Sunday, December 17, 2006

Jangan Lekeh-Lekehkan
Kuasa Di Hujung Benua
Oleh Ruhanie Ahmad

Tak lama lagi kemungkinan besar muncul sebuah buku yang agak kritikal dan panas. Ia karya seorang anak muda daripada Johor Bahru.

Tajuknya adalah Kuasa Di hujung Benua. Fokusnya adalah kersahan rakyat jelata, khususnya orang Melayu, di Negeri Johor, terhadap politik Malaysia.

Saya tanya sahabat saya yang menyediakan buku berkenaan, (namanya biar saya rahsiakan sehingga buku berkenaan diterbit, dicetak dan dijual) kenapakah jodolnya Kuasa Di hujung Benua?

Dia pun teruja. Dia meminta saya meneliti peta benua Asia. Dia meminta saya pastikan dimanakah letaknya Negeri Johor dalam peta itu.

“Bukankah Johor di hujung tanah besar benua Asia. Bukankah tanah besar benua Asia yang menjalar dari sempadan Eropah dan Afrika, berakhir di Negri Johor?” katanya lagi.
UMNO
Memang betul. Mungkin ramai di antara kita kurang menyedarinya. Negeri Johor memang wilayah tanah besar benua Asia yang berada di kedudukan paling selatan sekali. Maksudnya, Negeri Johor memang wilayah di hujung benua Asia.

Lantas, saya pun bertanya kepada sahabat saya, mengapakah bukunya bertajuk Kuasa Di hujung Benua? Tajuk itu agak aneh, tetapi, menarik.

Katanya, sejarah siasah UMNO bermula di Negri Johor. Orang-orang Melayu Batu Pahat menubuhkan UMO, atau United Malay Organisation, atau Pertubuhan Melayu Bersatu, di Kelab Batu Pahat, pada awal 1946.

Sesudah itu, UMO dibincangkan oleh Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Mei 1946. Di kongres itulah UMO jadi UMNO. Perkataan N untuk Nasional, atau maksudnya Kebangsaan, dicadangkan oleh Pendeta Zaaba.

Lepas itu, UMNO dirasmikan kelahirannya di suatu majlis di Istana Besar Johor, Johor Bahru. Ibu Pejabat UMNO yang pertama pun di Johor Bahru.
Asas
Jadi, kata sahabat saya, tidak keterlaluan jika Negeri Johor jadi asas kuasa politik Malaysia moden, Negeri Johor jadi bumi kelahiran UMNO, Negeri Johor juga jadi kubu kuat UMNO hingga ke hari ini.

Oleh itu, katanya, semua pihak perlu menganalisa, kenapakah agaknya Persidangan Kebangsaan Dato’ Onn Jaafar di adakan di Johor Bahru, dari 1 hingga 4 Disember 2006?

Katanya, semua pihak perlu bertanya, mengapakah Badan Perhubungan UMNO Johor, pimpinan Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, dengan kerjasama GAPENA, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Akademi Pengajian Melayu, menganjurkan persidangan itu setelah projek Jambatan Bengkok dibatalkan, setelah SJER atau WPI dilancarkan, dan setelah DYMM Sultan Johor baru-baru ini bertitah, supaya Tambak Johor dipecahkan dan digantikan dengan sebuah jambatan?

Pada waktu yang sama, katanya lagi, apa akan jadi kepada UMNO kalau semangat kebangsaan Melayu yang lahir pada 1946 jadi semakin luntur dan dilupakan?
Rapoh
Apa akan jadi, katanya lagi, kalau dalam pilihan raya umum akan datang ini, sokongan orang-orang UMNO Johor dan orang-orang Melayu Johor, di semua peringkat, jadi rapoh dan lemah?

Oleh itu, kata sahabat saya, janganlah ada pihak yang cuba nak lekeh-lekehkan “kuasa di hujung benua” ini.

Tambah beliau, belum terlewat kalau pucuk kepimpinan negara sudi mengkaji scara ikhlas dan serius segala bentuk keresahan politik Melayu di Negeri Johor pada hari ini.

