Saturday, September 23, 2006

PM UCAP SELAMAT BERPUASA
KEPADA SELURUH UMAT ISLAM

SEPANG, 23 September 2006 (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di negara ini yang akan mula berpuasa hari Ahad, bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana akan menjalani ibadah itu tanpa isteri tercinta.

"Saya terpaksa sesuaikan diri. Ia satu realiti. Ia okay, keluarga saya ada bersama saya," katanya ketika ditanya bagaimana perasaan beliau menyambut bulan Ramadan tanpa isteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.

Abdullah ditemui pemberita setibanya dari lawatan luar negara di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini. Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Endon meninggal dunia 20 Okt tahun lepas akibat barah payu dara.

Abdullah mengakui akan merasai kehilangan Endon kerana pada masa dahulu beliau sentiasa berbuka puasa bersama-sama isterinya itu.

"Akan rasa lainlah tak ada Endon," katanya.

Abdullah turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak hanya berpuasa semata-mata sebaliknya menjadikan bulan Ramadan untuk meningkatkan amal ibadat serta melakukan kegiatan berfaedah.

"Jadikan bulan ini untuk meningkatkan amal ibadat, bukan setakat berpuasa tapi juga kegiatan-kegiatan lain kerana bagi umat Islam kegiatan kita berpaksi kepada ibadat," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah tidak lupa berpesan kepada umat Islam di negara ini agar melaksanakan ibadat itu sebaik mungkin.

"Jangan cuba buat sesuatu yang membatalkan puasa, nanti sia-sia sahaja lapar. Jadi, kawal diri, kawal percakapan dan perbuatan kita.

"Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberkati dan merahmati ibadat kita," katanya.

-- BERNAMA



No comments: