Monday, February 12, 2007

Peruntukan RMK9
Sumber Kuasa PM
A Kadir Jasin

HAKIKAT bahawa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) diuar-uarkan sebagai paksi Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sudah diakui umum.

Tetapi banyak yang masih berasa hairan mengapa ia begitu hebat digembar-gemburkan oleh jentera maklumat dan propaganda sedangkan rancangan pembangunan lima tahun bukanlah sesuatu yang baru bagi Malaysia.

Sampai hari ini banyak yang masih tertanya-tanya mengapa publisiti mengenainya begitu hebat berbanding rancangan lima tahun sebelum ini. Jawapannya terletak kepada cara rancangan itu disusun dan dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Ia didakwa sebagai manifestasi kepekaan dan komitmen Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kehendak dan aspirasi rakyat jelata.

Apa yang mungkin tidak sedari umum ialah bagaimana RMK9 direka bentuk sebegitu rupa untuk memberikan Perdana Menteri kuasa politik, pentadbiran dan kewangan yang tiada tolok bandingnya.

Ini adalah kerana hakikat ini “diselindungkan” (camouflage) sebegitu rupa dalam bentuk statistik sehingga terlepas daripada pandangan banyak penganalisis dan pemerhati.

[Sebelum saya meneruskan analisis ini, saya meminta sangat-sangat kepada pembahas agar tidak hilang fikiran sehingga membuat kenyataan-kenyataan yang kesat dan menghina, kasar dan tidak bersopan santun, menghasut dan menabur kebencian, memfitnah dan memaki hamun. Tidak perlu diingatkan lagi bahawa gerak-geri blogger dan pembahas blog sedang diperhatikan.]

Mula-mula mari kita pertimbangkan fakta-fakta berikut:-

1. Perbelanjaan pembangunan RMK8 (2001-2005) adalah RM170 bilion;

2. Peruntukan pembangunan RMK9 (2006-2010) adalah RM200 bilion;

3. Pertambahan peruntukan pembangunan RMK9 adalah RM30 bilion berbanding RMK8;

4. Selain peruntukan kerajaan, RMK9 memperkenalkan Inisiatif Pembiayaan Swasta (IPS) (Private Financing Initiative) yang dianggarkan berjumlah RM20 bilion;

5. Termasuk IPS, peruntukan pembangunan RMK9 berjumlah RM220 bilion.

Dalam RMK8, Jabatan Perdana Menteri di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad membelanjakan RM7.3 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan.

Dalam tempoh itu, Dr Mahathir juga menjadi Menteri Kewangan. Kementerian Kewangan membelanjakan RM13.5 bilion atau 8.0 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

Jadi jumlah besar perbelanjaan yang terletak di bawah kawalan terus Dr Mahathir dalam RMK8 adalah RM20.8 bilion.

Sekarang kita lihat pula peruntukan pembangunan RMK9. JPM di bawah Abdullah diperuntukkan RM26.5 bilion atau 13.2 peratus daripada jumlah besar peruntukan. Dicampurkan RM3.2 bilion IPS, peruntukan pembangunan JPM berjumlah RM29.7 bilion.

Tetapi Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.Kementerian Kewangan mendapat peruntukan terus sebanyak RM9 bilion dan RM865 juta IPS menjadikannya RM9.9 bilion. Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pula mendapat RM5 bilion berbanding RM3 bilion di bawah RMK8 campur RM2 bilion IPS menjadikan jumlah besarnya RM7 bilion.

Dalam bahasa yang mudah, manakala Dr Mahathir yang mengawal perbelanjaan sebanyak RM20.8 bilion di bawah RMK8, Abdullah berhak penuh ke atas peruntukan sebanyak RM46.6 bilion di bawah RMK9.

Ini adalah ciri dan manifestasi kepada apa yang dilabelkan oleh para pengulas dan penganalisis antarabangsa sebagai “political economy" atau ekonomi yang berasaskan politik.

Jumlah peruntukan yang begitu besar sudah pasti boleh diterjemahkan kepada kuasa politik yang besar juga.

Inilah antara ciri yang menyebabkan banyak pihak yang arif mengenai “political economy” menyifatkan Abdullah sebagai Perdana Menteri yang “paling berkuasa” kerana dia menguasai peruntukan kewangan yang sangat besar.Serentak itu, peruntukan pembangunan kepada kementerian-kementerian besar seperti Pelajaran, Pertahanan, Kerja Raya dan Pengangkutan berkurangan.

Peruntukan pelajaran dan pendidikan tinggi jatuh daripada RM37.7 bilion kepada RM33 bilion, pertahanan daripada RM18.6 bilion kepada RM14.5 bilion, kerja raya daripada RM19.3 bilion kepada RM18.6 bilion dan pengangkutan daripada RM9.7 bilion kepada RM8.2 bilion.