Buku tulisan sahabat ini merupakan analisa berasaskan maklumat yang dikutip daripada arkib, media cetak, media elektronik, media on-line, buku-buku dan kertas kerja.

Dia sempat membacakan sinopsis buku berkenaan kepada saya, di Johor Bahru, minggu lalu. Sesudah itu dia memberikan huraian ringkas kepada beberapa bab yang tertentu.

Daripada sinopsis dan kupasan itu, saya dapati, sahabat saya juga menjadikan buku 70 Dalil Pak Lah Hilang Kelayakan Memimpin Negara, oleh Ahli UMNO Kedah, sebagai salah satu bahan rujukannya.

Saya jangkakan buku tersebut agak panas dan boleh meletup. Saya harap ia tidak akan dicetak-rompak seperti buku saya, Mahathir Menyinga, baru-baru ini.

2 comments:

Anonymous said...

Saya melihat SJER hanya satu usaha untuk memberi peluang seluas2nya kepada S'pore untuk memonopoly kawalan ekonomi keatas Johor DT . Segala pembangunan tidak menguntungkan orang2 melayu kerna berapakerat sahaja orang melayu bisa melabur disana? lama kelamaan orang2 melayu di SJER akan terpinggir spt saudara betawi kita di Jakarta dengan pembelian secara agresif oleh kaum cina keatas asset2 orang betawi. Sekarang pon kalau nak sewa rumah di sekitar JB harus pergi ke S'Pore untuk berurusan dgn tuan2 rumah ! Kawasan pelangi? Kita harus mengalu-alukan buku yang bakal keluar ini. Setakat mana ianya bolih mempengaruhi kabinet malaysia, saya tidak tahu, hanya berserah kepada Allah jua.

Anonymous said...

YB DATUK SEHARUSNYA MENYOKONG PANDANGAN DSWA INI. JIKA TIDAK SOKONG MAHU TERGADAI NEGERI JOHOR KEPADA TEMASEK. YB DATUK, SAMBUNG CERITA THE TOYOL CODE. BANYAK KEBENARAN. KAMI SEMUA PEGAWAI KAKITANGAN AWAM MERAYU YB DATUK TERUSKAN SIRI THE TOYOL CODE. KAMI TAHU YB DATUK MEMPUNYAI BANYAK TOYOL DARI GOLONGAN KAMI YANG BERKHIDMAT DALAM PERKHIDMATAN AWAM. KAMI SEMUA RISAU NEGARA INI AKAN DI KUASAI TEMASEK. KAMI BERIKRAR PILIHANRAYA INI TIDAK MEMANGKAH DACING LAGI. TOLONG YB DATUK, SELAMATKAN MALAYSIA DARI DI JAJAH TEMASEK. KAMI SEMUA TERTEKAN DENGAN ARAHAN KHAIRI MENANTU PM. JASA YB DATUK, TETAP KAMI KENANG.

Pengintip Jalanan
Putrajaya




UCAPAN MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006

Oleh:
YAB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
[AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH]

MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KESEBELAS

Pada:
13 DISEMBER 2006
_______________________________________________________

Terima kasih Tuan Pengerusi,

Izinkan saya bertanyakan beberapa soalan mengenai Rang Undang-undang yang dibentangkan pada hari ini dan izinkan saya menggunakan istilah singkat iaitu “Projek Iskandar” untuk merujuk RANG UNDANG-UNDANG PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006.

Pertama:- Siapakah yang sebenarnya pihak yang bertanggungjawab ke atas Projek Iskandar? Adakah pihak dari Kerajaan Persekutuan ataupun pihak dari Kerajaan Negeri Johor?

Rang Undang-undang yang dibentangkan secara tergesa-gesa oleh Yang Berhomat Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri minggu lalu, persoalan bidangkuasa nampaknya masih begitu kabur walau pada hakikatnya persoalan bidangkuasa adalah Intipati bagi setiap Rang Undang-undang.

Mengikut muka surat 14 “Keanggotaan Pihak Berkuasa”, seolah-olah memperlihatkan kedua-dua pihak Iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hak dan bidangkuasa yang dibahagikan secara saksama.

