Sunday, February 24, 2008

Saya Lega Kerana Tidak Bertanding Semula

Esok hari penamaan calon bagi PRU12. Ini bermakna debar jiwa mengenai soal siapa yang dicalonkan sudah pun berakhir. Dan, ini juga bermakna bahawa persoalan siapa akan menang dan siapa akan kalah kini mula menggelodak di setiap jiwa mereka yang bertanding kali ini.

Saya pun berasa lega kerana akhirnya saya tidak dicalonkan. Saya kata saya lega bila tidak dicalonkan semula kerana sebelum ini, lebih tepat lagi sejak dua bulan lalu sehingga 8.30 malam 21 Februari 2008, nama saya masih lagi disenaraikan oleh satu kumpulan tertentu sebagai salah seorang yang diketengahkan untuk kawasan Parlimen Parit Sulong.

Nama saya tidak diketengahkan oleh pihak UMNO Bahagian Parit Sulong kerana saya kini hanya seorang ahli biasa dalam bahagian tersebut. Lagi pun, saya sudah memberitahu ketua bahagian bahawa saya tidak lagi berhasrat “to make a come back.”

Biarpun begitu, satu kumpulan prihatin yang berpengaruh kuat mahukan saya kembali berkhidmat. Rasanya tak payahlah saya nyatakan di sini siapa kumpulan berkenaan.

Saya jelaskan kepada mereka bahawa saya sudah tidak punya tenaga untuk berkhidmat semula. Cukuplah saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 14 tahun. Saya sudah menjalankan tugas saya selaku setiausaha BBC selama lima tahun dan lima tahun seterusnya selaku pengerusi BBC. Sesudah itu saya enggan memegang apa-apa jawatan di dalam Parlimen melainkan aktif dalam Persatuan Parlimen Komonwel dan Parlimen ASEAN.

Singapura

Kata kumpulan tersebut, khidmat saya sangat dikehendaki ketika ini kerana saya berani bersuara lantang mengenai Singapura dan isu-isu geopolitik membabitkan Malaysia. Jawab saya, cukuplah. Ramai lagi darah muda yang boleh bersuara lantang dalam apa juga isu jika mereka memilih untuk bersuara lantang demi agama, bangsa dan tanah air.

Saya terus didesak untuk menerima cadangan kumpulan berkenaan. Tetapi, saya terus bertegas mengatakan bahawa saya tidak akan kembali sebagai Ahli Parlimen. Sesudah itu, saya pun mendiamkan diri.

Dua tiga hari yang lalu, salah seorang anggota kumpulan itu mengirimkan mesej menerusi ruangan komen dalam blog ini. Mesejnya berkod. Saya faham maksudnya. Tetapi saya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang respons.

Mesej beliau adalah: Orang Shah Alam tak mau terima Ketua PU3 kerana orang luar. Kita akan hantar dia balik ke rumah Kak Long dia di Johor. Apa pendapat anda? Betulkah Datuk tak mahu balik ke rumah Kak Long tu?

Maksudnya, Ketua Puteri tidak diterima di Shah Alam. Kita akan hantar dia bertanding di kampung dia di Parit Sulong. Apa pendapat anda? Betulkah Datuk tak minat lagi bertanding di Parit Sulong?

Muktamad

Saya tak berikan apa-apa respons. Tapi pada petang Khamis, salah seorang orang perantaraan kumpulan tersebut dengan saya datang menemui saya.

Beliau bertanya: “Betul Abang tak mau tanding lagi? Saya nak kata muktamad Abang. Kita nak finalise senarai. Kalau Abang tak tanding, kita akan kemukakan nama Ketua Puteri.”

Saya tersenyum. Kata saya: “Kan Abang dah cakap tiga minggu sudah, Abang tak mau tanding apa-apa, baik atas tiket BN, baik atas tiket PKR, baik calon Bebas.”

“Muktamad ni Bang?” tanya orang perantaraan itu lagi.

“Apa yang nak dimuktamadkan lagi? Abang dah tak mau tanding lagi. Dah cukup 14 tahun. Cukup,” kata saya dengan nada agak jengkel kerana terus didesak.

“OK Bang. Muktamad Abang tak mau. Saya akan beritahu bos, Abang tak mau. Jangan nyesal,” katanya selamba lantas menelefon “bosnya” untuk memberitahu keputusan saya.

