Friday, December 01, 2006

Malaysia Punya Peranan Penting
Promosi Islam, Kata Howard

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Malaysia, selaku contoh sebuah negara Islam yang sederhana, konstruktif dan kompetitif, mempunyai peranan yang amat penting untuk dilaksanakan dalam menggalakkan pemahaman yang lebih baik terhadap Islam dan kepentingannya, kata Perdana Menteri Australia John Howard.

Beliau berkata hakikat ini malah lebih penting pada masa ini memandangkan masyarakat dunia mempunyai pandangan yang berbeza terhadap Islam dan kepentingannya.

"Kita sebagai sebuah masyarakat dan penduduk dunia akan membayar harga yang amat mahal jika kita tidak memahami persamaan yang kita ada.

"Itulah pelajaran yang perlu kita hayati dan amalkan dalam hubungan kita antara satu dengan lain," katanya pada majlis jamuan rasmi sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=233612

Hai. Lucu betul. John Howard kata Malaysia “mempunyai peranan yang amat penting untuk dilaksanakan dalam menggalakkan pemahaman yang lebih baik terhadap Islam dan kepentingannya.”

Kita semua kenal siapa Howard. Negaranya menghantar bala tentranya membantu Amerika Syarikat dan Britain melanggar Iraq pada 2003.

Akibatnya, hingga kini rakyat Iraq porak peranda. Ratusan ribu telah mati akibat ledakan senjata api. Ratusan ribu lagi hidup sengsara. Ada yang mengidap penyakit kronik dan kanser akibat depleted uranium yang terkandung dalam bom-bom yang diledakkan ke bumi Iraq.

Ini bermakna Howard adalah salah seorang pemimpin dunia yang bertanggungjawab menghancur-leburkan Iraq, membunuh rakyat jelata Iraq menerusi peperangan, dan mensengsarakan rakyat jelata Iraq menerusi adu-dombaaan puak syiah dan sunni pada ketika ini.
Berasaskan rekod seperti di atas, siapakah Howard untuk mengatakan Malaysia mempunyai peranan penting untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik terhadap Islam dan kepentingannya?

Jadi, sementara Malaysia mahu mengintimkan hubungan diplomatik dan enokominya dengan Australia, salahkah kalau Malaysia juga bertegas untuk menggesa Howard mengundurkan bala tenteranya daripada bumi Iraq dengan seberapa segera? Salahkah Malaysia berbuat demikian, khususnya bila Malaysia adalah Pengerusi OIC? – Ruhanie Ahmad.

2 comments:

sahabat said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Andin Salleh said...

Malaysia dianggap sebagai negara Islam yang "sederhana". Sama ada label ini baik atau tidak, terpulanglah kepada penilaian kita masing-masing.

Akan tetapi, saya kira dalam konteks semasa, "negara Islam sederhana" seperti inilah yang boleh diterima oleh Australia dan negara Barat yang lain.

Mereka tentunya tidak akan menerima negara Islam yang hendak melaksanakan hukum Islam, yang di Indonesia diistilahkan sebagai "Islam garis keras" (Islam fundamentalis, atau istilah lain seumpamanya).