Thursday, September 11, 2008

MUHYIDDIN KATA PM PATUT FIKIR SEMULA TEMPOH MASA PELAN PERALIHAN KUASA


SINGAPURA, 10 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut fikirkan semula mengenai pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama.

Pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah dua bulan lepas, dakwanya, telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

"Tahun 2010 adalah terlalu lama," katanya pada sidang akhbar pada acara tidak rasmi sempena Persidangan CEO Forbes Global di sini.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatannya sebagai perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

Muhyiddin berkata beliau malahan turut bertanya kepada Najib sama ada dirinya mahu menunggu selama itu kerana beliau (Najib) akan hanya mempunyai masa yang singkat untuk menguruskan dan mengembalikan semula kenyakinan rakyat kepada Umno dan BN.

Sambil menyatakan yang beliau memang berfikiran kritis mengenai perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, beliau meminta Abdullah memikirkan semula mengenainya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu demi untuk memperkukuhkan perpaduan Umno dan memudahkan anggota parti berikutan terlalu banyak permainan politik selepas pilihan raya umum lepas yang BN menang dengan majoriti mudah di Parlimen.

Ditanya mengenai spekulasi yang beliau akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah, masing-masing untuk mencabar bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, Muhyiddin menjawab:"Seperti anda katakan, ia hanya spekulasi." – BERNAMA

Sepenuhnya: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=358340

3 comments:

Berita dari gunung said...

Dato,

Nostalgia kemenangan besar BN dalam PRU11 2004 sukar dilupakan. Itu masalahnya. Sukar untuk ditelan, betapa kemenangan besar yang sangat manis boleh bertukar menjadi kenangan pahit bila sokongan rakyat merosot dalam PRU12 2008.

Ramai menjangka Abdullah dan penyokongnya sukar menerima kenyataan pahit itu. Ramai turut hairan bagaimana imej Mr Clean boleh bertukar hingga protes terhadap kepimpinan Abdullah berlaku secara berluas-luasa. Rakyat bercakap tentang kelemahan Abdullah dimana-mana saja.

Timbul isu, apakah yang perlu ada pada Pemimpin yang berkesan? Bukan imej Mr Clean. Bukan imej Pemimpin demokratik.

Pemimpin yang berkesan memberi kepimpinan dan membawa halatuju. Kepimpinan yang segar membina iltizam dalam benak orang dibawahnya. Pemimpin yang tegas tidak goyah pegangannya. Pemimpin yang unggul mampu menghurai halatuju cara yang boleh difahami.

Petanda kepada kepimpinan yang lemah ialah bila terlalu banyak keputusan yang bersifat reaktif. Sering kerajaan bersikap mempertahankan diri. Kerajaan kehilangan advantage penting, iaitu "combative" approach.

Kelemahan Abdullah lebih dirasai kerana Anwar mengisi ruang kosong dalam sudut "harapan" dan "halatuju". Orang mula berganjak dari menerima kepimpinan lemah Abdullah kepada kepimpinan kuat dan cergas Anwar.

Sayang kerana Abdullah dan penyokong kuatnya masih berpaut dengan nostalgia kehebatan era PRU11 2004 dan terus menerus gagal memahami dan bersikap jujur dengan kemerosotan PRU12. Bukan salah Anwar, bukan salah Tun Mahathir maka Abdullah dilihat terlalu lemah. Walaupun barisan kepimpinan kerajaan era Abdullah hampir sama dengan era Tun Mahathir, rakyat tetap merasai kepimpinan yang tidak diisi. Kapal kerap belayar sendiri tanpa kemudi. Kerajaan Abdullah ibarat kelongsong.

Rakan rapat Abdullah dan penasihatnya gagal membantu Abdullah dalam penggembelingan harapan, niat dan tindakan secara berkesan. Rakyat mula mengesan ketidakstabilan kepimpinan dengan peristiwa tok ketampi, agusta, jambatan, ecm libra. Rakyat hairan kenapa media utama digunakan untuk menghentam pemimpin UMNO sendiri. Selangor diselak satu demi satu. Dalam tempuh itu juga Khairy dilonjak dalam segenap sudut. Abdullah kehilangan "winning touch".

