Monday, September 29, 2008

UPDATE: KUOTA PENCALONAN AKAN DIMANSUH, PERWAKILAN BAHAGIAN AKAN DITUNDA....

Maklumat yang baru saya terima mengesahkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menundakan persidangan perwakilan UMNO bahagian daripada 9 Oktober 2008 kepada Februari 2009.

Abdullah juga dijangka merujuk kepada MT UMNO untuk mengadakan satu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas bagi memansuhkan kuota yang dikenakan kepada sesiapa yang berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat bahagian dan pusat, termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan ahli MT.

Usaha ini membuktikan bahawa Abdullah akan meneruskan niatnya mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Tetapi, oleh kerana tidak yakin memperolehi kuota pencalonan yang diperlukan, iaitu 58 pencalonan daripada bahagian bagi jawatan Presiden, Abdullah pula berusaha untuk memansuhkan kuota itu menerusi PAU Khas.

Pembatalan kuota ini, jika dipersetujui oleh PAU Khas, akan menimbulkan anamoli kepada warga UMNO yang bertanding jawatan di peringkat bahagian.

Oleh kerana persidangan cawangan UMNO di seluruh negara sudah berakhir baru-baru ini, dan mereka yang akan bertanding di peringkat bahagian sudah pun diketahui, maka adakah MT UMNO juga akan memutuskan supaya pertandingan di peringkat bahagian tidak akan terikat dengan sistem kuota?

Bagaimanapun, tafsirlah sendiri apakah erti dan implikasi kepada semua tindakan ini. Dan, bayangkanlah sendiri bagaimana bercelarunya keadaan berikutan perkembangan ini.

Akhir sekali, mungkinkah MT UMNO akan akur kepada saranan Abdullah untuk menundakan persidangan perwakilan bahagian kepada Februari 2009 di samping mengadakan PAU Khas untuk memansuhkan kuota berkenaan? Kita tunggu dan lihat apakah kesudahannya tidak lama lagi! – Ruhanie Ahmad

JUTAAN MAAF KAMI PERLUKAN, JUTAAN TERIMA KASIH KAMI ABADIKAN…

Dengan rendah hati, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh penyokong, peminat dan pengunjung http://kuda-kepang.blogspot.com di mana sahaja mereka berada. Atas sokongan dan dukungan anda, pada jam 12.30 tengahari, 29 September 2008, blog ini merekodkan cumulative hits yang ketiga juta sejak kemunculannya di ruang maya pada akhir Jun 2006.

Blog ini mencapai cumulative hits yang kedua juta kira-kira empat bulan yang lalu - pada 11.50 pagi, 2 Mei 2008. Cumulative hits satu juta yang pertama pula diperolehi tujuh bulan lalu - pada 5.30 petang, 9 Februari 2008 – atau 20 bulan setelah blog ini diwujudkan.

Sempena pencapaian cumulative hit yang kedua juta, saya menyiapkan sebuah buku bertajuk Blogger: Kawan Atau Lawan? Buku ini menyorot blog sebagai media kewartawanan rakyat di zaman mutakhir dan reaksi masyarakat yang memusuhinya.

Sempena cumulative hits yang ketiga juta ini pula saya akan mengantologikan posting-posting isu politik dan kepimpinan pilihan saya bersama dengan komennya supya jadi satu dokumen pentafsiran sejarah oleh generasi mendatang.

Saya amat terhutang budi kepada seluruh sahabat budiman. Tanpa anda, kuda-kepang pastinya akan terus terkial-kial mencari ruang dan wibawa di alam siber. Jutaan terima kasih, penghargaan dan sanjungan dari saya kepada anda sekalian.

Dan, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Aisah dan saya serta keluarga memohon jutaan maaf dan ampun kepada surfers budiman, handai-taulan, sanak-saudara dan kaum-keluarga seluruhnya. – Ruhanie Ahmad

ABDULLAH DIJANGKA PERTAHANKAN KERUSI PRESIDEN UMNO?

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Mac 2009. Begitulah pendapat beberapa pemerhati politik yang saya temui dan segolongan surfers yang mengirimkan komen ke blog ini.

Keputusan ini dijangka diumumkan oleh Abdullah sebelum atau pada 9 Oktober 2008 ini. Abdullah mengambil keputusan ini setelah para pegawai dan orang-orangnya mengaudit jumlah pencalonan yang boleh beliau perolehi daripada bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

Daripada tinjauan rambang, menerusi “pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara”, beberapa pemerhati politik berpendapat, Abdullah boleh memperolehi jumlah kouta yang diperlukan untuk membolehkan beliau mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Contohnya, Abdullah dijangka memperolehi sekurang-kurangnya 4 pencalonan daripada Johor, 2 daripada Melaka, 6 daripada Negeri Sembilan, 4 daripada Selangor, 4 daripada Perak, 12 daripada Pulau Pinang, 3 daripada Kedah, 5 daripada Kelantan, 2 daripada Terengganu, 3 daripada Pahang, 5 daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, dan 10 daripada Sabah.

Ramai pemerhati politik berpendapat, jika para pegawai dan orang-orang Abdullah berusaha secara “pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara” jumlah 60 pencalonan di atas mungkin boleh dimaksimakan mungkin hingga sekurang-kurangnya 65 pencalonan.

Untuk memaksimumkan jumlah pencalonan ini, para pegawai dan orang-orang Abdullah dijangka mensasarkan tumpuan mereka kepada para perwakilan cawangan ke bahagian-bahagian.

Diberi Pangkat

Ini kerana para perwakilan cawangan inilah yang akan mengundi dan menentukan corak serta sentimen pencalonan Presiden dan lain-lain jawatan yang akan dipertandingkan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) pada Mac 2009 kelak.

Ketua-ketua bahagian yang tidak memihak kepada Abdullah pula dijangka dimenangi hati mereka menersi “pangkat dan darjat”.

Contohnya, mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang baru dilantik sebagai penasihat PM mengenai Koridor Utara juga akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). Banyak lagi perlantikan seperti ini dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

Lantaran itu, Abdullah sedang didesak oleh inner circlenya untuk berikhtiar merobah keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 26 Disember 2008 supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian UMNO mulai 9 Oktober 2008 ini juga ditangguhkan ke Januari atau Februari 2009.

Asas kukuh untuk menangguhkan persidangan perwakilan bahagian ini ialah untuk mengelakkan tempoh berkempen yang terlalu panjang bagi seluruh calon yang bertanding dalam pemilihan parti di peringkat pusat – MT UMNO, Pergerakan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik yang sinis berkata, penangguhan persidangan perwakilan bahagian ini dijangka akan memudahkan orang-orang Abdullah memenangi hati dan sokongan perwakilan cawangan-cawangan yang akan memilih calon-calon pucuk pimpinan tertinggi UMNO dalam perwakilan bahagian masing-masing.

Ubah Keputusan?

Jika Abdullah akur dengan desakan seperti di atas, beliau terpaksa merujuk kembali kepada MT UMNO untuk merobah keputusannya baru-baru ini mengenai persidangan bahagian-bahagian yang akan bermula pada 9 Oktober 2008.

Soalnya, adakah MT UMNO akan setuju dengan usaha merobah keputusannya. Mungkinkah Abdullah akan diberika muka untuk berbuat demikian. Atau, mungkinkah MT UMNO akan bertegas mempertahankan seluruh keputusannya baru-baru ini tanpa sebarang perubahan?

Demikianlah spekulasi mengenai Abdullah oleh segolongan pemerhati politik tanahair pada saat dan ketika ini. Spekulasi ini adalah berasaskan sikap Abdullah yang sentiasa “flip-flop” dan berdolak-dalik dalam banyak tindakan dan keputusannya selama ini.

Spekulasi ini juga berasaskan pendirian dan keputusan Abdullah yang selama ini didakwa amat dipengaruhi oleh segelintir anggota keluarganya.

Jika Abdullah mempertahankan kerusi Presiden UMNO dan memperolehi pencalonan secukupnya, bagaimanakan pendirian Datuk Seri Najib Tun Razak?

Jika Najib juga menerima pencalonan secukupnya bagi kerusi Presiden UMNO, adakah beliau sedia untuk menandingi Abdullah? Apakah reaksi para penyokong Najib yang kini bertungkus lumus berusaha mendapatkan pencalonan jawatan tertinggi ini sekarang?

Harapan UMNO

Dan, bagaimana pula jika ditakdirkan Allah, Tengku Razaleigh Hamzah juga menerima pencalonan secukupnya untuk jawatan Presiden UMNO? Mungkinkah akan terjadi pertandingan tiga penjuru? Atau, mungkinkah Najib akan menarik diri dan hanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden?

Jika Najib hanya mempertahankan jawatannya sekarang, bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi calon “dark horse” yang berhasrat memenangi jawatan Timbalan Presiden?

Begitulah rumitnya keadaan jika Abdullah yang sudah memutuskan akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya Mac 2009 ini, tetapi terus mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO kali ini.

Dalam keadaan seperti ini, ramai warga UMNO menggantungkan harapan semoga sebelum atau pada 9 Oktober 2008 ini Abdullah dengan sukarelanya mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Mereka menggantungkan harapan sedemikian kerana amat khuatir Abdullah tidak akan menerima pencalonan secukupnya walaupun “dipujuk rayu secara kreatif dan pelbagai cara.”

Kini, segala-galanya terserah kepada Abdullah dan perkiraan serta percaturan politik segelintir anggota keluarganya. Jika mereka menitikberatkan kepentingan agama, bangsa dan tanahair, Abdullah pasti tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Jika, sebaliknya, UMNO terpaksalah berhadapan dengan situasi dan kemelut yang rumit dan sengit!

Friday, September 26, 2008

UPDATE: PERHIMPUNAN AGUNG UMNO DITUNDA KE BULAN MAC 2009

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Majlis Tertinggi Umno hari ini membuat keputusan menunda tarikh Perhimpunan Agung parti itu ke bulan Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan presiden Umno atau sebaliknya sebelum bahagian-bahagian Umno memulakan mesyuarat perwakilannya pada 9 Okt ini.

"Saya belum membuat sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Saya berhasrat untuk mengumumkannya sebelum mesyuarat bahagian," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini.

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan... peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga. Ini akan diputuskan antara saya dan Najib."

Abdullah yang terus diasak dengan pertanyaan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya berkata, "bertanding atau tidak, saya yang akan putuskan."

Perdana Menteri berkata selain melewatkan tempoh pemilihan parti pada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan pada 16 Dis ini ke bulan Mac tahun depan, Majlis Tertinggi memutuskan tiada sebarang perubahan terhadap perjalanan mesyuarat bahagian yang akan bermula pada 9 Okt.

Ditanya sama ada beliau menerima tekanan dalam mesyuarat hari ini untuk melepaskan jawatannya lebih awal, Abdullah berkata perkara itu tidak berlaku.

