Friday, March 02, 2007

Petunjuk-Petunjuk
Kesihatan Ekonomi

Oleh Dasa

Laporan muka hadapan akhbar-akhbar perdana, mengenai statistik pencapaian ekonomi negara secara tidak putus-putus, dan ruangan khas yang diperuntukkan kepada pembesar UMNO dalam media tersebut mempromosikan perkara yang sama, hanya mendedahkan kefahaman ilmu ekonomi yang tidak pun mencapai tahap asas, sama ada secara sengaja, atau sebaliknya.

Saya hanya mahu mengulas dari segi kaedah laporan mereka kerana kebanyakan bloggers telah pun menimbulkan isu percanggahan ketara di antara realiti kehidupan yang sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan statistik ekonomi yang digembar-gemburkan itu. Dan berdasarkan kepada pengalaman diri, saya amat bersetuju dengan pendapat mereka (bloggers).

Kesihatan ekonomi sesebuah negara adalah diukur oleh beberapa petunjuk (indicators). Petunjuk-petunjuk utama yang “wajib” dipakai saban tahun oleh mana-mana negara ialah:

*Pertumbuhan KDNK.
*Kadar inflasi.
*Kadar pengangguran.
*Kedudukan imbangan pembayaran dan perdagangan.
*Nisbah rizab antarabangsa negara berbanding import yang ditangguh atau hutang negara.
*Pertumbuhan nilai pelaburan asing (FDI) yang telah dibawa masuk.
*Pertumbuhan penawaran wang.

Petunjuk-petunjuk ini dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya atau pencapaian negara-negara lain, terutamanya yang terletak dalam rantau yang sama.

Petunjuk atau barometer yang lain, seperti nilai perdagangan luaran, indeks pasaran saham dan FDI yang diluluskan (ini berbeza dengan FDI yang telah dibawa masuk) cuma bersifat sampingan dan remeh dari segi menerangkan prestasi ekonomi sesebuah negara.

Nilai perdagangan luaran secara mutlak (absolute term) tidak pernah digunakan oleh mereka yang mengaku terlatih dalam bidang ekonomi untuk menunjukkan prestasi ekonomi sesebuah negara.

Sama ada RM1 trilion atau RM100 trilion, ianya tidak begitu bermakna kerana nilai perdagangan luaran dikira dengan cara menjumlahkan nilai eksport dan import.

Apa yang perlu diteliti ialah imbangan perdagangan, iaitu nilai eksport ditolak nilai import dan trend imbangan perdagangan berkenaan.

Selain itu, komponen-komponen dalam eksport dan import juga wajar dilihat, terutamanya dari sudut pertumbuhan dan trendnya.

Indeks pasaran saham sememangnya bukan satu petunjuk yang boleh dipercayai dalam mengukur status ekonomi negara.

Pasaran saham hanyalah sebahagian daripada pasaran modal sesebuah negara dan pengalaman menunjukkan ianya sentiasa terdedah kepada unsur-unsur subjektif yang sarat dengan spekulasi. Pergerakan indeks pasaran saham dipengaruhi oleh kegiatan pembelian dan penjualan saham oleh para pelabur yang sentiasa mengharapkan keuntungan tinggi, iaitu menerusi laba modal (capital gain) dan penerimaan dividen.

Para pelabur di negara ini sebenarnya lebih tertarik kepada syarikat-syarikat yang beroperasi dalam sektor yang dianggap “hangat” pada satu-satu masa berbanding dengan keadaan keseluruhan ekonomi.

Ternyata akhbar-akhbar (perdana) tersebut cuba mengelirukan para pembacanya kerana menjadikan statistik picisan dalam menggambarkan keadaan ekonomi negara yang dikatakan cergas.

Tindakan ini hanya menyusahkan pucuk pimpinan sehingga memaksa PM, TPM, Menteri Kewangan II dan Naib Ketua Pemuda UMNO berusaha mengawal kerosakan (damage control) menerusi pelbagai kenyataan justifikasi.

Namun begitu, kerosakan telah pun berlaku dan usaha mengawal kerosakan itu sebenarnya lebih merosakkan kerana ianya bukan datang daripada mereka yang mahir dalam ilmu ekonomi.

