Wednesday, February 13, 2008

Pendirian Ruhanie, BN Dan PKR
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12

Kehadiran saya di satu majlis yang turut dihadiri sahabat saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur, malam tadi, sekali lagi menimbulkan spekulasi kononnya saya akan bertanding di kawasan Parlimen Parit Sulong, Johor, atas tiket PKR dalam PRU12. Lantaran itu, saya dihujani panggilan telefon sepanjang hari ini. Posting saya di blog ini hari juga menerima pelbagai reaksi pro dan kontra.

Oleh kerana parlimen sudah dibubarkan dan hari penamaan calon bagi PRU12 dijangka pada 21 Februari 2008, saya siarkan sepenuhnya di bawah ini satu posting saya di blog puteramaya pada 27 Disember 2007, dengan jodol Ruhanie Tanding PRU 12 Atas Tiket Parti Keadilan?, seperti berikut:

Masyarakat dalam Parlimen Parit Sulong sedang digemparkan dengan ura-ura saya (Datuk Ruhanie Ahmad) akan bertanding dalam PRU12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Berita ini menyebabkan seorang Pegawai Polis Cawangan Khas (SB) bahagian politik di Pejabat Polis Daerah Batu Pahat menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian yang muktamad.

Ia juga menyebabkann wartawan bebas, Saudara Basrah Ali, menghubungi saya untuk mebdapatkan gambaran sebenarnya.

Jawapan saya kepada kedua-duanya mudah sahaja. Saya katakan kepada mereka: “Saya seorang ahli UMNO sejak 1973. Saya pernah menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong atas tiket BN selama tiga penggal mulai 1990. Saya tidak pernah merancang untuk menyertai mana-mana parti pembangkang. Saya akan terus berada di dalam UMNO. Tetapi, saya akan berjuang bersendirian menerusi blogging untuk membantu pihak-pihak loyalis UMNO menegakkan kebenaran dan keadilan serta memulihkan imej, maruah dan martabat UMNO.”

Pendirian saya seperti di atas telah pun saya sampaikan menerusi SMS kepada Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, YB Haji Ahmad Zahri Jamil, beberapa hari yang lalu.

Ahmad Zahri menjawab: “Biasalah. Menjelang pilihan raya macam-macam spekulasi timbul. Selamat berjuang.”

Semoga kenyataan hitam putih ini akan mematikan seluruh spekulasi, desas-desus dan cakap-cakap kedai kopi mengenai diri saya di Parit Sulong ketika ini. – Ruhanie Ahmad [Posted by puteramaya at 8:54 AM, Thursday, December 27, 2007]

Saua harap posting di atas akan menghapuskan segala keraguan dan keghairahan di kalangan kedua-dua belah pihak - BN dan juga BA.

Dengan ini, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat majujaya kepada seluruh sahabat saya yang akan bertanding di pihak BN dan BA di Parit Sulong kali ini. Tetapi, oleh kerana senario siasah negara ketika ini kelihatan agak luar biasa, gunakanlah sepenuh kebijaksanaan sewaktu anda melaksanakan kuasa demokrasi sewaktu membuang undi. Salam takzim. – Ruhanie Ahmad

10 comments:

msmuri said...

Salam tok KK...
Saya cuma nak tanya, MB johor tukar orang ke? Satu lagi sapa agaknya ganti mantan AP Labis Dr. Chua?

Hovidpure said...

Salam DRA,

Saya hormati pendirian Dato'. Satu pendirian yang melambangkan kematangan politik berprinsip.

Cuma satu harapan saya.
Untuk sekali ini bantulah individu bukan parti. Individu berhemah yang menjadi wakil akan insyaAllah memartabatkan perjuangan luhur.

Salam ikhlas,
Sofi.

cakapsiang said...

Saya hormati pendirian Dato' dan ingin saya tegaskan di sini yang Dato' tidak keseorangan dalam perjuangan ikhlas ini. Sama-sama kita jayakannya.

onn said...

Walaupun Dato' tak bertanding.... Dato' teruskanlah usaha Dato' untuk berkata benar...!!!!

Kerana pesanan Guru....

Sekecil-kecil Jihad....adalah... bercakap benar kepada Pemimpin..!!!

Pesanan kepada ahli UMNO yang lain jangan jadikan diri.... sebagai Ayam Daging ditengah jalanraya....

Pandai mentertawa orang lain tapi tak tahu diri akan dilenyek lumat ditengah jalanraya...

Unknown said...

saudara,
bila dah ada kuasa untuk menegur dan menasihati rakan dalam umno tu, lakukan dengan sebaiknya untuk memulihara atau membuang segala kekotoran dan kebusukan dlam umno. setiap perkara yang baik itu masukkan agar jadi indah, tapi BOLEH KAH UMNO DIPERBAIKI SETIAP KESILAPAN DAN KEBURUKAN YANG TELAH SEBATI ITU?
DAN SEKIRANYA PEMIMPIN TERTINGGI ITU TAK MAHU PERUBAHAN KEPADA YANG LEBIH BAIK MAKA WAJIB KITA TINGGALKAN KERANA TIDAK MENJADI HARAM HUKUMNYA KITA TINGGALKAN PARTI UMNO.

pak tam said...

salam dato'

lama x jumpa kt bp.

Kuasa Pengguna said...

Salam....
Ini bukan soal siapa Tuah dan siapa Jebat. Tapi ini adalah soal yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Terus terang saya katakan seandainya PAS sendiri lari daripada perjuangannya dan telah bermacam-macam cara yang digunakan untuk menyedarkan para pimpinannya, saya juga tidak teragak-agak untuk masuk ke medan perang (PRU) walaupun hanya bertanding di atas tiket bebas. Ini konteks hidup dan matinya bangsa kita. Kita di medan peperangan. Di medan peperangan tidak akan ada kata dua dan pilihan selain menang atau syahid. Lihat sahaja perjuangan tokoh terdahulu seperti Dato' Bahaman, memang British itu musuh yang jelas, tapi orang yang menyokong British juga musuh yang jelas dan lebih jelas lagi orang yang mengadaikan maruah bangsanya. Amuk si Jebat tidaklah hebat kerana amuknya bukan digelanggang.

Kuasa Pengguna said...

Salam....
Ini bukan soal siapa Tuah dan siapa Jebat. Tapi ini adalah soal yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Terus terang saya katakan seandainya PAS sendiri lari daripada perjuangannya dan telah bermacam-macam cara yang digunakan untuk menyedarkan para pimpinannya, saya juga tidak teragak-agak untuk masuk ke medan perang (PRU) walaupun hanya bertanding di atas tiket bebas. Ini konteks hidup dan matinya bangsa kita. Kita di medan peperangan. Di medan peperangan tidak akan ada kata dua dan pilihan selain menang atau syahid. Lihat sahaja perjuangan tokoh terdahulu seperti Dato' Bahaman, memang British itu musuh yang jelas, tapi orang yang menyokong British juga musuh yang jelas dan lebih jelas lagi orang yang mengadaikan maruah bangsanya. Amuk si Jebat tidaklah hebat kerana amuknya bukan digelanggang.

mdz said...

Salam DRA,

Ramai berdukacita dengan kepimpinan negara sekarang yang. Saya bangga dengan Datuk yang berjuang demi kebenaran. Teruskan usaha Datuk yang berani bercakap benar dalam memartabatkan perjuangan bangsa!

Ikhlas
MDZ

kudakepang said...

Saudara Syakas, Sofi, Cakapsiang, Onn, Dasuki, Pak Tam, Jebat, MDZ. Terima kasih.

Kali ini saya minta maaf tak termampu untuk memberikan repons secara personal kepada setiap seorang.

Untuk rekod, saya memang sudah dirisik untuk pulang atas tiket BN. Saya memohon untuk tidak memenuhi risikan itu. Saya serik dan saya kecewa dengan kepimpinan hari ini atas prinsip dan falsafah perjuangannya. Saya tidak pernah rasa terbuang kerana tidak dipilih pada 2004. Saya jadi begitu kerana khidmat saya adalah atas kehendak Allah. Tetapi saya terus berjuang sendirian menerusi blogs dan bangga dapat berinteraksi dengan sahabat-sahabat seperti anda, biar pelbagai rupa sandaran poltik kita.

Saya juga turut digalakkan bertanding atas tiket BA. Petang tadi pun masih ada lagi yang berusaha ke arah ini. Saya katakan dengan baik, izinkanlah saya meneruskan perjuangan saya secara siber.

Pokok persoalan asas dalam PRU12 adalah mengenai MELAYU/ISLAM. Saya bimbang akan hakikat ini kerana kepimpinan mutakhir nampaknya lebih condong ke SELATAN. Puak SELATAN ini kita kenal siapa dia. Satelit USA, sahabat karib Israel, bermuka-muka, cunning, dan paling penting sekali, sedang bertungkuslumus membantu sesetengah kuasa neoimperialis tertentu untuk kembali bertapak ke Asia Tenggara.

Kalau apa yang diinfokan kepada saya menerusi siri The Toyol Code dalam blog ini 2006 dan kini saya bukukan untuk bacaan umum, jadi kenyatan, maka PRU12 akan jadi milestone kepada cengkaman puak satelit USA/ISRAEL ini ke atas tokoh-tokoh tertentu dalam negara kita. Mereka tidak dapat kuasai kita secara kehadiran ketenteraan, mereka tawan kita menerusi kongkongan minda dan kesetiaan.

Saya lebih melihat ke arah ini kerana saya banyak membaca buku-buku mengenainya. Setelah saya analisa, saya dapati MALAYSIA ADALAH AMAT STRATEGIK DALAM PERCATURAN GEOPOLITIK MUTAKHIR KERANA MALAYSIA BERSAMA INDONESIA ADALAH NEGARA PESISIR UTAMA YANG MENGUASAI SELAT MELAKA.

Tak perlu saya huraikan soal ini hari ini. Tetapi soal inilah yang menyebabkan saya bimbang kalau rejim mutakhir terus berkuasa. Orang akan kata saya terlalu obsess. Tak apa, katalah. Tapi politik kita hari ini sedang diheret ke arah mendukung dan menyokong agenda yang memusuhi ISLAM dan mengkhianati Melayu.

Cuba sorot kembali motif utama imperialis purba dari barat menalukki Melaka dan Nusantara. Hari ini neoimperialis barat jugalah yang sedang berusaha mencarik dan merobekkan kedamaian, kebijaksanaan dan kewarasan sesetengah pemimpin kita, tua dan muda.

Neoimperialis mahu menonjolkan kelompok lembu cocok hidung, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. I may sound emotional, but, yes I am.

Oleh kerana dah panjang sangat cetusan ini, biarkan saya noktahkan dulu dan sambung bicara di lain episod. Tapi, jangan lupa, gunakanlah pertimbangan dan kebijaksanaan kita sewaktu mengundi kelak.

Salam takzim dan selamat berjuang dari saya - Ruhanie Ahmad