"Tidak ada apa-apa pada hari ini. Tidak ada langsung mengenai perkara itu. Mungkin ada dua atau tiga orang yang rasa begitu. Tapi kebanyakan (anggota MT) tidak ada satu-satu sebab mengapa nak desak sebab mereka tahu bahawa hubungan saya dengan Datuk Seri Najib adalah satu hubungan yang baik. Apa-apa perkara pun, kedua-dua kami ada satu persefahaman yang baik. Tidak ada masalah yang timbul mengenai perkara ini.

Beliau turut ditanya sama ada bersedia melakukan pengorbanan demi kebaikan dan kepentingan parti dengan melepaskan jawatan yang disandangnya.

Abdullah berkata dalam sejarah perjuangannya, beliau tidak pernah mengambil apa juga tindakan yang bertentangan dengan parti kerana beliau menyayangi Umno.

"Bagi saya, saya sayangkan parti sungguhpun ketika melalui waktu yang sukar. Saya tidak pernah meninggalkan Umno. Saya tidak menyertai Umno 46 (Semangat 46), saya tidak menyertai parti lain. Saya tidak pernah berada pada platform mana-mana parti pembangkang demi kepentingan peribadi menentang Umno. Tidak ada rekod saya menentang parti langsung pada bila-bila masa pun," katanya. – Dipetik daripada BERNAMA

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=361447

ABDULLAH AKAN UMUM KEPUTUSAN PERTAHANKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO SEBELUM 9 OKTOBER

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini sebelum persidangan perwakilan bahagian parti bermula.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno hari ini, Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa Perhimpunan Agung Umno, yang dijadual Disember ini, ditunda ke Mac tahun depan.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=361443

PENANGGUHAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KEPUTUSAN BIJAKSANA, KATA NAJIB

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan menunda tarikh Perhimpunan Agung Umno ke Mac tahun depan dan mengekalkan tarikh mesyuarat Umno bahagian sebagai keputusan yang bijaksana.

"Keputusan itu dibuat dengan penuh bijaksana selepas mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=361478

PENANGGUHAN BUKTI ABDULLAH UTAMAKAN PARTI, KATA MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Keputusan yang dicapai pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno hari ini dianggap sebagai bukti bahwa Perdana Menteri teri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih mengutamakan kepentingan parti dan menghormati pendapat anggota parti.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata biarpun sebelum ini banyak pihak termasuk dirinya pernah mengemukakan pelbagai pandangan termasuk meminta peralihan kuasa dipercepatkan, namun Abdullah masih meletakkan kepentingan parti melebihi yang lain.

"Saya hendak menyatakan di sini sanjungan dan penghormatan kepada presiden kerana Pak Lah telah secara ikhlas mengambil kira semua perkara...nampak beliau lebih mengutamakan parti dan menghormati pandangan-pandangan ahli," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perancangan itu sedangkan belum ada kepastian berhubung tarikh sebenar proses peralihan kuasa itu akan dipercepatkan, Muhyiddin berkata: "Saya rasa kita perlu ada keyakinan."

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO, PEMILIHAN MT DITANGGUH KE MAC 2009

KUALA LUMPUR 26 Sep. – Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijadualkan Disember ini ditangguhkan sehingga Mac tahun depan.

Dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini hari ini, MT bagaimanapun menetapkan mesyuarat dan pemilihan bahagian-bahagian UMNO yang bermula pada 9 Oktober ini akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa pertandingan jawatan peringkat tertinggi UMNO pada Mac depan bergantung kepada keputusan mesyuarat bahagian-bahagian yang diadakan bulan depan.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Mac depan, Abdullah berkata: “Terpulang kepada saya.”

Keputusan itu dibuat untuk melancarkan peralihan kuasa antara Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. – Utusan, 26 September 2008, 12:33pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm


ABDULLAH AKAN UMUM KEPUTUSAN PERTAHANKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO SEBELUM 9 OKTOBER

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu sebelum persidangan perwakilan bahagian bermula pada 9 Oktober ini.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini. – Bernama, 26 Septembar 2008, 12:55pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm

NAJIB TENTANG PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG UMNO

24 Sept - Cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ke tahun hadapan telah mendapat bangkangan dan tentangan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut sumber Seri Perdana, Pak Lah telah memanggil Najib pagi tadi untuk membincangkan isu-isu parti. Dalam pertemuan tersebut, Pak Lah telah mengutarakan cadangan agar Mesyuarat Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan ke bulan April dan Jun 2009. Namun cadangan tersebut telah ditolak oleh Najib.

Bagaimanapun Pak Lah berkeras mahukan Majlis Tertinggi meluluskan usul ini esok. -
EKSKLUSIF MYKMU.NET:

TARIKH PERALIHAN KUASA LEBIH AWAL?

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Adakah mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno esok akan memutuskan tarikh peralihan kuasa lebih awal antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak atau membincangkan kaedah lebih berkesan untuk mengukuhkan parti?

Lagi: http://puteramalaysia.blogspot.com/

Thursday, September 25, 2008

MESYUARAT KHAS MT UMNO ESOK PENUH SPEKULASI MENGENAI KEDUDUKAN ABDULLAH…


Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan satu mesyuarat khas di Ibupejabat UMNO, di Kuala Lumpur, mulai 10.00 pagi esok, 26 September 2008, dipercayai untuk membincangkan beberapa agenda penting membabitkan formula peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maklumat di atas disahkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu berita Bernama di Kuala Lumpur hari ini. Bagaimanapun Najib tidak menghuraikan agenda bagi nesyuarat berkenaan.

Sumber-sumber UMNO menjangka terdapat tiga kemungkinan utama yang menyebabkan mesyuarat khas itu diadakan.

Pertama, untuk membincangkan cadangan Abdullah supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian UMNO mulai 10 Oktober 2008 ini ditunda kepada satu tarikh yang akan dipersetujui oleh MT. Ini bermakna Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Disember 2008 ini juga kemungkinan besar akan ditunda.

Cadangan ini dipercayai adalah antara perkara yang diputuskan oleh sekumpulan ketua perhubungan UMNO negeri yang bermesyuarat dengan Abdullah di Seri Perdana, Putrajaya, daripada jam 1.00 hingga 3.00 pagi, dua tiga hari yang lalu.

Kedua, mesyuarat khas MT ini diadakan mungkin bagi membolehkan Abdullah mengumumkan kepada MT akan cadangannya untuk mengundurkan diri daripada UMNO dalam tempoh terdekat.

Jika perkara dibincangkan, Abdullah dijangka menyatakan persetujuannya mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO tetapi mahu terus jadi Perdana Menteri sehingga suatu tempoh tertentu.

Ketiga, jika kedua-dua kemungkinan di atas tidak dibincangkan, Abdullah dijangka menyampaikan hasratnya untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti tahun ini.

Jika agenda inilah yang dibincangkan maka persidangan perwakilan bahagian-bahagian dan PAU Disember ini mungkin tidak akan ditunda.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini ditanya oleh media akan ura-ura penundaan perwakilan bahagian dan PAU.

Menurut Utusan Malaysia, Mahyuddin menegaskan, beliau tidak pasti sama ada PAU yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.

“Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu, tetapi yang jelasnya, ini satu perkara penting. Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini,” katanya.

Apa pun, kesahihan seluruh spekulasi di atas akan diketahui esok. Kita nantilah dengan doa dan harapan semoga sesuatu yang positif demi agama, bangsa dan tanahair akan diputuskan dalam mesyuarat khas MT itu. KEPADA ALLAH BERSERAH! – Ruhanie Ahmad

Wednesday, September 24, 2008

LEMBAGA DISIPLIN UMNO PERLU DIPERKUKUH BANTERAS POLITIK WANG

MUAR 24 Sept. - Lembaga Disiplin Umno perlu diperkukuhkan bagi membolehkannya bertindak tegas menangani gejala politik wang menjelang pemilihan parti di peringkat bahagian bulan depan dan Majlis Tertinggi pada Disember ini, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya beliau telah menyarankan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini setelah dimaklumkan terdapat arah aliran peningkatan amalan politik wang dalam mesyuarat-mesyuarat pemilihan cawangan yang berakhir bulan lepas.

“Saya agak bimbang kerana sudah nampak petanda amalan politik wang agak meluas pada mesyuarat-mesyuarat cawangan kali ini berbanding mesyuarat sebelum ini.

“Saya bimbang kalau trend sebegini berlarutan atau menular di mesyuarat-mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung parti, ia akan menimbulkan masalah besar kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama pemimpin dan anggota Umno Bahagian Pagoh di sini.

Selain menambah bilangan anggota Lembaga disiplin dan jawatankuasa siasatan, beliau mencadangkan agar anggota Umno secara sukarela mengawasi perilaku mereka yang tidak mematuhi peraturan dan perlembagaan parti itu.

“Pemimpin-pemimpin parti di semua peringkat perlu sanggup menjadi mata dan telinga Umno kerana tenaga kerja di Lembaga Disiplin amat terbatas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka supaya tidak memberikan laporan palsu kepada Lembaga Disiplin. – BERNAMA

Lagi:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_10.htm

SIAPAKAH YANG SEDANG BERUSAHA MEMPORAK PERANDAKAN UMNO?

Di bawah ini saya paparkan intisari ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kota Bharu pada 22 September 2008, yang dipetik daripada versi Utusan Malaysia dan versi Bernama.

Saya ambil dayausaha ini untuk membolehkan anda sama-sama membangkitkan soalan-soalan berikut:

Satu: Siapakah yang dikatakan sedang melaksanakan “agenda menghancurkan parti” dan berusaha “memporak perandakan UMNO”?

Dua: Apakah benar bahawa UMNO kini sedang berbalah?

Tiga: Apakah benar seluruh warga UMNO akar menerima pelan peralihan kuasa?

Akar Umbi

Empat: Bilakah Abdullah menemui seluruh warga akar umbi UMNO di seleuruh negara?

Lima: Adakah firman Allah SWT yang mengatakan “sesungguhnya perbuatan macam itu (memporak peranda parti), akhirnya akan membawa kepada kehancuran, jadi kalau kita ingat ini, insya-Allah kita akan maju dan berjaya, Allah akan merahmati perjuangan kita”?

Utusan Malaysia: Abdullah meingatkan ahli UMNO supaya menjaga parti ketika ada pihak-pihak tertentu yang membuat bermacam helah serta rancangan untuk memporak peranda parti itu.

Adalah menjadi tanggungjawab semua ahli untuk memastikan sebarang agenda yang menghancurkan parti itu tidak akan berlaku.

Semua ahli perlu beriktikad untuk menjaga perpaduan, persaudaraan dan kesetiaan kepada perjuangan bagi memastikan UMNO terus kukuh.

Firman Allah

Allah telah berfirman sesungguhnya perbuatan macam itu (memporak peranda parti), akhirnya akan membawa kepada kehancuran, jadi kalau kita ingat ini, insya-Allah kita akan maju dan berjaya, Allah akan merahmati perjuangan kita.

Tiada kejayaan yang diperoleh tanpa ada kekuatan yang datang dari muafakat, kerjasama, perpaduan dan persefahaman.

Saya sebagai pemimpin bersama timbalan serta semua ahli inginkan UMNO menjadi parti yang baik, tidak bergaduh dan tidak berbalah sesama kita.

Kita mahu semua menunjukkan persefahaman yang sama sebab kita mahu mengejar kejayaan dalam kehidupan untuk menjadi bangsa yang mulia dan berjaya dalam pelbagai bidang.

Mengingatkan semua pihak supaya menjaga percakapan dan menggunakan kesempatan pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT.

Pergaduhan

Pergaduhan dan perbalahan sesama sendiri akan menimbulkan banyak kesulitan. Muafakat dan kerjasama yang kukuh akan membawa kepada kejayaan perjuangan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Cakap biarlah baik dan di samping itu kita perlu faham bahawa kerja amal soleh yang meningkatkan kita.

Kerja amal yang akan meningkatkan darjat kita untuk menikmati kemuliaan daripada Allah SWT.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Bernama: Abdullah menyatakan semua anggota UMNO peringkat akar umbi mahukan semangat pemuafakatan dalam parti itu diperkukuh sejajar dengan pelan peralihan kuasa pada 2010.

Peralihan Kuasa

Semua anggota parti itu telah menyuarakan sokongan terhadap beliau mengenai pelan peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap ia berjalan dengan lancar.

Pelan peralihan itu diterima baik oleh anggota parti dan perkara itu dinyatakan semasa beliau membuat lawatan kerja ke negeri-negeri termasuk menghadiri majlis berbuka puasa.

Semua anggota UMNO masih sayang kepada parti dan mereka inginkan parti ini supaya kuat dan baik. Mereka hendakkan parti ini diperbetulkan dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku.

Semua anggota UMNO tidak mahu sebarang perbalahan wujud di dalam parti berikutan proses pelan peralihan kuasa itu. Semua anggota tidak mahu berlaku perbalahan. Yang kita mahu adalah muafakat dan ikatan yang kuat di dalam parti yang membawa kepada perpaduan.

Pemesongan?

Pelan peralihan kuasa tetap berlaku seperti yang telah dirancang sebelum ini dan ia berlaku secara berperingkat-peringkat.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=360696

Setelah membaca dan mempersoalkan kenyataan Abdullah di atas, tanyalah diri sendiri sama ada tindakan mempertikaikan soal peralihan kuasa boleh disifatkan sebagai satu “agenda menghancur dan memporak perandakan UMNO”?

Dan, tanyakanlah juga, bukankah kenyataan di atas merupakan satu pemesongan oleh Abdullah yang sedang terjebak dengan isu peralihan kuasa mutakhir ini? – Ruhanie Ahmad

Tuesday, September 23, 2008

SIAPAKAH PETUALANG, PENGKHIANAT DAN PEMBOHONG DALAM UMNO?

Ruhanie Ahmad

UMNO hari ini mempunyai dua kelompok ahli yang disifatkan sebagai gunting dalam lipatan - kelompok pensabotaj dan kelompok petualang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan kewujudan kelompok pertama pada minggu pertama Mac 2008. Katanya, kelompok inilah punca utama BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, Abdullah menyatakan bahawa beliau sendiri akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO supaya kelompok pensabotaj ini dikenakan tindakan. Kini sudah empat bulan berlalu. Namun begitu, sampai hari ini pun belum didedahkan siapakah pensabotaj sebenarnya di dalam UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib, menghuraikan kewujudan kelompok petualang dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya: “Bila ada kalangan ahli MT yang membocorkan maklumat mereka boleh dianggap dan dikategorikan sebagai petualang kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan memalukan. Sepatutnya perangai petualang ini tidak harus ada di kalangan pemimpin dalam parti.”

Kategori Negatif

Kedua-dua tuduhan di atas adalah amat serius. Kedua-duanya juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin dipecah-pecahkan kepada kategori yang negatif. Kesannya juga pasti negatif. Bukan kepada yang pihak dituduh, tetapi kepada insan-insan yang memberikan label-label berkenaan.

Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair, marilah kita tanya kepada Abdullah, sudahkah diselidik dan disiasat punca-punca yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12? Kalau sudah, berapa ramaikan pengkhianat atau pensabotaj yang sudah dikenalpasti? Kalau belum, kenapa buat tuduhan yang memlulu? Dan, kalau belum, mengapakah Abdullah sering berkata BN dan UMNO masih kukuh dan masih kuat? Bukankah ini satu pembohongan?

Begitu juga kepada Muhamad Taib. Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono? Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?

Tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku diversion daripada masalah pokok kepada soal sampingan. Soal pokoknya, tidak benarkah BN kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang. Sebab itulah terdapat orang UMNO sendiri marah dan protes.

Jadi, kenapa tidak diakui hakikat ini. Sebaliknya, kenapa tuduh warga UMNO yang tidak undi BN sebagai pensabotaj? Kenapa sehingga hari ini tidak ada berita yang Abdullah sendiri telah membentangkan senarai pensabotaj itu kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Bagaimana pula dengan ahli-ahli komponen BN yang juga tidak mengundi calon BN? Kenapa Abdullah tidak tuduh mereka juga sebagai pengkhianat?

Syak Wasangka

Soal pembocoran maklumat dalam mesyuarat MT 18 September 2008, pun begitu juga. Benar atau tidak Abdullah telah menitiskan air mata dalam mesyuarat itu. Benar atau tidak ramai ahli MT yang mahukan Abdullah berundur sebelum 9 Oktober 2008? Kenapa tidak nafikan atau sahkan laporan-laporan seperti ini? Sebaliknya kenapa wujudkan syak wasangka sesama ahli MT?

Untuk maklumat Muhamad Taib, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini. Kajilah sendiri kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?

Saya tidak mahu mengheret polemik ini kepada soal lain. Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu UMNO telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan? Tidak benarkah UMNO hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan? Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi UMNO ini sebagai pembohong!

Berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO selama ini? Contohnya, benarkah kenyataan Tan Sri Annuar Musa semalam kononnya UMNO Kelantan sebulat suara akan mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO? Bagaimana dengan UMNO Bahagian Gua Musang? Juga akan calonkan Abdullah?

Kenyataan Puad

Akhir kata, saya harap Abdullah dan Muhamad Taib, fahamilah kenyataan di bawah ini:

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua- ketua UMNO bahagian meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya tidak mengabaikan keresahan di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa pucuk pimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya keresahan dan pandangan ahli diketepikan, gelombang di peringkat akar umbi dikhuatiri akan membahayakan parti.

Katanya, akar umbi tidak lagi boleh berdiam untuk menyatakan pendirian bahawa merekalah yang sepatutnya berhak memutuskan soal pimpinan dalam parti.

Beliau percaya pada mesyuarat bahagian kali ini, akar umbi akan bertindak berani menyatakan pendirian mereka mengenai calon yang mereka fikir wajar dijadikan pemimpin.

"Jika ini berlaku, kita tidak dapat menahan arus ini. Apa pun janji yang kita buat, ia tidak akan dapat mengubah pendirian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Lagi:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Kenyataan di atas adalah hakikat yang jelas dan tegas. Pastinya ia dikeluarkan demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair. Apakah Abdullah akan melabelkan Puad sebagai pengkhianat? Apakah Muhamad Taib akan melabelkan Puad sebagai petualang?

Monday, September 22, 2008

TERPULANG KEPADA PERDANA MENTERI BUAT KEPUTUSAN SERAH KUASA 9 OKT, KATA MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada untuk menyerahkan kuasa pada 9 Okt ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata beliau yakin Perdana Menteri tahu apa yang sedang berlaku di peringkat bawahan.

Hujung minggu lepas beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno dilaporkan berkata tidak ada tekanan dikenakan terhadap Abdullah untuk berundur sebelum tarikh peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdullah sendiri pernah menyebut bahawa tarikh itu boleh dipercepatkan dari Jun 2010 seperti yang dipersetujui sebelum ini. - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=360608

Friday, September 19, 2008

ABDULLAH DIJANGKA BERSARA SECARA SUKARELA DAN TERHORMAT DALAM TEMPOH TERDEKAT INI?

Ruhanie Ahmad

Majlis Tertinggi UMNO telah menasihati Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersara secara sukarela, segera dan terhormat. Jika tidak, kemungkinan besar Abdullah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian UMNO yang memulakan perwakilan bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.

Lantaran itu, Abdullah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam tempoh terdekat ini demi agama, bangsa dan tanahair, selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.

Nasihat di atas telah disampaikan oleh Majlis Tertinggi UMNO kepada Abdullah dalam mesyuaratnya pada 18 September 2008.

Ini kerana persidangan perwakilan UMNO bahagian kali ini akan menamakan calon-calon pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan dipertandingkan pada Disember 2008.

Jika Abdullah enggan berundur, beliau dijangka menghadapi risiko tidak memperolehi kuota secukupnya untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO yang disandangnya ketika ini.

Ambil Risiko

Sekelompok orang Abdullah mungkin akan mendesak Abdullah untuk bertahan, mengambil risiko dan tidak bersara. Kelompok ini dikatakan rela menabur wang berjuta-juta ringgit nilainya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dalam konteks ini, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu blog ini, mainan politik wang ini tidak mungkin berlaku. Ini kerana kini sudah wujud sebuah badan pemantau bebas yang bergerak secara rahsia untuk menggagalkan kemungkinan berkenaan.

Katanya, pelbagai projek di beberapa koridor pembangunan yang ditawarkan oleh sesetengah pihak kepada segolongan ketua-ketua bahagian sebelum ini pun sudah tidak lagi diyakini oleh pihak terbabit bila ekonomi dunia mula meredum dan Kementerian Kewangan pula diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi pula menyatakan kepada blog ini bahawa nasihat yang disampaikan kepada Abdullah pada 18 September 2008 adalah satu ledakan gelombang perubahan yang serius. Gelombang ini akan meledak jadi tsunami siasah jika Abdullah mengengkari nasihat berkenaan.

Maka, katanya, terserahlah kepada Abdullah untuk mengartikulasikan nasihat Majlis Tertinggi. Jika Abdullah mahu mengambil risiko, Abdullah dijangka terkapai-kapai seorang diri dan akhirnya menjadi mangsa kepada tsunami siasah yang meledak daripada peringkat bahagian.

Abdullah Sedar

Ahli Majlis Tertinggi ini mengesahkan posting oleh beberapa bloggers tempatan yang mengatakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 adalah hangat dan decisive. Beliau juga mengakui bahawa sebilangan besar anggota kanan Majlis Tertinggi UMNO rata-rata menasihati Abdullah bersara secara terhormat dan dengan segera.

Sebab itulah agaknya Abdullah dipetik oleh Bernama 18 September 2008, sebagai berkata bahawa “sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.”

Abdullah juga dipetik sebagai berkata bahawa “sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Mengenai peralihan kuasa, Abdullah juga berkata: “Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti. Apa-apa juga keputusan yang akan saya buat mengenai perkara ini akan saya bincang dulu dengan Datuk Seri Najib, kemudian keputusan itu akan dibawa untuk makluman Majlis Tertinggi.”

