Sunday, March 09, 2008

Pimpinan Abdullah Punca BN Kalah Teruk
Harap Agong Tak Perkenan Beliau Jadi PM

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar mengosongkan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan serta merta dan tidak lagi layak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana prestasi BN dalam PRU12 - BN hanya beroleh majoriti mudah di peringkat Parlimen dan kehilangan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, di samping Kelantan yang gagal di tawan semula sejak 1990 - adalah akibat kepimpinan beliau yang pincang, lemah dan amat ditolak oleh rakyat jelata.

Para penganalisis politik tanah air di beberapa rangkaian TV tempatan yang memberikan ulasan selari kepada keputusan PRU12 seolah-olah tercari-cari apakah sebab utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Menerusi analisa saya berasaskan komen-komen rakyat jelata yang diluahkan menerusi media internet sejak setahun yang lalu, punca utama BN era Abdullah kalah teruk adalah kepincangan kepimpinan Abdullah, kedolak-dalikan kenyataan dan keputusan Abdullah, perilaku menantu Abdullah yang manipulatif dan umpama kadok naik junjung, dan juga persepsi umum bahawa Malaysia kini seolah-olah sudah digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Pada waktu yang sama, sejak kira-kira enam bulan yang lalu pula, beberapa kenyataan dan keputusan Abdullah kelihatannya seperti menjadikan orang Melayu tidak lagi relevan kepada usaha BN mempertahankan kuasanya menerusi pilihan raya umum.

Lantaran itulah wujud double standard dalam layanan era Abdullah terhadap kelompok Melayu yang berdemonstrasi di Batu Buruk, Terengganu, dengan kelompok Hindraf yang dituduh sebagai melakukan percubaan membunuh anggota polis sewaktu menunjuk perasaan di Kuala Lumpur.

Seluruh hakikat di atas banyak dipolemikkan menerusi internet. Seluruh hakikat di atas juga menyebabkan segolongan orang Melayu jadi terhiris hati dan terguris jiwa. Tetapi, Abdullah tidak ambil peduli. Akibatnya, hari ini, sindrom penafian Abdullah itu pun dimanifestasikan oleh rakyat jelata menerusi keputusan PRU12.

Oleh itu, Abdullah wajar mengosongkan kerusi Pengerusi BN dengan seberapa segera. Oleh itu juga, Abdullah tidak lagi wajar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Keputusan PRU12 membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Abdullah untuk memimpin dan mentadbirkan negara ini.

Antara sebab-sebab utama mengapa Abdullah perlu mengosongkan kerusi kepimpinan BN dan tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri adalah seperti berikut:

Satu: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kehilangan empat kerajaan negeri di samping Kelantan.

Dua: BN Pulau Pinang pimpinan Abdullah kehilangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tiga: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan lima menteri kabinetnya (termasuk dua presiden parti komponen BN) tewas dalam PRU12.

Empat: Kerajaan BN pimpinan Abdullah gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan kadar rasuah dan kronisme.

Lima: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menimbulkan persepsi umum bahawa ekonomi Malaysia hari ini seolah-olah sedang diasak oleh sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Enam: Kerajaan BN pimpinan Abdullah mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menimbulkan persepsi umum bahawa Malaysia sedang digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Tujuh: Malaysia pimpinan Abdullah yang menjadi pengerusi OIC dan NAM kelihatan tidak memberikan perjuangan yang berkesan di pelantar antarabangsa.

Tujuh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah seolah-olah di kuasai sepenuhnya oleh menantu Abdullah dan kroni-kroninya sehingga menyebabkan kekecewaan rakyat jelata yang paling maksima.

Lapan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah tidak mempunyai sensitiviti terhadap modal asing tertentu dalam perniagaan strategik negara dan juga seolah-olah tidak membuka peluang perniagaan kepada bumiputera.

Sembilan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kelihatan mengambil for granted sokongan Melayu terhadap BN walaupun jiwa orang Melayu diguris dan dihiris oleh beberapa kenyataan dan tindakan Abdullah sendiri.

Sepuluh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menggula-gulakan rakyat jelata dengan projek-projek koridor mega yang trillion ringgit kosnya semata-mata untuk menutup kesilapan besar akibat pelancaran WPI.

Sebelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyebabkan kesangsaraan rakyat akibat kenaikan harga barang-barang keperluan dan kos sara hidup yang seolah-olah gagal dikawal.

Duabelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan peningkatan kadar jenayah dan menjadikan titik permulaan kekuasaan kumpulan penjenayah asing berleluasa di Malaysia.

Demikianlah di antara kepincangan dan ketempangan kepimpinan Abdullah. Perkara-perkara di atas sudah disuarakan secara meluas menerusi media alternatif. Tetapi, Abdullah dan sindrom penafiannya tidak mengambil hirau. Ini kerana Abdullah hanya mahu mendengar nasihat kumpulan pegawainya di Aras Empat JPM sahaja.

Kini nasi sudah menjadi bubur. Abdullah tidak mampu memperbaiki keadaan. Beliau wajar mengundurkan diri secara terhormat, bermaruah dan dengan segera. Ini akan membolehkan Malaysia yang dikuasai dengan hanya majoriti mudah di Parlimen, ditadbir oleh pihak yang lebih cekap, lebih sensitif kepada tuntutan rakyat jelata dan lebih prihatin terhadap pemeliharaan kedaulatan negara pada setiap masa.

13 comments:

Berita dari gunung said...

Saya pergi mengundi seperti biasa. Singgah di pusat UMNO dan terserempak dengan kawan-kawan. Pada masa itu, ada kawan dah berbisik, pemilihan UMNO akan datang ini "siap...!!" katanya. Waktu itu masih tengahari.

Secara spesifik beliau menyebut bahawa akar umbi tak berapa senang dengan "menantu". Saya yakin dengan pandangan beliau kerana beliau adalah akar umbi tulin Umno dan masak dengan sentimen akar umbi. Beliau juga menyebut betapa influence 'menantu' dalam penentuan calon telah menyebabkan jentera Umno tidak dapat bergerak, tercalar dengan ketidakpuasan hati.

Kawan-kawan tidak dapat menerima keadaan seperti itu. Mereka mahu menghormati Presiden tetapi bukan presiden yang membenarkan dirinya diganggu oleh menantu.

Saya masih ada akar disitu, tetapi umbinya sudah di tempat lain. Saya hanya dapat update senario politik setempat bila pulang berkunjung.

Saya seperti mana ramai lagi yang lain, terpaksa berjalan jauh untuk pulang mengundi. Kumpulan ini, kumpulan yang bekerja dilain dan mengundi ditempat asal adalah majoriti yang kekal silent, dan tidak diendah oleh jentera Umno. Pemikiran orang-orang ini jarang dapat dibaca dengan tepat oleh Umno. Orang-orang ini ada dimana-mana. Undi mereka adalah penentu.

Unggal said...

DYMM sewajarnya memberi 'penyapu' ciptaan K.Toyo pada PakLah & KToyo sendiri....

Hovidpure said...

Salam Dato'
Tiada siapa yang matang akan menafikan bahawa kegagalan BN dan UNMO adalah berpunca daripada Abdullah Badawi dan menantunya Khairy Jamaluddin.

Kalau Abdullah Badawi seorang yang bermaruah, beliau harus melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dengan serta merta.

Terpahat sebuah sejarah, Presiden UMNO mengkhianati perjuangan parti.

UMNO Johor merumdum bukan kerana kesalahan anak Johor. Pengkhianatnya adalah Abdullah Badawi dan keluarganya.

Khairy harus disingkir daripada UMNO. Dia dan bapa mertuanya sebenarnya telah memalukan dan menjatuhkan maruah UMNO.

Sofi Yassin

Sal said...

Saya tidak dapat menerima Pak Lah dan Najib sebagai PM. Pak Lah jatuh kerana KJ. Najib akan jatuh kerana Rosmah. Antara Pak Lah dan Rosmah, lebih baik Pak Lah.

ici said...

tiga belas: pak lah kurang hajar dan tidak menghormati pemimpin veteran dan banyak jasa seperti Tun Dr Mahathir. saya cukup sensitif bila pak lah tidak kenang budi dan jasa tun malah memperlekehkannya!

betullah kata berita dari gunung, pemilihan UMNO ni, siap! (kalau di takdirkan pak lah tak resign dalam masa terdekat ni).

najib menang lagi besar, malah mempertahankan negerinya dari tsunami ganas, mukriz pon menang walau cuba di sabotaj pihak tertentu. pak lah majority menurun dan hilang negerinya! ini bukan lagi satu signal pada pak lah. ini satu tuntutan rakyat untuk pak lah supaya resign segera!

cakapsiang said...

Agong tidak perlu masuk campur dalam menentukan siapa berhak menjadi Perdana menteri, kerana kedudukan baginda jelas di atas perlembagaab yang tidak masuk campur dalam hal ehwal politik.

