Sunday, February 03, 2008

Siri Kedua:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11

Ruhanie Ahmad

Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkul kemenangan besar dalam PRU11. Abdullah memukau rakyat jelata ketika itu dengan manifesto dan slogan Cemerlang Gemilang Terbilang. Beliau juga menambat hati rakyat dengan retorika “saya adalah hamba no. 1 negara” dan “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya”.

Abdullah juga memaparkan imejnya yang bersih dengan menggunakan puisinya - Ku Cari Damai Abadi - sebagai penutup kepada manifesto tersebut. Sepatah kata Firdaus Abdullah dalam Utusan Malaysia 26 Jun 2003, puisi itu adalah manifestasi “wajah dalaman” Abdullah, pegangan hidupnya dan falsafah perjuangannya.

Dalam manifesto itu juga dipaparkan beberapa gambar Abdullah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suasana yang mesra dan ceria. Untuk mengimbas kembali kandungan manifesto berkenaan dan menyaksikan cara pengolahan gambarnya, sila akses: http://202.56.84.170/webserver/umnoonline/manifesto/BM%20version%20-%20full.pdf

Antara azam, tekad, ikrar dan janji BN yang termaktub dalam Manifesto PRU11 adalah seperti berikut:

Mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara: Dalam konteks ini, rakyat wajar mengambil kesimpulan sama ada kewujudan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) selaras dengan ikrar mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara. Kalau usaha ini memang secocok dengan cita-cita tersebut, mengapakah wujud persepsi di kalangan rakyat jelata bahawa WPI adalah menjejaskan kedaulatan negara?

Meningkatkan martabat bangsa dan negara, agar sentiasa dihormati dan dicontohi, di pentas dunia; dan memastikan Malaysia tetap berpengaruh di peringkat antarabangsa, khususnya selaku pengerusi OIC dan NAM: Bagaimanakah hakikatnya pada hari ini? Benarkah sebagai yang didakwa oleh banyak pihak bahawa imej Malaysia di arena internasional kini kian merosot?

Suara Rakyat

Komited kepada demokrasi berparlimen, memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara: Di manakah suara rakyat jelata dalam konteks beberapa isu kontroversi seperti penyambungan khidmat pengerusi SPR, skandal ECM Libra dan lain-lainnya?

Memenuhi tuntutan rakyat dengan memerangi rasuah. Meneruskan usaha-usaha untuk membudayakan semangat menolak rasuah: Perkara ini telah saya ulas dalam siri satu. Secara umumnya, mengapakah kini wujud persepsi bahawa kadar rasuah kian berleluasa?

Membangunkan negara secara menyeluruh dan seimbang berlandaskan pentadbiran, pengurusan, perkhidmatan malah pemikiran ‘kelas pertama’: Apakah di antara contoh “pemikiran kelas pertama” yang dicetuskan oleh era Abdullah?

Prihatin terhadap keperluan rakyat dan akan merujuk kepada pandangan rakyat dalam isu-isu penting, serta mendapatkan pandangan rakyat secara aktif bagi isu-isu penting: Adakah tekad dan azam seperti ini wujud dalam usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang-barang makanan termasuk minyak masak, kenaikan harga petroleum, kenaikan kadar tol, kewujudan WPI, tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang telus dan sebagainya?

Membanteras jenayah dan gejala sosial: Mengapakah kini sindiket jenayah asing dilaporkan berleluasa di Malaysia? Mengapakah terjadi kes penculikan kanak-kanak yang kian meningkat? Mengapakah kadar jenayah dikatakan bertambah serius?

Meningkatkan tahap keselamatan peribadi setiap individu: Hujjah di atas berkait rapat dengan ikrar dan janji ini. Soalnya, apakah pendapat rakyat jelata mengenai hal ini?

Agenda Tegas

Maka, terserahlah kepada rakyat jelata untuk membuat kesimpulannya. Abdullah memang telah mengatakan dalam Manifesto PRU11 bahawa “agenda yang saya tetapkan adalah sesuatu yang saya mahu lihat dilaksanakan dan bukan sesuatu yang hanya sedap didengar dalam ucapan untuk mendapat tepukan.”

Secara hitam putih juga Abdullah menegaskan dalam manifesto berkenaan bahawa ”saya tegas dengan janji saya bahawa agenda saya bukan sekadar janji manis atau janji pilihan raya. Kerajaan yang saya pimpin dan parti yang saya ketuai ini sudah membuktikan bahawa kami bekerja untuk rakyat dan bukan untuk mendapat undi.”