Moga-moga Abdullah yang kini “sedar, sentiasa mendengar dan sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti” seperti ditegaskan di atas akan menghormati nasihat Majlis Tertinggi UMNO yang mewakili aspirasi majoriti warga UMNO akar umbi di seluruh negara mutakhir ini. Mudah-mudahan di hari baik bulan baik ini Abdullah sanggup berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair dengan mengumumkan persaraannya daripada siasah dan kerajaan sebelum 10 Oktober 2008. KEPADA ALLAH BERSERAH!

Thursday, September 18, 2008

PERALIHAN KUASA: SAMPAI BILA ABDULLAH DAN NAJIB PERLU BERDOLAK-DALIK?

Hari ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan terus berdolak-dalik mengenai formula peralihan kuasa. Buktinya bacalah berita-berita berikut:

TEMPOH PERALIHAN KUASA TETAP 2010

PUTRAJAYA 17 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap mengikut tempoh peralihan kuasa pada 2010 yang ditetapkan sebelum ini – Bernama,17/09/2008 2:28pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

PELAN PERALIHAN MUNGKIN DILAKSANAKAN LEBIH AWAL - PM

PUTRAJAYA 17 Sept. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mungkin dapat dilaksanakan lebih awal.

“Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010,” kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Turut hadir ialah Najib.
Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu antara lain bergantung kepada prestasi Najib.

Menjawab soalan berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: Ia boleh jadi di antara sekarang dengan Jun 2010.” Sambil menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin komited dengan pelan penyerahan, Abdullah berkata beliau akan mengekalkan kerusi Presiden UMNO manakala Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah dalam pemilihan UMNO pada Disember. - BERNAMA. 17/09/2008 5:13pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

Berita yang pertama disiarkan oleh Bernama pada 2.28 petang sementara berita kedua pada 5.13 petang. Ini bermakna dalam tempoh kira-kira tiga jam sahaja Abdullah boleh membuat dua kenyataan berbeza mengenai satu tajuk yang sama – tempoh peralihan kuasa.

Oleh itu, apakah keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat esok mengenai perkara ini? Mungkinkah Najib akan berpegang teguh kepada kenyataannya empat hari lalu – soal peralihan kuasa wajar ditentukan oleh bahagian-bahagian UMNO?

Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengulangi pendiriannya mengenai isu ini – wajar dikaji semula tempohnya kerana 2010 adalah terlalu lama?

Mungkinkah beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendesak Abdullah supaya peralihan kuasa ini dikaji semula tempohnya dan wajar dimuktamadkan oleh bahagian-bahagian UMNO dalam perwakilan bahagian mulai 10 Oktober 2008 kelak?

Apakah keputusan muktamad Majlis Tertinggi UMNO jika Abdullah terus mempertahankan yang peralihan kuasa hanya akan dilaksanakan pada Jun 2010?

Pada ketika ini sebilangan besar warga UMNO sangat mengharapkan semoga tempoh peralihan kuasa ini dipendekkan tempohnya dan dimuktamadkan oleh bahagian-bahagian UMNO. Jadi, selama mana lagikah isu ini perlu dipolitikkan dan diperdolak-dalikkan oleh Abdullah atau Najib? – Ruhanie Ahmad

Wednesday, September 17, 2008

TINDAKAN ANEH DAN PENUH TANDATANYA


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melakukan satu tindakan yang cukup aneh dan menimbulkan banyak spekulasi – menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mengambil pula jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib.

Tindakan di atas tidak pernah berlaku di Negara ini sebelum ini. Sebab itulah ia menimbulkan tandatanya. Antaranya adalah seperti berikut:

Satu: Kenapakah serahkan portfolio kewangan kepada Najib sewaktu dunia di ambang kemelesetan ekonomi yang dahsyat? Adakah kerana Abdullah tidak mampu menangani kemelesetan ekonomi yang akan tiba dan mahu Najib menangani segala-galanya?

Dua: Kenapakah ambil portfolio pertahanan negara di waktu politik negara dalam keadaan kurang mantap? Adakah ini bermakna Abdullah mahu menggunakan ketenteraan untuk menangani sesuatu kemungkinan. Adakah ini untuk menafikan Najib daripada mendapat akses kepada sebarang maklumat keselamatan dan perisikan negara yang lazimnya dalam kawalan polis dan tentera? Adakah tindakan ini akan digandingi dengan pelbagai tindakan sinister?

Laporan Bernama sepenuhnya mengenai tindakan Abdullah ini adalah seperti berikut:

PM SERAH JAWATAN MENTERI KEWANGAN I KEPADA TPM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Di Putrajaya hari ini mengumumkan menyerahkan jawatan Menteri Kewangan I yang disandangnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa serta-merta.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/index.php

ABDULLAH AMBIL ALIH JAWATAN MENTERI PERTAHANAN

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dari Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa serta merta.

PM UMUM TEMPOH PERALIHAN KUASA PADA 2010 KEKAL

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak akan tetap mengikut tempoh peralihan kuasa pada 2010 yang ditetapkan sebelum ini.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=359644

Berasaskan perkembangan di atas rakyat jelata perlu berwaspada, sensitif dan prihatin terhadap lain-lain perkembangan di sekeliling mereka. Ini kerana tindakan Abdullah di atas adalah aneh, luarbiasa, menimbulkan syak wasangka dan mengundang pelbagai tandatanya. Ia juga menimbulkan anxieties dan uncertainties.

Oleh itu, salahkah kalau kita tanya, adakah tindakan terbaru Abdullah ini akan menambahkan keyakinan rakyat terhadap dirinya? Adakah tindakan ini juga akan menyumbang kepada usaha memantapkan politik Malaysia? – Ruhanie Ahmad

SEKARANG DETIK TERBAIK UNTUK ABDULLAH BERUNDUR SECARA TERHORMAT


Ruhanie Ahmad

Ura-ura Pakatan Rakyat (PR) mahu membentuk Kerajaan Pusat pada 16 September 2008 hanya indah khabar dari rupa. Ura-ura tersebut kini jadi bahan gurauan dan jenaka. Impaknya amat negatif sekali kepada PR dan pemimpin besarnya.

Anehnya, perkembangan ini tidak pula menambahkan keyakinan rakyat jelata kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, segolongan rakyat jelata, termasuk warga UMNO, kini berpendapat bahawa inilah waktu terbaik untuk BN sendiri menukar pimpinan nombor satunya supaya BN mampu memulihkan wibawanya dan memperkasakan semula jemaah perjuangannya demi menebus nama baik yang tercemar dan imej unggul yang tercalar akibat prestasi buruknya dalam PRU 12.

Persoalan pokoknya pada hari ini adalah: bila, siapa dan bagaimana? Bilakah pemimpin nombor satu kerajaan BN perlu ditukar? Siapakah yang akan mengambil-alih? Dan, bagaimanakah pula cara terbaik untuk melaksanakan pertukaran ini?

Banyak pihak, baik kalangan politik BN dan UMNO, masyarakat umum, rakyat akar umbi, kumpulan birokrat, kelompok teknokrat serta golongan akademik berpendapat bahawa Abdullah wajar mengundurkan diri sekarang – secara sukarela, secara terhormat dan secara serta merta. Waktu yang paling baik sekali adalah pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 ini.

Siapa pula yang layak menggantikan Abdullah? Beberapa nama layak untuk dipertimbangkan sebagai pengganti. Antaranya adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Peluang Najib

Najib selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO wajar dijadikan pilihan utama. Memang kebelakangan ini ada pihak yang kecewa dengan Najib kerana membisu dan seolah-olah sentiasa bertindak mengikut rentak dan kehendak Abdullah. Najib juga dikatakan kononnya sebagai pilihan yang tidak tepat kerana beliau sedang diselubungi oleh persepsi umum yang negatif yang tidak perlu dihuraikan di sini.

Bagaimanapun, banyak pihak pula menghujjah bahawa Najib adalah pengganti terbaik kepada Abdullah. Kenyataan Najib mengenai peralihan kuasa yang ditegaskannya tiga hari lalu pun sudah menghapuskan sebilangan besar persepsi umum yang negatif terhadap dirinya.

Kegembiraan dan penerimaan warga UMNO di atas kesanggupan Najib mengeluarkan kenyataan mengenai peralihan kuasa tiga hari yang lalu nampaknya bukan ilusi.

Rata-rata warga UMNO yang menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Najib di Putrajaya malam tadi mengatakan bahawa mereka memperolehi semangat baru untuk menyanggah Abdullah bila Najib sendiri sudah bersuara dengan jelas dan tegas mengenai formula peralihan kuasa berkenaan.

Warga UMNO ini meminta Najib tidak berganjak daripada kenyataan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008. Mereka juga berpendapat bahawa seluruh persepsi negatif akan hapus jika Najib berani bersuara menyanggah Abdullah.

Tetapi, jika Najib masih memilih untuk berdolak-dalik mengenai formula peralihan kuasa ini, pilihan kedua sebagai pengganti Abdullah adalah Muhyiddin.

Muhyiddin

Sejak PRU 12, Muhyiddin jelas amat konsisten dengan pendapat dan pendiriannya mengenai UMNO, BN dan rakyat jelata seluruhnya. Sehingga tiga hari lalu, Muhyiddin kelihatan seperti bertindak keseorangan dan tidak senada dengan Najib yang membisu.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai insan “lurus bendul” telah menegaskan berkali-kali bahawa beliau tidak akan “melangkah bendul” untuk membelakangkan Najib dalam hiraki kepimpinan UMNO dan negara. Ini bermakna Muhyiddin akan sentiasa mendahulukan Najib untuk menggantikan Abdullah dalam tempoh terdekat ini.

Tetapi, jika Najib dan Muhyiddin masih lagi was-was dan kurang keyakinan untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri, pilihan ketiga adalah Razaleigh. Pemimpin veteran ini disifatkan sebagai satu-satunya tokoh yang mampu mengemudikan bantera perjuangan negara, terutamanya ketika dunia sedang melangkah ke era ekonomi yang muram dan suram ketika ini.

Kebelakangan ini Razaleigh dikatakan akan menerima sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah memutuskan kembali semula ke pangkuan UMNO setelah berkelana sejak kira-kira empat bulan yang lalu.

Kini sampailah kepada persoalan bilakah kerajaan BN perlu menukar pemimpin nombor satunya. Mood pada hari ini membayangkan pertukaran ini perlu dilaksakan sekarang dan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Sebab-sebabnya tidak perlu dihuraikan di sini. Ianya rahsia terbuka yang sudah diketahui umum. Tetapi, matlamatnya adalah supaya pemimpin yang baru mempunyai waktu secukupnya untuk memperkasakan semula UMNO, BN dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata menjelang PRU 13.

Majlis Tertinggi

Lantaran itu, apakah pendekatan yang paling sesuai untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri daripada UMNO, BN dan kerajaan? Setakat ini ada dua pendekatan yang jelas – menerusi Majlis Tertinggi UMNO atau menerusi bahagian-bahagian UMNO yang akan mengadakan sidang perwakilan masing-masing selama sebulan mulai 10 Oktober 2008.

