Wednesday, December 06, 2006

Bila Bloggers Naik Pengaruh
Kredibaliti Siapa Kian Luruh?
Oleh Ruhanie Ahmad

Tak sudah-sudah. Lepas satu, satu lagi. Lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Lim Kheng Yaik. Lepas itu Datuk Shahziman Abu Mansor. Kemudiannya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Beliau diikuti oleh Datuk Kong Cho Ha. Terbaru sekali, Datuk Zainuddin Maidin.

Kesemua anggota kerajaan yang tersenarai di atas memperkatakan pasal bloggers di Malaysia. Ada yang mengeluarkan amaran. Ada yang menuduh bloggers tempatan sebagai penembak curi. Ada yang menganggap bloggers sebagai penyebar fitnah. Ada yang nak lesenkan bloggers. Ada yang menuduh bloggers mencari populariti dan untung jangka pendek.

Kenyataan dan tuduhan mereka terlalu melulu. Ada yang mengandungi ugutan. Ada yang mengelirukan. Tidak kurang pula yang mencerminkan kecetekan maklumat latarbelakang mengenai bloggers secara umumnya.

Kenapa jadi begini? Kerana bloggers di Malaysia kian meningkat pengaruhnya? Kerana majoriti generasi maya lebih yakin kepada blog berbanding akhbar-akhbar perdana? Kerana pihak pemerintah gagal menguasai republik elektronik yang memberikan ruang kepada kewujudan bloggers di alam maya?

Fenomena

Saya sudah banyak kali cadangkan supaya pihak pemerintah mengkaji femomena bloggers ini untuk mempastikan kesan dan implikasinya kepada kewartawanan tradisional mutakhir ini.

Saya kemukakan cadangan tersebut untuk membolehkan pihak pemerintah mengambil manfaat daripada kebangkitan bloggers secara global dan lokal, khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ke arah pembinaan generasi dan negara.

Saya juga mencadangkan pihak pemerintah bersikap positif terhadap news bloggers di Malaysia. Lebih-lebih lagi bila beberapa nama besar dalam kewartawanan tanahair kini sudah mula jadi bloggers.

Kelompok wartawan di atas tidak jadi bloggers kerana mereka mahu bermusuhan dengan sesiapa. Mereka juga tidak jadi bloggers atas motivasi kewangan atau pun pangkat.

Kumpulan wartawan di atas bertindak menurut naluri dan rasa hati masing-masing. Mereka tidak bertindak secara bersepadu. Mereka bangkit secara spontan.

Abadi

Bagaimanapun, niat dan hasrat mereka adalah murni dan abadi. Mereka jadi bloggers dengan hasrat dan niat yang sama. Iaitu demi agama, bangsa dan negara.

Keikhlasan kumpulan wartawan besar yang jadi bloggers ini amat jelas. Mereka berjuang dengan menggunakan mata pena mereka secara tegas dan berani.

Isu-isu yang mereka tulis, ulas dan perjuangkan adalah benar. Bukannya gimik, fitnah atau rekaan. Kalau ada yang menulis mengenai operasi “deep throat” umpamanya, isu itu pastinya benar. Kalau ada yang menulis pasal “The Toyol Code” isu itu juga bukan gimik dan rekaan.

Jadi, tidak wajarlah untuk mana-mana pihak cuba memperkecil, memperbodoh atau pun memperlekehkan bloggers kategori ini. Pengalaman mereka luas. Rangkaian maklumat mereka juga menyeluruh dan tinggi.

Kelompok wartawan-bloggers ini bertindak sesuai dengan tuntutan zaman dan kebangkitan teknologi. Secara kolektif, kini mereka mempunyai audiens harian yang beratus-ratus ribu ramainya.

Diperangi

Jadi, adakah fenomena seperti ini mahu dipandang sepi atau diperangi oleh pihak pemerintah? Atau, tidakkah lebih bermanfaat kalau fenomena seperti ini ditangani secara mesra dan positif?

Terserahlah kepada pihak pemerintah untuk bertindak. Tetapi, yakinlah, pihak pemerintah lebih banyak kerugian jika pilihannya adalah enggan bermesra dengan bloggres yang mengamalkan kewartawanan rakyat.

Ini kerana kewartawanan jenis inilah alternatif semasa yang paling popular dan berkesan. Kewartawanan jenis inilah juga yang sedang menerima keyakinan majoriti warga maya!

Jadi, mahukah pihak pemerintah melihat news bloggers di Malaysia kian berpengaruh, sementara pihak yang mengamalkan kewartawanan tradisional, termasuk media perdana, semakin luruh pengaruh dan masa depannya?

Bagaimanapun, biar pilihan mana sekali pun yang akan diambil oleh pihak pemerintah, kita mestilah akui bahawa news blogging adalah satu bentuk demokrasi yang baru. Ia membolehkan rakyat jelata bersuara menerusi internet. Ia menjadi saluran kepada keresahan rakyat. Ia menjadi lidah kepada kekcewaan rakyat. Ia menjadi medan kepada rakyat meluahkan perasaan secara tulus dan ikhlas.


5 comments:

kluangman said...

Dalam mana mana media, termasuklah blog, lidah pengarangnya atau apa saja nama yang diberi, penentu dan pengaruhnya tetap kembali kepada pembaca, mata pena pengarang hanya berbisa jika relevan.

Pembaca punya wang, masa dan kos untuk dikeluarkan dalam mereka membuat pilihan apa yang hendak dibaca.

Pandangan Menteri, Pembesar hanyalah satu suara biasa yang mewakili golongan yang berkepentingan, dalam era sekarang pandangan mereka sudah boleh dinilai oleh rakyat dan paling malang jika suara mereka adalah cermin kebebalan dan bodoh sombong mereka sendiri.

Hari ini Perdana Menteri dan seluruh kabinet, kerajaan dan parti pemerintah mempunyai imej yang paling buruk dalam sejarah malaysia, rakyat tidak segan silu memaki hamun merupakan satu gambaran rasa hilang hormat dan moral yang rendah keraajaan.

Selagi pilihanraya yang bersih belum dijalankan, selagi itulah kerajaan sekarang ibarat pe***** untuk sebilangan pelanggannya. Mereka masih mampu tersenyum walaupun diri jijik.

malaysia said...
This comment has been removed by a blog administrator.
malaysia said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Amiruddin Azlan said...

REFORMASI Dato' Ron.

Ex-High School Batu Pahat
1994-1998

abg joe said...

bila keadaan sudah tidak memihak empunya diri, masa tu lah nak di kawal, dikeluarkan segala macam jenis peraturan. kenapa ramai pembaca sudah beralih dari membaca akhbar harian ke blog? bagi aku sendiri akhbar kini sudah makin merepek. cerita pasal artis kawin becerai lagi mendapat perhatian muka utama. semacam sudah menjadi agenda nasional. Akhir kata "tanpa artis siapalah kita"......