Thursday, March 29, 2007

Kontroversi
Tun Musa Hitam
Bahagian Akhir:

Dasar Kebumiputeraan Di WPI
Globalisasi & Realiti Bumiputera

Oleh Ruhanie Ahmad

Saya berpendapat bahawa tuntutan globalisasi adalah diantara asas utama yang telah mendorong Tun Musa Hitam melontarkan ideanya untuk meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor.

Asas ini valid. Asas ini juga relevan dengan realiti di abad ke-21. Ini kerana kemaraan globalisasi di mana sahaja mutakhir ini memang tidak boleh disekat mahupun dibendung.

Malang sekali idea yang valid, relevan dan digandingkan dengan matlamat meningkatkan persaingan menerusi meritokrasi ini adalah satu idea pragmatik yang mendepani zaman.

Idea ini juga melangkaui kesediaan mental serta psikologi sebilangan orang Melayu-Bumiputra yang sewajarnya sudah dijajarkan dengan tuntutan globalisasi dan liberalisasi.

Lantaran itulah Tun Musa telah menerima kecaman yang keras, panas dan serius dari segolongan orang Melayu-Bumiputera baru-baru ini. Sebagaimana saya huraikan dalam Bahagian Kedua, kecaman dan kemarahan orang Melayu-Bumiputera itu juga akibat perspsi negatif dan prejudis segolongan orang Melayu-Bumiputera terhadap kepimpinan negara dan WPI pada hari ini.

Malang sungguh Tun Musa. Lebih malang lagi bila pucuk kepimpinan negara dan Khazanah Nasional Berhad juga mendiamkan diri tanpa sebarang reaksi. Ini memberikan gambaran seolah-olah mereka mahu mengasingkan diri daripada idea Tun Musa yang disifatkan sebagai satu kontroversi.

Globalisasi

Bagaimanapun, katakanlah andaian saya benar, bahawa antara faktor yang mendorong Tun Musa mencadangkan agar dasar-dasar kebumiputeraan dimansuhkan di WPI, adalah tuntutan dan realiti globalisasi di abad ke-21, saya yakin hakikat globalisasi dalam konteks kebumiputeraan ini juga akan mencetuskan kebimbangan di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia yang arif mengenai globalisasi.

Memang globalisasi tidak boleh disekat. Tetapi, globalisasi juga tidak boleh dipandang ringan. Gelora, arus dan badai globalisasi mengandungi muslihat, perangkap dan jerat.

Hakikat seperti ini menuntut semua pihak sentiasa waspada dan bersiap sedia. Semua negara, besar dan kecil, perlu mengharungi globalisasi dengan persiapan yang yang berpandangan jauh, teliti, rapi, padat, mampat, komprehensif, dan berkesan.

Persiapan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk undang-undang, dasar, strategi dan program. Ia juga merangkumi persiapan sikap, minda dan psikologi di kalangan rakyat jelata di semua peringkat umur dan di semua tahap ekonomi.

Kedua-dua aspek persiapan ini penting untuk mengelakkan globalisasi melanda sesebuah negara dan sesuatu bangsa dengan implikasi yang negatif. Dalam konteks Malaysia, kedua-dua aspek persiapan ini juga penting untuk mengelakkan ciri-ciri, elemen-elemen serta dasar-dasar kebumiputeraan dihakis oleh gelora globalisasi.

Jika tuntutan globalisasi mahu dilaksana atau diterapkan ke dalam sesuatu sistem kenegaraan dan sosio-ekonominya tanpa persiapan di atas, kuasa besar yang menguasai modal, kepakaran pengurusan dan teknologi akan beroperasi di sesebuah negara secara maharajalela, bongkak dan sesuka hati.

Anjakan Paradigma

Akibatnya, para pemodal asing ini akan mempengaruhi sistem pentadbiran, undang-undang, politik dan sosio-ekonomi di negara tersebut tanpa mengambilkira kesejahteraan rakyat jelata setempat. Mereka juga akan mencorakkan masa depan negara dan bangsa tersebut tanpa sebarang obligasi.

Jika perkembangan seperti ini terjadi, apatah lagi di Malaysia, akibatnya ialah negara yang terbabit akan seolah-olah kehilangan kuasa, ekonominya akan dijajah, bangsanya akan ditimpa kesusahan dan politiknya pula akan jadi kucar-kacir.

Reaksi masyarakat Melayu-Bumiputera terhadap idea Tun Musa untuk meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di WPI ketika ini adalah diantara kesan awalan kepada percubaan melaksana serta menerapkan tuntutan globalisasi tanpa persiapan yang teliti, komprehensif dan berkesan.

