Tuesday, February 26, 2008

Manifesto Million, Billion Dan Trillion PRU12
Tanpa Komitmen Pada Demokrasi Berparlimen?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan Manifesto bagi PRU12 tanpa menghuraikan komitmen BN kepada keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta sistem kerajaan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Saya meneliti manifesto tersebut berkali-kali dan mendapati bahawa tidak sepatah pun perkataan mengenai perkara-perkara strategik di atas dihuraikan dalam manifesto berkenaan.

Hakikat ini amat berbeza dengan Manifesto BN bagi PRU11 yang menghuraikan perkara-perkara seperti berikut:

BN bertekad mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Demokrasi

BN komited kepada demokrasi berparlimen.

BN menghormati pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan, dengan setiap institusi - eksekutif, perundangan dan kehakiman - memainkan peranan semak dan timbang bagi memastikan pentadbiran negara yang berlandaskan kepada undang-undang.

BN akan terus mentadbir mengikut sistem demokrasi, berdasarkan prinsip undang-undang.

BN menjamin kebebasan badan kehakiman dan menyediakan prasarana moden untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun, saya yakin kepimpinan Abdullah tidak menganggap perkara-perkara tersebut di atas sebagai remeh. Tetapi, saya musykil mengapakah ianya tidak disebut langsung dalam manifesto PRU12.

Disengajakan?

Adakah ianya sesuatu yang tidak disengajakan kerana Abdullah kelihatannya amat ghairah untuk menghuraikan prestasi kerajaan sejak 2004 hingga 2007 yang diterjemahkan dalam angka-angka million, billion dan trillion ringgit sahaja?

Atau, mungkinkah hakikat ketiadaan faktor-faktor strategik tersebut memang disengajakan kerana dianggap tidak penting dan tidak perlu?

Memang Abdullah dan BN mungkin mempunyai sebab dan wisdom tersendiri untuk melupakan faktor-faktor strategik yang menjadi tunggak kerajaan Malaysia sejak merdeka higga ke hari ini.

Tetapi, tidakkah hakikat ini akan menimbulkan keraguan sesetengah pihak mengenai bentuk kerajaan Malaysia sesudah PRU12 yang akan diterajui oleh BN seandainya parti tersebut memenangi pilihan raya kali ini? Fikir-fikirkanlah… - Ruhanie Ahmad

1 comment:

Berita dari gunung said...

Every big expenditure has to be tabled in Parliment.

Or may be Corridors are all private venture.