Seorang Presiden parti yang menang. walau dengan satu kerusi berhak menjadi perdana Menteri.

Sekarang terpulang kepada ahli UMNO untuk menentukan siapa Presiden mereka pada pemilihan parti akan datang ini.

Yang saya nampak, hampir kesemua pucuk pimpinan terpaksa mengundur diri secara hormat, biarkan mereka-mereka yang berkaliber dan mampu mempertahankan hak orang Melayu seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Mukriz mahathir dan beberapa lagi muka baru yang betul-betul ikhlas berjuang untuk parti menerajui UMNO.

HELICONIA said...

Semoga Surau Shah Alam yang ditutup dibuka semula.

Datuk, saya copy artikel ini ke blog saya

Terima aksih sebelumnya.

pak tam said...

kepada paklah, bukalah mata, bukalah hati, jangan pekak kan dan bukalah hati...

bagi saya kemenangan BA ini terdapat beberapa faktor

1. Orang Umno dan BN telah bersuara melalui undi dengan beralih kepada BA kerana tidak puashati dgn agihan2 kerusi

2. Faktor anak menantu dan tingkat 4 putrajaya, memainkan peranan yang sangat besar menyumbang kekalahan BN di mana pengundi muak dan jijik dengan apa yang telah dilakukan nya terhadap orang melayu dimana orang melayu semakin tersepit kesusahan dan juga orang cina pun telah dinafikan di dalam hak perniagaan sama rata

3. Paklah sebagai pengerusi BN dan umno telah mewujudkan pergeseran dikalangan ahli BN dan UMNO..kerana peranannya amat lemah dan tidak dapt mengawal percaturan kuasa yang ada.

4. Rakyat sudah muak dgn telatah paklah yg asyik buka koridor yang tidak nampak memberi manafaat yang besar bg orang melayu..

5. pembaziran wang rakyat yang teramat banyak sekali di dalam perbelanjaan negara yang tidak masuk akal seperti pengubahsuain kediaman rasmi pm dan kemewahan yang ditunjukkan oleh yb2 umno.

6. harga barang naik mendadak tanpa kawalan seperti harga minyak masak yg umumnya tahu malaysia pengeluar minyak sawit.

7. ketiadaan bonus untuk kakitangan awam pada tahun lepas yang boleh dikatakan faktor pengundi senyap beralih arah terutama kakitangan awam.

An~Nahli said...

syabas atas saranan berani saudara. kalau keberanian seperti ini masih berakarumbi pada orang-orang kanan umno, keputusan pru12 ini mungkin berlainan. tapi sayang, kebanyakkan pembesar umno hanya 'pemimpin perjuangan perut' tidak pernah kelihatan lagi ciri-ciri pemimpin perjuangan sejati.

Anonymous said...

PM tak perlu mengosongkan kerusi pengerusi barisan nasional..
sy yg bodoh ni pun tahu menghargai apa kerajaan dah buat pd negara..

nasa said...

dalam artikel pertama blog saya, saya dah cakap Paklah tak ada kelebihannya, tak seperti Tun M. Jadi apabila orang yang tak ada kelebihan di tambah dengan faktor menantu yang korup dan tak menghormati rakyat, inilah padahnya. Sampai bila orang UMNO nak hidupkan budaya bodek? Hari ini rakyat semakin matang, hari ini rakyat sudah BERANI bersuara. Tak hairan kalau selepas ini orang UMNO akan berani bersuara. KPN dalam sidang medianya hari ini dah bernada lembut, pengulas politik malah sejak semalam sudah bernada neutral, RTM dan TV3 pun dah menampakkan nada neutral malah senyum kambing Utusan pun dah tukar nada. Sekarang masanya kita kena berterus terang. Sampai bila nak bermain wayang? Sampai suara rakyat semakin kuat? Ini baru detik permulaan. Entahlah, saya rasa semaca akan ada tsunami lagi dalam politik negara selepas April nanti. semoga yang terbaik diberikan Allah kepada kita.

Unknown said...

Kenapa pembodek2 UMNO masih nak sokong si bedebah Pak Lah ni jadi PM.. Dah la perosak bangsa melayu, agama & negara... Ini la PM yg paling bodoh dlm dunia!!!!

abu syakier said...

anak kecil main api...
terbakar hatinya yang sepi..
akibat TIDUR bumi di pijak milik orang!!!

Takbir!!