Wednesday, February 13, 2008

Isu Pembubaran Parlimen
Anwar Ibrahim dan PKR

12 Februari 2008: Hari ini banyak pihak berteka-teki: benarkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan bagi pembubaran parlimen pada 13 Februari 2008? Benarkah esok, Rabu, merupakan hari Mesyuarat Kabinet yang terakhir bagi kerajaan Abdullah? Betulkah PRU12 akan dijalankan dalam seminggu dua lagi?

Jawapan kepada seluruh teka-teki di atas adalah: Abdullah belum mengadap Agong. Esok bukan Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah. PRU12 belum pasti diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Mana saya perolehi jawapan di atas? Daripada orang dalam. Siapa mereka? Itu rahsia kerana etika kewartawanan mengizinkan saya melindungi sumber-sumber maklumat saya. Bolehkah info ini dipercayai? Kalau nak percaya, silakan. Kalau tak percaya, apa boleh buat!

Sebagai maklumat tambahan, sumber-sumber saya menyatakan bahawa Mesyuarat Kabinet terakhir bagi Abdullah adalah pada 27 Februari 2008. Pada 26 Februari 2008, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Kalau begitu, tidak mungkinkah parlimen akan dibubarkan pada 1 Mac 2008, hari penamaan calon pada 13 Mac 2008 dan pembuangan undi pada 22 Mac 2008? Kesemua tarikh ini mati dengan angka 4. 1 Mac adalah 1+3=4. 13 Mac adalah 1+3=4. 22 Mac adalah 2+2=4.

Saya ramalkan tarikh di atas kerana kata orang, Abdullah sangat menggemari angka 4. Tapi, jika Abdullah bukannya kaki nombor, ini bermakna parlimen mungkin dibubarkan pada atau selepas 27 Februari 2008. Dan, ini juga bermakna bahawa seluruh komuniti politik tanah air akan terus berteka-teki mengenai tarikh PRU12 yang sebenarnya.

Dalam kesibukan komuniti politik berteka-teki seperti di atas, malam ini saya ketemu sahabat dan bos lama saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, YB Datin Seri Wan Azizah Ismail, di satu majlis deklamasi puisi anjuran Prihatin Malaysia atau PRIMA, di kediaman Tan Sri Khalid Ibrahim, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kami yang duduk bersebelahan, hanya terluang waktu beberapa minit sahaja untuk bertukar-tukar maklumat siasah. Sebaliknya, Anwar memperli saya kerana kononnya mengambil sikap “atas pagar” dan saya pula mengucapkan “selamat berjuang” kepada beliau yang akan memimpin Barisan Alternatif dalam PRU12.

Dalam pada itu, pengacara majlis memperkenalkan saya sebagai mantan Ahli Parlimen Parit Sulong. Saya pun berkata: “Saya memang mantan AP Parit Sulong. Tetapi, kehadiran saya dalam satu majlis bersama Anwar bukan untuk mengesahkan ura-ura kononnya saya akan bertanding atas tiket PKR bagi parlimen yang sama dalam PRU12.”

Para hadirin yang hampir 200 orang, majoritinya warga PKR, karyawan, cendikiawan dan warga korporat, ketawa berderai mendengar kata-kata tersebut.

Apa pun, sama ada benar atau tidak saya akan bertanding atas tiket PKR, Anwar tetap sahabat yang saya kenali sejak 1969 - murah dengan senyuman, karismatik, berjiwa besar dan masih lagi penuh dengan api perjuangan yang terus membara.

Kepada Anwar, saya sampaikan menerusi blog ini satu mesej daripada seorang sahabat: “BN goyang di lima negeri. BA mungkin boleh sapu BN kalau ketengahkan calon yang secocok.”

Saya tidak tahu sama ada mesej itu benar atau propaganda semata-mata. Bagaimanapun, saya ucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya! – Ruhanie Ahmad

5 comments:

Hovidpure said...

Salam Dato'

Andai Dato' bertanding di Parit Sulong atas tiket Keadilan, saya akan hantar 20 mahasiswa/i untuk bantu kempen Dato', (Jika perlu).