Maka di sinilah relevannya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 ini. Dalam mesyuarat ini Najib wajar mengulangi kenyataannya mengenai formula peralihan kuasa yang dihebahkan tiga hari lalu.

Suara Najib ini wajar didukung oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi UMNO, khususnya seluruh Naib Presidennya, termasuklah Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Puteri.

Dalam menyatakan sokongan dan dukungan ini, wajar sekali ditegaskan tempoh bilakah peralihan kuasa itu perlu dikuatkuasakan supaya ianya boleh diendorse oleh mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian UMNO.

Tempoh yang paling ideal adalah 1 Januari 2009. Ini akan membolehkan barisan kepimpinan yang baru menerima sokongan rakyat jelata dengan azam baru ke arah menyemarakkan semula perjuangan BN menjelang PRU 13.

Council Of Elders

Pendekatan dan tindakan di atas pasti akan mematikan langkah PR untuk menjela-jelakan propagandanya bahawa PR akan membentuk Kerajaan Pusat tidak lama lagi. Pendekatan dan tindakan ini juga dipercayai akan menyebabkan mana-mana pihak yang dijangka melompat kepada PR untuk mengubah niat masing-masing dan terus bersama-sama berjuang memperkasakan semula BN, UMNO dan kerajaan demi agama, bangsa dan tanahair.

Huraikan di atas hanya gagasan yang dangkal daripada seorang ahli biasa UMNO. Bagaimanapun, saya yakin kepimpinan yang baru kelak pastinya akan mengisi perubahan ini dengan pelbagai pembaharuan yang strategik dan structural supaya wujud pelbagai bentuk koreksi nasional yang komprehensif terhadap apa jua perkara yang selama ini menjadi masalah dan kekangan kepada UMNO, BN dan kerajaan untuk memperolehi sokongan majoriti rakyat jelata.

Dan, wajar juga dihalusi gagasan beberapa pihak kebelakangan ini supaya diwujudkan satu council of elders atau council of statesmen yang akan memainkan peranan check-and-balance kepada kerajaan di samping check-and-balance di peringkat parti yang perlu dilakukan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

Akhir sekali, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT semoga niat baik yang dicetuskan di hari baik dan bulan baik ini akan direstuiNya serta menghasilkan satu iltizam serta corak perjuangan untuk memertabatkan kedaulatan rakyat Malaysia seluruhnya. KEPADA ALLAH BERSERAH!

Tuesday, September 16, 2008

KERAJAAN PR DI PERINGKAT PUSAT HANYA IMPIAN?

Hari ini 16 September 2008. Pakatan Rakyat (PR) belum lagi mengambil-alih Kerajaan Pusat daripada kekuasaan Barisan Nasional (BN). Adakah ini bermakna ura-ura PR kebelakangan ini hanya mimpi kosong? Adakah ini juga bermakna BN akan terus memerintah Malaysia dalam siatuasi yang agak kurang stabil?

Tetapi, mengapakah Anwar begitu yakin bahawa PR akan menguasai Kerajaan Pusat? Benarkah memang sudah ada Ahli Parlimen BN yang telah bersetuju menganggotai PR? Benarkah dua parti komponen BN Sarawak diura-urakan antara parti yang akan menganggotai PR?

Posting sepenuhnya di: http://puteramalaysia.blogspot.com

TARIKH PERALIHAN KUASA KEKAL: SYABAS ABDULLAH!

Hari ini mari kita semua ucapkan syabas kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana bertegas mengatakan bahawa tarikh peralihan kuasa daripadanya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kekal pada 2010.

Ketegasan ini membuktikan Abdullah seorang pemimpin yang amat decisive. Tetapi, ketegasan ini juga seolah-olah membuktikan bahawa UMNO hari ini bukan lagi milik ahli-ahlinya di seluruh negara.

Oleh itu, marilah kita tanya Abdullah, apakah sebab utama peralihan kuasa itu hanya akan dilakukan pada Jun 2010? Sebab Abdullah nak laksana dan jayakan RMK-9? Atau, sebab Abdullah mahu UMNO semakin bercelaru dan haru-biru?

Pasti Abdullah akan melenting bila kita tanya soalan ini. Tapi, apakah pilihan warga UMNO kalau tak bertanya soalan sedemikian? Lainlah kalau UMNO sudah ditukar status jadi sebuah starikat sole proprietorship.

Buat masa ini UMNO adalah milik lebih dua juta ahlinya. UMNO juga ada undang-undang tubuhnya (perlembagaan) yang memberikan hak kepada ahli-ahlinya membincangkan soal parti yang dianggotainya. Kedudukan Abdullah dan Majlis Tertingginya pun ditentukan oleh ahli-ahlinya.

Jadi, kalau Abdullah kata tempoh peralihan kuasa yang telah diumumkan adalah kekal dan muktamad, adakah kita mesti patuh dan akur? Adakah salah kalau kita tidak patuh dan tidak akur dengan perkara ini? Adakah salah kalau kita memilih untuk melaksanakan hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO?

Moga-moga Abdullah dapat perjelaskan pertanyaan-pertanyaan di atas. Moga-moga Abdullah perjelaskan kepada seluruh warga UMNO, salahkah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan tempoh itu dikaji semula, kalau soal ini sebenarnya telah disuarakan oleh warga UMNO akar umbi? Moga-moga Abdullah juga sudi perjelaskan, salahkah Najib dan lain-lainnya yang dua tiga hari lalu mengatakan soal peralihan kuasa itu wajar disersahkan kepada pihak UMNO bahagian? – Ruhanie Ahmad

Monday, September 15, 2008

APA AKAN JADI PADA ABDULLAH, NAJIB ATAU MUHYIDDIN PADA 18 SEPTEMBER 2008?

Di bawah ini adalah sedutan daripada satu posting terkini dalam portal berita The Malaysian Insider – portal baru yang dengar khabarnya dikendalikan oleh seorang bekas tokoh utama NST dan sahabat kepada Kalimullah Hassan.

Portal berita ini sering membawa ulasan berita berasaskan sumber-sumber dalaman yang dipercayai rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berita ini menyatakan Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat pada 18 September 2008 dan agenda utamanya adalah mengenai tempoh peralihan kuasa.

Oleh itu, berita di bawah ini perlu difahami dan dikaji sedalam-dalamnya oleh seluruh warga UMNO. Berita ini menimbulkan pelbagai pertanyaan. Antaranya adalah:

Satu: Adakah Datuk Seri Najib Razak akan endorse kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tempoh peralihan kuasa dipercepatkan? Kalau ini berlaku, adakah ini bermakna Abdullah akan didesak menyerahkan kuasa kepada sesiapa sahaja dalam tempoh terdekat ini?

Dua: Adakah Najib akan terus akur dengan tempoh peralihan kuasa pada 2010? Kalau ini berlaku, adakah Muhyiddin pula akan dikenakan tindakan disiplin, sama ada dipecat daripada Kabinet dan/atau digantung kehaliannya dalam UMNO?

Tiga: Apa akan terjadi kepada UMNO jika salah satu kemungkinan di atas jadi kenyataan? Warga UMNO akar umbi akan sokong?

Antara sedutan kandungan berita The Malaysian Insider ini adalah seperti berikut:

UMNO'S D-DAY IS SEPT 18, NOT MALAYSIA DAY

SEPT 14 - Forget about September 16. September 18 is shaping up to be a far more important day for Malaysia with far reaching consequences for Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi’s two-year transition plan and Tan Sri Muhyiddin Yassin’s political future.

Next Thursday, the UMNO Supreme Council will convene and the top of the agenda is likely to be Abdullah’s plan to hand over the reins of power in the party to Datuk Seri Najib Abdul Razak.

The council unanimously endorsed the transition plan in July. But following the Barisan Nasional’s defeat in Permatang Pauh on August 26 and his meeting with Tun Dr Mahathir Mohamad in early September, Muhyiddin has called for a review of the plan.

A key player at the Sept 18 meeting will be Najib. He is under pressure from his supporters on the ground to push for a quicker handover of power.

Their argument is this: Najib could become collateral damage in the current anti-Abdullah mood.


Untuk membaca berita sepenuhnya sila akses link berikut:

http://m.themalaysianinsider.com/articles.php?id=8956-UMNOs-d-day-is-sept-18-not-malaysia-day

- Ruhanie Ahmad

Sunday, September 14, 2008

ABDULLAH NAK PERTAHANKAN KESTABILAN POLITIK MALAYSIA?

Tumpuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada ketika ini adalah “untuk memastikan kestabilan politik dipertahankan supaya kerajaan dapat memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan segala masalah rakyat.”

Abdullah juga berkata bahawa “maklum balas yang diterimanya mendapati rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai.”

Abdullah dipetik oleh Utusan Malaysia 12 September 2008, sebagai berkata seperti di atas sewaktu beliau membuat kenyataan bahawa pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui Kabinet dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jun 2010 adalah muktamad dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Kenyataan Abdullah mengenai peralihan kuasa terbukti disanggah oleh banyak pembesar UMNO, termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lainnya. Kenyataan itu juga dipertikaikan oleh warga UMNO di merata negara.

Tetapi bagaimana dengan kenyataan Abdullah bahawa beliau kini mahu “memastikan kestabilan politik dipertahankan”?

Adakah Malaysia benar-benar mempunyai kestabilan politik pada ketika ini? Tidakkah politik Malaysia sentiasa berkocak sejak PRU 12? Bukankah kepimpinan Abdullah sendiri yang jadi punca utama kepada keadaan ini?

Kalau begitu, kestabilan politik apakah yang hendak dipertahankan oleh Abdullah pada hari ini? Insafkah Abdullah bahawa melarang warga UMNO dan rakyat Malaysia daripada mempertikaikan soal peralihan kuasa adalah tindakan mempertahankan keadaan politik Malaysia yang tidak stabil?

Dan, insafkah Abdullah bahawa kenyataan-kenyataan mutakhir yang mendesak supaya soal peralihan kuasa ini diserahkan kepada warga siasah akar umbi, adalah usaha untuk menstabilkan politik negara?

Dalam kenyataannya semalam, Abdullah juga menegaskan bahawa “maklum balas yang diterimanya mendapati rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai.”

Soalnya, apakah “cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai” pada ketika ini? Benarkah soal kepimpinan Abdullah yang sudah tidak diyakini rakyat jelata merupakan satu daripada “cerita-cerita politik” tersebut?

Benarkah soal peralihan kuasa juga satu lagi “cerita-cerita politik” berkenaan? Benarkah rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik” ini atau mereka mahukan “cerita-cerita politik” ini diselesaikan dengan perletakan jawatan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan seberapa segera?

Semoga Abdullah tergugah dari mimpinya. Semoga Abdullah mampu mentafsir realiti semasa politik Malaysia dengan bijaksana. Semoga Abdullah faham dan hormati aspirasi rakyat yang mahukan perubahan pucuk pimpinan tertinggi negara demi kestabilan politik, kesejahteraan hidup dan kemakmuran tanahair! – Ruhanie Ahmad

Saturday, September 13, 2008

MUHYIDDIN AKAN DIPECAT KERANA MENYATAKAN KEBENARAN?

Apa nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin bila beliau menjadi lidah kepada rakyat jelata dalam hal formula peralihan kuasa? Mungkinkah beliau akan dipecat daripada kerajaan dan UMNO?

Berita di bawah ini mungkinkah jadi preamble kepada apa yang mungkin terjadi ke atas Muhyiddin? Mungkinkah begitu? – Ruhanie Ahmad

SAMA ADA MUHYIDDIN LETAK JAWATAN ATAU DISINGKIRKAN, KATA ZAID

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zaid Ibrahim berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah meletak jawatan atau disingkirkan jika tidak berpuas hati dengan tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditetapkan pada 2010.

"Mudah sahaja, jika Muhyiddin tidak puas hati dengan Perdana Menteri, beliau boleh letak jawatan kabinet, ini bermakna beliau tidak yakin dengan Pak Lah (Abdullah)...tidak, saya tidak cadang untuk beliau berbuat demikian.

"Saya kata jika beliau tidak gembira dengan Pak Lah, jika beliau tidak yakin dengan Pak Lah, dua perkara akan berlaku sama ada letak jawatan atau Pak Lah hendaklah singkir beliau, itu yang sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran lukisan Wang Lan, Wang Xu dan Shen Jiawei di Galeri Petronas hari ini.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=358842

MUHYIDDIN TAK TAKUT RISIKO EKORAN KENYATAAN PERSOAL PELAN PERALIHAN KUASA

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan beliau sedia berdepan dengan apa jua risiko ekoran kenyataannya mempersoalkan proses pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010 yang dianggapnya terlalu lama.

Katanya pandangan beliau agar pelan peralihan kuasa itu disegerakan adalah satu pandangan ikhlas berdasarkan kepada maklumat balas daripada banyak pihak yang telah menyatakan kebimbangan mereka tentang tempoh peralihan yang agak panjang itu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan antarabangsa dan Industri, berkata pandangan itu juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan Perdana Menteri sebaliknya beliau merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang disuarakan oleh banyak pihak.

"Sebab itu saya tidak takut untuk menyuarakan walaupun orang kata saya mungkin menanggung risiko. Itu risiko tidak apa, yang penting saya kata apa yang harus kita lakukan.

"Saya telah berjumpa dengan banyak pihak, banyak badan setiap hari berhubung dengan saya, bertanya apa yang harus dibuat. Orang bertanya dengan saya apa akan jadi kepada negara kita. Mereka berasa bimbang, rasa takut," katanya.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin UMNO dan pemimpin dalam kerajaan, adakalanya mereka perlu berterus-terang walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan.

"Saya tidak kata saya tidak hormat keputusan Majlis Tertinggi. Saya juga tahu ada ramai pihak yang agak bimbang dan saya agak takut kalau hal sebegitu tidak saya suarakan kerana saya tidak melihat seorang manusia pun di Malaysia yang sanggup untuk menyuarakan sesuatu yang ramai merasakan sebegitu.

"Ini satu perkara yang bagi saya, adalah tidak baik. Apakah itu satu kesalahan? Saya serah kepada merekalah," katanya.

Muhyiddin berkata banyak usaha telah kerajaan lakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat tetapi usaha itu kelihatan seolah-olah tidak diterima malahan situasi tidak bertambah baik.

"Ini satu kenyataan yang saya sebutkan, bukan satu pembohongan. Saya nyatakan apa yang betul. Itu terserah kepada pemimpin untuk terima atau tidak. Saya sudah jalankan tanggungjawab," katanya.

Muhyiddin berkata tindakannya membuat kenyataan itu ialah kerana beliau bukan seorang hipokrit.

"Sepanjang kerjaya politik saya, saya tidak pernah menjadi hipokrit. Saya cakap apa yang benar, dan yang benar itu kadangkala pedih. Tetapi hakikat itu tetap hakikat," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri dan MT untuk menimbang sama ada kenyataan itu tersasar ataupun tidak," katanya.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=358742

UMNO AKAR UMBI BEBAS TENTUKAN CALON PRESIDEN, TIMBALAN, NAIB DAN AHLI MAJLIS TERTINGGI

UMNO adalah pertubuhan massa. Tanpa cawangan, tiada bahagian. Tanpa bahagian tiada badan perhubungan negeri. Tanpa bahagian dan badan perhubungan negeri pula tiada majlis tertinggi. Ini bermakna, cawangan UMNO adalah asas kuasa di peringkat bahagian. Bahagian UMNO pula adalah asas kuasa kepada badan perhubungan negeri dan juga majlis tertinggi.

Maka, adalah tidak demokratik jika suara akar umbi dinafikan oleh majlis tertinggi UMNO, terutama sekali mengenai pelbagai perkara strategik, termasuk soal pucuk pimpinan tertinggi parti.

Lantaran itu, kajilah kenyataan-kenyataan mengenai formula peralihan kuasa yang saya paparkan di bawah ini. Kajilah pemimpin UMNO manakah yang kini terus menghargai serta menghormati suara akar umbi dan siapakah pula yang bertindak sebaliknya.

KEHENDAK ABDULLAH

TARIKH PERALIHAN KUASA TIDAK PERLU DIBANGKIT – PM

PUTRAJAYA 12 Sept. – Pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui Kabinet dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jun 2010 adalah muktamad dan tidak perlu dibangkitkan lagi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri menegaskan, tumpuan utama beliau sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik dipertahankan supaya kerajaan dapat memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan segala masalah rakyat.

Beliau berkata, maklum balas yang diterimanya mendapati rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai.

Perdana Menteri turut menjelaskan formula peralihan kuasa itu dicapai hasil perbincangan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ketika itu wujud kegelisahan seolah-olah tiada kestabilan politik menyebabkan UMNO perlu menetapkan satu pendirian.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

SARANAN NAJIB

PERALIHAN KUASA PERLU DITENTUKAN BAHAGIAN - NAJIB BAHAGIAN UMNO

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peralihan kuasa antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seharusnya ditentukan melalui mesyuarat tahunan bahagian UMNO.

Menurut beliau, selepas itu barulah perkara tersebut dibawa untuk diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini.

Bagaimanapun, kata beliau, semua sedia maklum bahawa pelan peralihan kuasa itu diputuskan pada Julai lepas oleh Perdana Menteri dan beliau sendiri serta disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

''Dalam ucapan pada perjumpaan dengan UMNO bahagian, saya telah menyatakan bahawa pelan peralihan ini mestilah mendapat sokongan bahagian-bahagian UMNO khususnya dalam mesyuarat perwakilan pada tahun ini.

''Oleh itu, kerana UMNO adalah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi maka perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti iaitu mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian dan seterusnya Perhimpunan Agung,'' kata Najib.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm

PENJELASAN MUHYIDDIN

ISU PERALIHAN KUASA DARI SUARA RAKYAT - MUHYIDDIN

MUAR 12 Sept. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, saranan beliau berhubung pelan peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan kerajaan dan parti adalah datang daripada suara rakyat yang harus disampaikan demi untuk mengukuhkan parti yang kini menghadapi pelbagai cabaran dari dalam dan luar.

Beliau berkata, apa yang disuarakan itu bukanlah satu perkara yang luar biasa, sebaliknya ia adalah luahan daripada mereka yang berada di luar termasuk ahli-ahli UMNO dan rakyat biasa yang melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam zon yang tidak selamat.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, pelbagai masalah telah dihadapi termasuk kelemahan dalam parti, penolakan rakyat terhadap kemampuan BN selain ancaman daripada pihak-pihak luar.

''Saya hanya meluahkan pandangan yang perlu dinyatakan tentang isu ini. Bagi saya, siapa yang berani suarakan sesuatu perkara yang hak, kenapa kita perlu takutkan.

''Sekiranya saya tidak menyuarakan perkara ini ketika situasi rakyat mula berasa bimbang (dengan keadaan yang kita hadapi), ini bermakna saya tidak melaksanakan tanggungjawab saya, biarpun mungkin ada pihak yang tidak berasa senang hati,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

SOKONGAN ALI

ALI RUSTAM SOKONG PANDANGAN NAJIB

MELAKA 12 Sept. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyokong pandangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tarikh peralihan kuasa diputuskan oleh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, apa yang disebut oleh Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO itu adalah sesuai berlandaskan kepada perlembagaan parti.

''Cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkenaan peralihan kuasa adalah munasabah, tetapi ahli-ahli parti sememangnya mempunyai hak memutuskannya dalam mesyuarat agung bahagian masing-masing," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

TINDAKAN RAFIDAH

RAFIDAH SEDIA BERTEMU ABDULLAH SECARA TERTUTUP

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara tertutup bagi menyampaikan hasrat rakan-rakan seperjuangan lain dalam UMNO.

Beliau berkata, bagaimanapun pertemuan tertutup terutama dalam bentuk mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO adalah cara terbaik untuk menyatakan hasrat masing-masing daripada membuat desakan terbuka mengenai kepimpinan negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm

SUARA HISHAMMUDDIN

PUCUK PIMPINAN HARUS DENGAR SUARA AKAR UMBI

PUTRAJAYA 12 Sept. - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pucuk pimpinan UMNO seharusnya mendengar suara ahli di peringkat akar umbi dalam menentukan hala tuju dan kepimpinan parti itu.

Beliau berkata, ahli di peringkat akar umbi yang akan menentukan kedudukan parti sama ada ketika melalui pilihan raya umum atau berdepan dengan isu kritikal yang menyentuh bangsa Melayu.

''Seorang atau dua (pemimpin) tidak akan menentukan kedudukan parti kerana yang penting adalah ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.
''Kalau suara datang dari akar umbi, tidak kiralah apa Majlis Tertinggi (MT) cakap, apa pucuk pimpinan cakap, akhirnya kita kena dengar kepada suara mereka di bawah," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

PENDAPAT RAZALEIGH

TIADA PERALIHAN KUASA DALAM PERLEMBAGAAN UMNO, KATA KU LI

MUAR, 12 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak mahu mempersoalkan kenyataan Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menganggap peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2010 terlalu lama.

Sebaliknya, beliau lebih terkejut dengan cadangan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO yang pada pendapatnya tidak ada dalam perlembagaan parti.

Tengku Razaleigh tetap dengan pendiriannya bahawa perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk mengadakan peralihan kuasa.

"Ahli-ahli yang patut memilih pemimpin. Pemimpin tak boleh menentukan berapa lama nak duduk (memimpin), bila nak turun kecuali apabila dia nak berhenti," katanya.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=358718

SYOR RAIS

KEMBALIKAN KEPADA AHLI AKAR UMBI – RAIS

PUTRAJAYA 12 Sept. - Tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui pada 2010 oleh Kabinet dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO harus 'dikembalikan' kepada ahli akar umbi untuk memutuskannya.

Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, peringkat kepimpinan sememangnya boleh bersuara dan mengambil langkah tertentu tetapi akhirnya sentimen akar umbi yang perlu dihormati.

''Kalau tidak ada akar umbi, parti akan lemah, kalah pilihan raya dan tidak dapat menjamin penerusan dasar-dasar kerajaan.

''Tidak kiralah batang tubuh siapa kerana ia (tarikh peralihan kuasa) memang tidak sewajarnya diputuskan bulat-bulat oleh peringkat pemimpin sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_08.htm

REAKSI RADZI MANAN

TPM BUKA LEMBARAN BARU SOAL PERALIHAN KUASA

IPOH 12 Sept. - UMNO Bahagian Kampar hari ini menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyerahkan kepada semua UMNO bahagian memutuskan soal peralihan kuasa sebagai membuka lembaran baru dalam proses pemilihan kepimpinan parti.

Ketuanya, Datuk Mohd. Radzi Manan berkata, kenyataan itu juga membawa maksud Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO tiada halangan dicalonkan sebagai presiden parti.

Katanya, ia juga sebagai membuka lembaran baru dalam proses pemilihan kepimpinan supaya UMNO membuat keputusan yang tepat demi menyelamatkan parti agar kembali diterima rakyat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

KESIMPULAN

Daripada seluruh kenyataan di atas bahagian-bahagian UMNO memperolehi input untuk dijadikan asas dan panduan mereka menyenaraikan calon pimpinan tertinggi UMNO yang akan dipilih dalam pemilihan parti Disember 2008 kelak.

Moga-moga bila bahagian diberikan kebebasan untuk memilih bakal calon pemimpin tertinggi UMNO ini janganlah ada pula sesetengah pihak yang menabur wang ringgit untuk mempengaruhi keputusan bahagian terbabit.

Kita tunggu dan lihatlah sama ada bahagian-bahagian kelak akan mematuhi kenyataan Abdullah bahawa soal peralihan kuasa ini adalah muktamad dan tidak perlu lagi dibincangkan oleh sesiapa! – Ruhanie Ahmad

Friday, September 12, 2008

KEPIMPINAN ABDULLAH DALAM UMNO DISANGGAH SECARA TOTAL?


Hari ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, seolah-olah bertindak menyanggah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bila beliau menyatakan bahawa “sebarang perubahan dalam pelan peralihan kuasa antara Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri seharusnya ditentukan melalui mesyuarat bahagian UMNO.”

Kenyataan Najib ini memperkukuhkan kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua hari lalu yang meminta Abullah menimbang semula tempoh peralihan kuasa yang amat panjang.

Kini “flood gate” untuk seluruh warga UMNO menyanggah kepimpinan Abdullah secara total sudah dibuka seluas-luasnya. Kita nantikan apakah komen dan pendapat ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, ketua-ketua perhubungan negeri, Ketua Pemuda UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Ketua Puteri UMNO mengenai perkara ini.

Apa pun, Abdullah perlu memikirkan perkembangan terbaru ini secara serius kerana apa yang berlaku mutakhir ini boleh ditafsirkan sebagai undi tidak percaya kepada kepimpinannya. – Ruhanie Ahmad


BAHAGIAN TENTUKAN PELAN PERALIHAN KUASA PM, TPM

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Sebarang perubahan dalam pelan peralihan kuasa antara Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri seharusnya ditentukan melalui mesyuarat bahagian UMNO, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Perniagaan China Guandong-Malaysia di sini hari ini. – Utusan, 12/09/2008 12:00pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_02.htm

MUHYIDDIN SEDIA HADAPI RISIKO

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan pendiriannya dan sanggup berhadapan risiko berhubung kenyataannya bahawa proses peralihan kuasa perlu disegerakan.

Beliau berkata, kenyataannya itu adalah pandangan ikhlas yang berasaskan kepada pendapat umum.

Beliau ditemui pada Persidangan Perniagaan China Guandong-Malaysia di sini hari ini. – Utusan,12/09/2008 12:00pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

ABDULLAH PERLU MENGUNDURKAN DIRI UNTUK SELAMATKAN BN?

Tarikh 16 September 2008 kian hampir tiba. Rakyat jelata Malaysia menanti dengan penuh debar. Masing-masing tertanya-tanya, mampukah dan berjayakah Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat pusat?

Mereka juga berteka-teki, akan gagalkah percubaan Anwar jika Abdullah dengan sukarela mengosong jawatan Perdana Menteri dengan serta merta? Jika Abdullah sudi berkorban demi agama, bangsa dan tanahair, siapa pula akan menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri? Mungkinkah Datuk Seri Najib Tun Razak? Mungkinkah muka baru yang tidak diduga oleh mana-mana pihak sebelum ini?

Seperti biasa saya tegaskah bahawa apa yang diura-urakan oleh Anwar dan PR tidak akan terjadi kalau BN kuat dan Abdullah mempunyai minda yang gagah lagi perkasa. Apa yang dikuhuatiri berlaku ini tidak mungkin berlaku jika Abdullah seorang pemimpin yang tegas dan strategik pemikirannya.

Lebih penting lagi, Anwar tidak mungkin menghebahkan cita-citanya untuk menumbangkan BN kepada seluruh dunia jika Abdullah akur dan menghormati tuntutan rakyat jelata menerusi RU 12 – berhenti jadi Perdana Menteri dengan serta merta.

Bagaimanapun, Abdullah masih mempunyai detik-detik terakhir untuk menyelamatkan BN dan maruah dirinya sendiri. Jika tidak, tanpa diduga oleh Abdullah, esok atau lusa beliau mungkin kehilangan kuasa secara total, nama baiknya terhena, imejnya tercalar dan maruahnya akan diinjak-injak oleh sejarah. Abdullah akan dikenang sebagai pemimpin nombor satu negara yang kehilangan kuasa kerana beliau amat yakin dirinya masih digemari ramai dan BN dalam sentiasa keadaan kuat dan mantap.

Oleh itu, Abdullah perlu bertindak dengan segera menerusi pelbagai cara yang bijaksana. Antara tindakan terakhir yang boleh dilakukan oleh Abdullah adalah mengadap Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan menyerahkan mandat keperdanamenteriannya kepada Baginda. Tindakan ini selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan khususnya bila Abdullah tidak lagi menikmati sokongan rakyat jelata.

Soalnya, adakah Abdullah rela berbuat demikian? Adakah anak lelaki dan menantu lelaki beliau akan mengizinkan Abdullah berbuat demikian? Adakah Abdullah berani mengenepikan apa jua desakan keluarga dan kroni untuk bertindak bijaksana demi agama, bangsa dan tanahair?

Kita amat arif untuk meramalkan tindakan Abdullah dalam konteks ini. Beliau akan terus dibelenggu sindrom penafian. Beliau akan terus ego. Beliau akan terus berusaha memperbaiki situasi menerusi pendekatan piece meal dan adhok. Beliau akan terus berdolak-dalik. Beliau seolah-olah lebih redha BN hancur secara total.

Maka terserahlah kepada Abdullah untuk menyelamatkan BN. Terserahlah kepada keikhlasan para pemimpin komponen BN untuk menyanggah Abdullah supaya meletakkan jawatan Perdana Menteri. Terserahlah kepada Abdullah untuk tepok dada dan tanya selera – wajarkan beliau berhenti sebagai Perdana Menteri untuk menyelamatkan BN? - Ruhanie Ahmad

PM TERKEJUT KENYATAAN MUHYIDDIN

PUTRAJAYA 11 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini terkejut dengan tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah dipersetujui akan diadakan pada 2010.

“Saya terkejut kerana dia adalah sebahagian daripada ahli Kabinet saya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah `tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

Thursday, September 11, 2008

PROSES MELOMPAT DIJANGKA BERMULA HARI INI?

Siasah Malaysia dijangka mengalami satu kejutan dalam sehari dua lagi. Apa yang disifatkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai mustahil dijangka menjadi realiti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim amat yakin bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan berjaya membentuk kerajaan pusat pada 16 September 2008 atau selewat-lewatnya selepas rombongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kembali ke tanahair daripada “lawatan sambil belajar” mereka di Taiwan.

Keyakinan ini terpancar dalam ucapan Anwar selepas majlis berterawih di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, pada malam Selasa 9 September 2008.

Proses melompat Ahli Parlimen BN untuk menganggotai PR dijangka bermula sehari dua lagi. Proses ini akan dimulakan oleh seorang Ahli Parlimen yang kini menyandang satu jawatan penting dalam BN. Tindakan ini dijangka diikuti oleh banyak lagi siri lompatan seterusnya.

Selanjutnya, apa yang sedang diheboh-hebohkan sebagai “lawatan sambil belajar” ke Taiwan adalah indah khabar dari rupa.

Rombongan Ahli Parlimen BN yang berada di negara berkenaan sejak dua hari lalu tidak mempunyai apa-apa jadual dan program sebagaimana dijangkakan.

Ahli-Ahli Parlimen wanita hanya menghabiskan masa dengan membeli-belah. Kebanyak ahli yang lelaki pula hanya berbuat apa sahaja yang mereka fikirkan perlu.

Saya mempunyai beberapa maklumat terkini mengenai kemungkinan yang akan berlaku. Tetapi, biarlah maklumat ini saya rahsiakan buat sementara waktu.

Apa pun, siri lompatan ini dijangka berakhir dengan satu klimeks yang lebih menggemparkan dan di luar jangkaan ramai kebelakangan ini.

Oleh itu, sama-samalah kita nantikan saat dan ketika itu dengan penuh sabar. – Ruhanie Ahmad

MUHYIDDIN KATA PM PATUT FIKIR SEMULA TEMPOH MASA PELAN PERALIHAN KUASA


SINGAPURA, 10 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut fikirkan semula mengenai pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama.

Pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah dua bulan lepas, dakwanya, telah "tenggelam" dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

"Tahun 2010 adalah terlalu lama," katanya pada sidang akhbar pada acara tidak rasmi sempena Persidangan CEO Forbes Global di sini.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatannya sebagai perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

Muhyiddin berkata beliau malahan turut bertanya kepada Najib sama ada dirinya mahu menunggu selama itu kerana beliau (Najib) akan hanya mempunyai masa yang singkat untuk menguruskan dan mengembalikan semula kenyakinan rakyat kepada Umno dan BN.

Sambil menyatakan yang beliau memang berfikiran kritis mengenai perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, beliau meminta Abdullah memikirkan semula mengenainya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu demi untuk memperkukuhkan perpaduan Umno dan memudahkan anggota parti berikutan terlalu banyak permainan politik selepas pilihan raya umum lepas yang BN menang dengan majoriti mudah di Parlimen.

