Saturday, February 17, 2007

Kedudukan Ekonomi Stabil
Tidak Bermakna
Pilihan Raya Perlu Awal

KUALA KRAI, 17 Feb (Bernama) -- Kedudukan ekonomi yang kukuh sekarang bukan bermakna kerajaan perlu mengadakan pilihan raya lebih awal dari tarikh yang ditetapkan kerana ia menandakan keadaan negara semakin stabil, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

"Kalau kadang-kadang ada juga pilihan raya tiga tahun sekali tetapi sudah menjadi kebiasaan pilihan raya dibuat empat tahun sekali," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan pakar ekonomi bahawa sekarang adalah masanya kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum berikutan kedudukan ekonomi negara yang stabil pada masa ini.

Semalam, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Emeritus Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata kedudukan ekonomi pada masa ini sangat stabil setelah semua asas ekonomi domestik menunjukkan petanda pemulihan positif.

Mustapa berkata pada kebiasaannya, pilihan raya di negara ini diadakan setiap lebih kurang empat tahun sekali dan perkara itu diamalkan sejak dahulu oleh kerajaan walaupun keadaan ekonomi stabil atau sebaliknya.

Beliau berpendapat untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat atau masa sekarang yang baru mencecah tiga tahun jarang-jarang berlaku walaupun keadaan ekonomi negara teguh.

"Bagaimanapun terserah kepada kerajaan pusat untuk menentukan bila pilihan raya itu hendak diadakan," katanya.

Mustapa berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) Kelantan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang mungkin diadakan dalam masa terdekat dengan melantik kumpulan 10 dan petugas pilihan raya bagi memantau pengundi di kawasan peti undi masing-masing.

BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=247513

1 comment:

lamandau said...

Nampaknya letih juga Najib nak membuat kenyataan mempertahankan kenyataan bosnya. Dalam RTM1 malam tadi, nampak benar ketidakselsaan Najib ketika memberi komentar kenyataan bosnya sehari sebelum itu. Tercunggap juga nampaknya Najib.
Sudahlah Datuk, ini merupakan orchestrated effort untuk mewujudkan iklim yang selesa bagi AAB membuat pengistiharan setelah mendapat inspirasi !