Secara jujur, adalah lebih molek kalau ekonomi yang dikatakan makmur itu dapat diterjemahkan dalam bentuk kos sara hidup yang lebih terurus untuk semua rakyat.

Itulah permintaan rakyat yang paling utama. We just do not feel good and we have not been feeling good for years.

Menayangkan statistik picisan sebagai tajuk muka surat hadapan akhbar-akhbar sesungguhnya satu kesilapan.

Statistik adalah umpama lampu jalan yang digunakan untuk menerangi suasana demi keselamatan, bukan sebagai alat untuk membantu mereka yang mabuk berdiri dan bersandar.

Dalam pada itu, amatlah menghairankan kerana suara daripada Ketua Pemuda UMNO dan ketua-ketua komponen parti BN yang lain tidak kedengaran langsung.

Adakah mereka juga bersetuju dengan bloggers walaupun secara diam-diam?

Dasa: 9:26 pagi, 2 Mac 2007.
https://www2.blogger.com/comment.g?blogID=29933783&postID=3645823337936230827

5 comments:

lamandau said...

Terima kasih banyak Dasa, Saya harap bebudak tgkt 4 tu rasa malu lah sikit dgn oenerangan serba ringkas oleh Dasa.Namnpak nya Dasa lebih layak jadi economic adviser daripada bebudak beringus itu. Thanks
Sehingga hari ni masih lagi nak buat damage control walaupon di luar negeri, sehingga merayu agar rakyat malaysia yakin dgn pasaran saham kita. Sedih bunyinya , tapi datang dari PM! 4 hari berturut2 CI menurun , tak salah saya lebih 100 mata , saya ingat lah 1 mata tu bersamaan l/k RM150 Juta jumlah pelaburan (correct me if I'm wrong) Bayangkanlah nak cover 100 mata! Terbeliak lah anak mata! TMungkin Khazanah, KWSP, Atau Petronas boleh main silap mata,beri pinjaman kepada fund managers diluar persisiran dg syarat melabur di Malaysia. Tentu ramai datang, boleh lah dikelas kan sebagai FDI!!!
Kita berdoa agar ekonomi negara kita dibawa balik keatas landasan betul'

Mika Angel-0 said...

Kita tengok di mana pengalaman Nor Mohd Yakcub dan bertapa dalamnya ilmu menteri ini.

persoalannya apa yang dia mahu si-menteri kedua ini? Senatornya itu boleh laku tiga tahun dan kurang.

Ini baru bayang-bayang apa yang boleh jadi kalau China tabur US dollar dengan kadar pinjaman murah kepada dunia ketiga atau negara-negara Islam.

Amiruddin Azlan said...

quite an impresive analysis..kita dah kata dah..puak2 ni mmg x boleh harap...kita kata depa x pakai.....

to Dato' Ron...keep up da good work..sy dah jd pengunjung setia blog ini...dato mmg lain dari kebanyakan ahli UMNO....x TOTOK..

Mika Angel-0 said...

dasa do you have a PPP(purchasing power parity) figure and where we stand in realtion with thai indo filipina vietnam skorea india jordan - where we stand in the ranking of the developed and developing nations.

Dasa said...

mika angel-0,

Ranking negara-negara mengikut Pendapatan Negara Kasar (Gross National Income) per kapita berasaskan Purchasing Power Parity (PPP) untuk tahun 2005 boleh diperolehi daripada laman web rasmi milik Bank Dunia. Secara ringkasnya, kedudukan Malaysia (79) adalah lebih tinggi daripada Thailand (87), Filipina (122), Jordan (123), Indonesia (140), India (144) dan Vietnam (148) tetapi ketinggalan jika dibandingkan dengan Singapura (25), Korea Selatan (46), Argentina (64), Afrika Selatan (73) dan Russia (78).

Pendekatan Pendapatan Negara Kasar per kapita berasaskan PPP merupakan satu cara yang digunakan oleh Bank Dunia untuk membandingkan taraf kehidupan (standard of living) di antara negara-negara secara kuantitatif. Ianya kurang sempurna dan perlu dianalisis bersama-sama petunjuk-petunjuk yang lain.