Tuesday, February 12, 2008

Siri Ketiga:
Mengimbas Kembali Manifesto BN Dalam PRU11

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah dapat ilham untuk memohon restu Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU12. Sama ada permohonan ini akan diperkenankan adalah bergantung kepada kuasa mutlak Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, politik Malaysia kini mula dilanda seribu satu gelora rasa. Pihak yang mengharap untuk dicalonkan makin berdebar-debar. Kalangan yang khuatir digugurkan dari betanding semula jadi semakin gusar. Keadaan ini melanda warga BN dan juga pembangkang.

Pada waktu yang sama, pemimpin serta penyokong BN bimbang akan majoriti kerusi yang akan dimenangi dalam PRU12, pihak pembangkang mencongak keupayaan masing-masing di beberapa negeri tertentu, pengundi atas pagar pula sukar menentukan arah undi mereka secara muktamad.

Dalam PRU11, BN pimpinan Abdullah menang besar berasaskan rekod kecemerlangan Tun Dr Mahathir Mohamad. BN juga menang besar kerana kecemerlangan Mahathir dipakejkan bersama propaganda mengenai diri Abdullah sebagai Mr Clean, insan yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie”, pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan pemimpin yang berpandukan “sunnah nabi.”

Kotakan Janji

Seluruh realiti dan ilusi di atas telah memukau hati majoriti pengundi dalam PRU11. Lantas, mereka pun yakin bahawa kepimpinan Abdullah juga akan memunculkan Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang.

Keyakinan ini juga menjadikan sebilangan besar pengundi berasa bahawa BN dan Abdullah akan mengkotakan sebilangan besar janji-janjinya dalam manifesto PRU11. Antara janji-janji tersebut adalah seperti berikut:

BN mengiktiraf semua golongan, termasuklah generasi muda, wanita dan penduduk luar bandar, sebagai aset negara.

BN menjemput semua kumpulan menyertai proses pembangunan negara. Generasi muda, kaum wanita dan masyarakat luar bandar terutamanya merangkumi sebahagian besar daripada jumlah rakyat. Mereka mestilah diberikan peluang untuk sama-sama memainkan peranan.

BN menjamin satu sistem kerajaan untuk semua rakyat di mana kerajaan yang dipilih haruslah berupaya memelihara segala pandangan dan pendapat rakyat diberi perhatian dalam usaha melaksanakan dasar mesra rakyat.

Punya Suara

Dengan BN, semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dan suara. BN memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara.

BN menjamin kepentingan semua rakyat, peka dan bertindak memenuhi harapan dan aspirasi semua kumpulan merentasi umur, jantina,kaum dan agama.

Selepas PRU11, bagaimana? Adakah rakyat “mempunyai peranan dan suara”? Adakah benar BN “memberikan setiap warganegara, suara dalam pentadbiran negara”?

Jika ada, bagaimana timbul persepsi umum bahawa Abdullah dimanipulasikan oleh menantunya serta kroni-kroni menantunya? Jika benar, di mana suara rakyat dalam beberapa isu besar seperti kewujudan WPI, kenaikan harga barang-barang makanan, kenaikan harga petrol dan kenaikan kadar tol?

Jika benar, mengapakah suara-suara kekecewaan rakyat disifatkan sebagai penentangan sehingga Abdullah tergamak mengeluarkan kata-kata “saya pantang dicabar”?

Keresahan

Jika benar, kenapakah Abdullah tidak mengindahkan keluhan, keresahan dan kecaman rakyat terhadap keleluasaan dan kemaharajalelaan menantunya yang kelihatan seolah-olah dialah yang sangat berkuasa di Malaysia?

Hari ini, Abdullah dan jemaah kabinetnya seolah-olah sedang berkempen, walaupun PRU12 entah bila akan dilaksanakan. Hari demi hari berdentam-dentum kenyataan dihebahkan dan pelbagai projek berbillion ringgit diumumkan.

Kalau janji dalam manifesto cemerlang, gemilang, terbilang bagi PRU11 pun sebilangan besarnya masih belum dikotakan, bagaimanakah rakyat boleh menerima janji-janji yang baru?

Dan, mengapakah agaknya dalam tempoh kebelakangan ini kelihatannya seolah-olah undi orang Melayu kurang penting untuk memenangkan BN dalam PRU12?

Jika anda kurang faham akan hakikat ini, kajilah sendiri majoriti kenyataan Abdullah dan Timbalannya kebelakangan ini. Tidakkah kenyataan-kenyataan mereka membuatkan orang Melayu, termasuk warga UMNO, berasa dipinggirkan, jengkel dan jauh hati?

Lantas, apakah agaknya tema manifesto BN bagi PRU12? BN PEMBELA RAKYAT? BN PEJUANG KESEJAHTERAAN? RAKYAT JELATA SUMBER KUASA? Atau hanya satu barisan kata-kata yang mudah - MAAFKAN KAMI?

3 comments:

Kamalkamal said...

Datuk,

Biasanya mana-mana parti yang akan bertanding akan mencanangkan manifestonya. BN sebagai parti pemerintah tidak terkecuali. Apa yang dikesalkan banyak janji dalam manifesto tidak dapat ditunaikan walaupun penggal hampir tamat.

Menjelang PRU ke-12, kita boleh lihat propaganda mula berligar di media arus perdana dan media elektronik. Datuk Zam telah membuka langkahnya, RTM telah mula dijadikan alat terbaik untuk mempengaruhi rakyat. Maklumlah kalau trek rekod baik kemungkinan besar dikekalkan.

Kalau semua wakil rakyat akan dinilai dan AAB boleh membuat keputusan muktamat. Bagaimana pula dengan prestasi AAB, siapa yang akan menilainya? Hanya pengundi di Kepala Batas dan rakyat Malaysia saja yang berhak menentukannya.

Kalau benar Datuk Mukhriz Mahathir(MM) hendak diletakkan di Langkawi, mungkinkah ini strategi KJ untuk melunakkan Tun Dr. Mahathir. Kritikan Tun adakalanya mendapat tempat di hati rakyat. Mungkin juga bila MM telah diberi kerusi tersebut agak mudah laluan KJ untuk berada dipersada kepimpinan Pemuda UMNO nanti.

Datuk, apakah ada udang disebalik mee?

lamandau said...

Sebagai seorang ahli UMNO , saya amat optimis BN akan menang dalam PRU 12, cuma tahap kemenangan yang menjadi teka-teki semua aktivis UMNO !!!

Saya amat terpanggil untuk berkongsi sentimen orang melayu dengan Datuk. Rata2 orang melayu menganggap pemimpin negara sekarang ini mengambi orang melayu 'for granted' Orang2 melayu rasa terpinggir dalam keadaan semasa memandangkan pemimpin hanya sibuk untuk melakukan 'damage control' untuk bangsa lain. Untuk makluman Datuk, orang melayu rata2 terguris hati mereka berikutan dengan dakwaan hindraf . Dakwaan melulu hindraf betul membuat orang melayu terasa terhina dan rasa bersalah kerana dituduh sedemikian rupa oleh aktivis hindraf yang saya amat yakin bersifat chauvanist dan racist. Orang melayu rasa kecewa kerana selama ini kaum India tidak pernah memberitahu kita tentang kedaifan mereka. Persoalan yang mungkin timbul dikalangan orang melayu ialah adakah peminggiran benar2 berlaku keatas kaum India. Sehingga kini saya belum terbaca dakwaan kaum India disertakan dengan statistik tertentu untuk memperkuatkan hujjah.

Dalam hal yang sama , saya juga gagal untuk membaca hujah2 pemimpin kerajaan berserta dengan statistik untuk menafikan dakwaan kaum India.Saya berharap sangat kalau-kalau ada pemimpin melayu, menteri2 melayu, KSN, KSU atau ketua jabatan mengeluarkan statistik untuk menunjukkan kedudukan kaum India sebenarnya. TIADA, Datuk. Bagaimanakah kedudukan golongan profesional kaum India jika dibanding dengan populasi nya kurang lebih 2.2 juta itu!!

The absence of these explanations thus cause the malays to ponder , are we that cruel, heartless or inhumane!!! Lest, our leaders took immediate remedial actions to give in to the demands of not only the Indian but the chinese too!! What about our demands?

Ini lah yang merupakan hambatan kepada usaha kita untuk memujuk orang melayu beri 100% sokongan kepada BN. Setakat nak tunjuk harga barang keperluan yang rendah berbanding negara2 lain , saya ingat pengundi tidak terpedaya.

Datuk kedudukan sekarang, advantej nya adalah milik pembangkang. Banyak isu yang tidak terjawab akan dieksploitasikan seoptimum oleh pembangkang yang akan membuat pemidato BN ketandusan modal , hanya berusaha untuk membuat rebuttal aje!!!

Tujuan saya memberi komentar ini adalah untuk memperingati pemimpin agar waspada terhadap sokongan orang melayu dan mencari jalan untuk dianggap lebih relavan oleh kaum sendiri!!

kudakepang said...

Kamal dan Lamandau, terima kasih.

Komen Kamal saya siarkan dalam blog puteramaya dan komen lamandau saya siarkan dalam blog kk. Saya berterima kasih kepada anda kerana sering mencetuskan idea yang bernas dan segar demi agama, bangsa dan negara.

Salam takzim - Ruhanie Ahmad