Oleh itu, pada pandangan saya yang tak seberapa ini, gagasan Tun Musa mengenai peminggiran dasar-dasar kebumiputeraan di WPI atau pun di seluruh Malaysia, walaupun valid dan relevan dengan zamannya, wajarlah didahului dengan seluruh persiapan yang saya huraikan di atas, dengan serapi-rapinya.

Kalaulah kemaraan globalisasi menuntut dasar-dasar kebumiputeraan dihapuskan oleh kerajaan, contohnya, nasib dan masa depan orang Melayu- Bumiputera di era globalisasi wajar dan perlu dikaji secara serius, meluas dan mendalam.

Orang Melayu-Bumiputera perlu sentiasa diberikan perlindungan dasar dan undang-undang supaya dapat mengharungi globalisasi dengan penuh kejayaan. Mereka perlu diinsafkan supaya menukar sikap, mentaliti dan persepsi terhadap kehidupan di era globalisasi. Mereka perlu diberikan dorongan dan semangat untuk bermati-matian mempertahankan segala apa yang telah mereka capai pada hari ini menerusi satu anjakan paradigma yang tersusun dan menyeluruh.

Meritokrasi

Orang Melayu dan Bumiputera perlu digalak dan didesak untuk meningkatkan usaha mencapai ilmu supaya mereka mampu bersaing dengan bukan Melayu dan komuniti jagat di era globalisasi. Mereka mesti diberi ingatan untuk terus mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan tanahair menerusi meritokrasi.

Orang Melayu dan Bumiputera mesti insaf bahawa di era globalisasi, mereka tidak mempunyai waktu untuk bersikap sambil lewa. Sebaliknya, mereka perlu menggemblengkan tenaga, sumber serta pemikiran masing-masing ke arah mempertahankan survival bangsanya di era globalisasi.

Ini bermakna bahawa mereka mesti bersatupadu pada setiap masa. Ini bermakna mereka mesti bekerja keras secara bijaksana untuk menguasai ilmu dan maklumat, untuk memperolehi kemahiran dan kepakaran dan untuk meningkatkan produktiviti, dayasaing serta dayatahan supaya mereka mampu bersaing dengan sesiapa sahaja menerusi sistem meritokrasi, tanpa mudah menyerah kalah atau perputih mata.

Kerajaan pula perlu memainkan peranan strategik untuk menjamin survival orang Melayu-Bumiputera di era globalisasi. Antaranya, kerajaan hendaklah mempastikan pencapaian segala matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat disesuaikan dengan kemaraan globalisasi.

Matlamat ini penting kerana pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat berkait rapat dengan usaha memperbaiki status sosio-ekonomi orang Melayu-Bumiputera. Peranan ini juga penting kerana usaha membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat adalah teras utama kepada kewujudan perpaduan nasional yang menjamin kestabilan sosio-ekonomi dan politik Malaysia selama ini.

Peranan ini memang mengenepikan prinsip meritokrasi dan level playing field. Tetapi, kalau perlu diubah, lakukanlah perubahan secara rapi dan bijaksana. Maka, jika meritokrasilah yang akan menjadi paksi kepada pembangunan negara dan modal insan di abad ke-21 ini, pastikanlah soal-soal disparity and inequality atau soal-soal perbezaan dan ketidaksamarataan di antara kaum di dalam pelbagai bidang, ditangani secara bijaksana. Hakikat ini signifiken kerana globalisasi juga mempunyai tendensi mewujudkan inequality atau ketidaksamarataan yang lebih luas.

Terpinggir

Pendek kata, kerajaan mestilah menyiap-sediakan negara ke arah globalisasi dan liberalisasi secara bijaksana supaya pendemokrasian dalam banyak aspek perniagaan, perdagangan dan perindustrian tidak menyebabkan orang Melayu-Bumiputera jadi terpinggir dan melarat di hari muka.

Demikianlah reaksi akhir saya kepada gagasan Tun Musa. Saya berpendapat begini kerana globalisasi yang didorong oleh pemikiran neoliberal, janganlah diizinkan untuk mendorong para pemodal yang datang ke negara semata-mata atas motivasi keuntungan semaksima yang mungkin. Keadaan sebegini akan membentuk satu susunan masyarakat yang dibelenggu oleh jurang perbezaan ekonomi dan sosial yang semakin lebar.

Oleh itu, saya cadangkan Tun Musa untuk menggesa kerajaan menggabungkan usaha mencipta nilai, meningkatkan dayasaing, merealisasikan potensi, mencungkil bakat, memupuk kreativiti serta merangsang innovasi seperti yang dituntut oleh globalisasi dengan usaha membanteras jurang sosio-ekonomi yang tercipta di dalam sistem dan rejim ekonomi yang lama.

