Thursday, March 20, 2008

Richard Riot Masih Anggota Parlimen BN Untuk Serian, Kata George Chan

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Serian Richard Riot masih menganggotai Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) meskipun terdapat khabar angin kononnya beliau telahpun meninggalkan parti itu setelah tidak berpuas hati kerana tidak dilantik sebagai anggota Kabinet persekutuan.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam hari ini berkata parti itu tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Richard, seorang berketurunan Bidayuh dan Anggota Parlimen Serian selama lima penggal.

"Saya dan setiausaha agung tidak menerima apa-apa pun. Saya tidak fikir ia benar. Saya cuba hubungi beliau tetapi tidak berjaya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Chan mengakui Richard agak "kecewa" selepas beliau tidak dilantik menganggotai Kabinet persekutuan dan beliau (Chan) menasihati Richard supaya bersabar memandangkan parti sedang mengusahakan penyelesaian untuknya.

"Terdapat khabar angin bahawa beliau mahu menyertai pembangkang tetapi sehingga sekarang, kami masih belum dapat menghubungi beliau. Saya telahpun meminta YB Ranum (Mina) dan YB Francis (Harden) untuk mencari beliau memandangkan beliau tidak dapat dihubungi," katanya.

Chan berkata beliau mencadangkan nama Richard selain setiausaha pengelola parti Datuk Peter Chin Fah Kui, dua naib presiden Datuk Robert Lau dan Datuk Yong Khoon Seng untuk jawatan dalam Kabinet persekutuan.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada empat yang dicadangkan itu mendapat tempat dalam Kabinet -- Chin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Lau (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Yong (Timbalan Menteri Kerja Raya).

Lagi: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=321704

1 comment:

W M Zain Mahmud said...

Saya tidak hairan dan terkejut jika YB Richard Riot membuat keputusan keluar SUPP (Parti Komponen BN Negeri Sarawak). Dalam Kabinet baru Pak Lah kepentingan rakyat Sarawak keturunan Bidayuh harus juga diberi tempat.

YB Richard Riot adalah seorang wakil Parlimen kawasan Bidayuh Serian dan wajar bagi YB tersebut dilantik sekurang kurang jawatan timbalan menteri menganti YB Tiki Lafi dari SPDP (bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar).

Sama ada sengaja atau tidak,pergolakan ini akan membawa impak atas PRU ADUN Negeri Sarawak yang akan diadakan 2 atau 3 Tahun lagi.

Kekalahan teruk SUPP dalam PRU ADUN Negeri 2006 adalah disebabkan atas kepincangan pucuk pentadbiran kepimpinan Parti tersebut dn rakyat sarawak telah menyaksikan pertembongan ahli peringkat atasan dan bawahan.

Dalam pemerhatian saya berdasar atas trend pengundian PRU 12 Parlimen baru lalu , kelihatan pembangkang telah meraihkan jumlah undi sehingga kawasan seperti Limbang dan Serikei BN (PBB/SUPP) menang tipis.

APAKAH TSUNAMI POLITIK MELANDA SARAWAK PRU ADUN 2010/11 ??

http//:teebau.blogspot.com