Ditanya mengenai spekulasi yang beliau akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah, masing-masing untuk mencabar bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, Muhyiddin menjawab:"Seperti anda katakan, ia hanya spekulasi." – BERNAMA

Sepenuhnya: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=358340

Tuesday, September 09, 2008

SUARA HATI MENGENAI BN MUTAKHIR

Ruhanie Ahmad

Saya mengikuti perkembangan siasah Barisan Nasional (BN) secara aktif sejak penubuhannya di era Tun Razak Hussein pada 1973 – sejak 35 tahun yang lalu. Tapi, saya tidak pernah menyaksikan BN dalam keadaan yang amat kalut seperti hari ini.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang merangkap Perdana Menteri pun begitu juga. Waktu BN ditubuhkan beliau berkhidmat dengan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pimpinan Razak.

Oleh itu, sewajarnya Pengerusi BN hari ini menjadi tokoh negara yang mampu menangani masalah BN secara bijaksana dan berkesan.

Sewajarnya Pengerusi BN hari ini insaf bahawa masalah BN ketika ini bukan masalah kecil dan bukan juga masalah adhok. Sebaliknya, masalah BN hari ini – di era pasca PRU 12 – adalah masalah yang strategik dan structural.

Strategik

Lantaran itu, penyelesaiannya juga memerlukan penggabungan, penggemblengan dan penjanaan minda secara strategik, komprehensif, jujur dan ikhlas. Ia membabitkan semua pemimpin komponen BN. Ia juga perlu membabitkan party elders yang masih sudi memberikan nasihat dan pengalaman mereka demi keperkasaan dan survival BN di hari muka.

Pada waktu yang sama, penyelesaian kepada masalah strategik dan structural ini mestilah dilakukan secara tegas tetapi dengan penuh berhemah, dengan semangat kesetiakawanan yang tulen dan komitmen yang abadi terhadap destini bersama rakyat jelata Malaysia di hari-hari mendatang.

Kalau perlu dibawa bersama pakar dan ahli fikir negara yang prihatin terhadap kestabilan siasah Malaysia dan keperkasaan BN, jemputlah mereka. Demi Malaysia, jangan malu dan jangan ego.

Oportunis

Lebih penting lagi, jangan terlalu bergantung kepada para penasihat yang langsung tidak mempunyai perspektif dan pengalaman sejarah yang mendalam dan positif.

Amat penting lagi, sekali-kali jangan dengar nasihat kelompok tertentu yang berhasrat menjadikan kecelaruan BN sebagai modal mereka memanipulasikan situasi ini demi memenuhi kepentingan dan matlamat peribadi mereka.

Apa yang saya huraikan di atas hanya suara hati yang cetek dan dangkal daripada seorang ahli UMNO dan pendukung setia BN. Ia bukan nasihat. Juga bukan mesej untuk menginsafkan Pengerusi BN mengenai apa yang wajar beliau lakukan terhadap BN pada ketika ini.

Bijaksana

Ramai sahabat surfers dan bloggers pernah menyindir saya mengapakah saya terlalu bodoh dan taksub dengan BN sehingga waktu “bahtera sedang karam” pun saya tetap berbicara mengenai BN dengan penuh passion dan kekecewaan.

Saya hargai dan hormati apa sahaja yang disuarakan oleh sahabat-sahabat saya mengenai BN. Pokoknya, kalau BN umpama “bahtera yang karam” biarkanlah kita karam bersamanya.

Tetapi, kita juga perlu berani bertindak hingga ke saat terakhir dan tidak mengaku kalah kepada sesiapa. Syaratnya, bertindaklah secara berani, tegas, ikhlas, jujur, strategik, berkhemah dan bijaksana!

Sunday, September 07, 2008

HORMATILAH SUARA HATI MELAYU DAN ISLAM

Ruhanie Ahmad

Kali ini kita berpuasa dalam suasana maruah orang Melayu dan umat Islam sedang diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak tertentu akibat mainan politik segelintir pembesar Melayu sendiri, khususnya pembesar utama UMNO.

Akibat pendirian yang takut kehilangan sokongan bukan Melayu di era pasca PRU12, segelintir pembesar Melayu ini seolah-olah lupa bahawa power-base mereka adalah Melayu, terutamanya UMNO.

Bila orang Melayu, umat Islam dan UMNO menyuara dan membicarakan hakikat dan kebenaran sejarah yang menyentuh entik lain di negara ini, kelompok pembesar ini pun memaksa orang Melayu, umat Islam dan UMNO memohon maaf.

Tapi, bila entik lain melemparkan tuduhan semberono terhadap orang Melayu, umat Islam dan UMNO, pembesar ini pula tidak menuntut mereka memohon maaf.

Kita ambil contoh Hindraf. Akhir tahun 2007, NGO tidak berdaftar ini mengheret Malaysia dan UMNO ke pelantar antarabangsa dengan tuduhan amat serius – kononnya UMNO melakukan pembersihan etnik keturunan India dan Perlembagaan Persekutuan kononnya menindas entik bukan Melayu di Malaysia.

Pemimpin nombor satu Malaysia pun memberikan reaksinya – ini pengkhianatan of the highest order, katanya. Setakat itu saja. Lepas itu, apa yang telah terjadi kita semua pun tau. Kalau saya ulangi di sini, tentu saya akan dituduh sebagai menghasut.

Jiwa Nurani Melayu

Tapi, perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang terjadi selepas demonstrasi Hindraf itu memang amat menghiris sebilangan besar jiwa orang Melayu dan nurani umat Islam. Adakah pemimpin nombor satu Malaysia insaf akan hakikat ini?

Adakah pemimpin nombor satu Malaysia sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan menangani Hindraf amat berbeza dengan cara kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu menjelang Ramadhan 2007?

Adakah beliau sedar, cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu tahun lalu, amat berbeza dengan cara kerajaan menangani bangkangan sekumpulan penternak babi di Melaka yang tergamak menginjak-injak bendera Malaysia dan melemparkan bom molotov kepada pihak penguatkuasa undang-undang kerajaan?

Mengapakah penternak babi yang terang-terang menginjak-injak bendera Malaysia di hadapan mata para pegawai kerajaan tidak di heret ke muka poengadilan? Mengapa pula sekumpulan anak muda Melayu yang hanya dituduh kononnya menginjak-injak dan membakar jalur gemilang di Kuala Terengganu diburu hingga ke lubang cacing?

Mengapakah penternak babi yang membaling molotov kepada pihak berkuasa kerajaan tidak diapa-apakan oleh pihak polis? Mengapakah polis tergamak melepaskan dua das tembakan dengan peluru hidup terhadap pendemonstrasi di Kuala Terengganu? Bagaimana agaknya jika tembakan itu mengakibatkan dua pemuda terbabit itu terbunuh?

Double Standard

Adakah beliau sedar bahawa cara dan tindakan kerajaan mengangi demonstrasi umat Islam di Kuala Terengganu pada September 2007 juga amat berbeza dengan cara dan tindakan kerajaan menangani demonstrasi membabitkan beribu-ribu kaum India di hadapan Pejabat PM di Putrajaya juga tahun lalu?

Mengapa jadi begini? Adakah bila umat Islam dan orang Melayu yang bertindak menyuarakan isi hati mereka terhadap kerajaan maka mereka boleh dilayani secara kasar dan diluar batas undang-undang?

Adakah bila rakyat bukan Melayu bertindak menyuarakan isi hati mereka yang mengguris jiwa orang Melayu dan umat Islam perlu dilayani secara lembut kerana takut tindakan keras akan menjejaskan status quo sokongan mereka terhadap kerajaan?

Saya imbas semula insiden-insiden di atas untuk membangkitkan soal pokok dan prinsip, iaitu mengapakah kerajaan seolah-olah tidak adil terhadap orang Melayu dan umat Islam di bumi ini mutakhir ini? Dan, mengapakah kerajaan mutakhir ini amat berlembut dan cukup bertoleransi terhadap bukan Melayu yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan?

Apa yang saya tegaskan di atas bukan mempersoalkan tindakan polis. Ini kerana polis hanya ikut arahan kerajaan. Apa yang saya persoalkan ialah tindakan kerajaan yang double standard terhadap Melayu dan bukan Melayu kebelakangan ini.

Bukan Hasutan

Jadi, ini bukan suara hasutan. Ini suara yang mencari kedailan dan kebenaran bagi pihak orang Melayu dan umat Islam yang kebelakangan ini seolah-olah jadi warganegara kelas ketiga di tanahairnya sendiri.

Soal ini juga saya lahirkan sewaktu kita menjalani ibadat puasa kerana ibadat ini juga yang mendorong saya untuk terus mencari kebenaran dan keadilan untuk orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, orang Melayu dan umat Islam tidak tergamak membawa kemarahan mereka ke jalanraya seperti warga Thailand mutakhir ini. Sebab itulah mereka rela membekam kemarahan itu di jiwa masing-masing secara senyap. Tetapi, bukankah akhirnya terbukti bahawa segolongan orang Melayu dan umat Islam telah meleraikan kemarahan itu secara demokratik menerusi peti undi baru-baru ini?

Mingguan Malaysia 7 September 2008, memetik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata di Pulau Pinang pada 6 September 2008, bahawa “semua pihak” tidak wajar mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini.

Menurut Abdullah, perkara yang berkaitan dengan agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia akan menyebabkan kaum-kaum berkenaan berasa bahawa sensitiviti mereka diketepikan.

Punca Keresahan

“Saya ingin menyatakan bahawa kebelakangan ini saya lihat perkara berkaitan dengan kaum sudah menjadi perkara yang menimbulkan keresahan dan rasa tidak senang hati di antara kaum-kaum yang ada di negara kita sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Apa yang berlaku itu kononnya adalah kebebasan untuk bercakap dan menyuarakan pandangan sesuka hati mengikut apa yang dirasai oleh orang berkenaan, ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Saya ucapkan syabas kepada Abdullah kerana akhirnya beliau seolah-olah jadi insaf dan tegas. Tapi, bukankah ini sudah terlambat? Bukankah kelambatan ini menjadi sebahagian punca keresahan orang Melayu dan umat Islam mutakhir ini?

Saya desak Abdullah berterus-terang, pihak manakah yang kebelakangan ini banyak mempersoalkan isu “agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman”?

Saya juga desak Abdullah berikan jawapan, tidak adilkah jika orang Melayu dan umat Islam menangkis seluruh suara yang membabitkan “agama, kontrak sosial atau perkauman”? Mengapa tidak boleh? Kerana kerajaan takut hilang sokongan pihak berkenaan walaupun mereka sudah gagal memelihara sensitiviti Malaysia?

Jika inilah hakikatnya, di manakah keadilannya kepada orang Melayu dan umat Islam? Adakah adil bila hanya orang Melayu dan umat Islam sahaja yang diminta untuk membisukan suara, hati dan perasaan mereka buat selama-lamanya?

JANGAN SENSASI ISU SENSITIF- PM

TASEK GELUGOR 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini. – Utusan

Nota: Hari ini, ada pihak yang sudah memadamkan tulisan Jawi di papan-papan tanda jalan. Adakah salah jika orang Melayu bersuara dan menentangnya? Hari ini UMNO dipertikaikan kerana menyatakan hakikat dan fakta sejarah. Salahkah UMNO bertindak demikian?

Posting sepenuhnya di http://puteramalaysia.blogspot.com/ - Ruhanie Ahmad