Pada waktu yang sama, saya juga berharap Tun Musa akan mengingatkan kerajaan supaya soal kepelbagaian kaum serta jurang perbezaan yang masih wujud di Malaysia hari ini tidak sekali-kali dikompromikan dengan tuntutan meritokrasi, level playing field ataupun market capitalism seperti yang dianjurkan oleh globalisasi.

Tun Musa berhak menyuarakan apa yang telah disuarakannya tempoh hari. Masyarakat umum juga berhak memberikan reaksi sebagaimana yang sedang dicetus dan dipolemikkan ketika ini.

Bagaimanapun, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Demi bangsa dan negara, sama-samalah dicari jalan ke arah kesejahteraan yang berkekalan di era globalisasi. Cari dan rintislah jalan itu secara terancang, komprehensif dan bijaksana, supaya ciri-ciri Melayu-Bumiputera dalam dasar pemerintahan negara tidak digolok-gadaikan dengan sewenang-wenangnya menerusi globalisasi!

3 comments:

wong soga said...

salaam

sekali lagi tok, kami angkat topi! kupasan yang amat jarang kami dapati daripada daripada orang politik (boleh kami gelar datuk 'orang politik', kan?).

pada hemat kami, bumiputera (khususnya melayu) sewajarnya tidak lagi bercakap mengenai survival. dah merdeka 50 tahun, kan tok? kalaupun nak menganjak tarikh kepada mulanya deb (1970), maka umur dewasa 40 tahunnya ialah 2010. lagi 3 tahun.

tetapi sampai sekarang, kita masih lagi bercakap mengenai survival melayu? kenapa tok? bukankah sepatutnya kita sudah mandiri? sudah sewajarnya berdikari? sudah sewajarnya mengembang sayap?

tetapi kenyataannya, kita masih bertongkat kepada deb. kenapa?

bukan rahsia umum kan tok, bahawa punca utama kegagalan kita dalam deb ialah pengurusan. lain tidak. kerana kita lemah mengurus. lemah dalam ertikata;
a. kaji - kumpul data, analisis, rumus;
b. laksana - tidak ikut rancangan, 'political convenience', pertimbangan 'ad hoc', pentingkan diri sendiri, kronisme, nepotisme, oportunis, dsb;
c. ubah-suai demi matlamat luhur deb - ini hanya boleh dilaksana (b) selepas mengkaji (a).

walaupun pada awalnya menghasilkan kejayaan demi kejayaan, namun lama kelamaan, kepincangan demi kepincangan, kebocoran demi kebocoran, kegagalan demi kegagalan telah dicapai oleh deb. kenapa tok?

punca utamanya pada hemat kami, kerajaan sudah terlalu banyak berkompromi mengenai kejujuran.

maaf cakap, tetapi orang politik sudah menjadi semacam segerombolan manusia pentingkan diri sendiri, sehingga sanggup menipu, memanipulasi, ambil kesempatan, tamak, dan sebagainya. dan sayangnya, ada kakitangan awam ikut meniru gelagat mereka. akibatnya, tanggapan rakyat jelata terhadap orang politik dan kakitangan kerajaan menjadi amat buruk sekali.

sebutlah apa sahaja hal yang buruk dalam takrif buruk, nescaya ia akan memalit baik orang politik mahupun orang kerajaan.

dan terlebih malang sekali bagi bumiputera, apabila mereka sentiasa dimomokkan oleh orang politik mengenai deb. deb seakan-akan sudah menjadi raja jin yang selama ini mengubah kehidupan bumiputera di tanahair mereka secara magis. dan mereka tidak boleh hidup mandiri tanpa deb. salahkah kami katakan begitu tok?

sekejap dahulu, usahawan bumiputera yang bersaing merebut peluang berniaga. tetapi kemudian, orang politik pula yang berebut-rebut projek, sehingga memaksa ramai kontraktor berwibawa mencari peluang di pasaran global, ataupun bersara kerana kueh ekonomi yang mereka boleh bersaing hanya 30% sahaja.

bukan rahsia lagi bahawa ramai orang politik, dan bekas pegawai tinggi kerajaan (atau budak-budak mereka) yang (atas kertas sahaja) memiliki 30% saham dalam syarikat besar atau tersenarai di bskl. berapa ramai usahawan bumiputera yang sebenar? kita boleh periksa data mengenai pemilik syarikat di bskl ataupun ssm. dari situ kita boleh tahu berapa ramai orang politik, orang kerajaan dan kaum-kerabat atau sahabat-handai mereka yang pernah menikmati habuan hasil manipulasi deb, walaupun mereka bukan bermula sebagai usahawan bumiputera.

bukan rahsia lagi bahawa mereka juga yang kerap mendapat projek mega. dan bukan rahsia lagi bagaimana mereka mengerogoti institusi bumiputera seperti bank bumiputera, mara, felda, felcra, pnb, tabung haji, dan lain-lain institusi kerajaan (kementerian-kementerian serta agensi-agensi di bawahnya), ataupun institusi yang hampir kepada kerajaan (boleh dipulas tangan) seperti petronas, epf, bank rakyat, bank pembangunan, bank sme/i, pken, dan sebagainya, dan sebagainya. rahsia lagi ke tok?

dan sekarang wpi. apakah jaminan bahawa mereka tidak menjadi gerombolan-gerombolan serigala yang serakah di wpi?

"nang kunuuulaaaah rusak-ei..."

jikalau hal ini dibiarkan, tentulah pemodal asing akan mengambil sikap tunggu dan lihat. mereka mahu kepastian bahawa tiada manipulasi deb di wpi, kerana selama ini deb dijadikan oleh sebahagian besar orang politik dan orang kerajaan untuk mengambil kesempatan bagi kepentingan mereka sendiri. ini intisari yang sudah kami jelaskan beberapa kali sebelum ini.

jadi, saranan tun musa itu punya banyak mata serampang. sekurang-kurangnya, beliau sudah melepas belon untuk dilihat ke arah mana tiupan angin sikap bumiputera dalam hal deb.

barangkali beliau mahu melihat bagaimana sikap bumiputera mengenai deb. barangkali beliau mahu mengukur kemaruk kuda kepang orang politik, kerajaan dan konco-konco mereka mengenai deb. malah barangkali, beliau semata-mata mahu memberi isyarat baru kepada bumiputera mengenai deb, dan sebagainya, dan sebagainya.

oleh itu, wajiblah kita yang menganggap diri sendiri sebagai bumiputera untuk duduk bertafakur sebentar; bernafas, bersyukur, serta memeriksa diri sendiri dan sikap kita mengenai deb.

dan tidak mustahil juga, jikalau nanti ditemukan indikasi yang amat aneh sekali. barangkali bagi orang politik (atau pegawai kerajaan), akan tiba-tiba bertanya pula kepada diri sendiri, "kapan orang politik (atau pegawai kerajaan) seperti aku akan menjadi melayu yang sebenar-benarnya melayu?"

maksudnya, melayu mengikut takrif perlembagaan. ah, itupun barangkali...

maaf ya tok, jikalau ada kekurangan, kesilapan, kesalahan ataupun kekasaran.

wong soga

Mika Angel-0 said...

Dato' Ruhanie

CAYA SAMA LU

makin lama makin hebat
berbahas berbahasa
angkat topi!!
Tun Musa saya hormati
Tun M saya rotan-rotankan

apa beza orang politik
Muslim dengan Kuffar
di tengah-tengah
padang lalang dan pasir
di darat
di laut
di langit
di bumi

"bukan rahsia lagi
ramai orang politik,
pegawai tinggi kerajaan
(atau budak-budak mereka)
berapa ramai usahawan bumiputera yang sebenar?"

RAMAI!
Namun,
Adat dunia
satu hidup satu sunnahtullah
satu jasad satu jiwa
satu negara satu raja
satu ciptaan satu tuhan

jalannya satu
pintunya beribu.

Apa kata-kata pujangga
Nabi Yaqkub
salaam dan selawat buat baginda

wa la tai aasu min rauhillah

aku nampak
satu dan sepuluh kaukaban bersujud
kepada bulan dan matahari
di akhirnya, kata pak hamka

sambil aku pura-pura
membenci si munafiq
di dalam diriku

Fauzi said...

Salam dan tahniah atas kupasan Dato, begitu juga kepada wong soga yang bernas saya harap banyak lagi akan komen komen yang secara terperinci dan rasional di postkan ka ruang ini. Bagi saya, apa yang hendak dikata sudah pun di luahkan oleh wong soga. Sebenarnya kita tidak berebut kek ekonomi negara dengan kaum lain kerana kek itu sudah pun dibesarkan, namun yang sedihnya kita orang Melayu berebut sesama sendiri antara yang kuat, seperti kata wong soga ahli perniagaan Melayu berebut dengan ahli politik dari atas hingga kebawah..jadi playing level yang dihadapi oleh orang Melayu berganda. Seperti seruan Dato, diharap kerajaan terutamanya yang diatas akan sedar dan bertaubatlah, jika ada kesilapan telah dilakukan baliklah kepangkal jalan, semoga hari-hari depan akan cerah untuk bangsa ku.