Salam Perjuangan.

angin said...

takde rasa serba salah ker jika dato' bertanding atas tiket PKR..bukankah selama ini dato' sememangnya ahli UMNO..bekas MP dari UMNO lagi...anak johor yang rasanya dulu amat kencang dengan semangat UMNO...??
bukankah dato' dan ahli-ahli lain ingin mengibarkan bendera putih...hanya disebabkan PAKLAH yang dibayangi oleh KJ....
apa yang ditakutkan dan dibaculkan sangat dengan KJ....
satu pertanyaan buat Dato' dan rakan2 UMNO yang rasa sudah tidak menyokong UMNO disebabkan oleh individu bernama KHAIRY JAMALUDIN??
Apakah respon dato' dan rakan2 lain terhadap kepimpinan UMNO sekiranya KJ berundur dari arena politik khususnya dari UMNO???
adakah akan kembali menyokong umno atau akan tetap pegang prinsip masing2 seperti hari ni...??
sekiranya kembali menyokong umno..bukan ibarat LALANG yang ikut arah angin....

fikir2kan...
jgn disebabkan oleh beberapa individu dalam UMNO yang dato' dna rakan2 tidak suka....sanggup menikam belakang UMNO...sebaliknya...saya sarankan agar dato' dan rakan2 kembali aktif dalam UMNO dan buat pembersihan dari dalam...

buat ape melihat UMNO hancur....tatkala amnya tidak ketahui kestabilan parti pembangkang....

renung2kan ....

onn said...

Saya bersama Dato' malam tadi. Saya pun bekas AJK Bhg Umno yg letak jawatan tahun 1998. Dato' bukan menikam belakang UMNO. Pengalaman luas Dato' mampu menilai yang mana kaca dan intan.

Sekurang-kurangnya Dato' tampil sebagai Pendekar Jawa yang ada jantan.

Tulisan Dato' penuh nasihat dan teguran. Ramai ahli UMNO tak mampu bertindak seperti Dato'.

Teruskan perjuangan. Semoga Allah memberi kekuatan pada Dato'.

Amin.

Berita dari gunung said...

Anwar hanya perlu jaga Permatang Pauh supaya yang dikendung tidak keciciran.

kudakepang said...

Sofi, Angin, Onn, Berita, terima kasih.

Rasanya elok untuk saya hanya respons kepada ANGIN. Soal tikam dari belakang dan KJ.

Satu: Saya tak akan bertanding apa-apa.

Dua: Dalam perjuangan ada yang dikatakan one step backward in order to leap two steps forward.

Tiga: Istilah tikam belakang adalah subjektif dan sering disalahgunakan untuk memberikan gambaran negatif terhadap insan yang berani menyuarakan kebenaran demi majoriti. Dalam konteks diri saya, majoritinya adalah Melayu dan Islam.

Empat: Kenapakah tak dilihat saya sebagai lilin yang membakar diri untuk memberikan cahaya kepada yang lain? Agak keterlaluan untuk saya menyifatkan diri saya sebegitu!!

Lima: Tetapi, apa yang timbul soal tikam belakang ni? Saya jadi blogger tanpa topeng. Saya ahli UMNO, saya orang Melayu, saya rakyat Malaysia. Hak saya ada pada semua tahap ini. Seperti anda juga!!

Enam: KJ. Siapa KJ? Adakah saya seolah-olah membenci KJ kerana dia menantu Abdullah? Bukankah saya kurang serasi dengan gelagatnya kerana persepsi umum mengatakan dialah yang menjahanamkan Abdullah - Mr Clean???

Tujuh: Adakah anda juga akan turut menyokonnya perilakunya seperti sokong membawa rebah kepada pemimpin utama kita?

Lapan: Saya pasti ramai orang UMNO seperti saya. Bila Abdullah sanggup mengurangkan karenah KJ mungkin beliau akan menerima lebih banya pujian, kalau itulah yang dikatakan sokongan.

Sembilan: Sebelum anda kata saya umpama LALANG, kaji rekod saya dulu. Di mana saya sewaktu wujud S-46? Di mana saya sewaktu Anwar tubuhkan PKR? Di mana saya hari ini? LALANG????

Sepuluh: Kenapa gagal dilihat secara positif, umpamanya saya seperti pepohon nyior yang meliut lentok ikut tiupan angin supaya pohon nyior itu sendiri tidak akan tumbang diterjah ribut?? BOLEH???

Sebelas: Anda gelarkan diri anda ANGIN. Seharusnya anda ketahui falsafah di sebalik angin. Kalau sepoi-sepoi bahasa sungguh menyegarkan, kalau ribut menghalau dan memindahkan kelompok mega supaya hujan tidak turun di kawasan kita. Kalau tidak ada angin takkan pohon bergoyang. Kalau tak ada angin tak ada transmigrasi di kawasan nusantara dan lain-lainnya.

Duabelas: Maaf ya ANGIN. Saya tak marah anda kata saya apa pun. Saya dah tua. Tapi, inilah bezanya umur, ilmu dan pengalaman hidup!!! Yes Khairy berilmu, tapi cukupkah pengalaman beliau untuk menidakkan sesetengah pihak secara angkuh dan sombong?? To me, it makes no difference!! Saya akan perhati dan saya akan lihat!! Mudah-mudahan beliau sedar siapa dia? Insya Allah!!

Salam takzim - Ruhanie Ahmad