Sunday, February 10, 2008

Pastikan Pindaan Enakmen Rizab Melayu
Tak Jejas Anak Sendiri Mati Kebuluran!

Enakmen Rizab Melayu (ERM) adalah undang-undang tanah yang strategik. Ia “menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara jua pun kepada bukan Melayu” dan “menyekat tanah pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan Melayu.” Kedua-dua objektif ini memastikan seluruh tanah milik Melayu di bawah ERM berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Bagaimanapun, banyak pihak berpendapat objektif-objektif di atas menyukarkan Tanah Rizab Melayu TRM untuk dibangunkan secara komersil. Takrif Melayu dalam ERM pula berbeza dari negeri ke negeri. Ada pendapat mengatakan takrif itu mengatasi tafsiran Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka: “walaupun tafsiran Melayu didalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan kelihatan semacam mengatasi tafsiran Melayu di dalam tiap-tiap ERM, namun kerana tafsiran Melayu di dalam ERM dibuat mengikut peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan, maka tafsiran Melayu di dalam ERM mengatasi tafsiran Melayu di bawah Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan. Melayu bagi maksud Perkara 160 Fasal 2 memberi penekanan kepada adat istiadat, manakala di bawah Perkara 89 Fasal 6 seperti yang diberikan pada tiap-tiap ERM memberi tekanan kepada keturunan.”

Seluruh perincian mengenai ERM boleh diperolehi daripada link berikut:
www.instun.gov.my/sehari%20selembar%20benang/ENAKMEN%20RIZAB%20MELAYU10.pdf

Pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa mesyuarat penggeloraan minda dan menubuhkan beberapa pasukan kerja untuk mengatasi masalah-masalah di atas menerusi cadangan meminda ERM.

Pada 2002, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Pembangunan Tanah Rizab Melayu. Laporan jawatankuasa ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Lantas dibentuklah Jawatankuasa Teknikal Penyediaan Cadanagan Pindaan ERM yang merumuskan dasar dan strategi pembanguna TRM. Antaranya adalah seperti berikut:

Membenarkan bank dan institusi yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) atau Akta Bank Islam 1983 (Akta 276) untuk menerima gadaian TRM.

Membenarkan Perbadanan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN), melalui pemberitahuan di dalam warta, dan Perbadanan ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri untuk menerima gadaian TRM.

Pendek kata, dalam usaha membangunkan TRM, jawatankuasa penyediaan pindaan undang-undang ERM sentiasa bertunjangkan kepada prinsip “ke arah memperluaskan ruang bagi usaha-usaha membangun dan meningkatkan nilai komersial TRM dengan cara membolehkannya dibangunkan bersama penglibatan orang Bukan Melayu, tanpa menjejaskan pemilikan tanah-tanah tersebut di kalangan orang-orang Melayu.”

Perincian dasar dan strategi ini boleh diakses menerusi link berikut: www.instun.gov.my/Kertas%20Seminar/Pembgnan%20tanah%20Rizab.doc

Oleh itu, bila Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dipetik oleh Utusan Malaysia 8 Februari 2008, sebagai berkata bahawa ERM akan dipinda untuk “membolehkan tanah rizab Melayu di seluruh negara dipajak termasuk kepada bukan Melayu dengan tempoh maksimum 60 tahun supaya ia dapat dimajukan,” kita pastikanlah pindaan itu membawa manfaat lebih besar kepada Melayu.

Kenyataan terbaru Azmi sepenuhnya boleh diakses di sini: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Mengikut perangkaan 2002, di Kuala Lumpur terdapat 1182.61 hekter TRM - Kampung Bharu 101.02 hekter, Datuk Keramat 87.58 hekter, Segambut 293.97 hekter, Kampung Sungai Penchala 291.65 hekter, Gombak 320.61 hekter dan Selayang 87.78 hekter.

Lantaran itu, kepimpinan masyarakat, parti politik dan NGO Melayu di seluruh negara, khususnya di kawasan seperti di atas, wajar prihatin terhadap pindaan yang akan dilakukan. Manalah tau kalau-kalau status syarikat Melayu yang akan membangunkan kawasan TRM suatu ketika kelak adalah syarikat atas kertas, di mana realitinya, syarikat itu adalah milik asing, terutama sekali dari selatan yang dipercayai sedang “mengaruk” di Kuala Lumpur dengan bantuan sesuatu kelompok Melayu tertentu!

Dan, adalah lebih afdal jika Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta pelbagai agensi kerajaan berkaitan dengan pentadbiran tanah memberikan taklimat yang telus, jelas dan ikhlas kepada seluruh kepimpinan Melayu mengenai strategi dan matlamat pindaan yang mahu dilaksanakan ke atas TRM.

Langkah pro-aktif seperti ini pasti akan mengelakkan sebarang kemungkinan negatif di mana pindaan ke atas ERM ini akan menyebabkan dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran! – Ruhanie Ahmad

5 comments:

shamsul said...

Peruntukkan ERM antaranya menyatakan mana-mana pengambilan (acquisition)TRM hendaklah diganti balik sama luas dan setaraf dengan TRM yang telah diambil.Pengambilan TRM untuk projek pembangunan kerajaan(bina sekolah,hospital,dewan,balai polis dll) untuk kegunaan dan kemudahan orangramai hendaklah diganti semula oleh kerajaan.Persoalannya sudah berapa hektar TRM diambil dan berapa hektar yang telah diganti?

putera bentan said...

Apa yang terjadi kepada tanah UM patut insafkan kita semua supaya tak ada manusia rakus macam Annuar Zaini akan gadaikan Tanah Rezab Melayu kepada bukan Melayu. Dalam zaman Abdullah, kita kena sentiasa waspada. Penyelewengan waktu ni menjadi-jadi.....

annonymous said...

Pindaan ERM akan membuka 'flood-gate' kerakusan peniaga2 bukan melayu untuk 'memajukan' TRM ini. Dengan tempuh gadian selama 60 tahun, 'is as good as giving up TRM to non malays' Kalau di kelantan orang bukan melayu hanya dibolihkan membeli tanah secara mukim lease selama 30 th, bayangkan apa akan jadi di Kelantan jika mukim lease dilanjutkan kepada 60 tahun!!!!

Mengapakah penduduk Kg Baru tidak sepakat untuk membangunkan TRM !! Nak tunggu kena gadai ke!!

A Voice said...

Mungkin saya akan dilihat sebagai menembak kaki sendiri.

Isu tanah rizab melayu dah lama. Kalau mahu, seribu daya.

Tak ada wang jgn spiak lah kalau nak buat apa2.

Masaalahnya institusi kewangan berdalih. Nilai pasaran lah, tak boleh jual lah dll. Walau tanah beratus ekar pun, institusi kewangan tak pandang pun!

Padahal melayu yang kuasai bank2 dahulu. Skrg kita kuasai tapi sejak reform pak lah, beribu2 pegawai bank melayu diberhentikan.

Berapa kerat saja melayu dlm perbankan korporat, loan dan merchant banking? Modal insan konon!

Saya rasakan kadang2 macam tak ada political will utk memajukan rizab melayu.

Ide yang mahu di majukan ni pun tak fikir panjang.

Bila dibenarkan demikian, tuan punya tanah akan tunduk kepada kuasa pasaran terbuka.

Maknanya habis tanah2 orang melayu yg dah tinggal2 baki saja!

Namun kena salahkan sikap kebanyakkan org melayu juga.

Ada yg tamak, ada yg gelojoh, ada tak realistik dan kebanyakkan tak mahu berpakat2.

kudakepang said...

Shamsul, Putera, Annon, Voice, terima kasih.

Saya harap semua pihak ambil hirau cadangan saya supaya soal pindaan ini diperincikan dan dimasyarakatkan dulu matlamatnya supaya kepentingan Melayu terus terpelihara.

Salam takzim - Ruhanie Ahmad