepsi umum bahawa WPI kononnya diwujudkan atas desakan Singapura yang disokong oleh sesetengah kuasa besar tertentu. Persepsi ini mungkin liar dan sembrono. Apa pun, persepsi ini juga menimbulkan kemarahan dan kekecewaan yang menanti masa untuk diluahkan kepada umum. Dan, kenyataan Tun Musa pun menjadi pemangkin utama untuk meledakkan rasa kecewa dan kemarahan tersebut kepada umum.

Anti-Singapura

Kelima: Kini wujud sentimen anti-Singapura di Indonesia dan Thailand, terutama sekali berikutan pelaburan sebuah syarikat milik negara Singapura di negara-negara tersebut. Sentimen seperti ini juga wujud di Malaysia kerana syarikat yang sama pun sudah mula aktif di negara ini, kononnya atas tajaan sesetengah individu yang rapat dengan pucuk kepimpinan negara. Sentimen ini sudah banyak disuarakan. Sebab itulah kenyataan Tun Musa disifatkan sebagai salah satu usaha melindungi aktiviti syarikat-syarikat asing seperti ini. Sebab itulah juga kenyataan beliau kini menjadikan debat dan polemik mengenai syarikat ini semakin segar dan meluas.

Demikianlah antara faktor dan persepsi umum mengenai WPI pada hari ini. Demikian jugalah faktor dan persepsi umum yang menyebabkan segolongan rakyat jelata Malaysia jadi lebih kecewa dan lebih marah bila Tun Musa mencadangkan dasar-dasar kebumiputeraan dipinggirkan di WPI.

Ini bermakna bahawa kalau hari ini ramai rakyat Malaysia yang kesal, yang marah dan yang kecewa dengan Tun Musa, kemarahan, kekecewaan dan kekesalan itu sebenarnya bukan hanya disebabkan oleh kenyataan Tun Musa sahaja. Segala persepsi umum seperti yang saya huraikan di atas juga menyumbang kepada apa yang sedang menggelegak ketika ini.

Dalam senario seperti ini, siapakah yang harus dipersalahkan kalau segolongan rakyat jelata Malaysia merasa kecewa dan marah ke peringkat yang maksima? Adakah Tun Musa menyedari bahawa senario seperti ini akan muncul akibat kenyataannya? Mengapakah Perdana Menteri sendiri tidak membuat kenyataan seperti ini?

Dan, bukankah usaha meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan ini merupakan suatu tindakan yang strategik? Kalau begitu, mengapakah hakikat peminggiran dasar-dasar kebumiputeraan di WPI ini tidak dibincangkan terlebih dulu dengan wakil-wakil politik dan NGO Melayu-Bumiputra daripada seluruh negara? [bersambung dalam bahagian ketiga]

8 comments:

Unknown said...

"Dalam senario seperti ini, siapakah yang harus dipersalahkan kalau segolongan rakyat jelata Malaysia merasa kecewa dan marah ke peringkat yang maksima? Adakah Tun Musa menyedari bahawa senario seperti ini akan muncul akibat kenyataannya? Mengapakah Perdana Menteri sendiri tidak membuat kenyataan seperti ini?"

Dato, saya rasa semua kemungkinan ada rasionalnya, namun saya merasakan (bukan hendak mempertahankan Tun Musa)Tun Musa telah dipergunakan oleh Perdana Menteri dan penasihat-penasihatnya. Saya pasti sebelum Tun Musa mengeluarkan kenyataan mengenai peminggiran bumiputra, beliau tentunya sudah memaklumkan ideanya itu kepada PM. Inilah peluang untuk PM kalau orang marah yang kena Tun Musa. Lagi satu Dato, saya hairan mana suara Pemuda dengan Ketuanya yang telah menghunus keris demi mempertahankan hak Melayu? Beliau dengan penuh semangat memberi amaran kepada bukan bumiputra yang menyoal akan keistimewaan orang Melayu, tetapi kini senyap membisu apabila ada Melayu yang menyoal dan malah mengusulkan untuk menghapuskan keistemewaan tersebut..MENGAPA SENYAP? MENGAPA MENJADI BACUL? Inilah masanya tunjukan taring dan hunuslah keris mu!

wong soga said...

salaam tok,

wah... sekali ini kita angkat topi! barangkali tok mahu bertafakur sejenak untuk merenung mata-mata serampang dalam kenyataannya itu?

ikut hemat kami, jawapan sudah ada pada datuk, cuma berasa sedikit 'segan' (kata orang utara) nak sebut, apakah ke arah itu sebetulnya? memang itulah!

itu tun musa yang kami perhatikan sejak dahulu. dia takkan buka mulut sesuka hati. barangkali kita perlu ingat kembali, beliau satu-satunya tokoh melayu yang lantang membidas 'politik wang' a.k.a. rasuah dalam umno. dia sahaja yang berani menegur belukang-belukang dalam umno. datuk berani?

rasanya beliau sudah bosan, dan tak sanggup lagi melihat sang oportunis politik paling mutakhir itu memanipulasi program pembangunan wpi. maaf cakap, tapi dalam keadaan pak lah sekarang yang pada pandangan umum melayu (general malay view) seakan-akan sudah hilang punca dan arah mengenai tingkah-laku si fulan, dan khazanah nasional pula seperti kwalahan dengan karenah si fulan itu, kepada siapa lagi yang boleh kita menaruh harapan, jikalau tidak kepada tun musa? siapa orangnya dalam umno sekarang yang punya keberanian, dan kesanggupan untuk menantang serakah si fulan itu?

tok, ini manipulasi peringkat tinggi, dan rasanya haruslah pula ditangani dengan jalan tinggi juga.

nak diharapkan pemuda umno tidak memenangkan si fulan dalam pemilihan, pemilihan pula ditangguh-tangguhkan. nak diharapkan datuk hishamuddin melipat sayap si fulan, dia pula seperti dah selit ekor di kelengkang. nak menegur, timbalan presiden tak mahu dianggap pukul fulan sindir pak mentua.

jadi, siapa yang datuk fikir boleh diharap nak 'check' kemaruk kuda kepang si fulan itu? siapa tok?

sekejap dulu tun mahathir dah luahkan isi hatinya, tetapi umumnya orang umno dan melayu tak ambil peduli. malah dia pula kena maki.

dalam diam-diam berbilion-bilion duit kita (yang bekerjalah) dalam epf kena manipulasi untuk membiayai program 'private inisiatif projects' kerajaan sekarang. pernah datuk tanya, berapa kadar pinjaman itu? pernah datuk tanya, pihak mana yang disenarai sebagai 'private enterprises' yang dah 'chup' (ejaan lama) projek-projek itu? atau, datuk pun dah dapat projek ke?

sekarang wpi pula. kalau dalam loghat bapa angkat kami di kolo sawahlah, dia akan kata, "apo ke jadah ko masuk umah oghang tu jang, ooi?"

apapun, ini semua virus yang dah buat orang umno tenat, sebab tak nak ambil peduli teguran tun musa dahulu. dah 'paralised' ke tidak, dah sedar ke belum lagi orang umno dan melayu, kita belum tahu lagi. kita tengoklah sejauh mana orang memandang dan menilai kenyataan tun musa itu.

dalam hemat kami, lebih kurang macam itulah. betul tidaknya, kami tak tahu. selain Tuhan, tun musa tahu. barangkali datuk shahril juga tahu. perihal tok menteri besar tu, kami tak tahu, sebab sedang kita semua terbangak-bangak menilai wpi, dia umum pula 'waterfront city' bakal dimajukan oleh vincent tan!

"seng koyok ngonoolaaah gawe nane. emboh opo karepei?"

wong soga
dari parit botak

Mika Angel-0 said...

Geliga Kuda Kepang

Kuda ku lari gagah berani
ayuh lari!
(Don't forget your geliga
naga, Datuk Ron)

Tak lama lagi loceng berbunyi
Panggil Indah water panggil Bomba
Johor berasap
macam api dalam sekam
macam kemeyang menjamu keris

Aku sangsi, saudara terhormat
Cucu Tok Guru telah membaca jampi
si-bongkok, nadim dan lainnya
kena hembus - terpukau!

Heeyah!
Bayang-bayang mengelak terjahan
macam orang minyak bersama embun malam
lari lintang pukang!

wutever said...

kita dah kata dah....puak2 nih memang x boleh harap...kita kata depa tak pakai...apa tunggu lagi...talkin saja puak2 ni dalam PRU 12 nanti...

Radzian said...

Assalamualaikum,

For once , I could hear a few malays focusing attention to the fate of our race. In this world where "dog eat dog", it means a struggle to survive. Hang Tuah telah menyatakan "Tidak akan Hilang Melayu Dari Dunia", ayat diatas perlu disambung dengan "Selagi Ada Insan Yang Memperjuangkan Kewujudan Mereka di muka bumi ini".

Dan bukankah di Al Quran sendiri ada menyatakan , "Nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah melainkan kaum itu berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri".

Apa yang saya nyatakan itu tidak ada kaitan dengan apa yang Tun Musa katakan semasa di WIP. Tetapi apa yang saya cuba maksudkan adalah keikhlasan Dato' menyelami pemikiran Melayu dan menyelami pemikiran Tun Musa.

Untuk tidak menerima sesuatu separuh masak, saya harap Tun Musa boleh memperjelaskan apa yang cuba di perkatakan..mungkin ada kurang dengan statement yang lepas. This will clear the air.

Bukankah hidup ini sendiri satu perjuangan ? Perjuangan itu perlu disertai dengan kebijaksanaan.

marakarma said...

TUN MUSA SURUH HAPUS DI WPI, NUAR SURUH HAPUS SEMUA= APA PENDAPAT DATUK???



Anwar "hapuskan hak keistimewaan Melayu"

--------------------------------------------------------------------------------



Hit = [ 127 ]
sumber: www.umno-reform.com

Sistem Keistimewaan Melayu sudah lapuk dan korup katanya. Sistem ini sudah lapuk dan dicemari kerana hanya segelintir Melayu yang ada hubungan dengan orang berpengaruh telah mendapat menafaat sedangkan orang Melayu, Cina dan India lain telah dinafikan. Kenyataan ini dikeluarkan oleh laman rasmi parti Keadilan Rakyat Malaysia baru–baru ini. Yang menjadi persoalan ialah korupsi, kronis dan nepotisme, kenapa hak keistimewaan Melayu perlu digadai keseluruhannya. Anwar Ibrahim adalah antara mereka yang memimpin dan mereka yang juga lahir di bawah keistimewaan Melayu hari ini bercerita untuk meruntuhkan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Bicara Anwar bicara politik - bukan lagi bicara reformasi - bukan lagi mementingkan perjuangan Melayu. Kenyataan beliau - hapuskan HAK KEISTIMEWAAN MELAYU menyarankan supaya keistimewaan yang ada perlu ditarik balik dan segalanya diasaskan pada meritokrasi. Ramai antara kita juga sedar bahawa sistem perlaksanaan DEB itu longgar dan tidak memberi ruang kepada perlaksanaan Keadilan Sosial khususnya dalam separa antara Melayu tetapi ianya tidak bermakna kita meruntuhkan semuanya dan memperjudikan bangsa Melayu itu sendiri.

Apa yang jelas - semua ini adalah kenyataan politik - sikap politik - bahan politik. Yang pasti Anwar Ibrahim juga lahir dalam perencanaan DEB dan juga yang memimpin sewaktu DEB itu wujud. Kenapa hari ini bicara mengenai konsensus baru - sedangkan kita masih lagi memperjuangkan persoalan kemiskinan yang ketara antara kaum. Perlu dijelaskan juga - apakah "konsensus" baru itu melibatkan moral perniagaan dan kuasa monopoli yang perlu di longgarkan antara kaum. Apakah perlu adalah pengurangan pembicaraan moral dalam perniagaan oleh peniaga-peniaga Melayu dan pelepasan monopoli yang sedia wujud ada dalam infrastruktur perniagaan yang ada. Apakah pengorbanan mampu di buat antara kaum yang sedang mendahului pegangan ekonomi ?
Persoalannya memang tepat – kami bersetuju mengenai perlaksanaan dasar yang penuh dengan kesumbangan dan dicemari. Maka kita harus memberi tumpuan membetulkan keadaan itu supaya terjamin keadilan dalam pengagihan projek dan kemewahan. Namun saranan untuk menghapuskan terus Keistimewaan Melayu yang telah di peruntukkan hanya menunjukkan pengorbanan satu bangsa iaitu bangsa Melayu sahaja.

