Saturday, December 09, 2006


SMRT Corp Dari S'pura
Sahkan Berminat
Dengan Projek LRT JB

SINGAPURA, 8 Dis (Bernama) - Pengendali pengangkutan awam Singapura SMRT Corporation (SMRT) telah mengesahkan bahawa ia berminat untuk mengambil bahagian dalam Projek LRT Johor Baharu yang dijadual akan dibina di Johor Selatan.

Syarikat itu bagaimanapun turut memberi penjelasan mengenai laporan-laporan akhbar yang tersiar di sini dan di Malaysia mengenai minatnya untuk membina penghubung antara Johor dan Singapura.

"Sekiranya ada cadangan untuk membina penghubung antara Johor dan Singapura, ia sepatutnya dibincangkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan," kata SMRT dalam satu kenyataan lewat Khamis malam.

Syarikat itu bagaimanapun menambah bahawa: "Kami terbuka untuk menerima apa juga bentuk perkongsian dan sedang menunggu butiran terperinci projek daripada Jalur Muda Sdn Bhd (JM) untuk pertimbangan kami."

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=235124

Pemilikan Aset:
Najib Mahu Singapura
Bersikap Lebih Terbuka

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan Singapura bersikap lebih terbuka bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia memiliki aset di republik itu.

Beliau berkata, aliran pelaburan dua hala yang saksama dan seimbang adalah untuk kepentingan bersama serta menguntungkan kedua-dua negara.

Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.

“Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia.

“Dari satu segi, kita memahami pemerolehan yang dikenal pasti adalah sukar untuk syarikat-syarikat Malaysia, mengambil kira struktur ekonomi Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia dan Singapura: Menyahut Cabaran Baru’ pada Persidangan Serantau London Business School (LBS) di sini.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Komen:
Saya ceduk kedua-dua item berita di atas buat rakyat Johor Darul Takzim The Great. Khususnya sahabat-sahabat saya yang menghadiri konvensyn Dato’ Onn, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Kita semua terpesona dengan SJER atau WPI. Kata sesetengah orang Johor, kalau kita tak terpesona pun kita terpaksa kata yang kita terpesona. Kalau tidak, merana…

Tapi, cubalah sama-sama kita bayangkan. Syarikat-syarikat Malaysia punyalah susah nak masuk ke Singapura. Kalau mudah, takkan Datuk Seri Mohd. Najib cakap macam di atas.

Tapi, syarikat Singapura pula, macam lipas kudung. Semua projek di bumi kita yang bertuah ni dia orang nak kerumun, nak kebas, nak balun.

Oleh itu, sama-samalah kita memohon agar Allah SWT sentiasa menginsafkan kita semua supaya bijaksana, berhati-hati dan waspada dalam mengendalikan seluruh urusan kita dengan Singapura.

Jangan kita izinkan mana-mana pihak melukut di tepi gantang. Jangan kita relakan mana-mana pihak menangguk di air yang keruh. – Ruhanie Ahmad.

1 comment:

sahabat said...
This comment has been removed by a blog administrator.