Oleh kerana IPS adalah unsur baru belanjawan dan belum teruji maka adalah lebih baik ia tidak dikira bersama peruntukan yang datang terus dari kerajaan. Kejayaan inisiatif ini bergantung besar kepada keyakinan pelabur swasta.

Kerajaan mengharapkan pelaburan IPS yang besar di dalam sektor pendidikan - RM6.2 bilion di bawah Kementerian Pelajaran dan RM1.5 bilion Kementerian Pengajian Tinggi. Ini masuk akal kerana pendidikan swasta dan separuh kerajaan kini semakin berkembang.

Tetapi bagaimana kerajaan bercadang menjana IPS sebanyak RM1.2 bilion untuk pertahanan dan RM2 bilion untuk keselamatan dalam negeri RM2 bilion agak menghairankan. Ada risikonya jika pihak swasta diberi keistimewaan mengemukakan inisitif yang membabitkan pertahanan dan keselamatan negara.

Seperkara lagi ialah walaupun pertanian dan sektor luar bandar diuar-uarkan sebagai matlamat utama perancangan ekonomi Era Abdullah, namun jika dilihat dari aspek peruntukan mengikut negeri, bukan sahaja negeri-negeri maju terus mendapat peruntukan yang besar malah tambahan peruntukannya juga besar.

Wilayah Persekutuan misalnya memperoleh peruntukan (tidak termasuk IPS) sebanyak RM31 bilion atau RM10.4 bilion lebih besar daripada RMK8.

Selangor pula mendapat tambahan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, Pulau Pinang RM1.3 bilion manakala Perak dan Johor masing-masing RM1 bilion.

Di kalangan negeri miskin yang majoriti penduduknya Bumiputera, Kelantan mendapat tambahan RM3 bilion, Terengganu RM2.7 bilion, Sabah RM2.5 bilion, Pahang RM2.4 bilion dan Sarawak RM500 juta.

Tetapi Kedah hanya mendapat peruntukan tambahan RM207 juta, Negeri Sembilan RM230 juta dan Melaka RM144 juta. Hatta Perlis yang kecil itu pun mendapat tambahan lebih besar sebanyak RM402 juta.

Anehnya, manakala negeri maju seperti Pulau Pinang diperlukan menjana hanya RM494 juta IPS, negeri-negeri miskin seperti Kedah diperlukan menjana RM1 bilion, Kelantan RM976 juta, Sarawak RM1.7 bilion, Terengganu RM1.4 bilion, Sabah RM1.3 bilion dan Pahang 1.2 bilion.

Daripada analisis ini jelas bahawa Abdullah mengawal tabung rasmi yang sangat besar -- RM46.6 bilion -- yang menjadikan beliau Perdana Menteri yang sangat berkuasa dari aspek kewangan.

Kuasa kewangan yang besar ini semestinyalah menjadi ciri penting kepada penentuan kuasa politik dan kedudukan Abdullah, khasnya pada pilihan raya umum dan pemilihan Umno yang akan datang.

Ia juga berkait rapat dengan pencapaian RMK9 khasnya dan ekonomi amnya jika peruntukan raksasa ini tidak digunakan secara cekap, berkesan, berhemah, adil dan beramanah.

1 comment:

Mika Angel-0 said...

Datuk dan Dato'

Tak kah cantik kepala otak nor mat yakop? Orang mahathir, chek-oi.

"Tetapi bagaimana kerajaan bercadang menjana IPS sebanyak RM1.2 bilion untuk pertahanan dan RM2 bilion untuk keselamatan dalam negeri RM2 bilion agak menghairankan. Ada risikonya jika pihak swasta diberi keistimewaan mengemukakan inisitif yang membabitkan pertahanan dan keselamatan negara." - is this an educated personal opinion, of that dato', Datuk? Apa punya hawau.

IPS is a good issue to debate, YB.

"Anehnya, manakala negeri maju seperti Pulau Pinang diperlukan menjana hanya RM494 juta IPS, negeri-negeri miskin seperti Kedah diperlukan menjana RM1 bilion, Kelantan RM976 juta, Sarawak RM1.7 bilion, Terengganu RM1.4 bilion, Sabah RM1.3 bilion dan Pahang 1.2 bilion." - Aneh? Yes, I have always thot that progress comes free-of-charge.

Ahh, target practice using blanks. I see.

Kalau lah begini maka biarkan PM Abdullah carry on with his duties. Abdullah bin Hj Ahmad Badawi loklaq sintaq - comphrende, kaldai akaq?

Kadir, do better next time: YAAAAAAWWNNNN!!!! (just an ex-itm grad's stupid opinion, Ron)

ps ciput turnout in JB was a small shock to a doktuur.