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji seperti di atas, Abdullah dan BN wajar membuat reality check sebelum merangka manifesto bagi PRU12. Ini kerana situasi mutakhir agak mustahil untuk BN mengulangi kecemerlangan prestasi PRU11.

Berasaskan seluruh azam, cita-cita, tekad, ikrar dan janji yang sama juga adalah menjadi hak rakyat Malaysia untuk membuat penilian secara bijaksana dalam PRU12.

Tindakan dan keputusan yang diambil pula wajarlah berlandaskan pertimbangan yang bijaksana, menyeluruh, luas, rasional dan berhemah. Ini kerana pada ketika ini memang ramai di antara kita yang sedang dicengkam dilema ditelan mati emak, diluah mati bapak. Lantas, pilihan yang sebaik-baiknya adalah berlandaskan kepentingan agama, bangsa dan negara.

10 comments:

msmuri said...

Macam-macam janji dalam manifesto yang dibuatnya.Tapi hampeh tak ada pun yang dibuat dengan betul.Hanya janji manismu je.Ni dah menyampah bebenor.Malas nak layan puak-puak yang bila nak PRU buat janji macam-macam.Sampai masa pelingkup negara.Harga barang tetap juga naik, jenayah tetap juga meningkat dan macam-macam lagi masalah yang timbul.Penipu dan pembohong nombor satu.Kepada rakan-rakanku...buatlah pertimbangan yang wajar, gunakan kesempatan yang akan datang ni untuk ubah orang lain perintah. Bak kata orang kalau hari-hari makan nasi dengan lauk yang sama bosan juga, sesekali nak juga ubah selera, kita pekena kebab ke roti nan ke, baru best. Dia orang yang buat manifesto tu pun kita kena ubah jugak. Tak rugi apa-apa pun. Kalau tak betul kita ubah lagi. Jangan takut untuk survival. Selama nipun kita kena survival pasal nak hidup. Fikirkanlah kekawan.

Hovidpure said...

Salam Dato'

Hampir kesemua yang tercatat dalam manifesto BN bagi PRU-11 telah diabai dan dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Abdullah Badawi.

Malaysia sepanjang 22 tahun dibawah pentadbiran Yang Amat Bhg. Tun Dr. Mahathir telah dengan jelas membuktikan pembangunan mental dan fizikal bagi rakyat terbanyak.

Segala usaha pembangunan dan kemewahan negara yang telah diusahakan semasa zaman TDM telah dimusnahkan dalam masa 4 tahun pemerintahan BN diera Abdullah Badawi.

Kalau pun ada rakyat Malaysia yang bertambah mewah dan kaya semasa era AAB mereka pastinya dari kalangan saudara-mara dan kaum kerabat AAB sendiri. Rakyat terbanyak semakin tertindas dan hak mereka dirampas.

Sebagai anak Johore, yang lahir dan membesar dalam keluarga UMNO dan Perikatan, saya rasa amat-amat tertipu oleh pimpinan UMNO dan BN sepanjang pentadbiran Abdullah Badawi.

Saya menyeru kepada semua masyarakat Melayu terutama di Johor yang telah 50 tahun memberi sokongan padu kepada UMNO, kali ini dalam PRU-12 yang hampir tiba: TOLONGLAH, JANGAN BERI UNDI KITA KEPADA CALUN BN, sebagai tanda bencinya kita terhadap kecuaian, pembohongan, ketidakjujuran, pilihkasih dan double standard serta rompakan harta rakyat yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri; Abdullah Ahmad Badawi, anaknya; Kamaluddin dan menantunya; Khairy Jamaluddin.

Sama-sama kita bangkit dari lena yang terlalu lama sehingga maruah kita telah dicemar, hak kita dinafikan dan agama kita: Islam dipermainkan oleh Perdana Menteri dan Presiden parti kita sendiri.

Ikhlas dari:
Ahli UMNO Cawangan Mersing.

ridwan said...

memang patut rakyat buat penilaian smula sgala 'jnji manismu' PM yg kuat tido.hnya rkyt yg pekak,bisu dn buta aja yg Xdpt menilai dgn baik.

Unknown said...

TOLONG BERITAHU KEPADA SEMUA ORANG LEBIH-LEBIH KEPADA ORANG ISLAM, APAKAH TANDA-TANDA ORANG ITU TERGOLONG DIDALAM KATEGORI 'MUNAFIQ'? SUPAYA KITA TIDAK TERPEDAYA DAN TERPENGARUH SETIAP UCAPAN DAN KTA-KATA YANG DIKELUARKAN OLEH GOLONGAN MUNAFIQ. DAH TAHU IA SESAT, IA PULA NAK MENYESATKAN ORANG LAIN.
SAYA DAPAT RUJUKAN DARI AL-QURAN SURAH AL-AHZAB (33) AYAT 36; DAN SURAH AN-NISA' (4) AYAT 105.
DAN KITA SEMUA NAK TAHU APAKAH UMNO TIDAK ADA SATU (1) PUN PERKARA YANG DILAKUKAN BERTENTANGAN DENGAN AYAT-AYAT AL-QURAN SEPERTI DI ATAS. KITA MEMANG TAK MAHU DISESATKAN OLEH ORANG YANG SESAT, KITA MAHU ORANG YANG MELINDUNGI DIRI KITA DARI KESESATAN DARI JALAN ALLAH DAN RASUL. JADI KITA SELAMAT DARI KESESATAN DALAM ERTI YANG SEBENARNYA. HARAP DAPAT PENJELASAN DAN PERTOLONGAN DARI PEMBACA YANG IKHLAS.
WASALLAM.

pemerhati said...

Salam Dato dan pembaca laman ini.

Kapada Ahli UMNO Cawangan Mersing, kawan menyokong komennya. Kawan rasa kalau kali ini orang melayu Johor masih lagi undi UMNO/BN.. pendek kata tergadai negeri. Bak kata Ahli Nujum Pak Belalang.. Barang siapa tak nampak, maka dia anak luar nikah. Kalau dah nampak baguslah, tidaklah pendek umur..

Dulu kawan jentera UMNO/BN tapi sekarang sudah bersara dan sedang mohon bertaubat padaNya kerana pemimpin2 UMNO telah memaksa kawan dan rakan2 sekerja berbohong kepada rakyat M'sia.

Salam Perjuangan Anak Johor.

Unknown said...

Dollah jelas mungkir janji. Janji-janji kecil seperti membanteras jenayah pun tak ditepati. Kadar jenayah kini meningkat.

Kalau yang kecil pun dimungkiri, janji yang besar tentu sekali gagal ditepati. Macam mana saya nak sokong dia lagi. Saya sayang BN. Tapi kelemahan Dollah buat saya meluat dengan BN. Karenah menantu dia satu lagi hal. Habis negara kita digadainya.

Saya tak akan pengaruhi orang lain, tapi saya sukar nak sokong BN kali ini. Selamat berjuang....

HELICONIA said...

PM Pak Lah lulusan agama dari UM, jadi sebelum beliau mengotakan manifesto2 kepada manusia2 --rakyat semua itu dalam janji PRU,

Bukalah Al Quran dan Hadis yang dikajinya suatu waktu dulu dan cubalah menjadi manusia yang memenuhi 'manifesto' yang dilagangkan oleh Islam terlebih dahulu..

Jika seorang manusia tidak mampu mempimpin dirinya sendiri, dia tidak akan mampu memimpin manusia lain.

Nasihat terutama kepada penulis komen yg keenam ini.

Unknown said...

Kawan agak PRU kali ni gawat. AAB terang-terang tak boleh diterima majoriti rakyat. Ramai kami dalam dilemma.

Tapi AAB ada masa lagi untuk sejukkan hati rakyat. Caranya mudah je. Kawan harap AAB keluar kenyataan larang KJ jangan masuk campur urusan kerajaan.

Lepas tu, lantik Tun Mahathir sebagai penasihat kerajaan Malaysia.

Kalau AAB nak lakukan cadangan ni mungkin peratus sokongan rakyat naik sikit.

Kalau tak, tak taulah.. Kawan ingat, susah AAB nak menangkan BN dengan majoriti 2/3.

politica said...

Saya dah cadangkan November 2007 dulu supaya AAB letak jawatan dengan segera. Lagi lama dia jadi PM lagi hancur negara dibuatnya.

Ulasan Datuk mengenai manifesto PRU11 ni jelas buktikan AAB memang gagal tunaikan janji kepada rakyat.

Kalau dia berhenti sebelum PRU 12 lagi baik. Rasanya BN boleh menang besar.

Unknown said...

Dollah ni cakap tak serupa bikin. Dia janjikan kita cemerlang, gemilang, terbilang. Apa yang kita dapat? Malang, terbongkang dan terkangkang.. Apa tak gitu? Harga barang naik, harga minyak petrol naik, harga gula, harga minyak masak semua naik. Yang turun cuma hujan sampai banjir besar.... Yang turun juga adalah imej dan hargadiri Malaysia...