Tuesday, February 20, 2007

Tahniah Dan Takziah
Buat Perdana Menteri


Kali ini saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad, di atas rekod cemerlang, gemilang dan terbilangnya dalam memimpin negara tercinta ini.

Senarai ucapan tahniah dan syabas daripada saya adalah seperti berikut:

Tahniah. Indeks Komposit pasaran saham di BSKL mampu melonjak ke tahap 1,350.

Tahniah. Rekod perdagangan Malaysia mencecah 1 trillion ringgit.

Tahniah. Indeks keselesaan dan kebahagian hidup rakyat Malaysia kian meningkat.

Membaca

Tahniah. Perdana Menteri Malaysia hari ini adalah seorang yang gemar membaca. Harap-harap beliau juga celik ICT dan internet supaya dapat baca seluruh postings dalam blog tempatan serta komen-komennya sekali.

Tahniah. Kini gambar Perdana Menteri bersama pelakon Michelle Yeoh sudah tersebar luas di serata cerok desa dan kota. Inilah contoh pembesar negara di era Islam Hadhari.

Tahniah. Di zaman kepimpinan mutakhir ini ada seorang warga korporat yang berjaya membangunkan satu produk sukan dan pelancongan – pesta monsoon cup di Terengganu – dengan peruntukan daripada tabung wang ehsan.

Tahniah. Kepimpinan hari ini mewujudkan SJER di Johor. Mudah-mudahan selepas ini banyak lagi free access zones di buka di Johor. Ini akan menjadikan warga kiasu jadi lebih naik lemak dan para yahudi juga masuk ke Johor Darul Takzim tanpa sebarang passport.

Tahniah. Khazanah Nasional berjaya membeli sebuah ‘belon’ [kapalterbang] baru untuk kegunaan pembesar negara. Mog-moga kapalterbang berharga $200 juta itu menjadikan indeks keselesaan pembesar negara kita berlipat kali ganda kenaikannya.

Monorel

Tahniah. Kerajaan hari ini memperuntukkan sekian juta wang, bermula dengan $150 juta, untuk membangunkan projek monorel di Pulau Pinang. Mudah-mudahan selepas ini nilai tanah di Georgetown akan melambong-lambong harganya. Mudahan-mudahan selepas ini orang Kepala Batas juga akan minta projek yang sama supaya nilai tanah mereka sama kadarnya dengan tanah di Georgetown.

Tahniah. Hari ini jari jemari investment arm kerajaan pulau sekangkang kera dikatakan sudah mula aktif dalam banyak sektor di Malaysia. Moga-moga, makin lama, makin luas lagilah peranan jari jemari ini dalam memakmurkan negara ini.

Tahniah. Tahniah. Tahniah dan tahniah. Kesemua yang tersenarai di atas membuktikan bahawa Perdana Menteri sekarang tidak lembik, tidak dolak-dalik. Sebaliknya, beliau punya gagasan serta wawasan yang luas.

Syukur Alhamdulillah. Rakyat Malaysia kini berdoa semoga kesemuanya di atas adalah benar belaka. Mudah-mudahan kesemuanya tidak indah khabar dari rupa. Harap-harap, begitulah hakikatnya.

Tetapi, saya juga ada senarai ucapan takziah khusus untuk Datuk Seri Abdullah. Takziah ini adalah seperti berikut:

Jambatan

Takziah. Di zaman kepimpinan mutakhir ini, projek Jambatan Indah untuk menggantikan Tambak Johor, telah dibatalkan.

Akibatnya, hari-hari keputusan ini dikutuk rakyat jelata. Akibatnya, keputusan itu mencipta satu persepsi bahawa kedaulatan negara sudah tergadai. Akibatnya, kini wujud negara jiran kita yang nampaknya kian naik kepala!

Takziah. Di zaman kepimpinan hari ini, ada seorang anak muda yang jadi sangat-sangat berkuasa. Anak muda ini pula ada konco-konconya yang kini berleluasa.

Akibatnya, hari-hari berbakul-bakul orang menyumpah seranah. Akibatnya, banyak pihak kini meluat dan menyampah.

Takziah. Harga minyak yang naik dan kian naik, kini menyebabkan rakyat jadi susah berpanjangan.

Makanan

Akibatnya, harga barangan consumer naik. Harga makanan naik. Harga apa juga pun naik. Yang turun merdum-redum, kata orang Johor secara berjenaka, hanya hujan yang melimpah ruah!

Takziah. Tahun lalu kerajaan mengumumkan bahawa skim buku teks akan dinikmati oleh seluruh murid sekolah rendah dan menengah di negara, mulai 2008. Tapi, kini skim yang dicadangkan itu ditarikbalik. Kerana apa? Sebab kerajaan nak jimat dari membelanjakan wang tambahan sebanyak $100 juta!

Akibatnya, kerajaan kini ditempelak habis-habisan oleh rakyat jelata. Kalau Perdana Menteri sudi melayari internet, bacalah sendiri komen-komen yang terpapar dalam blog dan website tempatan mutakhir ini. Tentu seram sejuk hingga ke tulang somsom kita dibuatnya!

Takziah. Kisah rasuah, kronisme dan neopotisme kini semakin lumrah dipolemikkan oleh rakyat Malaysia. Bangkai gajah ini tidak lagi boleh ditudung. Betul atau tidak, lain cerita. Pokoknya, nama baik Perdana Menteri – Mr. Clean – kini tercemar, kredibaliti kerajaan kini terjejas, keyakinan rakyat kini mula terhakis!

Takziah. Takziah. Takziah dan takziah. Kesemua ucapan takziah di atas jangan dipandang ringan, jangan diremehtemehkan. Mudah-mudahan seluruhnya akan diperbetulkan secara ikhlas dan segera.

Saya mengabadikan ucapan tahniah dan takziah di atas demi agama, bangsa dan negara. Berani kerana benar, takut kerana salah. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian apa gunanya? – Ruhanie Ahmad.

No comments: