Monday, February 26, 2007

Wilayah Pembangunan Iskandar
Orang Johor Jangan Cepat Berangan …

Sebagai anak Johor, aku sepatutnya bangga dengan langkah kerajaan untuk menjadilan Johor destinasi utama golongan profesional dan usahawan tempatan untuk bekerja dan bermastautin selepas Kuala Lumpur pada masa depan melalui perancangan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Hakikatnya, aku tidak gembira dengan langkah ini ….. Mengapa?

Dalam Berita Harian (MS 5, 25 Februari 2007) Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad berkata, penghijrahan golongan profesional, bijak pandai dan usahawan ke WPI, seperti yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini, kunci penentu kejayaan projek kerajaan menjadikannya sebagai bandar raya metropolis kedua di negara ini.

Tambahnya, berdasarkan perancangan dalam Pelan Induk Pembangunan WPI, ia bertujuan memberi pilihan kepada rakyat tempatan dan warga asing untuk berhijrah serta mencari peluang pekerjaan, sekaligus mengurangkan peranan dan keutamaan Kuala Lumpur sebagai bandar raya metropolis tunggal di Malaysia.

Begitu juga dengan Rencana dalam Utusan Malaysia (MS9, 25 Februari 2007) yang bertajuk Jangan Takut Pada Singapura yang mewawancara Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, yang juga merupakan Panel Penasihat Lembaga WPI, yang melihat pembukaan WPI yang bersaiz dua kali ganda daripada Singapura di Johor, akan dapat membawa kekayaan kepada negara dan memberikan faedah kepada rakyatnya.

Itulah pandangan, dan boleh juga dikatakan nasihat, oleh pemimpin-pemimpin yang memang berasal dari Johor. Sejauh mana kebenarannya bahawa kedaulatan negara, khususnya orang Melayu di Johor, akan terus dipelihara atau dijaga oleh pemimpin-pemimpin kita pada hari ini?

Bagi orang Johor, jangan cepat berangan… hakikatnya tidak, orang Johor sebenarnya takut pada pembangunan WPI ini. Sebagai contoh, lihat sahaja kepada pencerobohan tanah orang Melayu di Bakar Batu, (Dahulunya Kampung Bakar Batu).

Ini sebagai contoh sahaja, yang bukan sahaja mahu dilihat sebagai contoh, tetapi dinilai dengan mata dan akal pemikiran yang waras.

Sanggupkah kita melihat orang-orang Melayu di Bakar Batu dipaksa menjualkan tanah mereka oleh kerajaan negeri dengan nilai antara RM 20-30 sekaki persegi sedangkan permintaan rakyat Bakar Batu ialah antara RM 200- 230 sekaki persegi.

Dalam hal ini, bukanlah rakyat Bakar Batu hendak menekan kerajaan negeri dengan permintaan yang bukan-bukan, yang tidak masuk akal, tetapi biarlah penawaran yang ditawarkan itu berpadanan dengan kawasan Bakar Batu sendiri yang boleh dikatakan TANAH ORANG MELAYU DI TENGAH BANDAR JOHOR BAHRU.

Aku luahkan semua ini, bukanlah kerana aku membenci kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang berkepentingan. Tetapi, sebagai anak Kampung Bakar Batu, aku berhak berkata begini, kerana mulut-mulut orang kampung sendiri telah ditutup, ditekan agar tidak berkata apa-apa.

Kepada siapa lagi yang hendak kami mengadu? Kami orang Bakar Batu sentiasa memberikan sokongan penuh kepada UMNO, kepada BN dan kepada kerajaan negeri dan pusat yang mentadbir kami.

Tapi kami juga mahu hak kami, jangan kera di hutan disusukan, anak dalam buaian biarkan. Jangan biarkan orang Singapura dibiarkan bermaharajalela di Johor sedangkan kami orang-orang Melayu ditekan sampai mati.

Kalaulah benar jangan takut pada Singapura, kenapa Jambatan Yang Bengkok juga terpaksa dibatalkan? Tepuk dada, tanya selera?

posted by anakledang9506 @ Sunday, February 25, 2007.
http://www.sahabatgunung9506.blogspot.com

2 comments:

tunku said...

singapore telah pun membeli kalau tak salah 25 ekar dalam fasa pertama. tunggu dan lihat sajalah berapa banyak tanah yg akan dibeli selepas ini. lama2 WPI dimiliki oleh org asing, kita terlopong.

lamandau said...

Pembelian tanah oleh rakyat S'pore bukan perkara baru, tunku. Sebahagian besar tanah dan taman perumahan di sekitar selatan Johor telah menjadi kepunyaan rakyat S'pore semenjak Osman Saat jadi MB !. Kalau kita nak meyewa rumah di Taman Pelangi, contohnya, maka kita terpaksa ke S'pore untuk berunding. Saya difahamkan sekitar tahun 1991/92, kawasan sekitar Jambatan kedua (tg.Kupang dan sekitarnya) menjadi rebutan orang2 S'pore (majoritinya berbangsa cina) Kalau maklumat yang saya dapat tu betul, sekitar 400 lots telah bertukar tangan kepada rakyat S'pore ! Melayu mana yang tidak mahu jual kalau tanah paya pun RM50,000 sa ekar ! Kalau Tak percaya semak di pejabat tanah JB!

Apatah lagi dengan kebebasan memiliki tanah diWPI, maka tak hairanlah dalam masa yang singkat 25 ekar telah di"snapped-up" degan begitu pantas! Saya melihat projek WPI ini hanya satu usaha untuk 'menghalalkan' orang2 S'pore membeli/memiliki tanah di selatan Johor!
Saya mempunyai analisis agak berbeza dalam hal ini Datuk. Kita harus membuat pemantauan dalam sebulan dua ini. Kalau penjualan tanah dan hartanah lain berjalan rancak dan mendapat sambutan luar biasa dari rakyat S'pore, maka Kerajaan S'pore sudah tentu merestui penglibatan rakyatnya dalam pembangunan WPI ini. Degan lain perkataan S'pore menggunakan kesempatan ini untuk'menakluki' Malaysia melalui Selatan Johor! Kalau keadaan sebaliknya, maka sudah tentu Kerajaan S'pore telah mendirikan halangan kerana pembangunan WPI dan SJER akan menggugat S'pore dari segi ekonomi dan keselamatan. S'pore don't believe in the policy of prosper thy neighbour saperti yang dilaung2kan oleh TDM!
Sama2 kita tunggu. Sementara itu Datuk, being a Johorean, pl check the above informations through your toyol in JB! Salam