Walau bagaimanapun, Seksyen 8(1)(d) pula menunjukkan sebaliknya dimana kuasa Perdana Menteri mengatasi kuasa Menteri Besar Johor. Seksyen 8(1)(d) adalah seperti berikut;

“dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Besar….”

Kita harus memahami sistem pentadbiran di dalam negara ini. Perdana Menteri merupakan pihak yang mempunyai kuasa yang amat luas jika tidak mutlak.

Walaupun dalam beberapa akta lain, misalnya, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 1999:- perlantikan Pesuruhjaya SUHAKAM dikatakan mesti mendapat persetujuan dari Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Agong tetapi secara praktiknya persetujuan tersebut hanyalah sekadar menenuhi upacara Istiadat (dengan izin) ‘Ceremonial”.

Adakah keadaan ini sama dengan apa yang dikatakan memerlukan “persetujuan Menteri Besar”. Adakah persetujuan ini juga hanya satu acara “ceremonial” atau persetujuan yang sebenar perlu diambil?

Saya mengemukakan soalan ini kerana Projek Iskandar membabitkan isu tanah yang terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri. Kalau kuasa ini dialihkan walaupun secara tidak langsung kepada Kerajaan Persekutuan pastinya ini akan menjejaskan konsep Negara Persekutuan yang diamalkan sejak 1957.

Sistem Persekutuan Negara Malaysia digelar sebagai (dengan izin) “Assymetrical Federation” iaitu, kuasa yang diberi kepada negeri-negeri dalam Persekutuan tidak saksama dan Ia berkaitrapat dengan faktor sejarah dan adat resam di dalam sesuatu negeri ataupun kewujudan ciri-ciri yang istimewa yang berlebihan atau khas dalam negeri-negeri tertentu.

Namun kewujudan “assymetrical federation” tidak bermakna Ia menghakis bidangkuasa dalam pentadbiran mana-mana negeri. Ini merupakan persefahaman yang wujud sejak era kemerdekaan ketika pembentukan Persekutuan Malaysia.

Akhbar ‘The Star’ semalam (12 Disember) melaporkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjawab soalan dari pihak media, berada dalam keadaan defensif terutama apabila dikatakan bahawa Projek Iskandar tersebut akan diambil-alih oleh Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri berkeadaan demikian kerana pada masa yang sama rakyat juga melihat Perdana Menteri telah memberikan tumpuan, kepentingan dan keutamaan yang luar biasa kepada Projek Iskandar Ini.

Tetapi sejak pengumuman Projek Iskandar kebimbangan utama yang masih belum berjawab adalah berkaitan pihak mana yang mempunyai bidangkuasa sebenar dan perkara-perkara yang membabitkan isu pembahagian kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Apatah lagi tanah merupakan sumber yang amat berharga bagi negeri Johor.

Soalan Kedua saya melibatkan pihak manakah yang akan bertanggungjawab jika timbul permasalahan semasa perlaksanaan Projek Iskandar?

Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar telah diberi kuasa yang luarbiasa dalam aspek menentukan persoalan dasar dan pelaburan termasuk dalam urusan mendapatkan dana dari pihak bank dan Institusi kewangan dari dalam mahupun luar negara.

Seksyen 50 (Perlindungan terhadap tindakan guaman dan prosiding undang-undang) yang menyatakan seperti berikut:-

“Tiada tindakan guaman pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa dimulakan atau dibuat dalam mana-mana mahkamah terhadap-

a. Menteri;
b. Pihak Berkuasa;
c. Mana-mana pihak anggota Pihak Berkuasa, mana-mana anggota Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan, mana-mana anggota jawatankuasa, atau mana-mana pegawai, perkhidmat atau ejen Pihak Berkuasa, atau
d. Mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah bagi Pihak Berkuasa,

“Berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati atau apa-apa peninggalan yang ditinggalkan olehnya dengan suci hati atas sifat yang sedemikian.”