Dalam politik, sokongan datang dari persepsi. Namun tindak tanduk kerajaan Abdullah tidak menggunakan advantage kawalan media untuk membina persepsi yang meyakinkan. Keterbukaan yang dilaung-laung menjadikan kudis tambah besar dan sukar diubat. Kerajaan kepimpinan Abdullah dilihat lemah bukan sebab perbuatan orang lain, tetapi perbuatan dan tindak tanduk kepimpinan Abdullah sendiri.

Walau sukar, terima sajalah, bahawa kepimpinan Abdullah adalah sangat lemah untuk menguatkan BN dan terus memimpin negara. Berundur segera akan memberi ruang yang selesa untuk pengganti beliau menyuntik semangat dalam BN dan menggembalikan semula winning touch. Rakyat dahagakan kepimpinan berkesan.

Muhyiddin wajar disokong.

Terima kasih dan Selamat Berpuasa.

mimbarUMNO said...

Salam,
Datuk,sebenarnya DSAB a.k.a PakLah dah lama dah perlu letak jawatan.saya setuju sangatlah apa yang diperkatakan oleh Datuk Muhyidin tu.Apa lagi dia nak cari?Serahkan sahaja pada yang layak,untuk membimbing semula UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO tidak diperlekehkan seperti isu Datuk Ahmad Ismail!Kalau org Melayu yang sentuh sikit bab-bab sensitiviti kaum,kita sahaja yang perlu minta maaf dan dihukum.Sampai bila kita harus tunduk dengan desakan kaum lain serta orang Melayu baru (PKR @ Anwar dan proksi nya)?Sedikit demi sedikit kita dihakis,hak kita ditiris,kerana pincangnya pembuat keputusan seperti Paklah!Hanya mengaku Saya masih PM,TAPI Beliau tahukah tanggungjawabnya sebagai PM?Bukan harta yg ku cari konon tapi sebaliknya.Penulis amat bengang dengan apa yang berlaku sekarang dan teman percaya ramai lagi yang bersama dan sependapat dengan teman.HIDUP ISLAM,HIDUP MELAYU!!!

zeme said...

Salam Datuk,

Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan sistem kuota bagi pemilihan UMNO. Kewajaran sistem kuota ini dihapuskan amat bersesuaian. Namun saya cuba memetik kenyataan DS Shahidan yang memberitahu, "sekiranya sistem kuota dihapuskan kemungkinan ada calon yang mendapat dua pencalonan turut mahu mencabar kedudukan Presiden UMNO. Jika perkara ini berlaku, UMNO akan menjadi parti yang dipandang rendah kerana membenarkan semua orang bertanding merebut jawatan Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO". Saya ingin mencadangkan bagi mengelak berlakunya seperti apa yang dinyatakan oleh DS Shahidan : -

1. Sistem kuota dihapuskan sama sekali dan perlembagaan UMNO boleh digubal dengan memperkenalkan dan melaksanakan sistem Deposit (Wang Pertaruhan) iaitu mengambil pratik yang telah digunapakai oleh SPR dalam PRU. Maka sekiranya terdapat calon yang mendapat meskipun 1 percalonan, telah mengesahkan dengan kerelaan sendiri ingin bertanding, beliau perlu menyediakan Wang Pertaruhan yang jumlahnya ditentukan mengikut hieraki parti sehingga ke peringkat Ketua Bhagian, sekiranya untuk jawatan Presiden maka lebih tinggi amaun perlu disediakan. Wang Deposit ini sebagai cagaran untuk memperlihatkan kesungguhan calon itu bertanding, jadi ia akan mengelakkan persepsi dan kebimbangan terdapat calon yang bersifat "suka-suka" untuk bertanding. Wang Deposit ini akan hangus sekiranya peratusan undian pada pemilihan diterima tidak mencapai tahap ditetapkan.

2. UMNO tidak akan dipandang rendah kerana perlembagaan membenarkan seseorang ahli itu berhak untuk menjawat apa-apa jawatan dalam parti. Sebagai ahli biasa, saya juga akan terfikir sekiranya mendapat hanya dua percalonan apakah saya akan mencabar kedudukan Presiden. Saya tidak akan memalukan diri saya sendiri sekiranya saya tidak sanggup memikul tanggungjawab sebesar itu apatah lagi sekiranya sistem Wang Deposit diperkenalkan mengharuskan saya menyediakan sebagai contoh RM10,000 bagi jawatan Presiden untuk pertaruhan. Ahli-ahli UMNO masih waras memikirkan situasi ini kerana mereka yang bertanding bukan sekadar "test market" tetapi adalah kerana tanggungjawab.

Wasalam.