Apakah polisi selama Anwar Ibrahim memerintah bersama Dr Mahathir dahulu mengamalkan meritokrasi ? Tidak bukan, ianya berasaskan Dasar Ekonomi Baru yang berusaha untuk membangkitkan pegangan ekuiti orang–orang Melayu. Anwar Ibrahim sebenarnya sedar bahawa kadar pegangan yang ada sekarang juga adalah hasil kontribusi beliau semasa memerintah negara ini. Perniagaan orang–orang Melayu bukan pada teras – hanya pada kulit dengan usaha beliau sendiri termasuk untuk menjadikan beberapa bumiputera bertaraf jutawan.

Penegasan perlu dibuat – hak keistimewaan orang–orang Melayu perlu kekal ada, dan harus dipegang dan tidak digadaikan.

Apakah kita orang–orang Melayu sahaja perlu berkorban. Apakah dengan penarikan hak keistimewaan orang–orang Melayu bermakna kaum lain sanggup memberi 50% pegangan industri peruncitan kepada orang–orang Melayu, apakah mereka sanggup menyerahkan 30% pegangan dalam industri bahan infrastruktur pembangunan dan kontrak kepada Melayu ?

Apakah “konsensus baru” yang mahu diadakan itu dapat meningkatkan pegangan kaum Melayu dalam ekonomi. Apakah pula sanggup “konsensus baru” itu melibatkan persoalan–persoalan politik, kuasa politik dan keistimewaan orang–orang Melayu menjadi kepimpinan eksekutif tertinggi dalam kerajaan ?

Kita pegang – kita genggam - tidak tiris lagi

lamandau said...

Datuk, saya tidak nampak apakah wisdom sebalaik saranan musa hitam itu. Sudah lah WPI akan dijadikan kawasan bebas ……semuanya le! Sehingga ada yang yang mengatakan WPI akan menjadi territory baru kepada… you which entity! Jadi apa jua yang nak di perjelaskan oleh musa tidak relevan lagi. Cuma yang menjadi tandatanya yang begitu ketara di coffee-houses dan mall ialah mengapa isu ini dipandang sepi oleh UMNO sendiri! This is not a small matter , Datuk , that anybody can just pass off with such suggestion. Kalau di Indonesia udah pasti unjuk rasa berlaku secara besar-besaran yang boleh menggugat pemerintah! Tetapi diMalaysia semua orang baik2 belaka , well educated and a bit tolerant sehingg isu spt ini pun ‘ tak pa , biarkan’ .Keris Hisham dah lama tersarong dan di simpan dalam perigi buta! Syarahan 2 yang berkobor2 semasa persidangn Umno kemarin, tidak bererti lagi, lantaran takut akan repercussion nya barangkali. Betul lah orang melayu ni cakap tak serupa bikin, rhetoric bel;aka!!

Berita dari gunung said...

Saudara fauzi membayangkan kemungkinan Tun Musa Hitam dipergunakan.

Tapi, ada juga yang merasakan Tun Musa Hitam berada dibelakang keputusan utama kerajaan. Beliau dilihat sebagai penasihat dalam banyak hal.

Tetapi tag yang diberikan kepada beliau sebagai "licik" sangat membimbangkan.

Saya masih berpandangan SJER sebagai sesuatu yang tergesa-gesa, tanpa fikir panjang. Lebih malang bila ada suara mengaitkannya seperti penang dan pangkor suatu ketika dulu. Dalam lipatan sejarah, terpahat peristiwa kita kecundang dalam negotiation, dan tertipu.

Jangan-jangan kita tertipu lagi! Sebagaimana biasa, yang licik akan lari, paling tidak hanya berdiam diri!!