Amat menakjubkan kerana seksyen ini telah digubal semata-mata untuk memberi kuasa kekebalan luarbiasa kepada Pihak yang berkuasa dan pelaksana Projek Iskandar dari tindakan mahkamah walaupun semasa menjalankan tugas, mereka telah bertindak secara cuai, ingkar dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka pada tahap profesionalisma yang munasabah. Kita semua sedia maklum bahawa tafsiran 'sucihati' mempunyai tafsiran yang amat luas dan bersifat subjektif.

Seksyen seterusnya iaitu Seksyen 51 yang merujuk kepada Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, juga memberi kekebalan (“immuniti”) yang sama.

Gabungan Seksyen 50 dan 51, dengan Seksyen 49 “Obligasi Kerahsiaan” amat membimbangkan.

Saya inginkan satu penjelasan dari Jabatan Perdana Menteri, bagaimana kita dapat memastikan bahawa terdapat ketelusan dan sikap pertanggungjawaban pihak-pihak di dalam Projek Iskandar Ini?

Tidakkah dengan kewujudan seksyen-seksyen tersebut akan menjadikan para pelabur khususnya dari luar negara merasa gentar untuk turut melabur? Masakan tidak, kerana jika berlaku permasalahan dalam projek dan akibat darinya pelaburan mereka terjejas, mereka pula dihalang dari merujuk masalah mereka bagi mendapatkan pembelaan hatta kepada mahkamah sekalipun. Mana mungkin para pelabur akan percaya terhadap pihak berkuasa dan para pelaksana projek, yang kelihatannya tidak mempunyai sikap pertanggungjawaban terhadap tugas mereka?

Soalan terakhir saya adalah – Apakah peranan yang akan dimainkan oleh Parlimen dan para Wakil Rakyat?

Sebagai contoh, bagi Akta SUHAKAM, laporan tahunannya perlu diserah kepada Parlimen untuk dikaji dan dianalisa oleh institusi tertinggi negara. Tetapi hal demikian tidak wujud bagi Projek Iskandar. Seksyen 17 (Penyata, laporan, akaun dan maklumat) menyatakan seperti berikut:

“17. (1) Pihak Berkuasa hendaklah memberikan kepada Menteri dan mana-mana pihak berkuasa awam sebagaimana diarahkan oleh Menteri, apa-apa penyata, laporan, akaun dan maklumat berkenaan dengan harta dan aktiviti-aktiviti Pihak Berkuasa sebagaimana yang dikehendaki atau diarahkan oleh Menteri dari semasa ke semasa.”

Ini merupakan satu praktis yang tidak telus dan tidak harus diamalkan. Projek Iskandar dikatakan satu projek Gergasi yang samada (dengan izin) “Make or Break” serta mampu mencerna Iklim perkembangan ekonomi Malaysia. Justeru Parlimen harus diberi tanggungjawab serta kuasa untuk memantau projek ini secara terperinci supaya wang rakyat tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Selain dari itu jika dirujuk Seksyen 33 (2)(a), muka surat 35 Parlimen akan memperuntukkan perbelanjaan yang cukup besar hingga mencecah berbillion ringgit bagi menjayakan projek ini.
Saya berpendapat adalah lebih wajar dan wajib bagi Pihak Berkuasa Projek Iskandar untuk melapor setiap perkembangan dan permasalahan projek tersebut kepada Parlimen.

Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat pula, kita wajib bertanggungjawab secara langsung jika wang dan pelaburan rakyat mahu dibelanjakan oleh pihak yang lain.

Kesimpulan saya Ialah, Rang undang-undang ini harus diberi lebih masa untuk didebat dan dianalisa dengan merujuk kepada pendapat dan cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia ini.

Kita tidak seharusnya dipaksa untuk meluluskan rang undang-undang ini dalam keadaan tergesa-gesa. Justeru, saya mencadangkan supaya rang undang-undang ini diberi tempoh masa yang cukup supaya Parlimen dapat mengkaji setiap terma dan butiran di dalamnya dengan teliti dan terperinci.

Maka dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab, buat masa Ini saya tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang Projek Iskandar yang dibentangkan ini.

Sekian, terima kasih.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh.

14.12.2006