Rumah Kak Long

Pada tengah malam Jumaat, saya pun menerima SMS dari orang perantaraan itu: “Confirm Ketua PU3 balik ke rumah Kak Long dia di Batu Pahat.”

Semalam, Syed Hood Syed Edrus, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang menggantikan saya selama empat tahun mengirimkan SMS kepada saya untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan saya selama ini. Katanya: “saya digantikan dengan Datuk Noraini Ahmad.”

Saya paparkan kisah di atas untuk membunuh seluruh kata-kata kesat yang dikirimkan kepada saya menerusi blog ini selama ini kononnya saya bersuara lantang memperkatakan kepincangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana saya marah bila tidak dicalonkan semula pada PRU11 dulu.

Hakikatnya, bila saya tidak dicalonkan semula dalam PRU11, saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Buktinya, bila kali ini saya didesak untuk bertanding semula pun saya tetap bertegas menolak desakan itu.

Pada waktu yang sama, saya juga menolak risikan PKR supaya saya bertanding di Parlimen Parit Sulong. Ini juga bukti bahawa saya tidak kecil hati dan tidak pula mendendam sehingga tergamak untuk bertanding atas pelantar pembangkang.

Wilayah Iskandar

Jadi, kalau selama 18 bulan kebelakangan ini saya bersuara lantang menerusi blog ini mengenai Abdullah, ini kerana memang ada yang tak kena dengan apa yang beliau lakukan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Paling saya bangkang adalah keputusan Abdullah mewujudkan WPI yang saya sifatkan sebagai menggadaikan bumi Johor Darul Takzim kepada Singapura.

Keduanya, saya sangat bangkang kemaharajalelaan menantu Abdullah kerana saya beranggapan insan ini menjadi umpama sokong membawa rebah kepada Abdullah. Ketiganya, saya tentang kedolak-dalikan Abdullah mengenai Projek Jambatan Bengkok di Johor Bahru dan lain-lainnya.

Pendek kata, banyak lagi perkara mengenai Abdullah yang merimas dan membimbangkan diri saya selaku seorang anak Melayu dan anak Johor. Saya mengkritik Abdullah kerana ini hak saya sebagai anak bumi Malaysia yang merdeka. Saya berhak bersuara jika saya rasakan negara kita seolah-olah sedang didominasikan oleh kuasa asing di hujung Tanah Melayu.

Oleh itu, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada surfers yang berikrar akan membantu saya sekiranya saya bertanding semula dan sebagainya. Keprihatinan anda semua amat saya hargai dan sanjung tinggi. Selamat berjuang dari saya. – Ruhanie Ahmad

16 comments:

Berita dari gunung said...

Menarik entry dato kali ini. Dari sudut hati dan amat personal.

Dalam hal itu ada ramai yang ternyata berbeza dengan Dato. Radzi tempuh hari mengocak air, dengan membuat kenyataan bahawa Perlis perlukan kepimpinan baru. Kemudian keadaan pun bergolaklah.

Hanya selepas nama Radzi naik untuk parlimen, baru dia buat kenyataan "inilah penggal terakhir saya"

Kita semua tahu Radzi dan Azmi tidak ada semasa Shahidan membuat pengumuman senarai calon. Menarik sebab kita menyuruh orang bersatu, tetapi kita sendiri ada masanya lebih selesa untuk berasing.

Politik bukan hal perundangan saja seperti yang Radzi biasa, tetapi politik adalah realiti, samada kita diterima dan berjasa.

Dr. Hamizi said...

hidup perlu punya prinsip datuk... itu saja beza kita dengan orang lain... walaupun prinsip selalunya jarang menguntungkan kita, tetapi insya-Allah ianya berbaloi...

teruskan berjuang datuk...

p/s: saya baru habis final exam dan sudah memulakan aktiviti kempen udi protes di blog saya... alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang dah tak setuju dengan perangai Bodolah, biar undi pembangkang kali ini...

Ryzal72 said...

Assalamualaikum Datuk,
Saya setuju dengan kenyataan datuk bahawa sebagai warga negara yang sah kita berhak untuk samada menyokong atau tidak tindakan PM. Itu hak kita, hak orang yang dinamakan rakyat kebanyakkan. Jikalau baik apa yang Pak Lah buat maka tiada sebab untuk kita menentang.Sungguh saya bersetuju dengan pendapat datuk itu.
Keduanya, tak mengapalah datuk walaupun kita tidak bertanding, barangkali medan perjuangan kita lebih luas melalui media alternatif . Apa-apapun, kita mengharapkan ada pimpinan muda yang boleh mengimbangkan pengaruh Sdr. K, apakah Mukriz dan Subhan Layak?

Hovidpure said...

Selesai sudah penamaan calon bagi PRU-12.

Satu yang pasti pada 8.3.2008 nanti undi saya, isteri saya, tiga orang anak saya dan seorang menantu saya sudah amat pasti BUKAN untuk Barisan Nasional.

Keluarga saya di KL dan keluarga abang serta kakak saya di skudai Johor telah berpakat dan bersetuju untuk tidak mengundi BN seperti masa-masa lalu, sebaliknya kami semua akan memberi undi kami kepada Barisan Rakyat yang dipimpin olih Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kami semua adalah ahli umno tetapi kami rasa malu dan terlalu berdosa jika kami beri undi kami kepada BN yang akan membantu Abdullah Badawi meneruskan agenda cacamarbanya.

Tuan Lokong said...

Agreed, and cool topic.

Anonymous said...

Datuk, berapa tahun lagi mahu beri muka kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memerintah? UMNO bagi saya sudah hilang arah tuju, sudah hilang asas dan matlamat untuk membangunkan Malaysia. Islam yang satu pun kita sudah langsung tidak paham. Inikan pula Islam Hadhari? Tanya pada menteri-menteri kita, apakah pengisian Islam Hadhari? Bolehkah mereka jawab secara ikhlas apa itu yang dimahukan oleh Islam Hadhari? Saya rasa tidak. Bagi saya, Islam Hadhari tidak ubah hanya sebagai satu Cult. Islam sebenar sudah hebat dan sudah terbukti selama 1429 tahun, mengapa perlu kita Islam Hadhari? Oleh kerana egonya pemimpin UMNO, sanggup mereka wujudkan Islam Hadhari. Di dalam Islam tiada konsep rebranding. Yang kena rebranding ialah ummah, bukan Islam.

Kami generasi baru Malaysia mahukan pemimpin yang amanah, cekap menguruskan negara dan khazanah, memberikan hak kepada yang berhak. Cukuplah itu dengan Pak Lah, cukuplah itu dengan Najib, dan cukuplah itu dengan si KJ. Cukuplah itu dengan UMNO, kalau boleh. Sekian, terima kasih.

-Kelantanese

yahuza said...

jangann duk berebut mcm kat ganu ngan perelih sudah le..

Unknown said...

UMNO dan BN tak relevan lagi utk rakyat MALAYSIA..

kenapa?

UMNO lah menggadai nasib org melayu ke lembah kehinaan..

UMNO lah penyebab kepada melayu merempat di tanah air sendiri..

KENAPA KITA MASIH TAK SEDAR LAGI?

UNDILAH BARISAN RAKYAT..

Sharunizan Mohamed Mahusin said...

Tahniah datuk atas ketegasan datuk.. saya amat menyokong apa yang datuk bangkangkan pada pimpinan dollah badawi...

Pasal Islam Hadhari yang diwujudkan..saya mohon sangat-sangat pada semua pemimpin2 dan ahli-ahli umno yang bermati-matian nak ketengahkan ajaran tu..tolonglah insaf..jangan perlekeh-lekeh islam... jika pak imam hadhari itu sendiri tidak dapat membawa keluarganya mengikut lunas-lunas agama islam..contoh terdekat bertudung bagi wanita, bagaimana anda penyokong2 boleh menjulang beliau sebegitu tinggi... jangan nanti Allah turunkan azab pada malaysia...baru kita nak tergadah..

Kamalkamal said...

Datuk,

Kebanyakan pemimpin berebut-rebut nak jadi calun. Ada berapa kerat wakil rakyat UMNO istihar nak bersara macam yang dibuat oleh ramai wakil rakyat parti komponen BN, kalau boleh mereka nak jadi wakil rakyat seumur hidup, kecuali digugurkan.

Tahniah atas pendirian Datuk yang cukup konsisten. Cuma apa yang dikesalkan Datuk Abdullah Ahmad Badawi cakap tak serupa bikin, hanya mahu wakil rakyat yang mempunyai laporan prestasi yang baik akan dikekalkan. Di DUN tempat saya mengundi walaupun wakil rakyatnya, jelas kurang memberi perhatian kepada rakyat tetapi terus dikekalkan. Maka selepas hari penamaan calun bermulalah kempen protes dilancarkan. Ada yang menutup bilek gerakan (peti undi). Ada yang menarik diri dari menjadi AJK bilek gerakan dan pelbagai kerenah diluah sebagai tanda protes. Bagi saya ianya amat berbeza daripada PRU yang lepas-lepas.

the indie story said...

Salam Dato',

Dengan izin Tuan Punya Blog.

Kepada para pengunjung Blog yang ingin melihat foto-foto hakmilik peribadi "KEMPEN DIHARI PENAMAAN CALON BAGI PARLIMEN TITIWANGSA, WILAYAH PERSEKUTUAN, KL." boleh masuk ke blog saya tanpa sekatan.

Pertembungan diantara BA yg diwakili PAS dan BN diwakili pelh UMNO. Pelbagai aksi foto menarik boleh dilihat diblog ini. Dan pihak kami akan terus 'upload' foto-foto disekitar kempen pilihanraya ke 12, 2008 dari masa ke semasa. Insha'allah.

Bagi Parlimen Titiwangsa, PAS mecalonkan tokoh muslimat yang dikenali ramai iaitu Dr. Lo'Lo' Mohd Ghazali 51. Manakala BN, pula diwakili oleh Dato' Aziz Jamaludin Mohd Tahir 54. Tempat Pencalonan Sekolah MenengaH Aminudin Baki.

Pada hari penamaan calon semalam suasana agak meriah, dan tiada ketegangan berlaku.

Wassalam.

http://theindiestory.blogspot.com

rudy bluehikari said...

Datuk, salam perkenalan.

Ini entri yang paling jujur drpd datuk hingga saya tergerak untuk tinggalkan komen.

Saya salute datuk wpun ada misi perwakilan mahu datuk buat come back. Saya rasa, banyak YB yang takut nak bersuara mcm YB Sharir. Silap2 kena cantas dlm pru berikutnya.

Kali inipun saya undi protes. MP Sepang calun yang lansung tidak pernah jenguk masalah rakyat slps jd calun payung terjun dalam pru11. Taktahulah mcmana dia boleh terpilih lagi kali ini. Kali ini harapnya pengundi sepang boleh buat sesuatu. Sepang tetap maju walau BN or BA menang.

Rudy
*satu Fukushima dengan kaknor

pemerhati said...

Salam kepada semua pembaca.

Dato,

Disini kawan ingin memberitahu hasil risikan mendapati kebanyakkan syarikat dan dermawan tidak lagi menaja BN kerana mempertikaikan kepimpinan Pak Lah.

Mereka amat kecewa kebanyakkan projek mega Pak Lah mengaihkan kepada syarikat negara jiran dan bukan syarikat tempatan. Kebanyakkan rakyat Malaysia telah mengetahui tipu muslihat Pak Lah bertopengkan ISLAM HADARI.

Banyak bilik gerakan BN lumpuh sewaktu lapuran ini di hantar.

Salam Perjuangan kepada pengundi rakyat Malaysia. Undi anda menentukan kerajaan yang BERSIH.

A Voice said...

Dato'

Perjuangan itu terletak kepada pengorbanan. Seorang motivator pernah berkata, kalau kita ada seringgit dan diberikan 50 sen untuk amal dan kebajikan orang lain, masih belumdipanggil perjuangan. 70 sen tidak, 80 sen pun tidak dan RM1 pun hanya mungkin.

Perjuangan itu kalau kita ada RM1 tapi kita berikan RM1.20 itu barulah perjuangan. Bkkan sahaja kita memberi yang kita ada tetapi kita mengorbankan sesuatu yang kita belum ada atau akan ada.

Kita lupa sejarah, bahawa UMNO bukan asal usulnya suatu organisasi tetapi satu gerakan rakyat. UMNO itu pelbagai persatuan-persatuan sedia mahu bergabung bersama dengan satu tujuan. Dari satu tujuan, dicari arah perjuangan yang lebih besar dan akhirnya yang lebih besar untuk membangunkan negara.

Perjuangan itu bukan hanya terletak kepada UMNO, atau kedudukan dalam politik, atau jawatan dalam kerajaan. Malah UMNO itu pun bukan mula atas landasan politik.

Perjuangan itu berupa macam-macam. Malah apa yang kita buat dalam blogging adalah perjuangan. Kita mengorbankan masa yang serba tidak cukup, wang ringgit yang boleh disalurkan ketempat lain, meruangkan fikiran, mencari bahan dan lain2. Ini semua adalah seringgitnya dan dua puloh sennya.

Perkara yang mahu diperjuangkan tidak habis-habis. Perjuangkan ekonomi, sosial, pelajaran, kebudayaan, keselamatan, dan pelbagai lagi. Bukan hanya di arena politik sahaja kita meletakkan harap untuk perjuangan memartabatkan bangsa dan nusantara, agama dan ummah, dan negara.

Beban perjuangan bukan terletak kepada Dato yang sudah menjangkau 60dan atau saya yang masih banyak tahun lagi untuk menghindarkan 50. Perjuangan ini terletak kepada semua. Ianya harus melebihi dan menjangkau luar dari bidang tanggungjawab masing-masing, keluarga dan tugas saja.

Ramai akan mempunyai pelbagai interpretasi mengenai perjuangan dan menyatakan prioriti, kepincangan diri, ruang dan masa sebagai alasan.

Hanya yang membezakan perjuangan dari tanggungjawab tugas, keluarga dan kepentingan diri adalah dimana perginya RM1 dan adakah elemen 20 sennya.

kamarulzaman ahmad said...

Salam,

Politik tetap politik.

Adalah lebih elok Noraini pulang ke Pt Sulong tempatnya dan tempat datok. Masa 2004 dia diterjunkan di Air Hitam dan saya begitu sedih melihat nasib dia di sana. Cawangan saya yang pecah bahagian dengan Pt Sulong, yang sama-sama dari Bahagian Pt Sulong juga tidak mahu menerima Noraini. Tapi Noraini sabar dan sentiasa tersenyum.

Walaupun Noraini menggantikan Syed Hud yang mengambilalih tempat datuk pada 2004, saya rasa kerjasama semua pihak di Pt Sulong dibawah kepimpinan YB Ahmad Zahari adalah cemerlang. Politik Pt Sulong adalah lebih profesional berbanding politik Air Hitam.

Pengalaman datok do Pt Sulong adalah dihargai dan masih diperlukan. Datok, saya rasa Hud boleh pergi ke DUN di masa akan datang.

Salam hormat

peonbard said...

Dato' Ruhanie,

Saya bangga kerana masih ada orang umno yang waras seperti Dato'. Kenapa saya kata begitu? Sebab kebanyakan ahli umno telah tersampuk oleh sindrom gila... gila pangkat, gila jawatan, gila nak jadi pemimpin, gila projek, gila komisyen projek, gila "talak" (bila nama tak naik jadi calon) dan macam2 lagi. Kerana kegilaan itulah mereka tidak mampu melihat kecelaruan, kecurangan, kejahilan, kegelojohan dan kepandiran pemimpin dan "yang kemaruk nak jadi pemimpin" mereka. Mereka itu sebenarnya melihat ketempangan dan ketumpulan pimpinan sekarang dalam banyak perkara dasar dan asas, tetapi mereka "tidak nampak". Mereka masih mendokong biawak2 hidup umno itu dan sanggup mengambil risiko dicalarkan maruahnya hanya kerana sedikit habuan yang menanti/dijanjikan oleh para biawak yang didokong itu. Bagi kebanyakan mereka, biarlah diri diketawakan dan dicemuh masyarakat, asalkan poket berisi dan hidup senang. Lebih besar risiko, lebih banyak habuan menanti...berbaloi. Itu falsafah perjuangan mereka/pendokong2 biawak itu.

Kalau umno sudah bergelumang dengan segala macam wabak kronik seperti itu, kenapa harus dipelihara? Kalau ayam dan unggas yang dijangkiti wabak selsema burung perlu dihapuskan bagi menyelamatkan umat unggas lain dan manusia, kenapa umno tidak boleh mengkuburkan pemimpin2 dalam kategori biawak hidup itu untuk menyelamatkan bangsa? Kalau dalam kes selsema burung tadi, kita akan musnahkan mana2 ayam/unggas yang "tersampok" oleh wabak selsema burung, hatta ayam tambatan/ayam jaguh yang kita sayang sekalipun!! Rasanya sudah tiba masa bagi orang2 umno mengadaptasikan tindakan preventive itu di dalam parti mereka.

Salam perjuangan'
Peonbard