Saturday, September 23, 2006

WISMA PUTRA TAK PANGGIL
P-JAYA TINGGI SINGAPURA?
Oleh Ruhanie Ahmad

Saya gembira bila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberikan reaksi tegas kepada kenyataan Lee Kuan Yew Sabtu lalu. Turut melegakan ialah bila pemimpin-pemimpin masyarakat Cina Malaysia juga turut membidas Lee Kuan Yew.
Tetapi, apakah reaksi Wisma Putra? Apakah reaksi akhbar perdana Malaysia? Kenapakah seolah-olah ada satu arahan tertentu mengenai Singapura? Adakah wujud arahan supaya kenyataan Lee Kuan Yew itu tidak diberikan reaksi sewajarnya? Sepatah kata seorang sahabat saya daripada media perdana, reaksinya sepi buat beberapa hari kerana "kami tak dapat apa-apa signal."
Jadi, begitukah hakikatnya? Sebelum Datuk Seri Najib bersuara, semua pihak menikus kerana "tak dapat signal." Tidakkah ini menghairankan? Untuk membincangkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan negara dan kedaulatan tanah air pun mesti ada signal? Siapakah agaknya yang menjaga signal itu?
INSAFLAH WAHAI RAKYAT DAN PEMIMPIN MALAYSIA. KALAU SEMUANYA UNDER CONTROL DAN KEPIMPINAN NEGARA MEMANG BENAR-BENAR IN CONTROL, JANGANLAH SINGAPURA DAN LEE KUAN YEW DIBIARKAN TERLEPAS BEGITU SAHAJA KALI INI. SEKURANG-KURANGNYA, PANGGILLAH PESURUHJAYA TINGGI SINGAPURA DI MALAYSIA DAN TANYA DIA, KENAPAKAH LEE KUAN YEW BERKATA SEBAGAIMANA YANG DILAPORKAN BARU-BARU INI?
Menerusi artikel REPUBLIK KANGKANG KERA, JANGAN TIMBUL ANGKARA, dalam blog ini pada 20 September 2006, saya sifatkan kenyataan Lee Kuan Yew pada 15 September 2006, sebagai hasutan.

Kenyataan itu bukti Lee Kuan Yew seolah-olah mahu menpersenda-sendakan kerajaan Malaysia. Oleh itu, kenyataan di atas tidak boleh dipandang ringan. Ia juga seolah-olah mengandungi elemen hasutan. Ia membangkitkan persoalan-persoalan strategik seperti berikut:

Mengapakah ianya dikeluarkan hanya beberapa hari sesudah Datuk Seri Abdullah membuat kenyataan di Helsinki bahawa hubungan Malaysia-Singapura tidak terencat ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor?

Mengapakah kenyataan itu dibuat sewaktu menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, dikatakan sedang bertelingkah dengan komponen kelompok Cina dalam Barisan Nasional?

Mengapakah kenyataan itu buat sewaktu seorang pemimpin MCA diheboh-hebohkan sedang bermasalah dengan Kerajaan Malaysia atas soal peruntukan pendidikan di Johor Bahru, Johor?

Mengapakah kenyataan Lee Kuan Yew itu dibuat apabila Malaysia memasukki era pilihan raya umum mulai 2007?

Kenyataan Lee Kuan Yew seperti di atas adalah serius. Ia menimbulkan pelbagai implikasi. Ia juga mungkin mengandungi mesej-mesej tersirat. Jadi, apakah motif sebenar kenyataan itu? Mungkinkah motifnya adalah seperti berikut:

Memprovokasi serta mengapi-apikan rakyat Malaysia keturunan Cina supaya menentang Kerajaan Malaysia mutakhir menerusi pilihan raya umum akan datang?

Menggalakkan rakyat Malaysia keturunan Cina melemahkan kepimpinan dan pemerintahan Datuk Seri Abdullah?

Mengadu-dombakan Malaysia dengan Singapura?

Membuktikan bahawa politik Singapura adalah lebih matang daripada Malaysia?

Mendorong rakyat Singapura untuk membenci Malaysia?

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat kesal dengan kenyataan Lee Kuan Yew yang kini dikomen oleh pelbagai pihak di Malaysia. Sebab itulah saya dengan rendah hati dan takzimnya menggesa Kerajaan Malaysia mengambil tindakan berikut:

Wisma Putra mesti memanggil Pesuruhjaya Singapura di Kuala Lumpur dengan serta-merta untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila mengatakan bahawa “masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik” oleh Kerajaan Malaysia mutakhir ini.

Wisma Putra juga mesti mendapatkan penjelasan segera daripada Singapura, apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila menyatakan bahawa “Malaysia mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut.”

Sesudah itu, Kerajaan Malaysia mestilah bertindak dengan sewajar-wajarnya. Negara republik pulau yang luas sekangkang kera itu mestilah diinsafkan supaya ia berhenti daripada bertindak menimbulkan angkara diplomasi dengan Malaysia.

Akhir kata, insafilah bahawa hubungan diplomasi antara dua negara yang berjiran, merdeka, berdaulat dan berwibawa, mestilah dijalinkan atas prinsip keharmonia bersama, kemakmuran bersama, kesejahteraan bersama, keamanan bersama, dan kewujudan bersama.

Lee Kuan Yew mestilah difahamkan dengan hakikat diplomasi dan kejiranan seperti ini. Semua pihak di Singapura yang terus-menerus bersikap kiasu dan kiasi juga mesti menginsafi serta menerima prinsip-prinsp kejiran dan diplomasi seperti ini.

No comments: